Sebenarnya ini sebahagian daripada program Permuliharaan Ekosistem Alam, Fasa 2 JMSK Polipd dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Melaka.
Rujuk link di bawah :-
http://mylovelypic2u.blogspot.my/2017/04/pemuliharaan-ekosistem-alam-penanaman.html
Tetapi sengaja saya asingkan untuk mereka mendapatkan ilham bagaimana rupanya menyelusuri laluan ini. Kami bertuah sebab kami diberikan laluan khas iaitu bermula dari Jabatan Perhilitan dan berakhir juga di Jabatan Perhilitan.
Untuk orang awam, anda akan bermula dari kaki Tanjung Tuan dan berakhir juga di kaki Tanjung Tuan.
Dari pintu pagar kecil Jabatan Perhilitan, inilah semak belantara yang kami harus redah dulu.
Berhati-hatilah dengan duri-duri enau dan mengkuang yang bersepah-sepah. Ada yang terpotong di atas tanah, ada pula yang terkuak-kuak separas dengan anda.
Rimba bakau yang syukur pada Allah swt, belum lagi terusik. Sampah sarap di pangkalnya tidak usahlah dijadikan bahan cerita. Pelbagai jenis.
Tenang hati saya melihat kepadatannya.
Semakin menghampiri pantai, semakin juga semak berduri kami tinggalkan. Pokok-pokok semakin besar.
Pokok paku resam juga terdapat di sini.
Hujung denai ini adalah pantai berbatu yang cantik.
Saya terkejut melihat banyak pokok-pokok yang mati. Ini adalah pokok Nibong. Pokok ini semakin sukar ditemui.
Di kampung halaman saya dulu cuma ada serumpun dan seringkali dikaitkan dengan makhluk halus.
Apabila banyak pokok yang mati, mulalah otak saya ligat. Berfikir dan terus berfikir kenapa dan mengapa.
Daripada asalnya bermonolog sendiri, akhirnya saya zahirkan juga persoalan saya kepada seorang kakitangan yang menyertai kami untuk trekking. Alkisahnya:-
"Bulan 3, 2016, kebakaran berlaku di Hutan Simpan Tanjung Tuan ini lantaran kemarau teruk yang melanda waktu itu. Jabatan Perhilitan bersengkang mata, dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menghapuskan kebakaran. Ianya bukan mudah.
Hampir 3 hari masa diambil dan laporan harus dikemukan ke Pejabat Perhilitan Negeri."
Akhirnya terjawablah persoalan saya. Bukan mudah untuk menjaga kelestarian hutan simpan ini. Lagipula untuk sampai ke setiap inci hutan bukanlah satu yang enteng. Mudah tangan untuk menunding, tetapi hanya bahu yang memikul sahaja yang arif.
Lantaran saya adalah jurugambar yang tidak ditauliahkan, maka dengan relanya saya sudi menjadi yang terakhir dan ditinggalkan oleh rombongan saya.
Kalau boleh setiap inci langkah saya, saya mahu rakamkan gambarnya dan kongsikan dengan kalian tetapi bosan pula mata kalian semua. Ada asbabnya kenapa dan mengapa. Di suatu masa, mungkin selepas setahun, mungkin hanya selepas beberapa bulan atau mungkin selepas sedekad, ianya pasti berubah. Mungkin kerana faktor alam atau mungkin lantaran kerakusan manusia.
Hutan yang menipis. Saya yakin ini adalah sebahagian pokok yang kuat semangatnya untuk terus kekal hidup selepas kebakaran melanda. Di sebahagian kawasan, pokok-pokok baru tumbuh untuk kembali menghijaukan kawasan.
Tapi suka atau tidak, jenis pokok yang mati akan hilang, pokok baru yang tumbuh bukan lagi daripada jenis yang sama. Yang hilang tetap hilang, yang diganti tidak sama. Maka, ianya tetap satu kerugian.
Ini adalah sebahagian rumpun-rumpun bakau minyak. Kata Encik Hafiz (kakitangan Jabatan Perhilitan),
"Bakau minyak mempunyai permukaan berminyak. bakau kurap pula, di bahagian bawahnya seperti berkurap."
Pulau Masjid.
Pulau ini dinamakan Pulau Masjid kerana menurut Encik Hafiz, setiap kali masuk waktu solat, azan akan berkumandang dari pulau berkenaan.
Kebenarannya? Tidaklah saya buktikan.
Pulau ini dapat dijejaki dengan berjalan kaki sewaktu air surut. Pulau ini juga dijadikan tempat berlindung sewaktu ribut oleh nelayan-nelayan kecil.
Di pulau ini disediakan pondok-pondok untuk kegunaan nelayan yang berlindung oleh pihak berkuasa tempatan.
