Alkisahnya, sudah lama nak menikmati sup yang sedap seperti yang sering diidam-idamkan, akhirnya hari ini tertunai juga. Sudah seminggu dibeli potongan biri-biri, ku bekukan saja dalam peti ais. Almaklumlah, dalam seminggu cuma sekali membeli-belah barang-barang dapur.
Niat asalnya nak buat sup ala Thai, tapi banyak pula bahan-bahan yang tidak ada. Jadi, terpaksalah guna apa yang ada.
Bahan-bahan
500gm potongan biri-biri, campuran daging, tulang dan lemak
1 ulas bawang besar India yg kecil, ditumbuk lumat
1 ulas bawang besar India, di potong bulat atau semi bulatan
3 ulas bawang putih, ditumbuk lunar
3 ulas bawang putih, diketuk tanpa dikupas
2 kuntum bunga lawang
5-7 kuntum bunga cengkis
3" kulit kayu manis
1" halia berdiameter 1"
1 paket rempah tomyam putih adabi
1 bunjut rempah sup tulang, tak kisahlah jenama apa pun
Lobak dihiris bulat dengan ketebalan lebih kurang 0.5cm (saya gunakan labu air, mencari kelainan)
Ubi kentang, dihiris dengan ketebalan 0.5cm
Garam secukup rasa (saya guna garam Qaseh, tidak perlu MSG atau penambah perisa yang lain)
Uppsss, minyak kelapa sawit untuk menumis
Air secukupnya
Cara-caranya
1. Panaskan minyak. Apabila cukup panas, masukkan bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis. Kacau, kaut balikkan. Masukkan bahan-bahan yang ditumbuk. Kacau hingga wangi. Masukkan sup bunjut. Kacau lagi.
2. Apabila bahan tumis diyakini sebati, masukkan daging biri-biri yang telah dicuci bersih. Kaut balikkan sehingga dagingnya mengeluarkan air dan sedikit mengecut. Masukkan bawang putih yang diketuk. Kemudian masukkan air. Saya main agak-agak je. Yang penting bergantung kepada masa yang diperlukan untuk daging lembut. Saya masukkan dalam 2.5liter. Kemudian masukkan rempah tomyam putih adabi. Kacau supaya rempah tidak berketul. Kawal suhu, tutup periuk dan tinggalkan. Jangan lupa untuk pantau sekali-sekala.
3. Apabila sudah lembut, saya masukkan sedikit air lagi kerana berasakan kuahnya sedikit. Kemudian, segera masukkan garam secukup rasa, labu air, ubi kentang dan bawang yang dipotong semi bulatan tadi. Jika suka pedas, boleh masukkan cili padi yang diketuk. Kacau dan rasa tahap kemasinan.
4. Apabila ianya mulai menggelegak, saya padamkan api dan tutup periuk. Biarkan beberapa minit untuk sayur- sayuran masak.
Jadi ianya siap dan boleh dimakan bersama-sama nasi putih dan juga lain-lainnya seperti bihun, mi, sphageti. Kalau yang suka sambal kicap, jangan lupa, jadikan ia sebagai penambah citarasa.
Yang ini santapan kali kedua,makan bersama bihun. Jangan lupa, lembutkan dulu bihunnnya.
In shaa Allah, sedap.
No comments:
Post a Comment