Tuesday, 25 October 2016

Pantai Bukit Keluang, Besut, Terengganu - 10 Jul 16

Kenalah adilkan?

Jika artikel sebelum ini saya menggunakan bahasa Inggeris, maka untuk artikel ini saya menggunakan bahasa ibunda saya yakni bahasa Melayu. 

Bukit Keluang bagi saya merupakan satu destinasi percutian pakej kerana di lokasi ini anda boleh menjalankan aktiviti yang sedikit lasak iaitu mendaki tebing tinggi yang puncak sejajar memanjang mengikuti pantainya yang sangat indah membiru kehijauan dan menerokai persisir pantai yang tidak kurang hebatnya.

Ketinggian Bukit Keluang hanyalah beberapa ratus meter tetapi cukup untuk membuatkan mereka yang mempunyai stamina yang rendah kecundang. Baiklah, lupakan tentang Bukit Keluang, ayuh kita bercerita tentang keindahan pantainya yang dukacitanya kian tercemar akibat sikap manusia yang angkuh, mementingkan diri-sendiri dan tidak bertanggungjawab.

***************************************


Sesiapayang membaca artikel sebelum ini pasti mengetahui bahawa perjalanan saya bermula dari kediaman keluarga saya di Ajil, Hulu Terengganu mengambil masa lebih kurang 2 jam. Itu pun jika kami tidak terperangkap dalam kesesatan lalu-lintas yang luar biasa.

Kami memilih perjalanan persisir pantai apabila mulai memasuki daerah Besut. Bagaikan satu gamitan memori silam apabila melihat deretan pokok-pokok kelapa yang banyak menghiasi kawasan ini.

Jiwa menjadi terlalu dekat dengan kenangan zaman kecil di mana di mana-mana lokasi di Terengganu, pokok kelapa merupakan tumbuhan wajib ada. Berbeza zaman sekarang.

Kadang-kadang terfikir bahawa kemajuan yang tidak terancang akan membunuh banyak ciri-ciri tradisi masyarakat kita. Sepertinya hal tentang pokok kelapa. Pokok kelapa merupakan satu tumbuhan yang sangat penting dalam kehidupan orang melayu amnya.


Sukar untuk melihat pokok kelapa yang banyak seperti ini di daerah-daerah lain melainkan masih wujud perkampungan nelayan di situ.

Bukit Keluang terletak di sekitar Kuala Besut. Lihatlah jarak kami dari lokasi kami sekarang.
******************
Akhirnya kami sampai juga setelah berperang dengan perasaan kami. Yalah, pertama kali datang berkunjung dan tidak tahu arah jalan. Khuatir juga jika Google maps itu tidak membantu, namun syukur pada Allah swt bahawa ianya sangat-sangat membantu.

Perkara pertama yang dilakukan oleh kami adalah makan tengahari. Kami bertolak dari Ajil sekitar jam 9 pagi. Sampai di sini menjelang tengahari, perut pun bernyanyi keroncong minta diisi. Tidak banyak pilihan yang ada. Akhirnya jaudah kami adalah nasi putih berserta lauk patin amsak tempoyak. Emak pula memilih lauk kari kepala ikan. Subhanallah, seronok melihat emak yang berselera menikmati makanannya.

Kebanyakkan perniaga masih bercuti lantaran suasana Hari Raya Aidil Fitri masih menebal semangatnya. Lagi pula, perantau-perantau kota akan memanfaatkan setiap saat bersama keluarga di hari lebaran. Mana mungkin bercuti sempena raya seperti kami, bukankah?


Usai makan tengahari kami mendaki Bukit Keluang terlebih dahulu. Ambil masa beberapa jam jugalah.

Turun Bukit Keluang, kami solat di surau yang disediakan. Sayang sungguh kerana surau yang diwakafkan itu seperti tidak berjaga dengan baik dan tandasnya juga sangat kotor. 
Menyedihkan.
Selesai solat, kami pun bermaharajalelalah berjalan di sekitar pantai. Kalau boleh kami ingin menerokai setiap inci pantai Bukit Keluang ini.

