Showing posts with label Mekong Delta. Show all posts
Showing posts with label Mekong Delta. Show all posts

Friday, 17 November 2017

Bandar Ho Chi Minh (Sai Gon) - 14 dan 15 Oktober 2017

Selepas pertama kali mengunjungi Sai Gon pada Feb 2014, dan kini adalah lawatan ke lima, terlalu banyak perubahan dilaksanakan di bandar ini. Pengaruh binaan Perancis tetap merupakan intipati bagi senibinanya.

Kami bertolak dari KLIA pada jam 2 petang lebih kurang. Sebab saya memilih untuk terbang dengan Malindo Air. Hanya itu waktu penerbangan yang saya rasakan sangat sesuai untuk kami lantaran kami semua bukannya dari kawasan sekitar. Saya sendiri perlu bertolak dari Melaka Tengah.


Justeru dari terkejar-kejar, adalah lebih baik memilih waktu yang sedikit lewat. Malindo mungkin tidak murah namun saya sukakannya lantaran bagasi percuma sebanyak 30kg, saiz kerusi yang lebih selesa, ada hidangan alas perut yang disediakan di atas pesawat dan yang paling penting, saya tidak perlu menunggu sehingga 4 jam sebelum waktu penerbangan hanay semata-mata untuk check-in baggage


Masa itu terlalu bernilai untuk saya. 


Memilih untuk menjadikan kunjungan kali ini sebagai satu sesi yang istimewa bersama kembar saya; permintaannya beliau setiap kali saya ke Sai Gon adalah mempelawa beliau, dan hanya kali ini beliau mempunyai kelapangan.


Di sini saya tidak akan membicarakan tentang percutian bajet atau itinerary. Ramai orang di luar sana yang lebih mahir dan arif berbanding saya. Percutian saya adalah satu percutian untuk memanjakan diri pada kadar bajet. Justeru, ianya berbeza.



Aduhai, macam nenek sihir pula apabila menyapu lipgloss matte  warna ini. Dan nampak lebih tua serta lebih garang. 

Sila abaikan sahaja kematangan saya impak dari warna lipgloss matte  itu. Yang penting sekarang, wajah masing-masing sangat ceria sebab teruja untuk pertama kali bercuti bersama.


Di dalam pesawat. Ambil dulu satu sebagai tanda mata sebelum pramugari meminta kami untuk menutup telefon sewaktu berlepas. Saya hanya menukar sahaja telefon saya kepada airplane mode. Senang kalau tiba-tiba nak ambil gambar tapi kalau tiba-tiba kena tegur kena tegur dengan pramugari, janganlah pula marah pada mereka.


Penerbangan sepatutnya cuma mengambil sekitar 1.45 ke 2.00 jam. Perbezaan disebabkan oleh jarak yang perlu diambil oleh kapal terbang untuk taxi dari gate-gate yang berkenaan.



 **********************
Di udara, jelas kelihatan sawah-sawah padi yang membentangi selatan Viet Nam. Kawasan penanaman padi utama Viet Nam adalah di kawasan Delta Mekong.

Namun kini saya melihat ada segelintir mereka yang mula beralih pada tanaman lain namun hanya pada kadar peratusan yang sangat kecil.

Bersedia untuk mendarat. Waktu ini amat saya sukai, kerana dapat merasai bagaimana hebatnya juruterbang mengawal pesawat daripada terhenyak keras. 
Akhirnya, Saigon saya telah datang. 
 ****************************
Selepas mendaftar masuk hotel, saya berehat seketika. Pada sebelah malamnya telah berjanji dengan Rohimah untuk berjumpa, sambil minum-minum dan juga bersiar-siar menikmati angin malam di Sai Gon.

Satu hal yang perlu difahami tentang budaya masyarakat Viet Nam adalah apabila keluar untuk minum, pastikan semuanya terlibat, jangan ada yang mengatakan tidak mahu minum, dan memilih untuk berbual kosong sahaja. Bagi mereka, ianya adalah satu tindakan yang mengecewakan mereka. 


Jika anda tidak mahu minum, jangan keluar, dan jika anda keluar, pilihlah apa-apa minuman untuk meraikan mereka.



Di luar bangunan tempat kami minum. Di kawasan ini katanya, sukar untuk menjumpai pelawat dari Malaysia dan sukar untuk menjumpai makanan halal.

Makanan halal paling mudah ditemui di Jalan Nguyen An Ninh atau lebih dikenali sebagai Jalan Malaysia bagi masyarakat setempat.


Anda nampak tak bangunan berbumbung yang meriah dengan manusia di sana? Di situ adalah tempat untuk makanan jalanan namun Rohimah menegaskan bahawa makanan di situ tidak halal.


Justeru, jika sekadar untuk melihat, ianya tidak menjadi isu. Tetapi untuk menikmati, fikir-fikirkanlah. Apabila telah disahkan oleh warga tempatan yang muslim, kita sewajarnya boleh berfikir.


*************************************

Hari ke dua - 15 Oktober 2017

Hari ini kami merancang untuk ke Delta Mekong atau lebih tepat - My Tho. Sudah lama tidak berkunjung ke My Tho, sebelum ini pernah berkunjung sebanyak 2 kali. Dan pengalaman yang dieprolehi adalah pengalaman yang berbeza. 


