Wednesday 18 February 2015

Adab Menuju Kejayaan

Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Politeknik Port Dickson telah menganjurkan satu Program ceramah Motivasi dengan fokus utama adalah sebanyak 300 pelajar Politeknik Port Dickson. Ceramah tersebut telah dijayakan oleh Tuan Fazrul Bin Ismail, penceramah jemputan dari Akademi Sinergi. Ceramah ini juga dihadiri oleh rombongan sekolah angkat JMSK iaitu Sekolah Menengah Agama Telok Kemang yang dijemput khas.

Coretan ini adalah berdasarkan kefahaman saya selama 2 jam mendengar syarahan beliau, petikan-petikan contoh dan ayat-ayat adalah sepenuhnya olahan saya. Rajah-rajah yang digunakan adalah di inspirasikan oleh rajah yang digunakan oleh penceramah, yakni Tuan Fazrul Bin Ismail dan saya mengilustrasikannya semula.

Apa yang baik, datangnya dari Allah swt, dan apa yang kurang, yang buruk datangnya dari diri saya sendiri. Selamat membaca. Komen-komen positif sangat saya harapkan.

****************************************************************************
Adab Menuju Kejayaan 

Dalam menuju kejayaan, sebagai seorang Muslim yang mana cara hidupnya berpaksikan akhlak yang sempurna, terlalu banyak adab dan tatasusila yang perlu diamalkan. Bukan saja kerana inginkan keberkatan hidupnya, tetapi juga agar ilmu dan rezeki yang dicari juga penuh keberkatan.

Menurut Tuan Fazrul, dalam menempah haluan menuju kejayaan, suka atau tidak 3 perkara perlu dipenuhi, yakni:-
1. Adab dalam menuju kejayaan
2. Kepentingan adab dalam menuju kejayaan
3. Dan apakah 7 adab menuju kejayaan tersebut.

Satu persatu akan cuba saya rumuskan di sini berdasarkan dapatan saya selama dua jam mendengar perkongsian ilmu daripada beliau.

Adab?
Adab adalah tingkah-laku dengan orang-orang disekeliling kita. Ya, ini merujuk kepada adab kita dengan manusia. Jika dengan haiwan, alam sekitar, pastinya ia membawa maksud tingkah-laku kita dengan haiwan-haiwan dan juga alam-sekitar.

Perihal adab boleh diperjelaskan dengan lebih terperinci menggunakan Teori Iceberg. Bercerita tentang Teori Iceberg ia biasa merujuk kepada hakikat bahawa hanyalah 30% adalah yang tersurat yakni dapat dilihat dengan mata kasar manakala selebihnya, yakni 70% tersembunyi, tidak dapat dilihat.


Dalam hal ini, Adab atau perbuatan atau tingkah-laku adalah apa yang dapat dilihat oleh mata-mata kasar lain terhadap seseorang individu.  Ia juga mewakili 30% luaran individu tersebut. 

Apakah lagi 70%?   Ya, 70% merupakan sessuatu yang sangat subjektif dan tidak dapat dinilai oleh mata kasar, hanya boleh dinilai menggunakan pernilaian yang sangat halus dan kepekaan yang tinggi.

Nilai merujuk kepada pernilaian seseorang individu terhadap sesuatu hal.
Pandangan Hidup pula merupakan pernilaian seseorang individu terhadap sesuatu berdasarkan pengalaman hidup yang pernah dilaluinya atau diperolehinya.
Manakala Kepercayaan merujuk kepada keyakinan seseorang individu dan ini dibentuk oleh Nilai dan Pandangan Hidup individu tersebut.

Baiklah, saya cuba untuk merungkaikan dengan lebih jelas berdasarkan kes-kes tertentu.

Nilai
Bagi seorang pelajar apabila berhadapan dengan dua pilihan di antara menggunakan telefon bimbit sewaktu kelas sedang berjalan dengan memberikan fokus sepenuhnya kepada proses pembelajaran,yang mana satukah lebih bernilai?

Orang-orang yang berakal pastinya menyatakan bahawa memberikan fokus kepada proses adalah lebih bernilai, manakala bagi mereka yang tidak berminat dengan ilmu pengetahuan akan menyatakan bahawa menggunakan telefon sewaktu kelas untuk sebarang urusan pastinya lebih bernilai.

