Friday, 9 December 2016

Island Trip Bukit Keluang, Besut, Terengganu - Second Visit on 13th Sept 2016

Setelah sekian lama tidak berceloteh dan berkongsi pengalaman akhirnya hari ini tercetus keinginan untuk berkarya.  Adakalanya, keinginan yang melonjak-lonjak itu mampu menghasilkan satu karya yang lebih indah penggunaan bahasanya dan terasa lebih dekat dengan hati.

***************************************** 

Berbalik pada tunjang utama, catatan tentang Bukit Keluang pernah saya kongsikan suatu masa dulu. Di situ telah saya kongsikan tentang keindahan pemandangan dari puncak bukitnya dan juga keindahan pantainya yang subhanallah, memukau "pancaindera penglihatan" kita.

Saya kongsikan dengan anda semua url artikel tersebut untuk anda selusuri setiap patah katanya jika anda belum membacanya atau menatap gambarnya:-

1.    http://mylovelypic2u.blogspot.my/2016/10/pantai-bukit-keluang-besut-terengganu.html

2.   http://mylovelypic2u.blogspot.my/2016/10/hiking-bukit-keluang-besut-terengganu.html

****************************************
Berbeza dengan kunjungan yang terdahulu, kunjungan kali ini disertai oleh anak-anak saudara saya dan juga adik saya yang telah berkeluarga. Jika dulu, lawatan kami hanya sebuah kereta, kali ini kami ke sana dengan 3 buah kereta. Pastinya lebih banyak kerenah, lebih meriah jadinya.


Berhati-hati dengan dengan haiwan ternakan yang banyak berkeliaran di kawasan ini.

Ini masih di Kuala Berang, terpaksa berhenti di sini kerana ini adalah titik berkumpul 3 buah kereta yang datang dari kampung yang berbeza. Biasalah, apabila penyertaan melibatkan 5 buah keluarga, pengurusan masa menjadi isu yang susah untuk dikawal. 

Keadan lalu-lintas hari ini, alhamdullillah tidaklah terlalu sesak. Mungkin masih ramai yang kunjung-mengunjung kerana hari ini adalah Aidil Adha yang ke-3. Bahkan masih ada yang melakukan ibadah korban, dan tidak kurang juga yang mulai bergerak untuk kembali ke kota Kuala Lumpur selepas bercuti di kampung halaman.

Laluan ini merupakan salah satu laluan utama untuk warga Kelantan kembali ke Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan juga selatan Semenanjung.

*********************************************
Akhirnya.....

Kami sampai juga ke destinasi dan amat mengejutkan kerana terlalu ramai pengunjung pada hari ini. Sangkaan saya meleset. Kononnya ramai orang masih beraya, rupanya perantau kota juga memanfaatkan peluang bercuti ini untuk berkunjung ke sini. Parkir kereta boleh dikatakan hampir penuh. Kedai-kedai dan penjaja beroperasi sepenuhnya, cumanya kami sampai agak awal, jadi tandas awam masih belum beroperasi. Aduhai....

Terpaksalah menggunakan tandas surau yang diwakafkan, sayangnya surau itu terlalu kotor. Kotor juga disebabkan orang yang menggunakannya yang tidak memiliki akhlak yang bagus, yang tidak mencucinya sebaik mungkin usai menggunakannya.


Kami tidak dapat parkir yang berdekatan dengan Bukit Keluang pagi ini, kami hanya dapat parkir yang agak jauh. "Better than nothing". Sambil bergerak menghampiri laluan pendakian kami, saya ambillah beberapa keping pemandangan unuk dijadikan tatapan saya kemudian hari.


Pokok-pokok rhu yang membentuk satu lingkungan pemandangan indah di tebing sungai. Sungai ini tidak bersambung dengan lautan, tetapi saya tidak pasti sewaktu air pasang kerana setiap kali saya berkunjung ke sini, air sentiasa surut. 

Saya beruntung, jika tidak, tidak dapatlah saya bermain air sepuas-hati.

"Another view".




Bergambar dulu sebelum mula mendaki. Ini sangat penting.

Penting untuk anda semua melihat betapa berkobar-kobarnya kami semua untuk menawan puncak Bukit Keluang sepanjang lebih kurang 1km itu di laluan kami.
Ada di antara kami ini yang mana langsung tidak pernah mendaki bukit. Makanya macam-macamlah takdirnya.

Ada yang pitam walau baru 100 meter mendaki, ada yang pancit, ada yang muntah-muntah...macam-macamlah..ada yang hampir mengalah... ada yang tersangat bersemangat, ada yang tenang.... hehehehe


Namun syukur semuanya dapat sampai ke puncak meskipun masa yang diambil tersangat lama. Tidak mengapalah, daripada langsung tidak dapat menatap pemandangan lautan biru kehijauan di puncak.