Saya membayangkan kunjungan kali ini pastinya sesuatu yang sama seperti sebelum ini, rupa-rupanya saya jelas tersasar. Masih ada sedikit perbezaan.


Terlupa nak memberitahu bahawa kali ini saya menetap di Bali Boutique Hotel Ben Thanh. Secara keseluruhannya, hotel ini sangat baik cumanya mereka tidak mengamalkan satu prsedur jelas tentang pelabelan makanan.

Maksud saya, tidak dinyatakan konsep halal yang diamalkan oleh mereka, tidak juga dilabelkan makanan vege bagi vegetarian. Jadinya semuanya berdekatan dan bersebelahan.


Sendiri mahu tafsirlah ya. Soal halal dan haram bukanlah soal yang enteng. Ia akan menjadi darah daging kita, bahkan yang halal itu jelas, dan yang haram itu juga jelas, serta elakkanlah yang syubhah. Kerana sesungguhnya yang syubhah itu lebih menjurus ke arah yang tidak halal.


Ambil aura positif sebelum berangkat.

  
Rohimah ingin membawa kami ke satu tempat menjual bag-bag dan kasut-kasut. Sambil menunggu kedai itu bersedia untuk pelanggan, kami dijamu dengan kopi jalanan. Rasanya amat sedap. Dan di sinilah saya perasan satu hal iaitu, pati kopi telah disiapkan terlebih dahulu. 

Apabila pelanggan tiba, mereka cuma membancuh pati kopi itu dengan susu pekat, kemudiannya dimasukkan ais. Tapi ianya sangat manis.


Kunjungan kali ini, jujurnya saya tidak menikmati kopi sepuasnya sebab kebanyakkan kopinya sangat manis. 


Selesai urusan di kedai bag dan kasut berkenaan, kami bergerak ke My Tho. Di dalam perjalanan, kami singgah di satu kedai yang menjual pelbagai barangan seperti t-shirt, pelbagai jenis bag buatan tempatan dan lain-lain lagi. Di Sai Gon, jika anda mendapat t-shirt pada harga RM7 untuk saiz paling kecil sehingga XL, ianya murah. Tidak kisahlah di mana pun, anda boleh membelinya.


Untuk beg bercorak geometri dan beg kulit kerbau, harga di pulau Mekong jauh lebih murah iaitu RM10 satu. jadi pandai-pandailan ya, rancanglah pembelajaan dan di mana duit anda ingin dilaburkan.


Akhirnya kami tiba di My Tho. Kami menaiki bot untuk menuju ke pulau. Lupalah pula nama pulaunya.

Biasalah, tidak memberi tumpuan.

Di Sai Gon, kami bertiga menjadi akrab. 

Lihatlah topi kami. Rekaan yang sama tetapi warna yang berbeza. Ianya satu kepuasan bagi mereka yang bersahabat untuk mencipta kenangan indah bersama.


Kenangan adalah sesuatu yang dicipta, semua kita akan mengingatinya. 

Sampai di pulau, perkara pertama kami buat adalah melihat ternakan lebah madu.

Katanya lebah madu di sini menikmati madu dari pokok mata kucing, menjadikan ianya sangat istimewa. Khasiatnya? 


Datanglah ke My Tho dan dengarlah penjelasan daripada adik-adik manis yang akan menjamu anda dengan hidangan madu mengikut cara tempatan.


Apa macam ada berani untuk pegang sarang lebah macam tu? Kakak yang berani pun kena sengat dengan lebah, tetapi dia tenang saja. Sambil menunjukkan bekas sengatan itu, langsung tidak ada riak penyesalan.


Memang hebat betul kakak ni.

Inilah barisan adik-adik manis yang menghidangkan madu untuk kami.

Pelbagai produk madu boleh dibeli, madu, pollen dan royal jelly, pilihlah ya. 


Buah-buahan kering yang telah dijadikan halwa pun ada dijual, halia pun ada, tapi bagi saya memang sedap. 


Tapi saya tidak beli pun, saya cuma beli madu saja. Perjalanan masih jauh.


Kemudiannya kami menuju ke tempat pembuatan coconut candy. Semua proses pembuatan ditunjukkan bermula dari buah kepala sehingga pembungkusan. Saya memang tidak beli sebab saya lihat anjing-anjing banyak berkeliaran dan tidak ada sesiapa pun yang menghalaunya.


Memang penghasilan coconut candy tidak ada keraguan dari penggunaan bahannya, namun apabila anjing terlalu bebas bergerak di kawasan penyediaan, dan meskipun tidak naik ke meja dan menyentuh bekas-bekas yang digunakan, tapi hati saya tetap tidak tenang.


Di sepanjang perjalanan selepas menikmati hidangan madu, pelbagai kraftangan tempatan dijual, termasuklah bag kulit kerbau yang boleh didapati dengan mudahnya di sini. Dengan harga yang sangat murah RM10. Sangat murah. Sesiapa yang berminat, saya sarankan anda beli saja.


Saya cuma membeli sikat tanduk kerbau.


