Wednesday 31 December 2014

War Remnants Museum, Ho Chi Minh City - 14 Feb 2014

War Remnants Museum merupakan muzium yang menyimpan sejarah peperangan Vietnam yang dikenali sebagai Vietnam War. Muzium dibuka pada 4 september 1975 dan dikenali Exhibition House for US and Puppet Crimes. Pada 1990, nama tersebut ditukar kepada Exhibition House for Crimes of War and Aggression mengguggurkan perkataan US dan Puppet, dan akhirnya pada 1995, nama muzium ini ditukar kepada War Remnants Museum sehingga sekarang.

Muzium ini mempamerkan pelbagai gambar-gambar yang memaparkan jenayah-jenayah perperangan yang dilakukan oleh Perancis dan Amerika, kesan-kesan penggunaan Agent Orange ke atas penduduk tempatan dan semburan bahan-bahan kimia bertoksik lain yang sangat membahaya kepada tumbuh-tumbuhan, haiwan dan  manusia seperti penggunaan bom fosforus dan napalm.

Di dalam kawasan muzium terletak satu bangunan yang dikenali sebagai Tiger Cages yang menyimpan sejarah kekejaman yang dilakukan oleh Perancis dan juga South Vietnamese lakukan terhadap tahanan-tahanan mereka.

**************************************

Sekembali kami dari Cu Chi Tunnel, kami singgah untuk menjamu selera, perut pun dah tersangat lapar, di restoran Nyonya. Masih lagi hidangan Melayu. Terasa sedikit kecewa sebab belum berpeluang untuk menikmati juadah tempatan.

Selesai menikmati juadah, kami terus bergerak menuju ke War Remnants Museum. Bas yang membawa kami parking di bahu jalan sementara kami melawati setiap sudut bangunan yang menempatkan seribu satu potret luka bergambar ini.


Di luar muzim kelihatan kenderaan-kenderaan tentera menghiasi. Pesawat pejuang sehinggalah kereta kebal.



Berbeza aura yang terhasil di antara luar dan dalam bangunan. Jika sebelum memasuki bangunan, jiwa masih santai, namun setelah memasukinya, kesedihan, ketidakupayaan menerjah..... Kezaliman sangat dirasai.

Potret-potret di bawah yang bercerita.


Peluru yang digunakan sewaktu peperangan.


Kemusnahan yang berlaku.


Senjata-senjata yang digunakan.



Arca ini mewakili satu perasaan yang tidak dapat ditafsir. Simbolik dengan nama yang diberikan, "Ibu".

Arca ini diberi nama Mother.
"Dalam peperangan Vietnam, US tidak hanya menggunakan bom dan senjata moden, tetapi juga menggunakan senjata kimia untuk menghapuskan semua sumber semulajadi dan menghalang perarakan Liberation Army of South Vietnam (Tentera Pembebasan Vietnam Selatan). Dalam tempoh 10 tahun mulai 1961 - 1971, hujan beracun dibuat secara berterusan di Tengah dan Selatan Vietnam, menyebabkan gunung-ganang, dataran dan tanaman menjadi gondol, memusnahkan sumber air bersih dan merosakan keseimbangan ekologi.
Berdasarkan data Jabatan Pertahanan US, dari 1961 - 1971, Unit Udara US telah menyembur 72 juta liter pelbagai bahan kimia beracun di Vietnam, termasuk 44 juta liter Agen Oren yang mengandungi 170kg dioxin. Mengikut kajian oleh saintis Universiti Columbia (New York) yang dicetak dalam majalah Nature, jumlah keseluruhan kimia beracun yang disembur oleh US di seluruh Vietnam berjumlah lebih 100 juta liter. Berdasarkan kajian itu, 3851 orang menderita akibat terdedah secara terus terhadap kimia yang disembur dan bahan kimia itu sendiri secara tidak langsung telah menyebabkan kesan buruk kepada lebih kurang 2.1 - 4.8 juta warga Vietnam."


Seandainya saya faham sajak di bawah.


Tidak sanggup untuk berada lama di dalam ruang pameran ini.  Perasaan menjadi sangat tidak stabil. Lagi pula masa sangat suntuk.


Nurseri yang sangat ceria berwarna-warni.


Saya melangkan keluar dari bangunan. 


Pintu masuk ke ruangan yang dinamakan Tiger Cages.