Pakcik penjual air kelapa ada memberitahu kami bahawa terdapat lebih kurang 10 gua menghadap ke lautan di kaki Bukit Keluang . Teruja pula saya.

Terus timbul ilham untuk mencari setiap gua-gua yang dimaksudkan kerana dari pembacaan saya hanya terdapat lebih kurang 7-8 gua. Jadi yang mana satu harus saya percaya, karangan dari pembacaan saya ataupun pak cik berkenaan yang merupakan warga tempatan?


Aktiviti riadah pantai hari ini tidak begitu rancak. Pengunjung pun tidak ramai, barangkali masih kunjung-mengunjung sesama tertangga. Inikan Aidil Fitri.

Saya jadikan saat berkunjung ke Bukit Keluang sebagai satu aktiviti percutian untuk emak saya yang mana hanya menghabiskan kebanyakkan masanya di rumah. Melihat dia seronok melayan jiwanya, indah juga perasaan itu.

Lihatlah dari kedua-dua arah gambar, sunyi dan agak sepi. (Rujuk gambar di atas dan di bawah.) Di hujung gambar ini adalah deretan pokok rhu.

Manakala latar belakang gambar ini adalah Bukit Keluang yang teguh memberikan perlindungan kepada warga setempat.
Permandangan dari pantai ke daratan. Hijau yang memukau.
Sekarang saya berada di persisir pantai. Kelihatan dengan jelas ada tinggalan-tinggalan konkrit dan tiang-tiang kayu di sepanjang pantai ini.

Saya tidak pasti, sisa pembinaan apakah ini. Mungkin satu masa dulu, ada binaan di sini dan telah roboh.

Hanya warga tempatan yang dapat memberikan kepastian.

Kami melangkah melewati kaki Bukit Keluang sambil mencari gua-gua yang dimaksudkan. Tidak terbayang langsung di benak saya bagaimanakah rupanya gua-gua itu. Jadi saya hanya menelusuri pantai hingga sejauh mungkin yang mampu saya melangkah.

***************************

Agaknya inilah gua yang pertama.

Berhati-hati apabila menjenguk ke dalam gua-gua, khuatir ada yang sedang menukar baju dan sebagainya.

Kebanyakkan lubang-lubang gua ini menjadi tempat pelawat mendapatkan perlindungan dari teriknya matahari. Bahkan ada yang sengaja berkelah di dalamnya. Jika saya, saya juga memilih hal yang sama. Rasai suasana yang berbeza dan tidak mungkin diperolehi di tempat lain.

Kami terpaksa melalui celah batu ini untuk ke seberang sana. Air mulai naik jadi kami tidak boleh melalui gigi air. Tak sanggup untuk basah kuyup. Apbila basah maka pasir-pasir pantai akan melekat di pakaian kami.

Nasib baiklah kumpulan kami badannya semua kecil-kecil dan muat-muat untuk melalui celah batu itu.

Jika tidak, maka disinilah berakhirnya penelusuran kami menjejaki gua Bukit keluang.
Saiz bagi setiap terowong batu ini pelbagai. Ada yang besar dan ada yang sangat kecil.

Kalau rasa-rasa tidak mungkin melepasi celahan batu itu, jangan mengambil risiko dengan memaksa diri anda melepasinya.

Risau pula kisah anda akan terpampang di dada akhbar. Popular pula nanti.
Alamak, macam mana boleh tersilap muatnaik gambar yang latar belakang sama ini banyak kali.

Maaflah anda semua, apa pun, harapnya ia memberikan anda satu permandangan yang jelas tentang pantai Bukit Keluang.

Saya tidak pasti samada ini gua atau terowong angin.


Gua yang lainnya...
Semakin jauh meninggalkan pusat aktiviti pengunjung, maka semakin berkurang jumlah pengunjung yang anda temui.

Namun yang tidak berkurangan adalah sampah-sampah yang ditinggalkan. Sakit hati melihatnya.