Kemudiannya, kami menikmati hidangan buah-buahan tempan. Buah naga putih merupakan produk tempatan Viet Nam. Setakat ini saya tidak pernah melihat buah naga merah di sana. Mata kucing mereka juga berbeza dengan mata kucing yang selalu dibawa masuk dari Thailand.

Juadah ini dinikmati dengan mencicahnya ke dalam campuran cili dan garam. Selamat menikmatinya ya.

Sambil-sambil makan kami dihiburkan dengan persembahan lagu popular oleh penyanyi tempatan. Bukan penyanyi terkenal ya, tapi suara mereka bagus saja, adalah beberapa lagu didendangkan, 1 lagu Inggeris, "if you happy and you know it..", 1 lagu Malaysia, "Anak orang kampung" dendangan penyanyi Sabah dan satu lagu tempatan.

Layan jelah. 


Jangalan dikecam jika sebutan mereka tidak bagus, mereka hanya menghiburkan kita mengikut kemampuan mereka.


Makan sudah, berhibur sudah... Sampailah masa kami meninggalkan kedai-kedai di sini untuk ke kawasan lain pulau.


Saya membayangkan saya akan dapat menikmati lagi satu persembahan di rumah warga tempatan, ternyata sangkaan saya meleset.


Kami merentasi lorong menuju ke sungai untuk menaiki sampan. Menaiki sampan adalah aktiviti wajib bila berada di sini.

Tidak berani?


Maaf ya, tidak ada jalan untuk berpatah balik. Kuatkan azam dan teruskan sajalah.


Awas ya apabila menaiki sampan ini, patuhi langkah-langkah keselamatan ini:-

Pertama:- Naik seorang demi seorang. Orang seterusnya naik hanya selepas orang sebelumnya telah duduk.

Kedua :- Berpijak di tengah-tengah perut sampan. Ini akan mengekalkan keseimbangan sampan. 


Ketiga :- Kalau rasa diri tidak pandai berenang, janganlah buat banyak sangat pergerakkan sewaktu berada di dalam sampan.


Keempat :- Jangan sesekali meletakkan tangan anda di luar sampan. Itu untuk keselamatan jari-jemari anda kerana sampan-sampan ini sentiasa berlaga di antara satu sama lain, kalau terhimpit jari anda, siapa yang akan bertanggungjawab?


Kelima :- Sama seperti menaiki sampan, begitulah juga tatacara jika anda ingin turun dari sampan. Jangan gopoh.


Seronoknya menaiki sampan. 

Jangan ditanya bagaimana perasaan saya didalamnya. 


Yang penting bagaimana saya menikmatinya... 

Lihatlah keadaan sampan-sampan ini apabila di tengah perjalanan.

Adalah digalakkan untuk memberikan tips kepada pengayuh sampan ini. Biasanya sekitar VND30k untuk sebuah sampan.


Lagipun ini cara mereka mencari rezeki, dan mereka juga bukanlah orang senang. 

Sudah naik sampan, kami naik kereta kuda pula. Kudanya kecil je, macam kuda padi pun ada. Kasihan pula bila melihatnya terpaksa mengheret kami yang ramai ini. 

Satu kereta kuda biasanya memuatkan 5 orang penumpang, itu adalah hadnya.

Kepuasan.... 
Selepas turun daripada kereta kuda, ternampak pula makcik-makcik menjual buah dan biji teratai. 

Setangkai biji teratai VND5000, buah jambu batu merah pula sekilo VND20k. Sangat murah. 


Apa lagi borong biji teratai tu untuk kudapan. Buah jambu pula telah dihabiskan oleh Rohimah. ala...


Tapi nasib baik Rohimah memberikan saya 4 biji jambu. Seronok sangat... thank you my deary friend. 


Maka selesailah sudah lawatan kami ke pulau di Delta Mekong. Tiba masanya untuk kami kembali ke daratan tanah besar.
Kami menikmati juadah tengahari kami di satu perkampungan di My Tho, entahlah apa namanya, namun di situlah kami makan dan solat.
Inilah kedai tempat kami makan dan solat. Mereka juga fasih berbahasa Malaysia.
Inilah dia biji teratai mentah yang saya beli di Mekong. Rasanya lemak-lemak tawar saja, namun ranggup. 

Kawan saya pernah pesan kalau nak makan bijinya kena buang dahulu tunas yang di dalam biji itu untuk membuang rasa kelat dan pahit. Tetapi, apabila dimakan tanpa membuangnya, tidaklah rasa pahit itu membuatkan keenakkan biji teratai itu terjejas. 

Masih juga ianya sangat enak dimakan dengan rasa yang tersendiri. Akhirnya semuanya saya makan tanpa membuang tunas hijau yang di dalamnya. Bukanlah rajin sangat kan nak membelah setiap biji untuk membuang tunas sebelum makan kan?

Makan sajalah...

***************************
Night at Sai Gon City


Nama pun bercuti kalau terperap dalam bilik itu, rugilah namanya. Jadinya, di sebelah malamnya kami merayau sehingga ke Notre Dame, dan Post Office Saigon. Kemudian, tanpa arah berjalan semula ke hotel kami.

Suasana malam di pusat bandar memang sangat meriah. Di kebanyakkan kawasan memang warganya dan juga para pelancong melakukan pelbagai aktiviti untuk mengisi waktu senggang di malam hari.