Bagi saya dalam riadah mendaki, kita jangan sesekali memaksa, mental memang kena kuat sebab kuasa mental mampu membuatkan sesuatu yang asalnya mustahil, berubah.

Mendaki adalah segala-galanya tentang "inner energy and mind setting". Kalau mental mengatakan tidak boleh dan kita turuti, maka berakhirlah.

Tetapi jika mental mengatakan boleh dan ingin menguasai, maka pasti boleh.


Setelah lebih sejam menunggu barulah lengkap rombongan kami. Yang sampai awal, menunggu dengan taat demi memberikan sokongan yang tidak bertepi.

Untuk melengkapkan sesi bergambar kami. Wajah-wajah yang sampai memanglah over, manakala yang sampai agak lambat wajahnya memang kepenatan.

Tidak mengapalah, pengalaman itu yang terindah. Teringat madah kawan saya yang merupakan Ketua Kelab Mendaki Politeknik Port Dickson, "Dalam mendaki puncak merupakan satu bonus, tetapi pemandangan di sepanjang perjalanan adalah untuk dinikmati. Kerjasama erat sebagai satu pasukan amat penting. "


Belanja gambar sekeping dua.

Jangan tidak percaya ya, yang pegang selfie stick tu, pitam tadi siap terbaring di tepi denai mendaki.

Sekarang dia pula terlajak seronok berselfie.
Bagi peluang pada belia-belia negara ini bergembira.
Sebenarnya tidak digalakkan untuk keluar dari besi penghadang itu.

Sebelum ini pernah ada yang terjatuh kerana ber"selfie". Akibatnya, saya tidak pasti, ada yang mengatakan meninggal, dan ada yang mengatakan parah.
Cuaca yang sangat baik, alhamdullillah. 
 Melayan adik bergambar di sini. 

Tiang ini merupakan tempat wajib bergambar.
Hahahahaha...
Salah tempat untuk bergaya ala-ala di buritan Titanic. Tidak mengapalah anak, kapal titanic tak ada di sini. Puncak bukit ini pun, bolehlah.

Kami turun Bukit Keluang pun menjelang tengahari. Masa banyak terbuang kerana menunggu dan bergambar. Menjadi "sweeper" adalah perkara biasa bagi saya, dengan syarat puncak telah saya tawan. Heheheh...sedikit mementingkan diri sendiri bukan?

Bila tengahari, perut mulalah menyanyi keroncong. Berhimpunlah kami semua untuk aktiviti makan bekalan yang dibawa. Sekali tidak cukup... Nasiblah.


*********************

Sudah makan, kami merancang untuk ke pulau dan juga menaiki bot pisang.

Kos:-
1. Bot pisang - RM10 seorang atau minima satu bot RM60. 
2. pergi pulau + snorkelling - RM30
Kadar caj mungkin bertambah disebabkan pelbagai faktor. Lagipun, kebanyakkan barangan keperluan di Malaysia mendadak naik harganya.

Bersedia untuk naik bot pisang. Saya sebenarnya penakut tapi tetap beranikan diri untuk mencipta satu pengalaman. Anak-anak saudara pula lelaki, siap diberi amaran, jangan nak jatuhkan diri di tengah lautan. Gayat punya pasal.
Wow....

Teruja bercampur takut. Cukuplah sekali untuk pengalaman. Untuk yang seterusnya, tunggulah saya pandai berenang dulu.

Bila?

Entahlah...
Sekali bot yang menarik kami kehabisan minyak di tengah-tengah lautan ni. Aduhai..tak tahulah rezeki atau apa.

Jejaka-jejaka berani tak payahlah diceritakan, keterujaan mereka memang keterlaluan. Sambil menunggu bot lain menghantar minyak, mereka semuanya terjun dan berenang sepuash hatinya.

Apa-apalah bujang semuanya, jangan ditarik Cik Ana sudahlah.
Lama juga kami berada di tengah lautan itu. Jenuh jugalah.

Bila sampai bot yang menghantar minyak, kami diminta untuk menaiki bot pisang berkembar. Waaaa... berpindah bot pisang di tengah-tengah kebiruan air. Huru-hara dibuatnya. 

Tapi terpaksalah juga... satu lagi pengalaman yang berbeza.

Punya nakal bujangan ini, minta pula kepada penarik bot pisang itu untuk jatuhkan kami ke air. Tetapi, baru saya tahu, bot pisang berkembar tidak boleh jatuhkan orang ke air.

