Tuesday 16 May 2017

Raptor Watch 2017 Tanjung Tuan (Trekking Perhilitan - Pulau Masjid - Pulau Intan - Rumah Api) - 11 Mac 2017

RAPTOR WATCH 2017
11 MAC 2017
9.00 pagi - 1.00 tengahari.
TANJUNG TUAN, MELAKA.

ACARA :-
1. MEREDAH DAN MEMBERSIHKAN SAMPAH-SARAP DI HUTAN
2. PAMERAN DAN JUALAN MELIBATKAN RAPTOR DAN HIDUPAN LIAR LAIN

3. MELIHAT RAPTOR.

***********************************************
Umum mengetahui bahawa Tanjung Tuan merupakan tempat persinggahan bagi burung-burung yang berhijrah meninggalkan habitat asal mereka di Kutub Utara menuju ke kawasan yang lebih panas. Pelbagai jenis burung boleh dilihat jika keadaan mengizinkan. Yang penting, pastikan anda membawa peralatan yang sesuai.

Kami mewakili Politeknik Port Dickson dengan usaha daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, berkumpul di Jabatan PERHILITAN Tanjung Tuan. Kekuatan kami dibahagikan kepada 4 pasukan utama dengan penyertaan pasukan PENGAKAP Negeri Melaka. Antara laluannya adalah:-

1. PERHILITAN - PULAU MASJID - PULAU INTAN - RUMAH API
2. PERHILITAN - PULAU MASJID - PERIGI BELANDA - RUMAH API
3. PERHILITAN - MONKEY BAY - RUMAH API
4. PERHILITAN - BUKIT BATU PUTIH - RUMAH API

Saya memilih laluan 1 iaitu PERHILITAN - PULAU MASJID - PULAU INTAN - RUMAH API; lantaran teruja dan ingin tahu bagaimanakah rupanya PULAU INTAN itu.


******************************
PEJABAT PERHILITAN TANJUNG TUAN, MELAKA.

Sesi berkumpul dan mendengar taklimat yang disampaikan oleh pihak pengajur. Setiap pasukan diberikan beberapa plastik sampah pelbagai warna dan guni untuk mengisi sampah-sarap yang dijumpai dan mengasingkannya mengikut jenis.

Melaka mengamalkan pengasingan sampah sejak 1 September 2016. Denda boleh dikenakan lantaran keingkaran.


Bergambar dulu dengan banner sebelum perjelajahan bermula.

Inikan satu trend masa kini.
Tengah mencari model-model sambilan ini. Ada sesiapa yang kenal? Bukan yang berbaju merah itu. Mereka memang saya kenali dan sering berhubungan.

Tetapi barisan para pelajar lelaki itu. Beria-ia minta diambil gambarnya tetapi selepas itu tidak lagi dapat dikesan. Aduhai...

Macam mana nak serahkan gambar ini pun, saya tidak tahu. Alahai...

************************************************
PEJABAT PERHILITAN KE PULAU MASJID

Kami memulakan pergerakan kami melalui pintu pagar kecil Jabatan PERHILITAN. Terima kasih kepada Encik Hafiz kerana sudi membukakan pintu pagar itu untuk kami.

Sebelum ini saya pernah menceritakan perihal Pulau Masjid.

Sila rujuk; http://mylovelypic2u.blogspot.my/2017/04/pembersihan-pantai-dan-trekking-jabatan.html

Rasanya kali ini saya ditakdirkan untuk menikmati sesuatu yang berbeza. Meskipun, saya sudah melalui laluan ini beberapa kali tetapi kali ini, air pasang belum surut sepenuhnya. Seringkali sebelum ini, setiap kali saya merentasi kawasan ini, air telah surut atau menanti untuk pasang lantaran ianya merupakan acara sampingan di acara utama iaitu menanam anak-anak bakau demi pemuliharaan ekosistem alam paya bakau.