Pejabat Pos Lama Saigon di waktu malam.

Kompleks membeli belah.

Kami tidak masuk pun, jalan-jalan di sekitar bangunan sahaja. Entahlah, kami tidak begitu berminat dengan aktiviti membeli-belah di pusat sebegini sebab rasanya di Malaysia pun kami jarang-jarang mengunjunginya melainkan ada keperluan khusus.

Apa-apa pun, yang menarik tentang Saigon adalah bagaimana mereka sangat berasimilasi dengan alam semulajadi.

Menambahkan seri kepada bangunan ini.
Tengah bergembira bersiar-siar sekali hujan turun mencurah-curah. Kami telah bersedia dengan baju hujan tetapi apabila hujan terlalu lebat, kami pun tidak ingin mengambil risiko.

Maka, kami memutuskan untuk berhenti seketika sementara menanti hujan reda.
Lihatlah keadaan di saat hujan yang mencurah-curah ini. Semua pejalan kaki telah lari menyelamatkan diri.

Baru berhajat untuk lepak-lepak di situ. Tidak sempurna hajat kami.
Kami tidak menunggu sehingga hujan betul-betul berhenti. Alamatnya, kami tidak akan ke mana-manalah.

Apabila hujan agak kurang, kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan. Berjalan-jalan tanpa arah.

Lantas satu hal yang amat saya sedari, District 1 Saigon sedang mengalami pembangunan yang agak drastik. Bangunan-bangunan baru bercirikan pengaruh Perancis didirikan semula di kawasan di mana satu masa dahulu terletaknya rumah-rumah kedai. 

Menakjubkan.

Friday, 8 April 2016

A Journey to Cai Be - 21st Dec 2015

Saya tidak pernah berkunjung ke Cai Be. Walaupun ianya terletak di Mekong Delta, tetapi di lokasi yang berbeza dengan My Tho. Kunjungan ke HCMC kali ini merupakan kunjungan saya yang ke-4. Kebiasaanya agensi perlancongan akan membuat kunjungan ke My Tho bagi mewakili Delta Mekong.

My Tho, kedudukannya lebih dekat berbanding Cai Be, perbezaan jarak masa perjalanan lebih kurang 1 jam. Jadi kali ini, saya berhasrat untuk melihat sisi lain Delta Mekong iaitu Cai Be. 


***********************************************************


 HCMC @ Saigon menurut pandangan saya.


1.     Saigon adalah sebuah bandar yang mana lalu-lintasnya sangat sibuk, dan makanan halalnya tersangat mahal, seperti menikmati hidangan di Secret Recipe jika berada di Malaysia bahkan lebih mahal. Lantas saya bersyukur kerana saya warga Malaysia, walaupun pakaian agak mahal tetapi makanan jauh lebih murah. Kita lebih memerlukan makanan daripada pakaian. Bukankah?


2.    Matawang luar negara diterima dengan meluas untuk urusan jual-beli, namun ada juga yang hanya menerima Vietnam Dong sahaja. Kadar sewa bangunan sangat tinggi, dan ada yang dikenakan dalam USD. Kawan saya, Vietnam Champ iaitu Rohimah (FB : Himah Ro - boleh hubungi beliau untuk merancang percutian anda ke Saigon) memberitahu, sewa kedai makan di Jalan Ah Ninh adalah USD4,000 sebulan. 


Wow, jadi mungkinkah untuk harga makanan menjadi murah? Walaupun barang mentah boleh didapati dengan harga yang sangat murah, kadar sewa yang terlalu tinggi ini akan mempengaruhi harga makanan untuk menjadi sangat mahal.

3.     Orang tempatan kebanyakkan sangat peramah, jika mereka mampu berbahasa Inggeris atau berbahasa Melayu, anda pastinya sangat penat melayan mereka bersembang. Mereka sangat berminat untuk bercerita dan juga mendengar cerita kita. Pelbagai cerita boleh dikongsikan bersama.



**************************************************************


Perjalanan ke Cai Be bermula sekitar jam 8 pagi waktu tempatan. Bas yang menjemput kami akan menjemput pelancong daripada hotel lain pula. Kedengaran perbualan di antara Vietnamese yang kini menetap di Amerika bersama kawannya Malaysian Chinese yang juga telah lama bermaustatin di Amerika, "Pagi ini saya hanya pusing-pusing HCMC untuk ambil orang sahaja.!" Bagaimana saya dapat tahu tentang mereka? Oh, saya berbual dengannya sewaktu di Cai Be. 
Dia teruja untuk bertemu Malaysia Malay, teruja untuk menggunakan Bahasa Melayu. yang telah lama ditinggalkannya...........




"Where are you from?" A Vietnamese Tour Guide




"Malaysia.." Me




"I love your country." A Vietnamese Tour Guide


Perbualan ringkas di antara saya dan Pemandu Pelancong warga tempatan di Hentian Mekong mengubah persepsi diri saya. Jangan melihat hanya daripada satu sudut, tetapi lihatlah daripada pelbagai sudut, maka pintu-pintu kesyukuran akan terbuka luas.