Justeru NILAI merupakan pembolehubah yang sentiasa berubah mengikut individu dan situasi.

Peperiksaan Matematik akan berjalan esok. Belajar untuk peperiksaan, menggunakan telefon bimbit untuk pelbagai tujuan seperti Whatsapp, Facebook dan lain-lainnya, atau keluar makan dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa.

Pasti pada saat ini semua orang yang mengimpikan agar dia boleh menjawab peperiksaan matematik tersebut, akan menyatakan bahawa Belajar untuk peperiksaan adalah jauh lebih penting dan lebih utama. Ini menunjukkan tentang NILAI belajar itu lebih utama berbanding yang selain daripadanya.

Nilai juga merupakan satu elemen pernilaian yang boleh berubah-ubah.

Pandangan Hidup
Pandangan Hidup atau world view lebih merujuk kepada adat dan pengalaman yang dilalui. Contohnya, bagi seseorang yang sejak kecil dididik untuk taat dan patuh dan sama sekali tidak dibenarkan untuk memberikan pendapat, pastinya menjadi seorang yang sangat pasif. Bagi individu ini, amat sukar untuk memberikan pendapat kerana dia telah dididik begitu, dan ini bertentangan dengan konsep pendidikan yang telah diterimanya. Sehinggalah satu masa, dia berhijrah ke satu tempat dan bergaul dengan komuniti yang menggalakkan untuk memberikan pendapat, maka PANDANGAN HIDUP beliau tentang memberikan pendapat akan berubah. 
Pandangan Hidup sangat-sangat merujuk kepada pengalaman yang kita sangat hargai, dan kebiasaanya ia akan mengubah persepsi individu terhadap sesuatu hal. 

Justeru, Pandangan Hidup juga merupakan satu elemen pernilaian yang akan berubah.

Kepercayaan yang Betul
Kepercayaan yang betul sangat penting, tanpanya kita akan lebih dekat dengan kesilapan berbanding dengan kebenaran. Kepercayaan merujuk kepada keyakinan kita tentang sesuatu. Lebih merujuk kepada spiritual kita, hati kita, dan juga agama serta pegangan hidup kita.

Kepercayaan dibentuk oleh Nilai dan Pandangan Hidup. Jika Nilai dan Pandangan Hidup yang dipegang oleh seseorang itu benar, maka Kepercayaan yang terbentuk juga, In Shaa Allah akan menjadi benar. Dan seandainya yang berlaku adalah sebaliknya, maka Kepercayaan juga akan menjadi sebaliknya.

**************************************************

Berdasarkan gambar di atas, ditunjukkan bagaimanakah adab dan tingkahlaku itu terhasil berasaskan dua faktor samada daripada dasar Pandangan Luar ke Dalam atau Pandangan Dalam ke Luar. Dasar pandangan ini sangat penting dalam pembentukan adab dan tingkahlaku yang sangat baik atau sebaliknya.

Pandangan Luar ke Dalam
Pandangan Luar ke Dalam, adalah satu keadaan di mana Nilai menjadi perkara asas dalam satu tingkahlaku, kemudian membentuk Pandangan Hidup dan seterusnya menjadi satu Kepercayaan. Pandangan ini sangat goyah dan seringkali berubah-ubah lantaran kerana asas kepercayaan itu terbentuk daripada Nilai dan Pandangan Hidup. 

Pandangan ini sangat-sangat dipengaruhi oleh persekitaran, maka wujudlah konsep-konsep seperti pengaruh K-Pop, modernisasi dimana budaya barat dibenarkan untuk meresap ke dalam diri individu, dan dasar bersuara yang sangat-sangat tidak lagi ada batasan sehingga ibu-bapa dan guru-guru tidak lagi dihormati, semuanya kerana pandangan ini.

Pandangan Dalam ke Luar
Pandangan Dalam ke Luar, adalah satu pandangan di mana asas pembentukannya berasaskan Kepercayaan. Saya lebih suka untuk mengaitkan asas Kepercayaan sebagai seorang Muslim adalah dasar agama Islam itu sendiri.