Daripada koleksi gambar saya kali ini, anda semua boleh menentukan betapa cantiknya flora dan fauna yang terdapat di pantai berlumpur ini. Lumpur-lumpur yang pada pengalaman saya yang lepas adakalanya baunya sangat tidak menyenangkan. Namun jika difikir balik adakah bauan lumpur yang menyenangkan deria bau kita?

Ngee.....


Di celahan akar-akar bakau yang berselirat.

Untuk satu pemandangan yang berbeza.
Air laut yang belum surut sepenuhnya. Jelas kelihatan ritma arus air yang sedikit keras.

Cuaca hari ini juga sangat baik. Justeru tidak perlu risau akan hujan yang tiba-tiba menyirami kami.

Namun "cuaca yang baik" ini juga sangat subjektif. Ada yang beranggapan bahawa cuaca yang sedikit redup itu lebih baik berbanding panas terik yang mencengkam  kepala. 

Antara koleksi flora di Tanjung Tuan.
Pulau Masjid.
Siput-siput laut yang masih gembira menikmati kelembapan air pasang.
Pulau Masjid yang terputus jejaknya dari Tanjung Tuan lantaran air yang masih tinggi.
Air-air yang masih bertakung di lubang-lubang yang terdapat di batu-batu dan juga laluan perjelajahan.




Gambar ini sama saja dengan gambar yang di atas, bezanya adalah sudut di mana gambar itu diambil.
Tak kenal adalah satu kerugian, dan saya sedang mengalami kerugian itu. 

Rugi kerana tidak mengenali flora dan fauna tempatan.
Terlalu banyak pokok yang tumbang di laluan kami. Sedikit sebanyak ianya amat mengganggu dan menimbulkan sedikit kesulitan untuk melangkah.

Jika perkongsian saya sebelum ini menceritakan tentang pokok-pokok banyak yang mati lantaran kebakaran yang melanda pada Mac 2016, kali ini pokok-pokok berkenaan banyak yang tumbang. 

Pemandangan yang diperolehi juga berbeza. Ranting-ranting mati berseranggah di sana-sini dan jika ada yang sesuai saya jadikan sebagai salah satu objek untuk gambar saya. Hakikatnya, jika terlalu banyak ranting-ranting dan dahan-dahan yang menghalang laluan, banyak keindahan alam ini tidak dapa dinikmati dengan sewajarnya. Tetapi apa nak buat, itulah lumrah alam.

Apabila air masih tinggi, bau-bau lumpur itu sedikit berkurangan. Di sini di antara kawasan pantai berlumpur yang sangat kuat bau lumpurnya.

Tidak hairanlah, pantai di sini bukan satu tarikan utama untuk mandi-manda. Dan hal keduanya, apabila kedudukannya menghala ke arah Kuala Linggi, Melaka, ramai yang khuatir tentang buaya-buaya tembaga yang tersasar dari habitat mereka.

Sebelum ini juga pernah kedengaran perihal kaki pengunjung pantai yang bermain air digigit binatang yang tidak dapat dikenali di kawasan pantai sebelah ini. Kesahihan tidak dapat disahkan namun satu hal yang pasti adalah tidak ada sesiapa yang mahu mandi di pantai yang berlumpur.


Saya percaya, nun di hujung tanjung (berdasarkan gambar ini) adalah Pulau Intan yang dimaksudkan. Namun sebelum menghabiskan jelajah ini, saya langsung tidak mengetahui dan saya membayangkan bahawa Pulau Intan adalah seperti Pulau Masjid yakni sebuah pulau yang terasing dari Tanjung Tuan.

Terpedaya juga akhirnya.
PULAU MASJID - PERIGI HANG TUAH

Lantaran paras air yang masih tinggi, kami terpaksa mengubah laluan daripada persisir air ke denai daratan menuju ke Perigi Hang Tuah.

Kebiasaannya, saya hanya meneruskan perjalanan di persisir pantai untuk ke perigi itu. Kali ini, tidak ada seorang pun di antara kami yang sanggup kebasahan. Yalah, siapa yang sudi berjalan dengan kasut dan stokinnya basah?