Perjalanan ke Cai Be mengambil masa di antara 2.30- 3.00 jam. Saya telah dimaklumkan bahawa sukar untuk mendapat makanan halal di Delta Mekong, jadi kawan saya Dom telah mengingatkan saya agar membawa roti atau biskut untuk alas perut. Pasar Terapung Cai Be menjadi inspirasi saya untuk berkunjung ke situ, untuk melihat hakikat sebuah Pasar Terapung.


Setiap orang dicaj sebanyak USD36. Harga yang lebih murah berbanding pakej yang ditawarkan oleh hotel yang saya menginap. 
Lawatan kami diketuai oleh Mr Honda, selaku Pemandu Pelancong dan Mr Tiger, pemandu bas kami. Mr Honda merupakan seorang yang sangat bersemangat, bercerita tentang sejarah ringkas HCMC yang menurut saya, kebebasan beragama adalah sesuatu yang harus diamalkan untuk mengekalkan keamanan sesebuah negara atau pun wilayah.


*******************************************************************


Selepas 1 jam perjalanan kami singgah di kawasan Rehat dan Rawat Mekong (Mekong Rest Area), secara khususnya dimanakah terletak kawasan ini saya menjadi tidak jelas. Yang pastinya, kami hanya singgah di satu kawasan rehat bagi satu arah perjalanan.


Saya suka memanfaatkan setiap kali persinggahan untuk menjamu lensa kamera saya. Uniknya, setiap kawasan hentian rehat mempunyai lanskap yang sangat menarik, termasuklah hentian rehat ini. 



Kami berhenti lebih kurang 30 minit. Di samping memenuhi keperluan ke tandas, masa-masa yang terluang saya berjalan di segenap ceruk hentian rehat ini untuk menelusuri budaya masyarakat setempat.

Satu hal yang tidak dinafikan, sebagai satu komuniti di Asia Tenggara, kita mewarisi jika tidak banyak, pasti ada sedikit persamaan.


Gambar-gambar di bawah adalah sebahagian daripada gambar-gambar yang telah saya pilih untuk dikongsikan dengan anda semua.



Buah ini boleh dimakan, tetapi ia tidak memenuhi citarasa saya. Terlupa, apakah namanya.

Oh, ia dikenali sebagai "Vietnam Apple". Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang buah ini, anda boleh pergi ke Carian Google dan mencari buah ini.


Ingat, kata carian anda mestilah "Vietnam Apple." Di Malaysia buah ini dikenali sebagai Buah Susu, tetapi saya tidak pernah temuinya. Barangkali sudah pupus atau hanya berada di perkampungan-perkampungan yang jauh dari kota.





Kolam kecil untuk melengkapi lanskap. Airnya memang keroh, mungkin disebabkan oleh faktor tanahnya.
Lihat pada tiang buluh itu. Kelihatan bergantungan beberapa kraftangan yang saya rasakan ianya digunakan untuk menangkap ikan.

Betulkan saya jika saya tersilap.

Deretan keladi di sepanjang laluan perjalan kaki.


Tempayan-tempayan yang disusun dengan rapi, saya tidak pasti apakah isi kandungannya.
Pegaga yang tumbuh dengan sangat subur. 

Di rumah saya juga menanam pegaga ini, keluarga saya suka menjadikannya ulaman. Saya pula, biasalah, bila sering menghias pandangan saya, malas pula untuk mengambilnya untuk dijadikan ulaman.



Jambatan buluh yang menghubungkan di antara dua tebing kolam.


Orkid-orkid yang ditanam di dalam buah kelapa yang telah disesuaikan dan disusun dengan kemasnya. 

Segala-galanya bercerita tentang menghargai alam dan bagaimana memanfaatinya.

"Puteri Duyong yang telah sesat di sini dan disumpah menjadi patung emas."

Saya bergurau sahaja. Bertentangan dengan pancuran Puteri Duyong ini adalah pancuran Putera Katak seperti gambar di bawah.

30 minit telah saya manfaatkan sepenuhnya. Rasanya masa telah bergerak terlalu pantas. belum puas untuk berada di sini.

Perjalanan diteruskan untuk menuju ke destinasi yang sepatutnya.


Di sini terdapat jualan untuk minuman termasuklah buah kelapa, jadi anda boleh menikmatinya, segar dari buahnya. Saya tidak pasti harganya kerana saya tidak mencuba. Turun saja daripada bas, terus menuju ke tandas awam, kemudian asyik dengan kamera.


Jangan risau, tandas di hentian ini siap dengan hos getah dan juga percuma tanpa sebarang caj. Alhamdullillah, selama saya berkunjung ke Saigon saya tidak pernah mengeluarkan duit saya untuk membayar caj masuk ke tandas.


Perjalanan diteruskan.


*************************************************************



Akhirnya kami tiba ke Jeti Cai Be. Jikalau saya google "Floating Market Cai Be", gambar-gambar yang keluar, Mashaa Allah, pastinya membuatkan saya sangat teruja untuk berkunjung ke sini. Sangat cantik dan sibuk dengan aktiviti.

Namun, apa yang saya lihat, "Indah khabar dari rupa.