Seorang pelajar Muslim percaya bahawa menuntut ilmu itu wajib, maka itu akan menjadi pandangan hidupnya, dan dirinya sama sekali tidak akan tergugat dengan pelbagai cabaran arus semasa, yang mana meminta dia untuk berubah seiring perubahan tersebut. Jadi masa yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya kerana kepercayaannya bahawa dalam proses menuntut ilmu, harus ada tumpuan, pengorbanan dan tidak boleh melibatkan diri dengan hal-hal yang lara seperti menggunakan telefon bimbit sewaktu kelas berjalan, meniru tugasan, tidak menyiapkan tugasan, tidak mengulangkaji dan sebagainya.

Mengapakah itu terjadi? Ini kerana di saat, menurut kepercayaannya menuntut ilmu itu wajib selaras dengan tuntutan agama, ia telah menjadi pandangan hidupnya, dan menyebabkan menuntut ilmu telah menjadi satu nilai keutamaan yang sangat tinggi.

Akhirnya, adabnya dan tingkah-lakunya dalam proses menuntut ilmu ini menjadi lebih baik dan in shaa Allah sempurna. 

Justeru berdasarkan perbandingan kedua-dua jenis pandangan tersebut, yang mana satukah menurut anda merupakan pandangan yang lebih tepat untuk kita wujudkan dalam diri kita?

Pandangan Luar ke Dalam berubah mengikut persekitaran manakalan Pandangan Dalam ke Luar tidak akan berubah mengikut persekitaran kerana terasnya adalah rohani dan keyakinan yang teguh.

*********************************************************************

"Motivation is gained when someone is cleared of their aim/goal."


Diagram di atas menunjukkan carta hubungan kita dengan Pencipta dan manusia. Apa jua agama kita, terasnya adalah keabdian kepada Tuhan. Namun, berbeza dengan fahaman Hindu di mana ibu-bapa berada di tahap pertama diikuti dengan guru-guru dan seterusnya, barulah Tuhan.

Sebagai seorang Muslim, di mana Allah adalah keutamaan kita yang paling agung. Yang mana ianya merupakan satu hubungan yang paling ingin kita eratkan dengan melaksanakan "amal ma'ruf nahi mungkar". Jika, Allah adalah keutamaan kita yang terutama, pastinya hubungan dengan manusia-manusia lain akan dibentuk berdasarkan Al-Quran dan al-Hadis. 

Sebagai seorang pelajar atau individu pastinya, kita memiliki ibu-bapa samada masih hidup atau sebaliknya, namun tetap pada hakikatnya kita memiliki mereka dan sebagai seorang anak, kita tetap kena mendoakan mereka meskipun mereka telah kembali bertemu Penciptanya. Itu adalah ciri-ciri anak yang soleh. Taat dan patuh pada mereka selagi mereka masih hidup, dan mendoakan mereka setelah matinya.

Hubungan kita dengan guru dan pensyarah kita bagaimanakah? Sebagai seorang pendidik, saya akui bahawa saya sangat takut memikirkan bahawa generasi muda sekarang sangat kurang beradab dengan para gurunya dan para pensyarahnya. Meletakkan sepenuh tanggungjawab untuk mereka berjaya pada bahu gurunya, tanpa mereka berusaha. Terlalu banyak kesalahan yang ditundingkan kepada para guru dan pensyarah apabila pelajar-pelajarnya gagal. Apabila ditegur dan ditegah tentang penggunaan telefon bimbit, tentang pengurusan masa, mereka akan menjadikan gurunya sebagai musuh. 
Islam menggariskan dengan jelas tentang adat berguru yakni menuntut ilmu, dan pentingnya untuk menghormati guru.

Hubungan dengan rakan-rakan, bukan mahram - merujuk kepada rakan yang berlawanan jantina dan hubungan kita dengan masyarakat, ini semuanya sangat perlu. Sehingga ditekankan dengan jelas bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang mana dosa itu melibatkan manusia lain sehinggalah dia mendapatkan keampunan daripada manusia tersebut.

Hubungan-hubungan tersebut memerlukan kita untuk beradab dengan sempurna apabila berinteraksi dengan mereka.

Hadis Riwayat Bukhari:-
"Aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik."

*************************************************************************

Master PIES - Lonjakkan Potensi Diri

Apakah PIES? Physical, IQ, EQ dan Spiritual.


