Setelah sekian lama tidak berceloteh dan berkongsi pengalaman akhirnya hari ini tercetus keinginan untuk berkarya. Adakalanya, keinginan yang melonjak-lonjak itu mampu menghasilkan satu karya yang lebih indah penggunaan bahasanya dan terasa lebih dekat dengan hati.
*****************************************
Berbalik pada tunjang utama, catatan tentang Bukit Keluang pernah saya kongsikan suatu masa dulu. Di situ telah saya kongsikan tentang keindahan pemandangan dari puncak bukitnya dan juga keindahan pantainya yang subhanallah, memukau "pancaindera penglihatan" kita.
Saya kongsikan dengan anda semua url artikel tersebut untuk anda selusuri setiap patah katanya jika anda belum membacanya atau menatap gambarnya:-
1. http://mylovelypic2u.blogspot.my/2016/10/pantai-bukit-keluang-besut-terengganu.html
2. http://mylovelypic2u.blogspot.my/2016/10/hiking-bukit-keluang-besut-terengganu.html
****************************************
Berbeza dengan kunjungan yang terdahulu, kunjungan kali ini disertai oleh anak-anak saudara saya dan juga adik saya yang telah berkeluarga. Jika dulu, lawatan kami hanya sebuah kereta, kali ini kami ke sana dengan 3 buah kereta. Pastinya lebih banyak kerenah, lebih meriah jadinya.
Berhati-hati dengan dengan haiwan ternakan yang banyak berkeliaran di kawasan ini.
Ini masih di Kuala Berang, terpaksa berhenti di sini kerana ini adalah titik berkumpul 3 buah kereta yang datang dari kampung yang berbeza. Biasalah, apabila penyertaan melibatkan 5 buah keluarga, pengurusan masa menjadi isu yang susah untuk dikawal.
Keadan lalu-lintas hari ini, alhamdullillah tidaklah terlalu sesak. Mungkin masih ramai yang kunjung-mengunjung kerana hari ini adalah Aidil Adha yang ke-3. Bahkan masih ada yang melakukan ibadah korban, dan tidak kurang juga yang mulai bergerak untuk kembali ke kota Kuala Lumpur selepas bercuti di kampung halaman.
Laluan ini merupakan salah satu laluan utama untuk warga Kelantan kembali ke Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan juga selatan Semenanjung.
*********************************************
Akhirnya.....
Kami sampai juga ke destinasi dan amat mengejutkan kerana terlalu ramai pengunjung pada hari ini. Sangkaan saya meleset. Kononnya ramai orang masih beraya, rupanya perantau kota juga memanfaatkan peluang bercuti ini untuk berkunjung ke sini. Parkir kereta boleh dikatakan hampir penuh. Kedai-kedai dan penjaja beroperasi sepenuhnya, cumanya kami sampai agak awal, jadi tandas awam masih belum beroperasi. Aduhai....
Terpaksalah menggunakan tandas surau yang diwakafkan, sayangnya surau itu terlalu kotor. Kotor juga disebabkan orang yang menggunakannya yang tidak memiliki akhlak yang bagus, yang tidak mencucinya sebaik mungkin usai menggunakannya.
Kami tidak dapat parkir yang berdekatan dengan Bukit Keluang pagi ini, kami hanya dapat parkir yang agak jauh. "Better than nothing". Sambil bergerak menghampiri laluan pendakian kami, saya ambillah beberapa keping pemandangan unuk dijadikan tatapan saya kemudian hari.
Pokok-pokok rhu yang membentuk satu lingkungan pemandangan indah di tebing sungai. Sungai ini tidak bersambung dengan lautan, tetapi saya tidak pasti sewaktu air pasang kerana setiap kali saya berkunjung ke sini, air sentiasa surut.
Saya beruntung, jika tidak, tidak dapatlah saya bermain air sepuas-hati.
"Another view".
Bergambar dulu sebelum mula mendaki. Ini sangat penting.
Penting untuk anda semua melihat betapa berkobar-kobarnya kami semua untuk menawan puncak Bukit Keluang sepanjang lebih kurang 1km itu di laluan kami.
Ada di antara kami ini yang mana langsung tidak pernah mendaki bukit. Makanya macam-macamlah takdirnya.