Khabarnya, pulau ini mempunyai "penghuninya". Kesahihannya, terserah kepada kalian untuk menilainya. Apa yang saya percayai tidak penting untuk kalian.
Lexus Hibiscus Port Dickson.
Kejayaan projek mega ini dapat dilihat daripada Pulau Masjid.
Ini rombongan yang tercicir, asalnya tidak ingin turut serta dalam trekking, tetapi di saat-saat akhir berubah fikiran.
Tidak pasti apakah yang mendorong mereka. Dan kini, saya bukan lagi yang terakhir kerana nun di belakang ada rombongan lagi.
Pokok Pandan Laut atau ada juga yang menggelarnya Pokok Mengkuang Laut.
Namun yang paling tidak tahan apabila ada di antara rakan-rakan saya menggelarnya pokok nanas lantaran buahnya persis buah nanas. Huhuhuhu...
Dragon Ball....
Ini adalah sebahagian akar pokok dimana rupanya telah menarik lensa kamera saya untuk merakamnya.
Lumut hijau itu terbentuk kerana pastinya akar ini tenggelam di saat air pasang.
Kejayaan yang diraikan. Menelusuri pantai di Tanjung Tuan.
Kami menghampiri perigi Hang Tuah. Bagi mereka yang tidak ingin ke perigi Hang Tuah, mereka berhenti sahaja di sini.
Suasana pun redup.
Di sini juga terdapat "perkampungan". Ngeee, saja nak selitkan pengaruh mistik.
Nampak bumbung hijau itu?
Dulu, seringkali diadakan acara-acara berbentuk kem rohaniah dan yang seangkatan di sini. Namun kini tidak lagi dan kawasan ini tidak lagi terjaga dengan baik.
Sewaktu kem-kem banyak dijalankan di sini, aktiviti pemujaan di batu berhampiran perigi Hang Tuah, kurang sedikit kerancakkannya. Namun kini, sebaliknya.
Khabarnya, selain Pulau Besar Melaka yang menjadi tumpuan untuk membuang dan membayar nazar oleh semua kaum, di Tanjung Tuan, di sinilah tempatnya.
Perigi Hang Tuah.
Berhampiran perigi terdapat seketul batu besar dan dipercayai tapak kaki Hang Tuah ada di situ.
Penat juga mencarinya siap menganalisa, betul ke ini tapak kaki?
Tapi apa pun jua, lagenda sentiasa wujud di mana-mana sahaja. Tapak kaki itu mungkin berubah disebabkan faktor hakisan angin.
Di kaki batu besar tempat orang membayar nazar dan juga menyembah. Colok-colok yang telah dibakar memang banyak di situ.
Berhampiran kawasan perigi Hang Tuah ini terdapat tempat orang betapa. Mungkin kedengarannya asing tetapi itulah hakikatnya.
Selesai mencedok air, selesai mencuci muka, nikmat kesegaran yang tidak terkata. Saya pun beredar meninggalkan perigi Hang Tuah. Berehat sebentar di pondok ini dan memastikan semua sampah sarap dikutip terutamanya sampah yang mereka hasilkan, barulah kami semuanya beredar.
Akhirnya, kami kembali ke titik permulaan kami.
Jabatan Perhilitan.
JABATAN MATEMATIK, SAINS & KOMPUTER,
dengan kerjasama JABATAN PERHILITAN MELAKA,
01 MAC 2017
2.00 - 6.00 PETANG
Jika anda seorang yang sering mengikuti perkembangan di blog saya, pastinya anda masih ingat bahawa saya pernah memuatnaik perihal Permuliharaan Alam, Tanjung Tuan pada tahun 2015.
Sekiranya terlupa, di bawah saya sertakan link yang boleh kalian semua klik:-
http://mylovelypic2u.blogspot.my/2015/11/pemuliharaan-ekosistem-alam-tanjung.html
********************************
Di fasa kedua ini, tumpuan lebih kepada proses sulaman pokok (bagi anak pokok yang mati) dan juga membersihkan kawasan sekitarnya daripada sampah-sarap. Dengan penglibatan sepenuhnya pelajar program Pra-Sains dan juga sebahagian besar kakitangan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, bagi mewakili Politeknik Port Dickson secara tidak langsungnya dan Jabatan Perhilitan, program susulan ini diharapkan berjaya memupuk kecintaan terhadap alam semulajadi.
Sebanyak 80 anak bakau minyak diperolehi.
Kali ini, saya lebih teruja sebab berpeluang untuk menggali lubang sendiri menggunakan perkakasan yang dibekalkan. Cabaran menggali di tanah becak adalah kemahiran mencangkul supaya tidak terpercik ke diri akan segala kotoran dari permukaan tanah.
Faham-faham sajalah, betapa busuknya bau lumpur ini. Kecuaian akan menyebabkan diri sendiri tidak selesa. Lainlah jika pakaian persalinan dibawa.