Mr Honda memberitahu kami bahawa di Pasar Terapung Cai Be, urusan jualan adalah dalam bentuk borong. Untuk satu bot, mereka hanya akan menjual satu hasil atau produk.

Rumah-rumah yang dibina di tebing sungai pula, sememangnya dibina untuk memudahkan urusan di darat dan juga di air.

Longgokan labu lemak yang membusut tinggi.
Bot yang akan dinaiki kami.


Beriringan dengan bot lain.
Pasar Terapung Cai Be, mungkin sudah berakhir aktivitinya lantaran matahari sudah naik tinggi. Suasana di tapak pasar terapung sangat-sangat lenggang.

Lenggang dengan hanya beberapa buah bot yang kelihatan.



Mr Honda menyatakan bahawa adalah lumrah untuk melihat beberapa buah bot diikat untuk menjadi satu seperti gambar ini.

Ada di antara bot ini dijadikan kediaman. Anda dapat menjumpai rumah bot di Delta Mekong dengan sangat mudah. Ada rumah bot yang hanya terdiri daripada satu bot, dan ada juga yang diikat daripada beberapa buah bot.


Segala aktiviti kehidupan mereka berlaku di atas air, seperti kata Mr Honda: 



"In Saigon, a man should have a motorbike, if not you'll have no girlfriend, while in Mekong Delta, a man should have a bot, if not you'll also have no girlfriend."

Ada benarnya kenyataan ini kerana aktiviti di Delta Mekong terutamanya di Cai Be berlaku di atas bot. Hasil-hasil pertanian daripada kawasan berhampiran akan didagangkan di sini. Namun, untuk pembeli runcit seperti saya, saya membeli buah-buahan tempatan di "Land Market" selepas kami selesai melawati seluruh kawasan ini.


Buah jambu air madu yang biasanya dibeli dengan harga RM10/kg di Malaysia hanya berharga VND5,000/kg bersamaan RM1/kg di "Land Market."


Saya lebih menyakini untuk membeli buah-buahan dari pasar-pasar yang mana hasil jualan diperolehi daripada kawasan berhampiran berbanding membelinya di Ben Thanh di samping harganya yang mana pastinya lebih mahal, kerana kebanyakkan buah-buahan yang dijual di situ datangnya dari Dalat dan juga kerana kedudukannya di kawasan utama pelancong. 


Jika anda ingin tahu jawapannya, silalah mencari maklumat sendiri ya. Sekarang amat mudah untuk mendapatkan maklumat, bak kata "Dunia hanyalah di hujung jari".





Deretan-deretan bot yang berikat di antara satu sama lain.
Bot ini membawa muatan tembikai. Kecur rasanya, terbayangkan tembikai yang sangat manis dan berjus. 
Kawasan penempatan di pinggir Delta Mekong.

Selepas membuat pusingan U, kami bergerak meninggalkan kawasan Pasar Terapung Cai Be. Menuju ke kawasan lain untuk melihat aktiviti penduduk setempat.


Di Delta Mekong, pertanian merupakan aktiviti utama. Tetapi, setakat kunjungan saya ke My Tho (2 kali) dan Cai Be (1 kali), setiap pulau-pulau yang lawati di Mekong Delta tidak pula menanam padi. Mungkin bentuk bumi atau tanahnya tidak sesuai.



Gereja yang dapat dilihat dari kejauhan.

Masjid mudah ditemui di Saigon, untuk di kawasan lain mungkin agak sulit.



Buluh-buluh yang ditegakkan. Tujuannya? Oh, saya tidak pasti.


Baiklah, kami telah sampai ke kawasan industri kampung, istilah yang sering digunakan di Malaysia.
Lelaki yang memakai t-shirt biru muda adalah Mr Honda, pemandu pelancong saya kali ini.

Di sini, saya telah melihat proses untuk:-

1 - penghasilan "rice paper" (kulit popia yang berasaskan beras). Ia adalah produk utama Vietnam.


2 - penghasilan "pop-rice", seperti bertih beras atau kiasnya seperti "bekpang" bagi orang Terengganu. Bezanya ianya tidak seranggup bekpang.


Saya tidak menyarankan anda untuk membeli rice paper di sini, belilah apabila anda telah kembali ke Saigon. Kebanyakkan produk makanan di sini berharga VND30,000 setiap satunya tidak kisahlah apa jua jenis barangnya. Bagi saya, ianya mahal. 


Kenapa saya tidak galakkan anda untuk membeli rice paper di sini? Ini kerana saya sendiri ragu dengan tahap kebersihannya, yang saya lihat hanyalah proses untuk menghasilkan rice paper dari kukusan, tetapi saya tidak tahu dimanakah ianya dijemur.


Apabila menelusuri denai-denai perjalan kaki, saya lihat begitu banyak rice paper yang dijemur untuk dikeringkan dan di situ juga terdapatnya anjing-anjing yang berkeliaran. Tempat jemuran pula hanya dipermukaan tanah.


Tentang penghasilan pop rice, ianya lebih bersih dan selamat. Tidak ada bahan-bahan yang meragukan. Anda boleh lihat gambarnya nanti, atau jika tidak sabar, skrol saja ke bawah.