Tiger Case merupakan satu kawasan yang menempatkan bentuk-bentuk penyeksaan yang dikenakan kepada penentang atau ahli Viet Cong tanpa mengira jantina. Kezaliman yang tidak terbayang dan apabila difikirkan tidak mungkin seorang yang waras sanggup melakukan itu dan tidaklah mungkin badan kita mampu untuk menerima seksaan itu.


Replika kuburan

Peralatan yang digunakan untuk memotong kepala.


Bilik tahanan.






Sebuah bilik tahanan menempatkan terlalu ramai tahanan sehingga menyebabkan masalah pengudaraan. Disebabkan ketidakselesaan, tahanan akan berasak-asak ke muka pintu untuk menikmati udara segar dan untuk lebih selesa.

Tetapi nama pun bilik tahanan, ketahanan mental dan fizikal sangat-sangat diuji.


Untuk lebih mengetahui bagaimanakah seksaan yang dialami oleh tahanan-tahanan ini, saya cadangkan anda untuk sendiri berkunjung dan membaca sendiri catatan-catatan yang digantung di sini. Jujurnya, walaupun hanya sekadar membaca, seksaan dan bentuk penyeksaan yang dilakukan ke atas tahanan di sini sangat-sangat zalim sehinggakan saya tidak mampu untuk merakamnya ke lensa kamera saya.




Sumber rujukan :
1. http://warremnantsmuseum.com/
2. http://en.wikipedia.org/wiki/War_Remnants_Museum
3. http://www.lonelyplanet.com/vietnam/ho-chi-minh-city/sights/museums-galleries/war-remnants-museum
4. https://www.youtube.com/watch?v=QOfmvm0b7Lo
5. https://www.youtube.com/watch?v=Uckg7OkWfmg

Untuk sesiapa yang ingin melihat koleksi-koleksi yang tersimpan di War Remnants Museum, link yang ke-5, saya cadangkan. Videonya agak lama iaitu 26.11 minit tetapi sangat-sangat sesuai untuk mereka yang tidak pernah berkunjung ke muzium berkenaan.

Bahkan saya yang telah berkunjung tidak sempat untuk melawat keseluruhan kawasan kerana terlalu 'teliti' sehingga menjadi orang terakhir untuk keluar dari muzium, (dicari oleh tour guide dan juga tour leader.)

Ini saja perkongsian kali ini. Sehingga berjumpa lagi.



Friday 26 December 2014

Cu Chi Tunnel - 14 Feb 2014

Selamat Sejahtera....

Selepas 10 bulan, barulah sedikit berpeluang untuk berkongsi hasil dari lensa kamera saya perihal lawatan saya ke Cu Chi Tunnel. Tempat yang menyimpan berjuta-juta kisah suka dan duka, perit dan maung, perjuangan warga tempatan untuk mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.


Sejarah Cu Chi Tunnel, sila klik : 

1.  http://en.wikipedia.org/wiki/C%E1%BB%A7_Chi_tunnels

2. http://www.history.com/topics/vietnam-war/cu-chi-tunnels

3. https://www.youtube.com/watch?v=FJlfqiPkaGo

Saya tidak akan menghuraikan dengan terperinci tentang perihal sejarah atau apa jua yang berkaitan dengannya kerana saya telah memberikan link-link yang ada boleh kunjungi untuk memperolehi maklumat tentang tempat bersejarah ini.

********************************************************
Lawatan ke Terowong bawah tanah Cu Chi termasuk dalam rangka lawatan kami pada hari ke-dua kunjungan kami ke Saigon. Biasalah, apabila lawatan dilakukan oleh syarikat perlancongan, tempat-tempat bersejarah memang termasuk antara tempat yang wajib dikunjungi.

Kami bertolak dari HCMC lebih kurang 8.30 pagi waktu tempatan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam menghala ke sempadan Cambodia.
  


Cantik tak bunga kuning di atas? Bunga ini merupakan bunga yang sangat penting untuk sambutan tahun baru Vietnam, atau lebih dikenali sebagai TET. Biasanya sambutan tahun baru TET adalah sama dengan sambutan Tahun Baru Cina, bezanya, mereka akan bercuti lebih awal untuk sambutan tersebut. Jika tidak silap, Cuti Am untuk Tet New Year adalah lapan hari.