Pokok ini memiliki bunga yang sungguh cantik. Ungu Gelap. Sepatutnya saya zoom gamabr dan potong supaya ianya fokus kepada bunganya sahaja tetapi, ya saya tidak mahu.

Bukankah kita juga perlu mengenali pokoknya juga dari semata-mata hanya mengenali bunganya?


Kepenatan agaknya rombongan saya ini.

Pengalaman ini tidak ternilai harganya.


Terowong atau gua?

Ada salah satu gua itu memiliki dua cabang; satu menuju ke pantai, lagi satu menuju ke dalam perut bumi. Disebabkan itu ada seorang pemancing tempatan membuat lawak, "pilihlah simpang yang terang, jangan memilih simpan yang gelap."

Bila saya lalui barulah saya fahami...
Kami berhenti di sini, hasrat hati nak teruskan sehingga sampai ke muara Sungai Besut tetapi air makin naik dan laluan kami terjejas.

Yang tinggal pilihannya adalah berpatah balik sebelum air kian naik dan menyebabkan laluan kami sebelum ini terkandas. 

Kami bukan pandai berenang pun. Lagi pula ombak laut China Selatan bukanlah sesuatu yang boleh dibuat bergurau. Apatah ombak yang terhasil dari air pasang.

Arus dan pukulan sangat keras.
Menikmati belaian air laut seketika.

Nak mandi-manda tidak mungkin sebab baju persalinan tidak dibawa. Suka atau tidak, main air dengan kaki sahajalah.




Baiklah, masa untuk berpatah selepas puas bermain cuci kaki.




Lenggang dan sedikit sunyi..
**********************
Kami bergerak meninggalkan Bukit Keluang dengan kepuasan di hati. Dapat mendaki buki, dapat juga bermain air laut.

Anak-anak saudara berhasrat untuk ke Kuala Terengganu sebelum pulang ke rumah. Biasalah, alang-alang telah keluar jauh meninggalkan rumah, maka singgahlah di tempat yang sesuai untuk mendapatkan barang-barang keperluan yang telah habis.

Maka kami memilih untuk terus kekal di jalan persisir pantai. Kebetulannya pula hari ni adalah hari di mana ramai warga kelantan bergerak untuk kembali ke ibu kota Kuala Lumpur dan Selangor. Akibatnya, kami terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas yang agak teruk.


Itu pun kami telah mengelak daripada menggunakan LPT2. Jika tidak, tidak pastilah nasib kami.

Ini adalah kawasan persisir pantai di daerah Setiu. Cantik dan juga memukau pandangan juga.
Singgah sebentar untuk membeli kudapan, keropok lekor goreng. Perut memang sangat lapar.

Kami tiba di Kuala Nerus sekitar jam 7.50 malam. Perjalanan yang seharusnya sekitar 1 jam, namun kerana lalu-lintas di luar jangkaan, segala-galanya juga tidak terjangka.

Untuk kembali ke Bukit Keluang, itu sentiasa dalam perancangan.

Pesanan :- 

1. Jika anda datang untuk berkelah dan apa juga yang seangkatan dengannya, silalah bawa sekali bersama anda plastik sampah yang mencukupi. Ikat dengan baik sampah anda dan letakkan berhampiran tong sampah. Jujurnya, tong sampah yang disediakan tidak mampu untuk memuatkan sampah-sarap yang anda bawa dari luar.

2. Pakaian untuk disalin sila bawa siap-siap, sebab tidak ada gerai-gerai menjual pakaian di sekitar kawasan Bukit Keluang.

3. "Jika anda membawa makanan dan minuman, pastikan pembungkusnya anda buang yang sepatutnya." Ingatlah, botol plastik dan pembalut plastik mengambil masa yang terlalu untuk mereput. Jika anda sukakan keindahan, maka peliharalah dan bantulah keindahan itu untuk sentiasa kekal bagi diri kita di masa akan datang dan juga pengunjung lain.

Selamat berkunjung ke Bukit Keluang..
Wonderful Terengganu.. 
Terengganu kite weh...

No comments:

Post a Comment