Antara kraftangan yang dijual. Patung-patung wanita Vietnam dalam pakaian tradisional mereka iaitu Ao Dai (Baju Panjang), merupakan produk perlancongan yang paling dikomersialkan.

Kawan saya, Dom pernah menghadiahkan dua patung berkenaan, tetapi diperbuat oleh tanah liat berharga VND10,000 dan VND25,000. Saya masih simpan hingga sekarang.

Cenderamata di sini hanyalah untuk kamera saya. Saya langsung tidak bertanyakan harganya.

Ianya cantik, tetapi pastinya mahal.

Penghasilan pop rice.

Yang kekuningan di luar kuali itu adalah serkam padi. Mereka menggunakan serkam padi sebagai bahan bakar. 


Saya terlupa apakah yang berwarna hitam di dalam kuali itu. Ianya akan dipanaskan sehingga sangat panas sebelum dimasukkan beras yang telah disediakan.

Apabila dimasukkan beras, ianya perlu dikacau dengan segera dan cepat sehingga semua beras menjadi pop rice.

Kemudiannya, beras itu akan dimasukkan ke dalam kota kayu yang kelihatan di dalam gambar, untuk ditapis bagi mengasingkan bahan yang berwarna hitam itu tadi.


Setelah siap diasingkan, ianya akan dimasukkan ke dalam bekas yang telah disiapkan karamel gulanya atau apa jua perasa karamel yang lainnya.



Di sini mereka memerlukan dua orang untuk meratakan pop rice dengan cepat sebelum pop rice menjadi sejuk.

Apabila telah rata dan sekata, ianya akan dituang ke dalam acuan kayu seperti gambar di bawah dan dibiarkan sejuk.



Okay siaplah pop rice hari ini. masa yang dimabil untuk menyiapkannya hanyalah sekitar 10 minit sahaja daripada mulai menggoreng bahan hitam itu sehinggalah ke bekas penyejukkannya ini.

Selesai di sini, kami kembali ke kawasan cenderamata tadi. Ini kerana susunan bangunan ini di mana, proses penghasilan pop rice terletak di belakang dan harus melalui bahagian cenderamata, makanya, selepas melihat proses berkenaan, bolelahlah untuk sesiapa yang berminat membeli-belah.


Beli 5 percuma satu. Jadi untuk mendapatkan percuma VND30,000 anda kenalah membelanjakan sebanyak VND180,000.



Sudut yang berbeza kawasan cenderamata.


Kraftangan yang diperbuat daripada tempurung kelapa.

Selesai membeli-belah, kami pun beredar. Menuju ke kawasan yang berbeza di perkampungan itu.

Seni halus - 5 Vietnamese ladies in  white Ao Dai

Maaflah, tidak sempat untuk melihat setiap karya seni yang dipamerkan di sini. pemandu pelancong berjalan dengan sangat cepat, khuatir jikalau tercicir tidak ada sesiapa yang perasan.


Saya sukakan karya seni halus sebegini, dan saya juga tahu, mengambil gambar karya orang sebegini juga salah. Andai satu masa anda berkunjung ke Vietnam, cubalah untuk pergi ke tempat yang mengumpulkan seni halus mereka.



Saya kira menuju ke kawsan kampung yang lain, rupanya bot yang kami naiki sudah siap menunggu di pangkalan yang berlainan.

Kami kembali menaiki bot untuk ke destinasi yang seterusnya. Cuaca hari ini sangat panas, namun syukur kepada Allah swt kerana, angin yang berhembus mampu mengurangkan keperitan pada kulit wajah.

Lihatlah mata yang berwarna merah garang pada bot itu. 

Garang kan?



Kapal penggorek pasir.

Katanya, pasir-pasir dari Vietnam banyak dieksport ke Singapura. 


Tiba-tiba terlintas, satu masa dahulu, Singapura banyak mengimport pasir dari Johor. Masihkah ianya berlaku?


Apabila mengenangkan Sungai Pahang yang tercemar teruk oleh aktiviti penggorekan pasir terus hati menjadi sakit. Namun siapalah mentimun untuk membadai durian.



Di tebing sana adalah Mekong River Cruise, yang mana pakejnya adalah bermalam di dalam cruise. 

Harga pakej pelbagai, bergantung kepada jumlah hari dan perjalanan yang dilalui. Saya tidak pernah mencubanya. 


Sesiapa yang berminat bolehlah cuba dan kongsikan pengalamannya.



Lihat wanita-wanita Vietnam? 

Bagi saya mereka sangat hebat. Sangat rajin dalam membantu suami mereka untuk meningkatkan ekonomi suami mereka.


Tenaga mereka memang sangat membuatkan saya berasa kagum. Ketabahan dan kekuatan mereka memang membuatkan saya berasa rendah diri.


Tidak hairanlah, apabila dikatakan, "jauh perjalanan, luas pandangan." Sesekali kita perlu keluar dari kepompong kita untuk melihat dunia di luar sana.



Jantung sudah berdegup kencang, mahunya tidak, selalunya sebelum ini saya menaiki bot penambang ini dari pangkalannya. Saya rasa lebih selamat berbanding berpindah dari bot besar ke bot kecil.
Setiap bot mampu memuatkan maksima 4 orang penumpang sahaja.

