Tuesday 24 October 2017

Perkara-perkara Penting Sebelum Melancong

Setelah berbulan-bulan bertungkus-lumus memerah idea dan keringat di lubuk rezeki, percutian adalah sesuatu yang mengujakan. Mahunya tidak, 8 jam sehari berkerja, dari jam 08.00 sehingga jam 17.00, selama 5 hari seminggu sekurang-kurangnya cukup untuk menyebabkan diri terkurung di rumah di hujung minggu.

Melancong adalah satu terapi diri terbaik untuk merawat tekanan rohani dan jasmani setelah sekian lama di medan perjuangan menuai rezeki yang halal. Namun, jangan hancurkan percutian anda dengan hal-hal yang remah-temeh yang sepatutnya anda mampu mengawalnya. Mungkin hal ini merupakan hal yang sangat enteng tetapi akibatnya sangat besar.

Merancang percutian bukanlah sesenang ABC, melainkan anda adalah dari golongan mereka yang mempunyai pendapatan yang wow puluhan ribu, ratusan ribu ataupun jutaan ringgit sebulan. Bagi mereka yang berpendapatan sederhana, percutian merupakan satu hal yang sangat istimewa dan kegagalan menguruskan boleh terjadi satu peristiwa ngeri yang tidak mungkin anda ingin lupakan.

PERANCANGAN

1. TIKET PENERBANGAN

Abaikan jika anda memilih untuk melancong dengan kenderaan sendiri ataupun pengangkutan awam darat lainnya.

Tiket penerbangan kebiasaannya tidak menentu harganya. Kadangkala ianya bergantung kepada rezeki dan kebijaksanaan. Entahlah dalam hal ini saya juga tidak arif. Namun, suka untuk saya katakan sebaik-baiknya, rancang beberapa tarikh untuk anda pergi bercuti kemudian semak harga tiket penerbangan. Saya suka merancang percutian sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum, lantaran untuk mendapatkan harga tiket yang berbaloi.

Berbaloi di sini mungkin bukanlah yang termurah. Ada banyak perkara yang perlu diambil kira, contohnya:- berapakah jumlah berat yang boleh dibawa, ada hidangan yang disediakan atau tidak sewaktu penerbangan, berapakah persinggahan sewaktu penerbangan, dan lain-lain hal yang anda rasakan perlu.

Untuk diri saya perkara yang paling utama adalah "berat yang saya boleh bawa". Rakan-rakan sekalian, kita pergi bercuti bukan setakat membawa beban dan tekanan kerja setelah sekian lama untuk dilupuskan tetapi, kita juga ingin membawa pulang kenangan-kenangan yang baru dicipta serta cenderamata untuk tatapan sendiri dan juga keluarga sekurang-kurangnya.

Tiket penerbangan biasanya akan membuat promosi setiap 3 bulan sekali. Jangan sesekali membandingkan tiket penerbangan murah, contohnya: Air Asia dengan syarikat penerbangan lain yang bukan daripada kategori yang sama. Itu adalah satu perbandingan yang tidak adil.


2. HOTEL

Ada banyak laman sesawang yang menawarkan hotel pada harga yang pelbagai. Saranan saya sebelum membuat tempahan, sila baca ulasan-ulasan dari penginap-penginap sebelumnya. Jangan percaya sepenuhnya pada gambar-gambar yang terpapar. Ingat, itu adalah cara pemasaran. Khuatir, "indah khabar dari rupa."

Yang kedua, jika anda ingin membuat tempahan, sila pilih hotel yang mana jika anda membatalkan tempahan anda tidak akan dikenakan denda atau caj penuh. Manalah tahu, tiba-tiba anda tidak dapat meneruskan percutian anda, dan anda juga tidak akan terbeban ataupun anda mendapat hotel lain yang lebih berbaloi.

Baiklah, selesai sudah perancangan percutian anda. Apa yang ingin buat sekarang? 

Apa lagi tunggulah sehingga tiba saatnya TETAPI ada satu hal yang seringkali dilupakan dan akhirnya menyebabkan anda banyak merungut dan tidak gembira dengan pecutian anda... Apa dia?

6. PERKARA REMEH TETAPI SANGAT PENTING

1. Dengan siapa anda pergi bercuti?

Ianya sangat penting, tidak kisahlah samada kelaurga ataupun rakan-rakan anda. Yang penting ianya memenuhi ciri-ciri ini; "Mereka boleh menerima anda, dan anda juga boleh menerima mereka."

Sebagaimana ramai berkata; "Bercinta berpuluh tahun belum tentu anda mengenali mereka melainkan selepas perkahwinan, selepas tidur sebantal, duduk serumah." 

Begitu juga dengan teman percutian. Di saat ini, segalanya mungkin, ada orang hanya tahu mengarah, ada orang tidak awas dengan pemakaiannya di bilik, ada orang tidak menepati masa, ada orang tidak tahu menghormati orang lain, ada orang yang tahu tawar-menawar tetapi tidak mahu membeli, ada orang sangat mementingkan diri sendiri, pendek kata banyak lagi hal-hal lain, yang mana anda tidak pernah sedari sewaktu anda bersama mereka sekarang.