Ada yang pitam walau baru 100 meter mendaki, ada yang pancit, ada yang muntah-muntah...macam-macamlah..ada yang hampir mengalah... ada yang tersangat bersemangat, ada yang tenang.... hehehehe
Namun syukur semuanya dapat sampai ke puncak meskipun masa yang diambil tersangat lama. Tidak mengapalah, daripada langsung tidak dapat menatap pemandangan lautan biru kehijauan di puncak.
Bagi saya dalam riadah mendaki, kita jangan sesekali memaksa, mental memang kena kuat sebab kuasa mental mampu membuatkan sesuatu yang asalnya mustahil, berubah.
Mendaki adalah segala-galanya tentang "inner energy and mind setting". Kalau mental mengatakan tidak boleh dan kita turuti, maka berakhirlah.
Tetapi jika mental mengatakan boleh dan ingin menguasai, maka pasti boleh.
Setelah lebih sejam menunggu barulah lengkap rombongan kami. Yang sampai awal, menunggu dengan taat demi memberikan sokongan yang tidak bertepi.
Untuk melengkapkan sesi bergambar kami. Wajah-wajah yang sampai memanglah over, manakala yang sampai agak lambat wajahnya memang kepenatan.
Tidak mengapalah, pengalaman itu yang terindah. Teringat madah kawan saya yang merupakan Ketua Kelab Mendaki Politeknik Port Dickson, "Dalam mendaki puncak merupakan satu bonus, tetapi pemandangan di sepanjang perjalanan adalah untuk dinikmati. Kerjasama erat sebagai satu pasukan amat penting. "
Belanja gambar sekeping dua.
Jangan tidak percaya ya, yang pegang selfie stick tu, pitam tadi siap terbaring di tepi denai mendaki.
Sekarang dia pula terlajak seronok berselfie.
Bagi peluang pada belia-belia negara ini bergembira.
Sebenarnya tidak digalakkan untuk keluar dari besi penghadang itu.
Sebelum ini pernah ada yang terjatuh kerana ber"selfie". Akibatnya, saya tidak pasti, ada yang mengatakan meninggal, dan ada yang mengatakan parah.
Cuaca yang sangat baik, alhamdullillah.
Melayan adik bergambar di sini.
Tiang ini merupakan tempat wajib bergambar.
Hahahahaha...
Salah tempat untuk bergaya ala-ala di buritan Titanic. Tidak mengapalah anak, kapal titanic tak ada di sini. Puncak bukit ini pun, bolehlah.
Kami turun Bukit Keluang pun menjelang tengahari. Masa banyak terbuang kerana menunggu dan bergambar. Menjadi "sweeper" adalah perkara biasa bagi saya, dengan syarat puncak telah saya tawan. Heheheh...sedikit mementingkan diri sendiri bukan?
Bila tengahari, perut mulalah menyanyi keroncong. Berhimpunlah kami semua untuk aktiviti makan bekalan yang dibawa. Sekali tidak cukup... Nasiblah.
*********************
Sudah makan, kami merancang untuk ke pulau dan juga menaiki bot pisang.
Kos:-
1. Bot pisang - RM10 seorang atau minima satu bot RM60.
2. pergi pulau + snorkelling - RM30
Kadar caj mungkin bertambah disebabkan pelbagai faktor. Lagipun, kebanyakkan barangan keperluan di Malaysia mendadak naik harganya.
Bersedia untuk naik bot pisang. Saya sebenarnya penakut tapi tetap beranikan diri untuk mencipta satu pengalaman. Anak-anak saudara pula lelaki, siap diberi amaran, jangan nak jatuhkan diri di tengah lautan. Gayat punya pasal.
Wow....
Teruja bercampur takut. Cukuplah sekali untuk pengalaman. Untuk yang seterusnya, tunggulah saya pandai berenang dulu.
Bila?
Entahlah...
Sekali bot yang menarik kami kehabisan minyak di tengah-tengah lautan ni. Aduhai..tak tahulah rezeki atau apa.
Jejaka-jejaka berani tak payahlah diceritakan, keterujaan mereka memang keterlaluan. Sambil menunggu bot lain menghantar minyak, mereka semuanya terjun dan berenang sepuash hatinya.
Apa-apalah bujang semuanya, jangan ditarik Cik Ana sudahlah.
Lama juga kami berada di tengah lautan itu. Jenuh jugalah.
Bila sampai bot yang menghantar minyak, kami diminta untuk menaiki bot pisang berkembar. Waaaa... berpindah bot pisang di tengah-tengah kebiruan air. Huru-hara dibuatnya.