Lihat, siapakah yang mengemudi bot penambang itu? Wanita!


Tips untuk selamat, pastikan anda sentiasa memijak di tengah-tengah perut bot penambang. Jangan tergesa-gesa ingin naik. Apabila penumpang pertama sudah duduk, maka barulah penumpang seterusnya naik dan ulangi juga hal yang sama.



Anda akan dibekalkan dengan satu terendak (Topi dari daun mengkuang) untuk melindungi kepala dan wajah anda daripada panas.

Pelampung, jika tidak dibekalkan, anda boleh bertanya kepada mereka. Ada di antara mereka boleh berbahasa Inggeris walaupun tidak mantap.


Biasanya kalau menaiki bot penambang, saya akan kurangkan penggerakan badan untuk memastikan ianya sentiasa seimbang. Maklumlah, saya tidak pandai berenang.



Perjalanan kami bermula dari tengah Mekong Delta, bergerak memasuki anak sungai kecil menuju ke tengah pulau. 
Di sepanjang perjalanan menelusuri anak sungai, kelihatan pokok-pokok jambu air yang sedang berbuah ranum di sana sini. Sedapnya.
Yang ini gambar yang lebih dekat. Terasa keseronokan yang tidak terkira melihat buah jambu berjuntaian dan merah pekat. 

Alangkah nikmatnya jika di belakang rumah saya juga ada pokok ini. Hari-hari saya berkelah di bawah pokoknya.

Akhirnya, setelah lebih 20 minit teroleng-oleng di perut perahu tanpa jaket keselamatan akhirnya kami sampai ke pangkalan. Di sini kehebatan pengayuh wanita iti teruji lagi untuk meluruskan perahunya demi memastikan kami dapat melangkah keluar ke tebing dengan selamat.
Buah jambu lagi. 

Dalam perjalanan menuju ke sebuah rumah untuk menikmati pertunjukkan tempatan, Mr Honda membenarkan kami memetik buah jambu yang terletak di tepi jalan.

Atas kebenarannya, maka saya pun memetiknya. Sedapnya... ranggup, enak dan sangat segar.

Pertunjukkan lagu tempatan. Tidak faham pun, namun dengari saja lagunya dan alunan irama muziknya.

Keindahan lagu tidak memerlukan kita untuk faham bait-baitnya.


Selepas nyanyian ada pula persembahan ala-ala teater muzikal. Tapi sebab memang tidak faham, saya tidak melayaninya sangat.  Di sini sambil menikmati persembahan, kami dihidangkan dengan buah-buahan tempatan. Air kelapa juga boleh dipesan dengan harga VND20,000.



Pokok bonsai yang dibentuk menggunakan dawai. Pokok ini adalah daripada spesies pokok siantan.

Masalah jika memilih pakej lawatan sebegini adalah mengenai makanan halal dan juga tempat untuk solat. 


Jika anda seorang yang sangat sensitif dan penuh was-was saya cadangkan anda untuk membawa makanan sendiri. 



Selepas kembali ke bot, kami menuju ke tempat baru untuk menikmati makanan tengahari. 

Juadahnya adalah nasi putih, babi (ramai orang kata istilah babi itu kasar, maaflah saya dah biasa panggil babi, itu bahasa melayu kan? Khinzir itu bahasa Arab.), dan sayur... Apa pilihan? Saya tidak membawa bekal makanan.


Jadi saya dan Muslim lain diberikan telur rebus untuk menggantikan babi itu. Dengan erti kata lain, "Vegetarian Food." Saya lebih menyakini "vege food" berbanding penyediaan makanan laut sebab vege food tidak ada alkohol.


Selesai makan, kami diberikan masa untuk berehat, menaiki basikal atau berjalan-jalan di kawasan sekitar, atau berehat dalam buaian @ "hammot". Kami memilih untuk mendirikan solat, sedihnya kawasan ini memang tidak ada surau atau bilik yang sesuai.


Apabila bertanya kepada Mr Honda, saya hanya ditunjukkan kawasan seperti ruang kedai yang kosong, berbumbung tapi tidak berdinding, lantainya bersimen tetapi kotor, tentang soal najis saya tidak pasti, ada dua meja. 


Di situlah kami solat, pandai-pandailan ya. Sebab untuk jamak dan tunggu sehingga kami kembali ke Saigon, tidak mungkin sempat. Mengikut perancangan, kami akan tiba ke Saigon selepas maghrib atau menghampiri Maghrib. Jangan ambil risiko. Untuk mengelakkan masalah, bawalah telekung sendiri, dan juga alasnya.



Selesai rehat dan solat. Kami kembali ke bot untuk menuju ke jeti utama.

Terserempak pula dengan rombongan pengayuh wanita dengan pelancong-pelancongnya.

Ini adalah Stesen petrol yang terapung sepenuhnya. Saya tidak temui dia di Malaysia. Sebab itu saya ambil gambar.

Tinggi nilainya untuk saya.


Okay, ini sahajalah perkongsian saya untuk lawatan ke Cai Be. Lain orang lain pengalamannya. Nasib saya pada kunjungan kali ini, hanyalah ini rezeki saya.


Selamat berkunjung dan jangan lupa untuk mecipta pengalaman anda sendiri.