Teman percutian mungkin menjadikan percutian anda sangat menyeronokkan ataupun sebaliknya.

2. Persiapan kewangan.

Siapkan diri anda dengan jumlah duit secukupnya. Kaji dulu negara yang anda ingin pergi. 

Contoh Pertama; Viet Nam - Negara yang menerima pelbagai matawang dalam urusan.

Tempat tumpuan pelancong adalah Ho Chi Minh City (Sai Gon), di bandar ini mereka menerima pelbagai matawang sehinggakan apabila kita ingin membayar dalam MYR, kita boleh jadi untung atau rugi. Jadi saranan saya, tukar sebahagian peruntukkan perbelanjaan kita dalam VND manakala sedikit dalam USD (hotel mengutamakan pembayaran dalam USD, boleh minta untuk bayar dalam VND tetapi setakat ini mereka tidak pernah menerima dalam MYR), dan selebihnya biarkan saja dalam MYR.

Contoh Kedua; Indonesia - Negara yang mengutamakan matawang sendiri ( @ tidak menerima matawang asing)

Mengikut undang-undang Indonesia adalah satu kesalahan untuk melakukan urusan perniagaan dalam matawang asing. Namun, terdapat segelintir perniaga yang menerima matawang asing tetapi sebenarnya ianya langsung tidak menguntungkan pembeli. Saranan saya tukarkan sepenuhnya duit ke IDR.


Yang terakhir sekali jangan lupa aktifkan kad debit anda untuk pengeluaran di luar negara selama tempoh anda bercuti. Akibatnya, sila kaji dan tanggung sendiri.

3. Pakaian dan cuaca.


Ini satu hal yang penting. Di era dunia tanpa sempadan ini, janganlah takut untuk meredah enjin carian mencari perihal semasa negara yang ingin dikunjungi. Yalah, mudah untuk kita merangka, berapa banyak baju yang ingin dibawa serta kesesuaian. Ya betul, boleh saja membelinya di tempat bercuti, itu hanya saranan, terserah ya...

4. Makanan

Kaji tentang makanan halal di tempat yang ingi dikunjungi, jika ianya mudah didapati, maka ianya satu bonus. Jika sukar, maka siapkan bekalan. Jangan nanti anda kebuluran. 


Jika berkunjung ke negara yang sukar untuk mendapatkan makanan halal, makanan yang berasaskan sayur (vegetarian food) adalah pilihan yang terbaik kerana vegetarian tidak makan makanan yang mengandungi alkohol dan berasaskan haiwan.

Anda juga boleh memilih untuk makanan-makanan laut tetapi berhati-hatilah dengan cara masakannya. Ini kerana, sesetengah masakan makanan laut menggunakan arak sebagai salah satu campurannya. Ada yang memaklumkan saya bahawa arak akan berubah sifat apabila dimasak, namun saya cenderung untuk memilih mengelakkan yang syubhah.

Di Viet Nam, konsep halal mereka kebanyakkannya adalah "bebas babi" justeru anda sebagai seorang yang bijaksana harus lebih kritis dalam pengambilan makanan anda. Melainkan itu adalah sememangnya kedai-kedai Muslim Champ. Jika di Indonesia, saya pernah diberitahu oleh pemandu pelancong saya untuk hanya makan di kedai makan Muslim. Jangan sebarangan ya, meskipun Indonesia memiliki penduduk Islam teramai di dunia namun dalam soal makanan ianya tidak boleh dibuat mudah.

Maklumlah, di Malaysia, makanan halal tidak pernah menjadi isu lantaran terlalu senang diperolehi. Yang menjadi isu adalah kebersihan para penyedia makanan yang mana mungkin tidak memberansangkan.

5. Pengangkutan

Kaji juga tentang pengangkutan awam yang terdapat di sana. Mudah atau tidak, mesra pelancong atau tidak. Sebenarnya banyak keuntungan terutamanya dari sudut kewangan jika anda menguasai sistem pengangkutan awam tempat yang ingin anda kunjungi. Jimat dan sangat menjimatkan.

6. Membeli-belah

Membeli-belah merupakan hal yang wajib bagi setiap orang apatah ini merupakan kali pertama anda berkunjung ke negara berkenaan. Namun berwaspadalah, kerana resmi setiap masyarakat setempat berbeza.

Jika anda sekadar untuk cuci-cuci mata dan membandingkan harga, saranan saya gunakan mata sahaja tidak perlu untuk meminta mereka mengambil barangan itu, kemudian tidak membelinya tanpa sebarang sebab. Lainlah, jika anda gagal mencapai kesepakatan harga.

Yang kedua, jangan sesekali berjanji untuk membeli barangan mereka. Bagi sesetengah tempat seperti di Indonesia (Bandung, Jogyakarta), mereka akan mengejar anda untuk menuntut janji.

Yang ketiga, jika anda telah menawar dan telah mencapai persetujuan harga tawaran anda, jangan pula mengelak untuk membeli. Itu akan menimbulkan rasa tidak puas-hati penjual. Ingat ya, daripada sudut akhlaknya pun ianya amat menjengkelkan.