Lagi pula, hanya penunjuk arah sahaja yang tahu berapakah jarak yang bakal kami tempuhi dan tidak seorang di antara kami, pengikutnya yang tahu.

Pertama kali melalui denai ini, saya melihat ada tapak-tapak bangunan yang tersembunyi di dalam rimbunan pokok dan juga semak-samun.
Mengkuang laut atau juga dikenali pandan laut yang tumbuh subur di sini. 

Berdasarkan bacaan saya satu masa dulu, pandan laut ini juga berfungsi seperti mengkuang darat (paya) yang biasa, bezanya adalah daripada sudut ketahanan di mana mengkuang darat lebih tahan lama.
Anda dapat lihat tapak bangunan di bawah rimbunan pokok ini?
Kelihatan seperti kawasan ini satu masa dahulu pernah digunakan dan pernah dijaga dengan baik.
Bekas tapak perkhemahan.
Kawasan persekitaran Perigi Hang Tuah.
Perigi Hang Tuah.


PERIGI HANG TUAH - PULAU INTAN

Khabarnya terdapat dua tempat bertapa utama di Tanjung Tuan yakni berhampiran Perigi Hang Tuah dan juga di Pulau Intan.

Ada pula yang memberitahu saya bahawa pemandangan di Pulau Intan sangat cantik. Itu yang menyuntik semangat saya untuk melihat sendiri dengan mata kepala saya hakikat sebenar Pulau Intan dan juga melihat kebenaran dimanakah terletaknya tempat-tempat pertapaan itu.


Dari Perigi Hang Tuah, kami melalui satu laluan bertangga yang mencanak naik. Jika laluan sebelum itu merupakan laluan yang mendatar, kini segalanya berbeza.

Anak-anak tangga di samping permukaan muka bumi yang tidak sekata mencabar kami yang sebelumnya bersantaian berjalan menikmati ciptaan Tuhan Yang Maha Esa.
Melepasi laluan mencanak naik, ramai di antara para pelajar memilih untuk berehat. Tetapi silapnya mereka adalah:-

1. Terus duduk mencangkung seperti itu. 

2. Berhenti terlalu lama. Lebih daripada 10 minit.

Dalam perdakian, dua hal ini sangat penting kerana ia akan menjejaskan stamina dan menyebabkan diri menjadi sangat malas untuk meneruskan kembara.

Kebiasaannya saya hanya berhenti untuk mengurangkan tekanan pada jantung, menyeimbangkan pernafasan saya dan melepaskan lelah. Paling lama hanyalah 5 minit dan saya tidak boleh berhenti lebih daripada waktu itu kerana stamina saya akan terjejas.


Enggan menunggu lebih lama, saya memutuskan untuk bergerak ke Pulau Intan. Bagi yang ingin turut serta mereka boleh ikut, jika mereka enggan, itu juga tidak menjadi isu sebab, untuk ke rumah api Tanjung Tuan, kami akan berpatah semula ke sini sebelum meneruskan perjalanan ke rumah api.
Setelah kata sepakat dicapai dan masing-masing telah membuat keputusan kami pun berpisah menjadi 2 kumpulan utama.

Menuju ke Pulau Intan, kami melalui laluan yang adakalanya menurun dan menaik bersilih-ganti. Adakalanya lelah kembali menyapa.

PULAU INTAN

Di sebalik tebing ini dikatakan terdapat sebuah gua yang menjadi tempat pertapaan. Benar atau tidak, saya tidak pula pergi untuk mengesahkannya dengan melewati ke bawah sana. 

Lagi pula, tindakan itu bakal menyebabkan saya terpisah daripada kumpulan saya sedangkan saya juga tidak arif akan kawasan ini memandangkan ke Pulau Intan ini merupakan perjelajahan saya buat pertama kalinya.