Alhamdullillah, kelihatannya sebahagian besar anak-anak bakau minyak yang ditanam pada fasa pertama tumbuh dengan baik.
Tidak dinafikan juga banyak yang mati.
Air surut sangat penting dalam memastikan semua perancangan berjalan dengan lancar.
Wajah-wajah pelajar program Pra-Sains Politeknik Port Dickson yang sangat teruja untuk meneroka sisi alam yang kebanyakkannya tidak pernah melaluinya sebelum ini.
Ini sambilan bagi saya sebagai seorang penggemar tumbuh-tumbuhan.
Yang tegak tinggi itu namanya pokok Temulawak; herba yang sangat dikenali dan digunakan dengan meluas di Nusatara Melayu terutamanya. Rizomnya (ubi) sering digunakan sebagai ulam dan juga jus. Pokok dan daunnya saya tidak pasti.
Yang serumpun kecil, setompok-tompok di atas tanah itu pula namanya cekur; sangat popular digunakan dalam masakan Jawa terutamanya. Daun dan ubinya sama bermanfaat.
Pokok cili akar. Lain kawasan lainlah namanya. Saya menamakannya sebagai cili akar.
Untung hijau, kalau merah, harus saya petik.
Upppsss, jangan salah sangka, saya akan minta izin dulu dari tuan punyanya. Kebetulan hari ini, saya mendapat lampu hijau untuk menuai hasil kebun kakitangan Jabatan Perhilitan Melaka, tetapi tetap jua untuk memetik cili akar yang belum matang ini satu kezaliman bagi diri saya. Huhuhu
Pokok petola.
Saya pun tidak pasti jenis petola apa. Bunganya lebat, tetapi buahnya tidak ada.
Kawan baik selamanya, in syaa Allah.
Rombongan kakitangan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer PoliPD yang sangat berkobar-kobar.
Seronok sangat dapat bermain dengan peralatan pertanian. Dapat bermain lumpur pun seronok juga.
Jangan salah faham, bermain lumpur di sini bukanlah berkubang seperti kerbau. Memadai dengan keperluan.
Tanah dan manusia tidak dapat dipisahkan.
Di sini, ekosistem alamnya sangat sempurna menurut pandangan saya, siput-siput laut dan ketam kecil banyak ditemui di sini. Jika bernasib baik dapatlah melihat ikan belacak.
Udang air masin juga ada di sini. Tetapi saya tidak menjumpai. Saya mengetahuinya kerana sekumpulan pelajar kelihatan asyik dengan urusannya dan apabila saya bertanya, mereka memberitahu bahawa mereka menangkap udang.
Penanaman anak-anak bakau berjalan dengan lancar.
Ada 4 perkara yang kami lakukan di sini iaitu:-
1. menyulam anak bakau. (mencari anak-anak bakau yang mati daripada fasa 1 dan tanam semula.)
2. Menggali dan menanam sendiri anak-anak bakau. Jarak di antara pokok ditentukan oleh kakitangan Jabatan Perhilitan.
3. Mencari pancang-pancang buluh yang digunakan sewaktu fasa 1 untuk digunakan semula bagi menanda anak-anak pokok yang baru ditanam. Ini penting untuk mengetahui di mana anak pokok ditanam dan seandainya dihanyutkan air, pancang buluh masih kekal di situ.
4. Membersihkan sampah-sarap yang terdampar di sekitar kawasan ini.
Bersama kawan baik, in syaa Allah untuk selamanya.
Bergambar kenangan dengan pasukan modal tenaga. Ngee...
Ini paling penting, bukankah?
Selesai bercucuk tanam, upppp, sesuaikah istilahnya?
Tidak mengapalah, terima saja ya. Kami melepaklah seketika di ruangan hadapan bangunan Jabatan Perhilitan, sambil berkira-kira untuk pergi trekking atau tidak.
Bagi mereka yang tidak turut serta dalam trekking, mereka akan menunggu di Jabatan Perhilitan sehingga kami kembali untuk aktiviti kemuncak. Sambil-sambil itu bolehlah menelusuri setiap inci Galeri Jabatan Perhilitan.
*******************************************
Trekking ke Pulau Masjid -> Perigi Hang Tuah -> Pejabat Perhilitan
http://mylovelypic2u.blogspot.my/2017/04/pembersihan-pantai-dan-trekking-jabatan.html
*******************************************
Yang ini saya mengalah..
Hanya mereka yang berjiwa teguh sahaja yang dapat melakukannya.
Inilah dia aktiviti kemuncaknya, iaitu "BERGAMBAR BERAMAI-RAMAI" sekali lagi, bezanya kali ini ianya turut disertai oleh kakitangan Jabatan Perhilitan.