Tapi terpaksalah juga... satu lagi pengalaman yang berbeza.
Punya nakal bujangan ini, minta pula kepada penarik bot pisang itu untuk jatuhkan kami ke air. Tetapi, baru saya tahu, bot pisang berkembar tidak boleh jatuhkan orang ke air.
Tunggulah kami di persisir air sehingga bot pisang yang kami naiki pada awalnya kembali. Rupanya ada hasrat anak muda ini. Menuntut janji untuk dijatuhkan ke dalam air. Terpaksalah akur pengusaha bot pisang itu lantaran bayaran telah dilunaskan.
Untuk sebuah pengalaman yang tidak ternilai, saya turut serta. Sebelum dijatuhkan, mereka telah berpesan untuk melepaskan tangan demi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini. Terjatuhlah kedalam air... Saya kurang bernasib baik. Salah seorang anak saudara saya jatuh ke atas kepala saya. Tragis..
Seorang anak saudara perempuan saya pula tersangkut di bot pisang kerana tidak melepaskan tangan. Tegang juga raut wajah pengusaha bot itu, khuatir jika tercedera kerana menurutnya tangan boleh tercabut jika tidak melepaskan bot pisang.
Pengalaman itu terlalu mahal dan alhamdullillah kami semua selamat.
************************************
Seterusnya, aktiviti bermain air di sekitar pulau. maaflah saya tidak tahu apa nama pulaunya. Warga setempat in syaa Allah tahu.
Jarak antara pulau dan tanah besar lebih kurang 10 ke 15 minit dengan bot. Kebanyakkan bot di sini adalah bot laju.
Saya memilih sekali dengan snorkeling. Membayangkan airnya cetek seperti di Taman Laut Tunku Abdul Rahman, saya teruja.
Sekali lagi sangkaan saya meleset. Airnya sangat dalam dan sesekali arusnya sangat kuat. Saya pula jenis cepat cemas. Hmmmm, snorkeling saya jadi tidak seronok. Airnya yang dalam mengecewakan. Ikan juga tidak terlalu banyak. Kami dipesan untuk tidak memijak karangan laut tetapi nasib tidak menyebelahi saya bila kaki saya terkena kerangan laut. Terluka sudah...
Aktiviti ke pulau disertai semua rombongan kami. Kalau menaiki bot pisang hanya yang berjiwa kental sahaja walaupun kekentalannya hanya setipis kabus. Hehehehehe.
Selepas snorkeling, kami hanya bermain air sahaja hinggalah lebihkurang jam 4 petang.
Masalah di sini adalah, bot akan mendarat di mana-mana sahaja di pulau, tidak ada kawasan khusus untuk mandi-manda dan untuk bot mendarat.
Awasi keluarga anda daripada kecelakaan.
Di satu sudut pantai ini, ada banyak karangan laut, ada yang telah mati dan hampir mati. Di kawasan karangan laut itu terdapat terlalu banyak landak laut.
Awas ya. Duri landak laut tersangat bisa. Sukar untuk mengeluarkannya jika berada dipulau lantaran tidak ada kelengkapan.
Okay, sekarang kami semua penat. Perut pun kembali lapar.
Jadi, kami ingin segera pulang ke tanah besar. Tunggulah bot yang membawa kami ke pulau tadi.
Jenuh juga menunggunya. Kadang-kadang sakit hati pun ada, sebab layanannya yang tidak seberapa.
Boleh disuruh kami menunggu lebih lama bahkan siap untuk suruh kami menaiki bot lain demi untuk kurangkan perjalanan. Haishhh...
"The best boat service I had experienced is when I was in Kota Kinabalu. They always be ready for you and never let you wait for too long. Credit to them."
Bambam kesayangan saya ini.
Agaknya dialah yang paling seronok bermain air, sampai boleh terlelap dalam air. Nampak sangat menahan matanya daripada terlelap tetapi kecundang juga akhirnya.
Akhirnya, kami pulang ke tanah besar. Jika ke pulau, kami menaiki satu bot. Untuk kembali ke tanah besar, kami menaiki 3 bot yang berbeza. Aduhai..
Sampai ke tanah besar lain pula masalahnya, pengunjung terlalu ramai. Bilik air atau tandas awam boleh kehabisan air disebabkan penggunaan air yang luar biasa oleh pengunjung. Pastinya mereka yang ingin membersihkan diri sendiri.