Tunggulah kami di persisir air sehingga bot pisang yang kami naiki pada awalnya kembali. Rupanya ada hasrat anak muda ini. Menuntut janji untuk dijatuhkan ke dalam air. Terpaksalah akur pengusaha bot pisang itu lantaran bayaran telah dilunaskan.

Untuk sebuah pengalaman yang tidak ternilai, saya turut serta. Sebelum dijatuhkan, mereka telah berpesan untuk melepaskan tangan demi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini. Terjatuhlah kedalam air... Saya kurang bernasib baik. Salah seorang anak saudara saya jatuh ke atas kepala saya. Tragis..

Seorang anak saudara perempuan saya pula tersangkut di bot pisang kerana tidak melepaskan tangan. Tegang juga raut wajah pengusaha bot itu, khuatir jika tercedera kerana menurutnya tangan boleh tercabut jika tidak melepaskan bot pisang.

Pengalaman itu terlalu mahal dan alhamdullillah kami semua selamat.

************************************

Seterusnya, aktiviti bermain air di sekitar pulau. maaflah saya tidak tahu apa nama pulaunya. Warga setempat in syaa Allah tahu. 

Jarak antara pulau dan tanah besar lebih kurang 10 ke 15 minit dengan bot. Kebanyakkan bot di sini adalah bot laju.

Saya memilih sekali dengan snorkeling.  Membayangkan airnya cetek seperti di Taman Laut Tunku Abdul Rahman, saya teruja. 

Sekali lagi sangkaan saya meleset. Airnya sangat dalam dan sesekali arusnya sangat kuat. Saya pula jenis cepat cemas. Hmmmm, snorkeling saya jadi tidak seronok. Airnya yang dalam mengecewakan. Ikan juga tidak terlalu banyak. Kami dipesan untuk tidak memijak karangan laut tetapi nasib tidak menyebelahi saya bila kaki saya terkena kerangan laut. Terluka sudah...


Aktiviti ke pulau disertai semua rombongan kami. Kalau menaiki bot pisang hanya yang berjiwa kental sahaja walaupun kekentalannya hanya setipis kabus. Hehehehehe.

Selepas snorkeling, kami hanya bermain air sahaja hinggalah lebihkurang jam 4 petang.


Masalah di sini adalah, bot akan mendarat di mana-mana sahaja di pulau, tidak ada kawasan khusus untuk mandi-manda dan untuk bot mendarat. 

Awasi keluarga anda daripada kecelakaan. 

Di satu sudut pantai ini, ada banyak karangan laut, ada yang telah mati dan hampir mati. Di kawasan karangan laut itu terdapat terlalu banyak landak laut.

Awas ya. Duri landak laut tersangat bisa. Sukar untuk mengeluarkannya jika berada dipulau lantaran tidak ada kelengkapan.


Okay, sekarang kami semua penat. Perut pun kembali lapar.

Jadi, kami ingin segera pulang ke tanah besar. Tunggulah bot yang membawa kami ke pulau tadi.

Jenuh juga menunggunya. Kadang-kadang sakit hati pun ada, sebab layanannya yang tidak seberapa.

Boleh disuruh kami menunggu lebih lama bahkan siap untuk suruh kami menaiki bot lain demi untuk kurangkan perjalanan. Haishhh...

"The best boat service I had experienced is when I was in Kota Kinabalu. They always be ready for you and never let you wait for too long. Credit to them."


Bambam kesayangan saya ini. 

Agaknya dialah yang paling seronok bermain air, sampai boleh terlelap dalam air. Nampak sangat menahan matanya daripada terlelap tetapi kecundang juga akhirnya. 
Akhirnya, kami pulang ke tanah besar. Jika ke pulau, kami menaiki satu bot. Untuk kembali ke tanah besar, kami menaiki 3 bot yang berbeza. Aduhai..

Sampai ke tanah besar lain pula masalahnya, pengunjung terlalu ramai. Bilik air atau tandas awam boleh kehabisan air disebabkan penggunaan air yang luar biasa oleh pengunjung. Pastinya mereka yang ingin membersihkan diri sendiri.

Bayaran untuk mandi RM1 seorang. 

***********************************

Aktiviti keluarga sangat sesuai dijalankan di sini, semua orang mendapat keseronokkan masing-masing. 

Aktiviti kekeluargaan bagi saya sangat penting untuk membentuk ikatan ukhwah yang erat. 
Ianya mungkin memerlukan kos yang tinggi iaitu komitmen dan pengorbanan masa tetapi tidak setanding dengan habuan yang diterima iaitu sirahtulrahim yang erat.

No comments:

Post a Comment