Pernah juga saya mendapat perkhabaran lisan bahawa ada pelajar Politeknik telah ditegur dan diberikan pesan agar menyampaikan pada pengunjung-pengunjung supaya tidak melalui trek di depan gua pertapaan mereka. Lantaran, mereka berasa terganggu.




Sepakat membawa berkat. Kerana muafakat inilah yang menyebabkan kami bertiga berada di sini untuk perjelajahan ini.
Laluan kian menurun, namun ianya tetap sukar memandangkan laluan kami dilitupi oleh daun-daun kering yang mana jika kami tidak menjaga langkah kami, kami dengan mudahnya akan menggelongsor jatuh.

Maka amat penting untuk berhati-hati sepanjang masa terutamanya dalam menetapkan tapak kaki anda.
MONKEY BAY - ada yang memberitahu saya bahawa anjung dun du hujung sana adalah monkey bay.

Saya seringkali mendengar monkey bay daripada kawan-kawan mendaki saya tetapi saya tidak pernah tahu di manakah monkey bay. Dan saat ini, ianya telah terjawab.

Monkey bay dapat dilihat dengan jelas dari Pulau Intan.

Namun ada juga yang menyatakan bahawa Monkey Bay adalah laluan bersebelahan Bukit Batu Putih di mana ianya menjadi laluan pilihan bagi mereka yang tidak mahu memanjat tebing batu putih itu. 

******************************************************

Oh, saya terlupa beritahu bahawa saya telah tiba di Pulau Intan. Berkecamuk perasaan saya, suka dan duka, hampa dan kecewa, langsung tidak teruja lantaran ianya tidak seperti yang saya gambarkan.


Jangan diganggu mereka, katanya ini adalah kali pertama dan terakhir terjebak dalam aktiviti perdakian.

Saya tidak dapat ulas apa-apalah. hehehehe
Penat menelusuri Pulau Intan untuk mencari sudut yang cantik bagi lensa kamera saya. Tebingnya tinggi dipenuhi pokok-pokok renek dan menganjur ke lautan. 

Di bawahnya pula pantai berbatu dengan air yang jernih kehijauan. Kelihatan beberapa orang sedang memancing ikan. 

Harapan saya agar kemunculan kami tidak mengganggu mereka.
Ada di antara kami yang berehat seketika dan ada di antaranya melakukan aktiviti membersihkan hutan daripada sampah-sarap seperti yang sepatutnya.

Saya pula dengan lensa kamera sayalah. Bergelut dengan muka bumi untuk mencari lokasi yang sesuai dan tidak berbahaya untuk mengambil gambar.
Kelihatannya seperti pokok kemboja akan daunnya. Hakikatnya, entahlah..
Akhirnya saya turun ke pantai berbatu Pulau Intan. Ini di antara hasil yang dapat saya kongsikan dengan anda.

Memang sangat cantik tetapi juga sangat sunyi. Elakkan berkunjung bersendirian atau dalam kumpulan yang sangat kecil. 
Sebahagian pantai Pulau Intan.
Sudut lain dari tanjung Pulau Intan.
Masih lagi di Pulau Intan. Lihatlah betapa khusyuknya mereka memancing.

Daripada dialet yang saya dengari, besar kemungkinan mereka berasal dari Indonesia.
Bot pisang.


Akhirnya kami meninggalkan Pulau Intan menuju ke rumah api. 

Matahari jua kian menegak dan kami juga kian kelaparan. Silap kami juga tidak membawakan sebarang kudapan untuk menggantikan tenaga yang hilang.

Terlebih yakin bahawa segala-galanya dalam kawalan dan kononnya kami mampu untuk mengharunginya tanpa bekalan makanan, dan akibatnya, kami bergantung sepenuhnya pada bekalan air mineral yang dibawa. Salah diri-sendiri.


Rimbunan paku resam.
Bersatu kembali dengan pasukan yang memutuskan untuk berehat tadi.