Selesai urusan pembelian tiket, kami menuju ke tapak sejarah Cu Chi.  laluan pejalan kaki di bawah akan membawa kami merentasi jalan raya ke kawasan tanah di sebelah. Di sini juga tiket kami akan diperiksa.


Tiba di kawasan sejarah Cu Chi, kelihatan banyak bumbung-bumbung rembia. Awalnya tercenggang juga kerana tidak jelas fungsi sebenar atap tersebut.

Bangunan beratap rembia itu rupanya menempatkan ruangan-ruangan untuk penerangan tentang perjuangan warga Vietnam menentang kekejaman Amerika Syarikat. Maaf kerana tidak memuat naik gambar di ruangan tersebut kerana adanya wajah-wajah kawan saya yang tidak sukakan glamor.

Namun yang boleh saya terangkan, ruangan yang ditempatkan itu terdiri daripada bangku-bangku panjang yang di susun menghadap ke depan, untuk mendengar syarahan, manakala di tepi-tepi ruangan terdapat beberapa lubang menggambarkan bagaimana rupa pintu masuk ke terowong bawah tanah di Cu Chi.

Ruangan yang dibina ke dalam tanah mampu memuatkan lebih daripada 20 orang, dengan ilustrasi lengkap terowong bawah tanah dipaparkan di hadapan. Ilustrasi itu memaparkan dengan jelas bagaimana terowong dengan 3 kedalaman berserta dengan fungsinya dan bagaimana mereka mengasimilasikan diri mereka dengan keadaan yang sangat tertekan disebabkan oleh tentangan hebat tentera Amerika Syarikat dan faktor alam itu sendiri seperti binatang berbisa, faktor bekalan air dan juga keperluan udara untuk pernafasan.


Setelah mendengar penjelasan yang agak panjang lebar mengenai kekentalan perjuangan menentang kerakusan, kemodenan teknologi oleh tentera Amerika Syarikat yang tidak ada peri kemanusiaan oleh Encik Dominic, pemandu pelancong kami, hati ini dihambat rasa sedih dan simpati yang amat mendalam.

Pada masa yang sama, saya juga berasa sangat kagum dengan teknik pertahanan mereka yang mana:-
1. Sangat mesra alam
2. Sangat beretika, lebih kepada mempertahankan diri dan negara, tidak menzalimi; dan
3. Pernyatuan teguh antara lelaki dan wanita dalam perjuangan

Usai penerangan oleh Encik Dominic, kami menelusuri kawasan ini untuk merasai dan melihat sendiri kesan-kesan tinggalan perjuangan perjuang mereka.


Pondok-pondok kecil ini dibina untuk melindungi  pintu-pintu masuk atau laluan-laluan asap terowong bawah tanah.
  

Dikatakan lubang ini adalah untuk membuat serangan hendap. Rekaannya mesti sangat memudahkan untuk perjuang meloloskan diri selepas serangan tanpa dapat dikesan oleh musuh. Lubang ini bersambung dengan terowong bawah tanah.


Lubang ini pula digunakan untuk menakung air hujan bagi kegunaan di dalam tanah.



Replika perjuang-perjuang Viet Cong. Selipar mereka diperbuat daripada kepingan tayar. Sangat murah dan pastinya sangat selamat kerana tayar yang digunakan sangat tebal dan keras. Rekaannya sangat ringkas, hanya seperti rekaan capal tetapi sangat selesa.


Kereta kebal Amerika Syarikat yang berjaya dimusnahkan oleh perjuang Viet Cong dan diletakkan di kawasan sebagai satu simbol kemenangan. Peperangan di antara senjata canggih dan tradisional. 

Walaupun hanya kereta ini yang dimusnahkan tetapi ianya sangat bererti. Perjuangan menentang teknologi canggih dengan hanya menggunakan kemahiran akal yang kritis serta jauh daripada teknologi moden. Untuk menumpaskan kereta kebal bukan sesuatu yang mudah. Justeru, wajar untuk ianya dijadikan satu kebanggaan.

Di bawah adalah senjata-senjata dan perangkap-perangkap yang digunakan oleh perjuang Viet Cong untuk mempertahankan keselamatan mereka dan negara mereka.


Demonstrasi bagaimanakah perangkap itu berfungsi oleh penjaga-penjaga di situ.