Untuk pembentukan rohani yang mantap, fizikal, IQ dan EQ kenalah seiring. Tanpa fizikal yang mantap, mustahil untuk kita mempunyai IQ dan EQ yang stabil melainkan EQ kita tersangat-sangat tip top. Namun, kebiasaannya IQ, EQ dan keadaan fizikal adalah faktor yang saling berkait untuk melonjakkan potensi diri, kerana melaluinya, in shaa Allah rohani dan spiritual yang positif akan terbentuk. Ini jika kita mengaitkan dengan Dasar Luar Ke Dalam.

Sekiranya, kita seorang yang Dasar Dalam Ke Luar, Spiritual(rohani) kita yang mantap dan optimis akan membentuk tindakan fizikal kita, tindakan IQ dan EQ kita.

***************************************************************************

5 Faktor untuk mengawal atau membentuk EQ


EQ - Emotional Intelligent Quotient merupakan satu kebijaksanaan yang semakin ditekankan sejak akhir-akhir ini lantaran IQ - Intelligent Quotient bukanlah satu hakikat kebijaksanaan yang hakiki. EQ sangat-sangat berkait rapat dengan Spiritual (rohani).

Ada 5 faktor utama untuk pembentukkan EQ yang in shaa Allah sempurna. 

PERTAMA:- Self-awareness. 
Self-awareness merujuk kepada hakikat kemampuan diri kita untuk sedar diri sendiri. Menyedari siapa diri kita, sebagai seorang anak; kita perlu taat dan patuh kepada kedua ibu-bapa kita. Sebagai seorang pelajar; kita perlu taat dan patuh pada guru kita. Sebagai seorang Muslim yakni hamba Allah swt, kita perlu taat dan patuh pada semua suruhan dan menjauhi semua larangan Nya.

KE DUA:- Self-regulation/Management
Kemampuan untuk kita mengawal diri sendiri. Jika sebagai seorang anak kita dimarahi oleh kedua ibu-bapa kita, perlukah untuk kita membalas balik dengan sikap yang tidak sepatutnya? Sebagai seorang anak, apa jua tindakan dan suruhan ibu-bapa selagi tidak bercanggah dengah perintah Allah dan Rasulnya perlu untuk kita hadapi dengan hati yang terbuka dan tenang. Menerima dengan hati yang terbuka penuh optimis.

KE TIGA:-Motivation/ Passion
Pendorong, motivasi dan kesabaran adalah faktor ke tiga untuk proses pembentukan EQ yang mantap. Tanpa kesabaran, dorongan dan motivasi yang tinggi, kita tidak akan memiliki EQ yang mantap, kerana dengan mudahnya kita akan menyerah kalah, dan kita tidak akan berusaha ke arah memiliki EQ tersebut.

KE EMPAT:- Empathy
Empathy merupakan satu keadaan di mana kita merasai setiap perkongsian yang dilakukan oleh pengongsinya. Dengan erti kata lainnya, meletakkan diri kita di tempat dan di dalam masalah yang disebut.

Contoh, Layra menceritakan kesulitan yang dihadapinya kepada Rania.

Rania, dianggap hanya bersimpati jika dia hanya menjadi seorang pendengar namun jika Rania mendengar dengan sepenuh tumpuan dan merasai kesulitan yang dirasakan oleh Layra dengan perasaannya, maka itu dianggap empati.

Empati dan simpati adalah dua keadaan yang berbeza. Dengan kemampuan empati, kita akan berjiwa lebih halus, tindakan lebih tepat kerana segala-gala yang kita lakukan adalah datangnya dari hati kita.

KE LIMA:- Social Skills
Kemahiran sosial adalah sangat penting dalam menghubungkan diri kita dengan masyarakat. Tidak memiliki kemahiran sosial akan menyebabkan kita dianggap kera sumbang, tidak dialu-alukan dalam masyarakat, atau kita dipulaukan lantaran kemahiran sosial kita yang teruk. Memiliki kemahiran sosial yang tinggi adalah satu bonus, tetapi kepada mereka yang tidak memilikinya, anda boleh mempelajarinya.
Apabila bergaul dengan seseorang, apabila menasihati seseorang, kita perlukan kemahiran sosial. Supaya tidak menimbulkan masalah-masalah yang lain yang tidak sepatutnya.

