Kegembiraan menyambut ulangtahun merupakan satu hal yang sememang ditunggu-tunggu oleh ramai orang. Seiring dengan bertambahnya usia, maka makin hampirlah kita dengan maut yang telah ditetapkan oleh Allah swt ke atas diri kita.
Alhamdullillah, syukur yang tidak terhingga kerana setiap kali kita mampu meniup lilin, maka tanpa disedari sebenarnya kita memperolehi usia bonus, hadiah yang tidak terhingga dari Allah yang Maha Pengasih dan Pemurah.
Ulangtahun kali ini juga saya mendapat kejutan daripada para pelajar perempuan Diploma Kejuruteraan Mekanikal semester 1 yang meraikan ulangtahun saya. Malu, terkejut dan rasa sangat rendah diri, semuanya bercampur-baur. Bagi pelajar saya mungkin ianya satu kepuasan yang tidak tergambar.
Seringkali saya membaca artikel-artikel yang megatakan bahawa kematangan bermula dari usia 40 tahun dan semakin menghampiri siri nombor itu membuatkan jiwa saya adakalanya takut.
Takut, kerana setiap detik yang bertambah dalam usia saya membuktikan tanpa saya sedari bahawa saya kian menghampiri MAUT yang telah Allah swt tetapkan untuk diri saya.
Ada para ilmuan mengatakan bahawa jika di usia 40 tahun, jalan hidup kita menyimpang dari landasan agama dan kian menyimpang, maka ianya satu petanda bahawa kita menghampiri ketewasan. Justeru, jika hidup kita menghampiri kebaikan maka in syaa Allah, kita menghampiri kemenangan.
Apa pun jua, itu semua rahsia Allah swt.
Mati itu benar..
Alam kubur itu benar...
Syurga dan neraka itu juga benar..
Pesan saya pada diri saya terutamanya, saya hidup di akhir zaman. Rasullullah saw mengatakan bahawa di akhir zaman adalah zaman fitnah, dan saya menyaksikan bahawa fitnah itu sangat mudah tersebar lantaran wujudnya dunia tanpa sempadan, maklumat tanpa tapisan dan sikap manusia yang suka memviralkan.
Sedangkan akhlak yang terpuji yakni menyembunyikan keburukkan orang dengan harapan Allah swt menyembunyikan aib kita tidak lagi menjadi keutamaan. Maksiat juga berleluasa sehinggakan pelakku-pelaku maksiat berasa gah dengan maksiatnya dan para perlaksana agama hanya memandang dan membisu seribu bahasa.
Bagi saya kehidupan ini terbina dengan beberapa hubungan yakni:-
1. Hubungan dengan Allah swt
2. Hubungan dengan manusia - hubungan dengan ibu-bapa, keluarga, jiran tertangga, muslimin dan muslimat serta juga non muslim. Jangan difikir lantaran akidah mereka dan kita tidak sama, maka kita berhak untuk memperlakukan mereka sesuka-hati kita kerana Allah swt akan menegakkan keadilan untuk keburukkan akhlak kita.
3. Hubungan dengan haiwan
4. Hubungan dengan alam sekeliling
Setiap hubungan ini haruslah diperlihara supaya saya tidak dipertanggungjawabkan jika saya tersilap perhitungan.
Sekadar madah;
"Mencari jelik itu mudah,
Mencari mulia itu sulit."
No comments:
Post a Comment