Replika yang menunjukkan bagaimana bom-bom yang digugurkan oleh Amerika Syarikat dipotong dan dimanfaatkan oleh perjuang Viet Cong.



Kedai cenderamata yang terletak di tengah-tengah kawasan Cu Chi Tunnel. Di sini juga disediakan lapangan menembak untuk pelawat-pelawat merasakan sendiri bagaimanakah rasanya menggunakan senjata-senjata yang ada di situ dengan bayaran yang sangat-sangat berpatutan.

Saya tidak mencubanya kerana saya tidak sukakan bunyi bising yang bingit, bagai gugur tangkai jantung.


Pintu masuk ke terowong bawah tanah. Lorong bawah tanah ini telah dibesarkan untuk membolehkan pelawat-pelawat dari seluruh dunia dapat merasakan dan masuk ke dalam terowong ini. Asalnya, terowong ini lebih kecil, memadai untuk saiz-saiz perjuang Viet Cong itu sendiri.

Atas faktor saiz inilah tentera Amerika tidak pernaha berjaya untuk meloloskan diri ke dalam terowong bawah tanah.

Bagi mereka yang ingin mencuba, ya pastinya, anda dialu-alukan. Saya mencubanya sehingga fasa ke-tiga yakni yang paling dalam. Terowong ini ada tiga level, level ketiga adalah yang paling dalam ke dalam tanah. Bagi mereka yang tidak mampu untuk bertahan, anda boleh memilih untuk keluar lebih awal. Jaraknya jika tidak silap sekitar 30 meter secara keseluruhan.

Hasil daripada memasuki terowong, paha saya sakit yang amat sangat mungkin sebab lenguh kerana di dalam terowong tersebut, pelawat hanya boleh merangkak atau jika bernasib baik boleh berjalan itik untuk bergerak lebih pantas. Apa-apa pun, ia merupakan satu kenangan yang sangat bernilai. 

****************************************************

Selesai cerita di medan tempur, kami dibawa untuk merasai hidangan zaman perperangan Vietnam.


Ubi kayu rebus dicicah dengan campuran gula. Saya lupa apakah campuran dalam gula itu. Tapi jangan risau, ianya ramuan yang biasa-biasa saja. Diminum bersama-sama teh Vietnam. Dikatakan ini adalah menu utama para perjuang Viet Cong sewaktu peperangan.


Lagi sekali kami singgah ke kedai cederamata yang lain. Kelihatan pelbagai koleksi gambar digantung untuk jualan. Koleksi lukisan yang menggambarkan kehidupan masyarakat setempat.

Pendapat peribadi saya, ianya sangat cantik dan indah. Teringin untukmenjadikannya sebagai koleksi saya tetapi harus difikir secara mendalam.


Di bawah pula adalah koleksi patung-patung seramik. Juga sangat cantik.


Bunga-bunga yang cantik berwarna-warni itu diperbuat daripada  kristal atau manik. maaf saya tidak bertanya, namun kemungkinan hanyalah di antara dua itu. Sangat cantik.


Okay, lebih banyak pilihan cenderamata sebelum mehampiri pintu keluar Cu Chi Tunnel. Saya tidak membelinya, memadai dengan "snap it". Bekalan RM yang dibawa sangat-sangat terhad, jadi sangat membahaya jika pokai sebelum waktunya. 


Gajus....... Vietnam merupakan antara negara pengeksport kacang gajus terbesar di dunia. Kopi dan kacang gajus di samping biji teratai sangat sinonim dengan Viet Nam.


Melangkah keluar.... Selamat Tinggal Cu Chi Tunnel.

Secara peribadi, Cu Chi Tunnel menyimpan suka dan duka perjuangan. Walaupun di sini, hanyalah sebahagian daripada keseluruhan terowong, ianya sudah cukup untuk menyampaikan pada dunia luar kehebatan mereka. Jujurnya, saya kagum. 



Pokok nangka..... hebat.

Pokok nangka di atas sangat popular di website kerana kelebatan buahnya. Pada waktu ini salah satu dahannya telah dipotong. Justeru itu, buahnya kelihatan kurang padat. Samada buah ini pernah dinikmati atau tidak, saya tidak pasti. Bersebelahan tapak terowong Cu Chi adalah Sungai Saigon.


~~ Miss Anna~~