Jadual di bawah menunjukkan perbezaan di antara IQ dan EQ.

Kesimpulannya, untuk menjayakan sesuatu ummah, kita perlukan gabungan ramai orang yang memiliki EQ. IQ tanpa EQ akan menjadikan masyarakat jauh dari akhlak yang mulia, hilangnya nilai-nilai moral yang baik, hilang kejujuran dan berleluasanya sifat tidak amanah. Apabila sifat-sifat negatif terlalu berleluasa, negara akan jatuh dan kejayaan tidak akan berlaku. Bahkan, ianya seperti menjemput kehancuran untuk sebuah kejayaan yang pernah wujud.

EQ akan mendorong individu, dan masyarakatnya untuk berusaha bersama-sama menuju kejayaan di samping menekankan sikap tolong-menolong, berusaha untuk melengkapi kekurangan setiap individu dalam masyarakat dan negara amnya. Untuk menjadikan sebuah negara itu berjaya, ciri-ciri ini amat diperlukan. 


Dengan menjadi seseorang yang beradab, in shaa Allah, fizikal kita akan lebih terurus, merujuk kepada luaran dan penampilan kita. Dari sudut IQ,  kita akan berfikir dengan lebih baik sesuai dengan nilai-nilai agama yang telah diterapkan, dan pastinya kita akan belajar dengan lebih cemerlang. Manakala untuk EQ pula, apabila kita mengamalkan adab yang sesuai dengannya, kita akan disenangi oleh masyarakat dan secara tidak langsung ini akan menjadi satu ganjaran untuk diri kita, di mana Spiritual kita akan  lebih tenang. Apabila Spiritual berada dalam keadaan yang sangat mantap, tujuan hidup kita sepenuhnya adalah ALLAH swt.

*************************************************************************

7 Prinsip Adab - Stamina Emosi

7 prinsip adab untuk menuju kejayaan diambil berdasarkan Surah Al-Mu'minun (ayat 1-11)


 
 Sesungguhnya, berjayalah orang-orang yang beriman.
 Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.
 Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
 Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan mengeluarkan zakat harta).
 Dan mereka yang menjaga kehormatannya.
 Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
 Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-  orang yang melampaui batas
 Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.
 Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.
 mereka itulah orang yang berhak mewarisi 
Yang mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.


Berdasarkan ayat-ayat di atas:-

PRINSIP 1 - PERCAYA
Ini dipetik daripada ayat pertama

"Ini ditekankan dengan jelas di dalam jelas dalam ayat ini bahawa berjayalah orang-orang yang beriman, yakni orang-orang yang meletakkan sepenuh kepercayaan.... Justeru untuk menjadi seorang yang berjaya, anda perlu percaya bahawa anda boleh berjaya..."

PRINSIP 2 - FOKUS/KHUSYUK
Ini berdasarkan ayat ke dua

"Setelah percaya kita perlu menjadi seorang yang fokus terhadap apa yang kita ingin berjaya. Ingin menjadi seorang Muslim sejati, selepas percaya dan yakin bahawa tidak Tuhan selain dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, kita juga mendirikan solat, dan solat yang didirikan perlulah khusyuk supaya hubungan di antara hamba dan Pencipta akan terjalin dengan sangat erat. Maka, solat dapat mencegah daripada perbuatan keji akan berlaku.

Sekiranya solat didirikan sekadar melepas batuk di tangga, maka timbullah penafian demi penafian bahawa solat sama sekali tidak dapat mencegah perbuatan mungkar. 

Begitu halnya dengan seorang penuntut ilmu, sekadar percaya bahawa ilmu itu perlu, menuntut ilmu itu perlu, menghadiri majlis ilmu itu perlu, ia sama sekali tidak akan menjadikan seseorang itu berjaya jika, tumpuan dan fokus dalam menuntut ilmu tidak diberikan.

Di majlis ilmu, bersembang dengan rakan-rakan sekuliah, di majlis ilmu tidak menumpukan sepenuhnya perhatian sebaliknya leka dengan telefon, sibuk membalas Whatsapp, Twitter, Instagram, melihat telatah kenalan di Facebook, maka dia tidak akan berjaya." 