PULAU INTAN - RUMAH API TANJUNG TUAN

Laluan ini tidaklah begitu mencabar sebagai mana laluan dari Perigi Hang Tuah ke Pulau Intan. Laluan di sini jauh lebih santai tanpa menggunakan tenaga yang berlebihan.

Ini adalah tandan daripada sejenis pokok rotan (enau) yang berada di denai kami.




Laut lepas Selat Melaka.
Jika memasuki laluan berpagar ini, ini merupakan isyarat bahawa rumah api sudah dekat.

Syukurnya.

Di sepanjang perjalanan beberapa kali saya terserempak dengan peminat-peminat raptor, ada yang hanya berminat untuk melihat dengan binokular (teropong), ada pula yang lebih suka merakamkannya di memori kamera.

Apa pun juga kaedahnya, yang penting, setiap orang seronok dan gembira dengan pencapaiannya.


RUMAH API TANJUNG TUAN

Ternyata kawasan persekitaran rumah api jauh lebih meriah dengan kecanggihan teknologi untuk meneropong dan merakam burung-burung yang berterbangan nun di angkasa luas berlatar belakangkan langit yang biru dan cerah. 

Belum diambil kira lagi mereka yang sedang rancak dengan gerai-gerai jualan, gerai-gerai pameran.

Rumah api Tanjung Tuan juga dibuka pagarnya untuk pengunjung melihat bagunan ini lebih dekat sekaligus menjadikan ruang untuk "Raptor Watch" jauh lebih luas. Tetapi tetap juga, tidak ada seorang pun yang dibenarkan untuk memasuki bangunan rumah api tertua di Malaysia ini.


Ini sahaja yang dapat saya belanjakan untuk anda. Kamera saya tidak canggih.

Namun untuk orang seperti saya, ianya memadai walaupun untuk berpuas-hati jauh sekali.

Better than nothing.


Rumah api Tanjung Tuan masih lagi berperanan sehingga hari ini untuk kapal-kapal yang melalui Selat Melaka.
Pengunjung yang tidak pernah berkurangan. Setiap orang encari sudut terbaik masing-masing dan saya bukanlah orang yang sepatutnya berada di sini.

Pengunjung pada hari tidak terhad kepada penduduk tempatan namun melangkaui sempadan negeri bahkan mungkin negara dengan pengunjung warga Singapura yang turut tidak melepaskan peluang.

Pelbagai etnik, kaum dan agama berkumpul meraikan kecintaan mereka pada keghairahan yang satu yakni "cinta pada unggas (segala jenis burung)".

Baiklah...

Selamat tinggal Tanjung Tuan (rumah api). 

Kami menuruni puncak Tanjung Tuan untuk kembali ke Pejabat PERHILITAN lantaran kami memulakan perjalanan kami di sana.

Di sepanjang jalan berturap menuruni puncak Tanjung Tuan, pelbagai gerai jualan dan pameran dijumpai. Ada yang berkisar tentang raptor sahaja, dan ada juga yang berkisar tentang hidupan liar yang kian diancam kepupusan, ada juga yang berkisar tentang tumbuh-tumbuhan dan macam-macam lagi.

Kami tidaklah singgah di setiap khemah-khemah dan gera-gerai yang ada. Lagi pula, memang saya sudah tidak sabar untuk segera pulang. Sepantas mungkin saya dan kawan-kawan saya berjalan untuk segera kembali ke tempat berkumpul kami.


Dan akhirnya, kami berjaya. 

Program Raptor Watch merupakan aktiviti tahunan yang kebiasaannya dijalankan pada bulan Mac. 

Anjuran pihak luar (merujuk kepada institusi NGO yang menaunginya dan bukannya Politeknik Port Dickson), aktiviti ini sepatutnya berjalan dari jam 9.00 pagi sehingga jam 4.30 petang. Namun bagi kami wakil dari Politeknik Port Dickson, ianya hanya sehingga jam 2.00 petang.

Dan kami pun bersurai.....