********************
Baiklah, itu sahaja untuk kali ini. Jika saya masih rajin dan berkeinginan untuk berkongsi pengalaman saya yang tidak seadanya, saya akan kongsikan lagi.

Thursday 12 October 2017

Tanjung Tuan (Laluan Bukit Batu Putih) - 16 Ogos 2017

Setelah sekian lama tidak menjejaki Tanjung Tuan, keinginan itu tiba-tiba berputik dan apabila dilafazkan keinginan itu kepada rakan-rakan sepejabat rupanya kami juga mempunyai hasrat yang sama.

Dengan alasan yang paling kukuh bahawa lemak-lemak telah mulai berkumpul lantaran kurangnya pembakaran lemak setelah Aidil Fitri yang disambut sebulan melabuhkan tirainya. Maka, masing-masing dengan jiwa yang sangat berkobar-kobar bersatu hati untuk memulakan taklukan selesai habis waktu bekerja.


 
Setelah berbulan-bulan tidak mendaki, keyakinan diri sebenarnya sedikit luntur, namun kami telah mencapai kata sepakat bahawa kami akan mendaki secara santai mengikut kemampuan purata kami. Laluan yang dipilih juga tidaklah begitu mencabar, tetapi hasrat untuk mencabar Bukit Batu Putih itu bagaikan satu kemestian terutamanya bagi mereka yang ingin merasai pengalamannya. Apatah bagi kami yang seringkali mendaki Tanjung Tuan.

Sejak beberapa hari, hujan asyik turun membasahi bumi Negeri Sembilan dan juga negeri-negeri sekitarnya. Laluan yang biasanya kering mula dihiasi mata-mata air yang sangat jernih dan mulai berlecak. Agak mencabar bagi pendaki yang mahukan dirinya sentiasa bersih dan tidak mahu dicemari lumpur.

Lantaran kadar kelembapan yang tinggi pelbagai jenis cendawan dan kulat mulai tumbuh di batang-batang reput dan juga di kawasan yang mempunyai kadar humus yang tinggi.


Akhirnya, selesai merentasi denai berlumpur. Kelihatan lautan yang menghijau airnya dengan sinaran matahari yang sederhana teriknya. Cukup selesa untuk merakamkan detik-detik kenangan.



Selepas sesi bergambar kenangan, maka bermulalah sesi menguasai tebing batu tanpa sebarang alatan keselamatan. Jujurnya bagi saya, mendaki Batu Putih memiliki kepuasan sendiri dan lebih saya sukai berbanding melalui "monkey bay" kerana penggunaan anggota badan yang berbeza.

Mendaki batu menyebabkan agihan tenaga digunakan oleh semua kaki dan tangan seperti mana labah-labah memanjat tebing sedangkan di "monkey bay" kekuatan kaki lebih banyak digunakan. Justeru jerihnya juga berbeza.


Buat pertama kalinya selepas 3 kali mendaki batu putih, saya disapa oleh ular comel ini (Striped Kukri Snake) atau dalam bahasa Indonesia dikenali sebagai ular birang. Dikatakan tidak berbisa, namun bagi insan yang dangkal ilmunya tentang ular, semua ular saya anggap berbisa. Tetapi kerisauan itu harus saya pahatkan rapi dalam diri saya supaya rakan-rakan sependakian tidak terjejas perasaanya.

Apatah di saat itu kami berada di tengah-tengah tebing, di mana jika ingin turun ke bawah lebih mencabar daripada teruskan mendaki. Tiba di tengah-tengah itu membuatkan saya keliru yang mana satu arah yang harus dituju. Kali pertama mendaki, saya mengikuti rakan ke laluan sebelah kanan, kali kedua mendaki, saya mengikut laluan sebelah kiri. 

Sukar untuk menjejak laluan bagi mereka yang tidak biasa lantaran banyakkan rumpun-rumpun pokok kemunting yang menutupi pandangan. Akhirnya kali ketiga pendakian, saya dimaklumkan bahawa kedua-dua laluan kiri dan kanan boleh dilalui dengan sebelah kanan sedikit mencabar.

Baiklah, disebabkan saya telah bertemu ular di sebelah kiri, maka saya membuat keputusan untuk memilih laluan di sebelah kanan.

Akhirnya, setelah bersusah payah, berkeringat jantan dan betina semuanya telah keluar maka puncak batu pun ditawan. Di saat itu masing-masing memilih untuk membisu kerana kepenatan, melayan degupan jantung sehingga kembali seimbang, melayan helaan nafas sehingga kembali ritma asal.


 Pokok Mengkudu.


Pokok Mas Cotek.

Koleksi pemandangan untuk tatapan anda semua. Meskipun seringkali berkunjung dan mendaki di sini, setiap hari pemandangan yang dilihat adalah sesuatu yang berbeza betapa besarnya kekuasaan Allah swt yang ditunjukkan ke atas diri kita untuk mengisafi betapa kerdilnya diri kita.