PRINSIP 3 - YA pada yang HAK/ TIDAK pada yang BATIL
Ini merujuk kepada ayat ke tiga

"Menyatakan YA pada yang HAK dan menyatakan TIDAK pada yang BATIL. Apa maknanya? Ayat itu dengan jelas menyatakan bahawa untuk berjaya seseorang itu perlu menjauhi perbuatan atau perkara yang sia-sia.

Elakkan kerja bertangguh, kenapa harus bertangguh sedangkan masa banyak terbuang untuk melepak dengan rakan-rakan, untuk bermain permainan komputer, untuk tidur sehingga melebihi 8 jam sehari. Ini adalah perbuatan yang sia-sia.

Berikan hak kepada perkara yang hak. Sebagai pelajar untuk satu program diploma, yang manakah keutamaan:- 
(1) menuntut ilmu pengetahuan, jadi akan berusaha sedaya upaya untuk memperolehi ilmu dengan sepenuh usaha dan tumpuan; atau 
(2) tidak kisahlah apa juga caranya asal saja saya lulus subjek ini, kerana bukan ilmu tumpuan saya tetapi segulung diploma atau sekeping sijil. Maka, meniru dan menyalin hasil kerja kawan adalah perkara yang sangat lumrah.

Berdasarkan situasi di atas, yang mana satukah hak dan yang mana satukah batil?"


PRINSIP 4 - PEMBERSIHAN jiwa, hati dan harta
Berdasarkan ayat ke empat

"Seorang pelajar biasanya jarang sekali ada yang memenuhi nisab untuk dikenakan zakat harta. Tetapi asas zakat adalah penyucian. Zakat Fitrah merujuk kepada penyucian jiwa, zakat harta merujuk kepada penyucian harta, zakat pendapatan merujuk kepada penyucian pendapatan yang diperolehi... Justeru, konsep zakat adalah untuk penyucian.

Apa kaitannya penyucian dengan seorang pelajar?
Kebebasan meluahkan pendapat pada zaman sekarang telah menyebabkan ianya telah disalah-gunakan untuk menjadi seorang yang kadang-kalanya biadap pada ibu-bapanya, guru-gurunya dan masyarakat."

Berapa ramaikah di antara para pelajar yang mengumpat gurunya? Mencela tatacar berpakaian gurunya, menjatuhkan dan menfitnah gurunya untuk menyelamatkan dirinya? Belum lagi umpatan-umpatan yang boleh saya katakan agak berleluasa seperti, cikgu A tidak pandai mengajar, cikgu B bengis dan garang dan sebagainya.

Sebagai seorang pelajarnya, etikanya adalah, apabila tujuan bergurunya adalah untuk menuntut ilmu seharusnya, segala kekurangan gurunya diabaikan kerana yang dihajati oleh pelajar adalah ilmunya. Budaya umpatan oleh para pelajar secara tidak langsung menyebabkan hilangnya berkah ke atas ilmu yang disampaikan. Maka, ini adalah aspek pembersihan yang paling penting untuk para pelajar lakukan.


PRINSIP 5 - PASANGAN dan hubungan di antara berlainan jantina
Ayat ke lima hingga ke tujuh

Islam telah menggariskan dengan jelas bagaimanakah tatacara pergaulan di antara perempuan dengan perempuan, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan lelaki, antara Muslim da juga non Muslim.

Ayat ke-5 menegaskan perihal menjaga kehormatan, bermaksud menjauhi zina, dan sebarang perilaku-perilaku yang tidak sewajarnya di antara lelaki dan perempuan amnya, dan juga di antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. 
Batas-batas aurat dan cara pergaulan terutamanya dengan yang berlawanan jantina haruslah dijaga. 

Sekiranya kita menuruti selain apa yang telah digariskan oleh agama kita dengan alasan up-to-date, atau sudah out-dated, maka kita adalah golongan yang dikatakan sebagai melampai batas. Maka pesanan untuk diri sendiri dan juga untuk semua pembaca, jagalah tingkah-laku, jagalah aurat dan jagalah batas sentuhan. Moga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah swt untuk menjaga kehormatan kita dan sama sekali tidak terpedaya dengan tuntutan nafsu kita dan juga tipu-daya Iblis laknatullah.