Bayaran untuk mandi RM1 seorang.
***********************************
Aktiviti keluarga sangat sesuai dijalankan di sini, semua orang mendapat keseronokkan masing-masing.
Aktiviti kekeluargaan bagi saya sangat penting untuk membentuk ikatan ukhwah yang erat.
Ianya mungkin memerlukan kos yang tinggi iaitu komitmen dan pengorbanan masa tetapi tidak setanding dengan habuan yang diterima iaitu sirahtulrahim yang erat.
Tanjung Tuan memang popular dikalangan pelancong tempatan untuk aktiviti riadah seperti mendaki Tanjung Tuan di mana terdapat pelbagai trek yang boleh dilalui di samping sejarah Rumah Api Tanjung Tuan.
Saya tidak mahu bercerita tentang sejarah rumah apinya, tapi kali ini saya ingin bercerita tentang pengalaman mendaki melalui laluan Bukit Batu Putih, Tanjung Tuan. Sebelum ini saya telah mendaki melalui jalan raya, itu adalah pertama kali saya berkunjung ke Tanjung Tuan. Kali ke dua saya mendaki melalui trek perigi Belanda, di mana di situ saya melihat kawasan yang dikatakan terdapat tapak kaki Hang Tuah, boleh rujuk perkongsian sebelum ini.
http://mylovelypic2u.blogspot.my/2016/02/jungle-trekking-tanjung-tuan-12-nov-2015.html
*******************************
Lantaran terlalu ramai yang berkongsi tentang Bukit Batu Putih, saya menjadi sangat teruja dah merancang untuk sama mendaki di laluan ini. Al-hamdulillah, rezeki datang pada saat yang terbaik. Kawan sepejabat bersetuju untuk mendaki bersama-sama jadi kami pergi mendaki dalam kumpulan 4 orang dewasa dan 4 kanak-kanak.
Sebenarnya kalau nak elakkan kesesakkan, elakkan berkunjung ke Tanjung Tuan pada hari minggu. Lagi elok pergi selepas asar, sekitar jam 5 petang kerana pada waktu ini, di kawasan ini ada ramai pengunjung.
Elakkan berkunjung di waktu-waktu tidak ada orang langsung atau berkunjung bersendirian untuk mengelakkan peluang berlakunya jenayah ragut atau samun.
******************************************
Menunggu kawan yang belum tiba. Janji 5.30 pm, tapi menghampiri 5.45 pm tidak juga muncul. Terjumpa pula rakan-rakan dari jabatan yang berlainan, borak-boraklah sekejap.
Permulaan pendakian kami, kami mendaki beberapa ratus meter melalui jalan raya, kemudian mengambil susur denai ke kanan. Bermulalah trek kami dikelilingi tumbuh-tumbuhan hutan kekal yang pelbagai saiz. Satu hal yang saya nak tekankan di sini, behati-hati dengan setiap langkah anda dan juga di mana anda ingi berpegang kerana pokok-pokok enau banyak tumbuh di sini. Ada sebahagian pelepahnya yang menghalang telah dicantas dan bersepah-sepah di tepi laluan.
Pokok enau ada banyak duri. Jika terpijak atau terpegang, cukuplah untuk membuat anda menangis atau kesakitan. Saya mendaki hanya dengan berselipar sahaja. Selipar asadi yang mempunyai tapak yang mengcengkam, cheh wah, macam sesi pengiklanan pula ya. Bukan apa, elakkan memakai apa jua alas kaki yang tidak mengcengkan muka bumi untuk mengelakkan anda tergelincir lantaran permukaan tanah yang agak licin oleh daun-daun reput.
Selepas beberapa lama mengharungi denai, kami tiba di pantai yang cantik ini. Syukur pada Allah swt kerana pada waktu ini air tidak pasang tinggi dan tidak terlalu surut.
Permandangan ini masya-Allah sangat cantik. Air yang kehijauan. Batu-batuan dan serpihan karangan dan rumpai laut terdampar di persisir pantai.
Cantiknya, teringin nak mandi. Tapi di sini saya tidak pernah lihat orang mandi, mungkin tidak selamat untuk mandi atau mungkin sebab terlindung.
Permandangan dari sudut yang berbeza.
Terjumpa pula pokok mati yang menyembah ke lautan ini. Jadi subjek untuk gambar sayalah kan.
Kami mengharungi persisir pantai menuju ke tebing batu putih yang menjadi sebutan ini. Ada yang memanggilnya sebagai "spider". Mungkin kerana untuk melepasinya, kita terpaksa mendaki menggunakan kekuatan tangan dan kaki.
Untuk mereka yang gayat, sokongan mental yang padu sangat diperlukan. Untuk saya yang tidak gayat dan tangkas, upps, jangan kecam saya, tidak bermaksud untuk memuji diri sendiri tetapi kecerunan tebing ini lebih daripada 80 darjah.
Bagi mereka yang tidak ingin mendaki tebing batu putih ini, ada laluan lain sebagai pengganti. Lebih mudah dan lebih senang. Tidak perlu risau tentang gayat. Cuma kurang cabaran.
Menariknya. Bagaikan tidak percaya permandangan secantik ini hanya berada beberapa kilometer daripada tempat kerja saya.
Terasa seperti gambar ini berada di susunan yang salah. Tidak mengapalah, yang penting anda semua dapat menatapnya.
Gambar ini saya ambil di tebing batu putih setelah separuh pendakian. Saya ada juga masalah gayat cumanya di tahap yang sangat minimum. Tidak ada masalah bagi saya untuk mendaki dan memanjat.
Permandangan teluk ini sangat cantik. Subhanallah.
Akhirnya puncak Batu Putih berjaya ditawan. Agak ramai pengunjung yang ingin menawan puncak ini. Susah untuk berada berhampiran mercu tanda puncak lantaran ramai ingin bergambar kenangan dengannya.
Penat itu pasti. Kepuasan itu juga satu kepastian.
Terdetik di hati untuk menunggu matahari terbenam namun ia bukanlah satu tindakan yang bijak. Setelah beberapa minit, berehat dan bergambar, kami pun meninggalkan puncak bukit dan kembali ke trek hutan untuk menuruni Tanjung Tuan.
Ambil gambar dari jauh sahajalah. Papan tanda puncak Batu Putih.
Sampai di kaki bukit atau tanjung, jam menunjukkan jam 7 petang. Sebenarnya masa pendakian tidaklah begitu lama tetapi kerana kami mendaki bersama kanak-kanak ianya mengambil masa yang sangat maximum.
Bagi seseorang yang sangat cergas, masa yang diambil untuk melengkapkan pendakian adalah kurang 1 jam (sehingga anda kembali titik permulaan).
~~ Miss Anna ~~
Kegembiraan menyambut ulangtahun merupakan satu hal yang sememang ditunggu-tunggu oleh ramai orang. Seiring dengan bertambahnya usia, maka makin hampirlah kita dengan maut yang telah ditetapkan oleh Allah swt ke atas diri kita.
Alhamdullillah, syukur yang tidak terhingga kerana setiap kali kita mampu meniup lilin, maka tanpa disedari sebenarnya kita memperolehi usia bonus, hadiah yang tidak terhingga dari Allah yang Maha Pengasih dan Pemurah.
Ulangtahun kali ini juga saya mendapat kejutan daripada para pelajar perempuan Diploma Kejuruteraan Mekanikal semester 1 yang meraikan ulangtahun saya. Malu, terkejut dan rasa sangat rendah diri, semuanya bercampur-baur. Bagi pelajar saya mungkin ianya satu kepuasan yang tidak tergambar.
Seringkali saya membaca artikel-artikel yang megatakan bahawa kematangan bermula dari usia 40 tahun dan semakin menghampiri siri nombor itu membuatkan jiwa saya adakalanya takut.
Takut, kerana setiap detik yang bertambah dalam usia saya membuktikan tanpa saya sedari bahawa saya kian menghampiri MAUT yang telah Allah swt tetapkan untuk diri saya.
Ada para ilmuan mengatakan bahawa jika di usia 40 tahun, jalan hidup kita menyimpang dari landasan agama dan kian menyimpang, maka ianya satu petanda bahawa kita menghampiri ketewasan. Justeru, jika hidup kita menghampiri kebaikan maka in syaa Allah, kita menghampiri kemenangan.
Apa pun jua, itu semua rahsia Allah swt.
Mati itu benar..
Alam kubur itu benar...
Syurga dan neraka itu juga benar..
Pesan saya pada diri saya terutamanya, saya hidup di akhir zaman. Rasullullah saw mengatakan bahawa di akhir zaman adalah zaman fitnah, dan saya menyaksikan bahawa fitnah itu sangat mudah tersebar lantaran wujudnya dunia tanpa sempadan, maklumat tanpa tapisan dan sikap manusia yang suka memviralkan.
Sedangkan akhlak yang terpuji yakni menyembunyikan keburukkan orang dengan harapan Allah swt menyembunyikan aib kita tidak lagi menjadi keutamaan. Maksiat juga berleluasa sehinggakan pelakku-pelaku maksiat berasa gah dengan maksiatnya dan para perlaksana agama hanya memandang dan membisu seribu bahasa.
Bagi saya kehidupan ini terbina dengan beberapa hubungan yakni:-
1. Hubungan dengan Allah swt
2. Hubungan dengan manusia - hubungan dengan ibu-bapa, keluarga, jiran tertangga, muslimin dan muslimat serta juga non muslim. Jangan difikir lantaran akidah mereka dan kita tidak sama, maka kita berhak untuk memperlakukan mereka sesuka-hati kita kerana Allah swt akan menegakkan keadilan untuk keburukkan akhlak kita.
3. Hubungan dengan haiwan
4. Hubungan dengan alam sekeliling
Setiap hubungan ini haruslah diperlihara supaya saya tidak dipertanggungjawabkan jika saya tersilap perhitungan.
Sekadar madah;
"Mencari jelik itu mudah,
Mencari mulia itu sulit."
Kenalah adilkan?
Jika artikel sebelum ini saya menggunakan bahasa Inggeris, maka untuk artikel ini saya menggunakan bahasa ibunda saya yakni bahasa Melayu.
Bukit Keluang bagi saya merupakan satu destinasi percutian pakej kerana di lokasi ini anda boleh menjalankan aktiviti yang sedikit lasak iaitu mendaki tebing tinggi yang puncak sejajar memanjang mengikuti pantainya yang sangat indah membiru kehijauan dan menerokai persisir pantai yang tidak kurang hebatnya.
Ketinggian Bukit Keluang hanyalah beberapa ratus meter tetapi cukup untuk membuatkan mereka yang mempunyai stamina yang rendah kecundang. Baiklah, lupakan tentang Bukit Keluang, ayuh kita bercerita tentang keindahan pantainya yang dukacitanya kian tercemar akibat sikap manusia yang angkuh, mementingkan diri-sendiri dan tidak bertanggungjawab.
***************************************
Sesiapayang membaca artikel sebelum ini pasti mengetahui bahawa perjalanan saya bermula dari kediaman keluarga saya di Ajil, Hulu Terengganu mengambil masa lebih kurang 2 jam. Itu pun jika kami tidak terperangkap dalam kesesatan lalu-lintas yang luar biasa.
Kami memilih perjalanan persisir pantai apabila mulai memasuki daerah Besut. Bagaikan satu gamitan memori silam apabila melihat deretan pokok-pokok kelapa yang banyak menghiasi kawasan ini.
Jiwa menjadi terlalu dekat dengan kenangan zaman kecil di mana di mana-mana lokasi di Terengganu, pokok kelapa merupakan tumbuhan wajib ada. Berbeza zaman sekarang.
Kadang-kadang terfikir bahawa kemajuan yang tidak terancang akan membunuh banyak ciri-ciri tradisi masyarakat kita. Sepertinya hal tentang pokok kelapa. Pokok kelapa merupakan satu tumbuhan yang sangat penting dalam kehidupan orang melayu amnya.
Sukar untuk melihat pokok kelapa yang banyak seperti ini di daerah-daerah lain melainkan masih wujud perkampungan nelayan di situ.
Bukit Keluang terletak di sekitar Kuala Besut. Lihatlah jarak kami dari lokasi kami sekarang.
******************
Akhirnya kami sampai juga setelah berperang dengan perasaan kami. Yalah, pertama kali datang berkunjung dan tidak tahu arah jalan. Khuatir juga jika Google maps itu tidak membantu, namun syukur pada Allah swt bahawa ianya sangat-sangat membantu.
Perkara pertama yang dilakukan oleh kami adalah makan tengahari. Kami bertolak dari Ajil sekitar jam 9 pagi. Sampai di sini menjelang tengahari, perut pun bernyanyi keroncong minta diisi. Tidak banyak pilihan yang ada. Akhirnya jaudah kami adalah nasi putih berserta lauk patin amsak tempoyak. Emak pula memilih lauk kari kepala ikan. Subhanallah, seronok melihat emak yang berselera menikmati makanannya.
Kebanyakkan perniaga masih bercuti lantaran suasana Hari Raya Aidil Fitri masih menebal semangatnya. Lagi pula, perantau-perantau kota akan memanfaatkan setiap saat bersama keluarga di hari lebaran. Mana mungkin bercuti sempena raya seperti kami, bukankah?
Usai makan tengahari kami mendaki Bukit Keluang terlebih dahulu. Ambil masa beberapa jam jugalah.
Turun Bukit Keluang, kami solat di surau yang disediakan. Sayang sungguh kerana surau yang diwakafkan itu seperti tidak berjaga dengan baik dan tandasnya juga sangat kotor.
Menyedihkan.
Selesai solat, kami pun bermaharajalelalah berjalan di sekitar pantai. Kalau boleh kami ingin menerokai setiap inci pantai Bukit Keluang ini.
Pakcik penjual air kelapa ada memberitahu kami bahawa terdapat lebih kurang 10 gua menghadap ke lautan di kaki Bukit Keluang . Teruja pula saya.
Terus timbul ilham untuk mencari setiap gua-gua yang dimaksudkan kerana dari pembacaan saya hanya terdapat lebih kurang 7-8 gua. Jadi yang mana satu harus saya percaya, karangan dari pembacaan saya ataupun pak cik berkenaan yang merupakan warga tempatan?
Aktiviti riadah pantai hari ini tidak begitu rancak. Pengunjung pun tidak ramai, barangkali masih kunjung-mengunjung sesama tertangga. Inikan Aidil Fitri.
Saya jadikan saat berkunjung ke Bukit Keluang sebagai satu aktiviti percutian untuk emak saya yang mana hanya menghabiskan kebanyakkan masanya di rumah. Melihat dia seronok melayan jiwanya, indah juga perasaan itu.
Lihatlah dari kedua-dua arah gambar, sunyi dan agak sepi. (Rujuk gambar di atas dan di bawah.) Di hujung gambar ini adalah deretan pokok rhu.
Manakala latar belakang gambar ini adalah Bukit Keluang yang teguh memberikan perlindungan kepada warga setempat.
Permandangan dari pantai ke daratan. Hijau yang memukau.
Sekarang saya berada di persisir pantai. Kelihatan dengan jelas ada tinggalan-tinggalan konkrit dan tiang-tiang kayu di sepanjang pantai ini.
Saya tidak pasti, sisa pembinaan apakah ini. Mungkin satu masa dulu, ada binaan di sini dan telah roboh.
Hanya warga tempatan yang dapat memberikan kepastian.
Kami melangkah melewati kaki Bukit Keluang sambil mencari gua-gua yang dimaksudkan. Tidak terbayang langsung di benak saya bagaimanakah rupanya gua-gua itu. Jadi saya hanya menelusuri pantai hingga sejauh mungkin yang mampu saya melangkah.
***************************
Agaknya inilah gua yang pertama.
Berhati-hati apabila menjenguk ke dalam gua-gua, khuatir ada yang sedang menukar baju dan sebagainya.
Kebanyakkan lubang-lubang gua ini menjadi tempat pelawat mendapatkan perlindungan dari teriknya matahari. Bahkan ada yang sengaja berkelah di dalamnya. Jika saya, saya juga memilih hal yang sama. Rasai suasana yang berbeza dan tidak mungkin diperolehi di tempat lain.
Kami terpaksa melalui celah batu ini untuk ke seberang sana. Air mulai naik jadi kami tidak boleh melalui gigi air. Tak sanggup untuk basah kuyup. Apbila basah maka pasir-pasir pantai akan melekat di pakaian kami.
Nasib baiklah kumpulan kami badannya semua kecil-kecil dan muat-muat untuk melalui celah batu itu.
Jika tidak, maka disinilah berakhirnya penelusuran kami menjejaki gua Bukit keluang.
Saiz bagi setiap terowong batu ini pelbagai. Ada yang besar dan ada yang sangat kecil.
Kalau rasa-rasa tidak mungkin melepasi celahan batu itu, jangan mengambil risiko dengan memaksa diri anda melepasinya.
Risau pula kisah anda akan terpampang di dada akhbar. Popular pula nanti.
Alamak, macam mana boleh tersilap muatnaik gambar yang latar belakang sama ini banyak kali.
Maaflah anda semua, apa pun, harapnya ia memberikan anda satu permandangan yang jelas tentang pantai Bukit Keluang.
Saya tidak pasti samada ini gua atau terowong angin.
Gua yang lainnya...
Semakin jauh meninggalkan pusat aktiviti pengunjung, maka semakin berkurang jumlah pengunjung yang anda temui.
Namun yang tidak berkurangan adalah sampah-sampah yang ditinggalkan. Sakit hati melihatnya.
Pokok ini memiliki bunga yang sungguh cantik. Ungu Gelap. Sepatutnya saya zoom gamabr dan potong supaya ianya fokus kepada bunganya sahaja tetapi, ya saya tidak mahu.
Bukankah kita juga perlu mengenali pokoknya juga dari semata-mata hanya mengenali bunganya?
Kepenatan agaknya rombongan saya ini.
Pengalaman ini tidak ternilai harganya.
Terowong atau gua?
Ada salah satu gua itu memiliki dua cabang; satu menuju ke pantai, lagi satu menuju ke dalam perut bumi. Disebabkan itu ada seorang pemancing tempatan membuat lawak, "pilihlah simpang yang terang, jangan memilih simpan yang gelap."
Bila saya lalui barulah saya fahami...
Kami berhenti di sini, hasrat hati nak teruskan sehingga sampai ke muara Sungai Besut tetapi air makin naik dan laluan kami terjejas.
Yang tinggal pilihannya adalah berpatah balik sebelum air kian naik dan menyebabkan laluan kami sebelum ini terkandas.
Kami bukan pandai berenang pun. Lagi pula ombak laut China Selatan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat bergurau. Apatah ombak yang terhasil dari air pasang.
Arus dan pukulan sangat keras.
Menikmati belaian air laut seketika.
Nak mandi-manda tidak mungkin sebab baju persalinan tidak dibawa. Suka atau tidak, main air dengan kaki sahajalah.
Baiklah, masa untuk berpatah selepas puas bermain cuci kaki.
Lenggang dan sedikit sunyi..
**********************
Kami bergerak meninggalkan Bukit Keluang dengan kepuasan di hati. Dapat mendaki buki, dapat juga bermain air laut.
Anak-anak saudara berhasrat untuk ke Kuala Terengganu sebelum pulang ke rumah. Biasalah, alang-alang telah keluar jauh meninggalkan rumah, maka singgahlah di tempat yang sesuai untuk mendapatkan barang-barang keperluan yang telah habis.
Maka kami memilih untuk terus kekal di jalan persisir pantai. Kebetulannya pula hari ni adalah hari di mana ramai warga kelantan bergerak untuk kembali ke ibu kota Kuala Lumpur dan Selangor. Akibatnya, kami terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas yang agak teruk.
Itu pun kami telah mengelak daripada menggunakan LPT2. Jika tidak, tidak pastilah nasib kami.
Ini adalah kawasan persisir pantai di daerah Setiu. Cantik dan juga memukau pandangan juga.
Singgah sebentar untuk membeli kudapan, keropok lekor goreng. Perut memang sangat lapar.
Kami tiba di Kuala Nerus sekitar jam 7.50 malam. Perjalanan yang seharusnya sekitar 1 jam, namun kerana lalu-lintas di luar jangkaan, segala-galanya juga tidak terjangka.
Untuk kembali ke Bukit Keluang, itu sentiasa dalam perancangan.
Pesanan :-
1. Jika anda datang untuk berkelah dan apa juga yang seangkatan dengannya, silalah bawa sekali bersama anda plastik sampah yang mencukupi. Ikat dengan baik sampah anda dan letakkan berhampiran tong sampah. Jujurnya, tong sampah yang disediakan tidak mampu untuk memuatkan sampah-sarap yang anda bawa dari luar.
2. Pakaian untuk disalin sila bawa siap-siap, sebab tidak ada gerai-gerai menjual pakaian di sekitar kawasan Bukit Keluang.
3. "Jika anda membawa makanan dan minuman, pastikan pembungkusnya anda buang yang sepatutnya." Ingatlah, botol plastik dan pembalut plastik mengambil masa yang terlalu untuk mereput. Jika anda sukakan keindahan, maka peliharalah dan bantulah keindahan itu untuk sentiasa kekal bagi diri kita di masa akan datang dan juga pengunjung lain.
Selamat berkunjung ke Bukit Keluang..
Wonderful Terengganu..
Terengganu kite weh...