Sebagai seorang pelajar kita tidak dapat mengelak dari bertemu dan bergaul dengan pelajar-pelajar lelaki dan juga pelajar-pelajar perempuan. Jagalah diri dan beradablah dlam pergaulan.

PRINSIP 6 - TANGGUNGJAWAB terhadap amanah
Ayat ke 8

Bertanggungjawab dalam menjaga amanah dan janji. Demi sesungguhnya, untuk menjaga amanah dan janji bukanlah satu hal yang mudah. Kegagalan menjaga amanah dan menunaikan janji akan membuatkan kita memiliki 2 dari 4 sifat-sifat munafik. Saya tidak akan terangkan dengan terperinci perihal sifat munafik.

Namun sebagai seorang pelajar, anda membawa amanah anda sebagai seorang pelajar. Apabila anda melangkah keluar dari rumah anda, apakah janji anda kepada ibu-bapa anda, kepada keluarga anda? Pernahkah anda melihat raut wajah ibu-bapa anda? 

Sebagai penuntut ilmu, anda bertanggungjawab untuk menuntut ilmu itu, dan ilmu tidak boleh diperolehi tanpa anda berusaha untuk mempelajarinya. Ilmu itu nur yakni cahaya, ianya tidak akan hadir ke dalam hati insan-insan yang kotor atau dipenuhi prasangka-prasangka negatif. Ilmu juga tidak akan hadir ke dalam hati insan-insan yang tidak ikhlas ingin memilikinya. Ilmu juga tidak akan meresap ke dalam jiwa-jiwa mereka yang tidak sanggup bersusah-payah memiliknya.

Pelajar-pelajar sekarang seringkali menjadikan rakan-rakan sebagai sumber rujukan, dan menjadikan guru-guru sebagai boneka. Isu meniru dan menyalin bulat-bulat tugasan rakan-rakan dan yang paling teruk sewaktu peperiksaan kini menjadi lumrah. Ini adalah satu penipuan. Tidak jujur, tidak melaksanakan amanah dan mengabaikan janjinya.

PRINSIP 7 - SENSITIF dengan persekitaran
Ayat ke 9

Dalam ayat ini menekankan tentang hal menjaga solat. Solat adalah tiang agama. Pembina hubungan secara terus di antara hamba dengan Tuhannya. Allah janjikan mereka yang menjaga solatnya yakni, dengan solat di awal waktu, tidak mengabaikan solatnya, tidak ponteng solatnya, melaksanakan dengan penuh kekhusyukkan, kejayaan. Demi sesungguhnya, menjaga solat ini bagi saya terutamanya untuk sentiasa mengerjakan solat di awal waktu bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, jika kita berusaha, pasti ianya akan menjadi mudah.

Sensitif dengan adab. Bagaimanakah adab sebagai seorang Muslim? bagaimanakah adabnya dengan ibu-bapa? Bagaimanakah adabnya dengan guru-guru? Bagaimanakah adab pergaulan dengan yang berlawanan jantina? Adab kita perlu dikaitkan dengan didikan agama kita. Ajaran Islam memperincikan, adab dengan ibu-bapa, adab dengan guru-guru dan lain-lainnya.

Sebaik-baik solat bagi lelaki adalah solat berjemaah. Dan bagi wanita, jagalah hijab yakni tutuplah aurat anda dan jagalah percakapan anda.

Kesimpulannya:- Allah menegaskan bahawa mereka yang tergolong di dalam golongan yang dinyatakan dalam ayat 1-9, merekalah itulah orang yang berhak mewarisi Syurga Firdaus. Ini membawa maksud mereka yang tergolong dalam golongan ini akan memperolehi kejayaan. Bukan setakat kejayaan di dunia, dan pastinya di akhirat juga. In shaa Allah.

**************************************************************************
Bergambar setelah tamatnya sesi ceramah.

Baris depan dari kanan:- Pn. Sharifah Noor Anita, Cik Norhalidah, Cikgu Sha (Sek Agama Telok Kemang), Pn Rahimah (Ketua JMSK), Tuan Fazrul (Penceramah), PA Tuan Fazrul (maaf tidak diperolehi namanya), En Noorhafiz 
Baris belakang dari kanan:- Pn Noorrohani, Pn Nor Shahimah, dan Cik Ruhana


Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment