Wednesday, 17 February 2016

Jungle Trekking, Tanjung Tuan - 12 Nov 2015

Sepatutnya telah lama saya kongsikan pengalaman saya menyelusuri Hutan Rekreasi Tanjung Tuan ini, namun entah di mana silapnya, saya terlupa. Gambar-gambar telah saya "edit" dan "resize", tinggal muat naik dan mengarang sedikit cerita.

Tidak mengapalah, alang-alang saya teringat hari ini, saya akan kongsikan pengalaman ini. Sebenarnya, cadangan untuk menyelusuri hutan datang pada minit-minit terakhir. Kawan sejawatan tiba-tiba bertanya, "tidak mahu mencuba 'Jungle Trekking'?" Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, saya serta-merta menjadi sangat teruja.


Saya memang sukakan aktiviti-aktiviti yang mendekatkan diri saya dengan alam ciptaan Allah swt yang mengandungi jutaan keindahan dan kebesaran-Nya. Setelah memberikan persetujuan dengan cadangan itu, terus saya mengumpulkan ahli kumpulan untuk jungle trekking. Tidak sesuai untuk saya melakukan seorang diri bersama-sama dengan pemandu trek.


Alhamdullillah, terkumpullah empat orang yang sudi, termasuk dengan pemandu trek, kami jadi lima orang.


Kami bermula selepas makan tengahari, tetapi sebelum menjelang waktu Zuhur. Usai aktiviti menanam bakau. Saya amat seronok, keseronokkan yang luar biasa. Kali terakhir saya menyelusuri hutan adalah sewaktu mendaki Gunung Angsi, Ulu Jempol, beberapa tahun yang lalu.



Penjelajahan dimulakan dengan melalui tepi pagar Jabatan Perhilitan Negeri Melaka.

Laluan itu membawa kami ke pantai terhampir. Orang yang paling di depan pastinya pemandu arah, manakala yang paling belakang adalah saya. Mahunya tidak, asyik leka mengambil gambar.
 

Dari belakang asyik ambil gambar. Kami melewati hutan paya bakau. Akar-akarnya berseranggah, diselang-seli dengan pokok-pokok yang kelihatan seperti pokok rotan, dan juga pokok-pokok renek lain.

Berhati-hati merupakan keutamaan. Saya hanya berselipar, orang kampung dan telah serasi dengannya.
 



Nah, lihatlah pokok-pokok bakau itu. Subur, bukankah?

Seronok melihat pokok-pokok bakau yang subur menghijau meliputi pinggir pantai.
 

Sampah sarap ini datangnya dari lautan. Kita boleh fikirkan sendiri bagaimana ianya boleh terdampar di persisir pantai. 



Rimbunan pokok ini saya tidak kenali. Rupanya seakan pokok rotan.

Meninggalkan rimbunan pokok ini dan tumbuh-tumbuhan lain, kami kian menghampiri pantai yang pada pendapat pendapat saya agak terasing dari pandangan orang ramai.


Batuan ini menjadi pentunjuk betapa pantai itu kian dekat. Berhati-hati dengan batu itu, permukaannya berlumut tebal, mungkin kerana suasananya yang redup menyebabkan batu itu sentiasa lembap.

Permukaan batu yang berlumut amat licin, jadi elakkan memijak dipermukaannya.

Rimbunan pokok bakau yang masih muda. Sempat juga saya bertanya samada pokok-pokok bakau di sini kian pupus atau kian membiak.

Alhamdullillah, katanya, pokok-pokok bakau di sini kian membiak. Satu petanda bahawa pantai ini akan selamat daripada hakisan. In shaa Allah.

Pantai ini merupakan pantai yang berbatu. Menurut saya, tidaklah begitu sesuai untuk aktiviti mandi-manda.

Tetapi, bagi pencinta alam, pemandangan di sini sangat cantik. Sewaktu saya melalui pantai ini, air laut baru saja surut.


Terlupa untuk bertanya, seandainya air laut pasang, sampai manakah arasnya.
 



Berhenti sekejap untuk melepaskan lelah.


Kelihatan ada pulau kecil. Saya yakin, jika air pasang, pulau itu pastinya tidak kelihatan. 
Perjalanan diteruskan. 
Pokok mengkuang laut.

Dalam mengharungi laluan berpasir, sempatlah kami mengejar seekor umang-umang yang agak besar yang asalnya ingin berehat, tetapi mungkin terganggu dengan kehadiran kami, bingkas melarikan diri.


Kami sebenarnya hanya mengambil gambarnya saja, jangan risau, kami langsung tidak menyentuhnya.

Akhirnya berakhirlah laluan pantai kami.

Di sini terdapat satu pondok untuk istirehat, khabarnya dulu, tapak ini merupakan tapak untuk aktiviti perkhemahan. Kini, ianya tidak lagi digunakan.
 

Tidak jauh di sebalik pulau itu, adalah The Hisbicus, hotel yang dibina menganjur ke lautan. 

Pencinta alam pastinya kecewa dengan hal ini.


Teringat kata-kata pembandu arah kami, "Jika dibiarkan, kesemua kawasan ini akan habis dibangunkan. Di sini, untungnya terdapat Jabatan Perhilitan, maka dapatlah kami mempertahankannya."


Kecewa mendengar pendedahan itu. Namun apalah daya kami, rakyat marhaen, kami tidak pernah dalam perjuangan kami. Suara kami, suara yang pernah didengari, dan kami kalih dengan janji-janji palsu yang ditaburi.

  
Panas terik. 

Masing-masing ralit dengan aktiviti tersendiri, mahu melayani telefon, mahu melayani lelah, terpulanglah.
 

Kenapalah saya tidak mengambil gambar perigi yang berada di sini. Saya hanya mengambil gambar batu besar ini.

Batu ini sering dijadikan tempat untuk orang membayar nazar, tidak kisahlah, Melayu, Cina atau India.


Kawasan ini merupakan pilihan lain selain Pulau Besar di Melaka. Dahulunya, Jabatan Perhutanan berusaha keras untuk mengekang aktiviti ini, tetapi apabila kakitangan mereka terhad, segala-galanya berada di luar kemampuan mereka.


Perigi yang terletak berhampiran batu besar ini khabarnya tidak pernah kering. Aras airnya sangat tinggi, boleh dicapai dengan tangan. Sangat sejuk dan menyegarkan.


Sempatlah saya menceduk air itu setimba buat mencuci muka. Dinginnya...



Selesai melepaskan lelah, kami memasuki fasa ke tiga iaitu mendaki bukit. Memang lelahlah jawabnya. 
Permulaan masih rata, tetapi bersiap sedialah. 


Trek berkayu. 
Perigi Belanda.

Ini pandangan luar. 

Ini pula pandangan atas. 
Rehat lagi. 

Kawan saya yang seorang ini memang jika ada masa terluangnya akan diisi dengan menyemak mesej-mesej penting.


Orang yang sentiasa sibuk. 

Akhirnya, kami berjaya sampai ke jalan raya. Jalan raya yang menghubungkan laluan berturap dari kaki bukit ke Rumah Api Tanjung Tuan.

Masing-masing teruja bercampur kepenatan. Kami tidak mahu meneruskan perjalanan kami untuk melihat rumah api, sebaliknya memilih untuk kembali ke Jabatan Perhilitan.
 



Ini adalah laluan di tebing seberang sana. Tidak ada laluan untuk jungle trek di sini.

Separuh perjalanan kami menuruni Tanjung Tuan, tibalah kenderaan Jabatan Perhilitan menjemput kami. 


Seingat saya sewaktu ditawarkan kenderaan untuk membawa kami turun, kami sepakat menolak.


Tetapi, kenderaan itu tetap datang menjemput kami. Rezeki jangan ditolak, bukankah? Maka, kami pun menaikinya. Pemandu membawa kami ke puncak, bermakna sampai ke pagar rumah api, lantaran tidak ada tempat yang sesuai untuk membuat pusingan.


Sampai ke rumah api, sempatlah kami turun dan mengabadikan sekeping dua gambar. Maaf, saya tidak kongsikan di sini kerana saya tidak megambilnya menggunakan kamera saya. Hanya menumpang kamera rakan-rakan.


Koleksi gambar-gambar lain anda boleh melihatnya di FB saya.  

Tuesday, 16 February 2016

Danau Toba - 12 Dec 2016

Sejurus menamatkan urusan kami di Panti Asuhan, maka segala urusan rasmi kami pun lengkap. Jadi, bolehlah saya simpulkan di sini bahawa bermula detik untuk kami menikmati dunia penggembaraan ke Danau Toba.

Dunia indah ciptaan Allah swt yang terletaknya lebih-kurang 4 jam perjalanan menaiki bas dari Medan. Kami bertolak dari Medan sekitar jam 5 petang. Maka jangkaan awal untuk kami tiba ke Danau Toba adalah jam 9 malam jika perjalanan kami lancar.

Kami menikmati makan malam agak lewat, rasanya sudah Maghrib. Saya sendiri tidak pasti, apakah nama kawasan berkenaan. Sempatlah saya berkenalan dengan buah terung belanda.

Selepas menikmati makan malam, saya menghabiskan waktu perjalanan di dalam perut bas dengan tidur. Entahlah, rasa penat yang luar biasa melanda. Justeru, jalan yang berliku-liku langsung tidak mengganggu diri saya. kalau saya terjaga, pastinya saya berasa gayat.

**********************************************
Siantar Hotel

Di Danau Toba, kami menginap semalaman di Siantar Hotel. Kedudukannya betul-betul di tebing tasik. Cuacanya sangat sejuk, pertamanya kerana kedudukannya sendiri di kawasan tanah tinggi dan keduanya, hujan.

Kami tidak memasang penghawa dingin. Cukuplah kesejukkan semulajadi yang mengulit kami. Jendela, saya buka sedikit untuk membenarkan hawa tanah tinggi yang dingin menyelinap masuk ke bilik kami.

Selesai meletak barang-barang kami, saya baring sekejap. Kawan sebilik saya benarkan untuk mandi dulu. Kemudian tibalah giliran saya. Di cermin jelas terpapar bahawa servis air panas cuma di selang waktu tertentu. Saya fikir gurauan. Tengah-tengah mandi, tiba-tiba air sejuk mendingin. Menggigil saya dibuatnya. Rupanya, itu bukan gurauan, tetapi kenyataan.

Di atas alasan apa servis air panas dicatu, saya tidak pasti. Apa-apa pun, bersedialah untuk sebarang kemungkinan.

Sebelum tidur sempatlah juga tangkap beberapa gambar permandangan tasik.

Sambil-sambil itu saya mengubah tetapan kamera saya. Kamera saja yang canggih namun tidak pernah berkesempatan untuk 'explore" secara terperinci fungsi-fungsinya.
Ini mod yang berbeza, berkabus je.
Ini pula, entahlah. Nama pun main-main.


Baiklah, selamat malam semua.
*******************************************************

Awal Pagi 12 Disember...

Saya dikejutkan dengan azan subuh, sambil malas-malas bangun juga. Maklumlah, "sesungguhnya solat itu lebih baik daripada tidur." Selesai mandi dan solat, kedengaran pula bunyi loceng dari gereja berhampiran.

Tenang pula rasanya. Saya terfikir, bagaimana mereka boleh hidup dalam keadaan yang begitu harmoni tanpa mempertikaikan, kebebasan untuk mengamalkan agama mereka. Di sini, majoriti penduduknya berugama Kristian. Gereja-gereja yang dibina dengan sentuhan senibina Batak memang dapat dilihat di sepanjang perjalanan kami. 

Yang susah ditemui adalah masjid. 

Sementara menanti sinaran mentari menyimbahkan cahayanya, saya telah bersedia dengan lensa kamera saya.

Apa lagi cara yang terbaik untuk mengabadikan kenangan?


Sedikit demi sedikit sinaran matahari menyinari menyuluh saujana Danau Toba.


Nah, cantik bukan?

Selalunya matahari terbit diambil gambarnya di pantai atau lautan. Ini satu kelainan, di Danau Toba.


Gambar terakhir untuk pagi ini. 
Masa untuk sarapan dan seterusnya mendaftar keluar. 





Dalam perjalanan menuju ke kafe, ternampak pula bot ini. Apa lagi, tangkaplah satu gambar untuk dijadikan kenangan.


Burung-burung berterbangan.

"I feel so closed to nature."

Rasa ingin terbang bersama mereka, pastinya mustahil.
Di luar hotel. Tenang bukan?



Ini kawan sejati, duduk bersebelahan di dalam bas, dan juga rakan sebilik.


Comelnya.

Si bangau yang sedang menunggu rezekinya tiba.
Permandangan dari kafe tempat kami bersarapan.
Aras ini sama ketinggian dengan paras jalan raya. Tiba-tiba saya seakan tidak tahu untuk menggelarnya sebagai aras berapa. Fikir-fikirkan sendiri ya.
Ini adalah bot yang akan membawa kami ke Pulau Samosir. Awalnya, kami tidak tahu.

Saya memang suka ambil gambar apa saja, jadi, saya main ambil saja.

Gambar ini dari kafe.


********************************************

Menuju Pulau Samosir.

Sesudah sarapan, kami pun memunggah masuk kesemua beg-beg kami ke dalam bas. Kemudian, kami menuruni tangga menuju ke bot yang saya beritahu tadi.

Bot itu mempunyai dua tempat kawasan tempat duduk, di bahagian atas bot dan di bawahnya. Untuk menikmati deruan angin dan pastinya sedikit terik matahari, saya memilih untuk duduk di atas. Barulah seronok.


Tidak ada beza di antara kami, pelajar atau pengajar. Semuanya sangat ceria dan teruja.

Penat?
Lupakan saja. Diturutkan kepenatan maka hilanglah keseronokkannya.
Siantar Hotel dari tengah Danau Toba. Cantik.
Selamat menjamu beberapa gambar. Alhamdullillah, cuaca pagi ini sangat cantik dan indah. 

Bahkan perjalanan kami juga sangat lancar. 

Alhamdullillahi rabbi a'lamin.














Wefie jap. 

Bukan selalu dapat ber"wefie' dengan kawan begini kan?












Tempat duduk di bawah. Berbumbung. Sesuailah untuk mereka yang tidak suka diri mereka di bakar mentari. Untuk diri saya, saya sukakan kawasan yang terbuka. Hembusan angin yang menyapa muka kadangkala mampu menghilangkan bahang matahari yang menyengat kulit.




Dua anak teruna ini mempersembahkan kemahiran mereka bermain dengan alat muzik mereka sambil mendendangkan lagu.

Lagu yang ringkas namun mampu difahami kerana liriknya yang mudah.

Sesudah persembahan mereka, jangan lupa untuk memberikan mereka sedikit duit. Ini adalah cara mereka untuk mencari sedikit wang untuk keperluan hidup mereka. Kedua-dua anak ini masih bersekolah.




Seriusnya wajah Bapak tour guide kita ini.


Kawasan perkampungan yang dapat dilihat dari jauh. Cantiknya.

Teringin sekali untuk hidup diperkampungan sebegini. Jauh dari hiruk-pikuk kota, namun, harus membuat pilihan antara dua, pertama; hidup yang sekadar keperluan atau kedua; hidup yang memenuhi kehendak.
Subhanallah.....






Lihat, anak-anak itu asyik mandi-manda. Terjun dengan riangnya ke dalam tasik.

Teringat zaman kecilku, kawan-kawan sepermainan dan juga adik-adikku juga suka melakukannya. Bezanya, kami melakukannya di sungai-sungai dan juga parit-parit.

Kami berlabuh di sini. Destinasi pertama kami.

******************************************

Pulau Samosir

Ini adalah kawasan perkampungan Batak yang dibuka untuk kunjungan luar. Kami telah diingatkan oleh pemandu pelancong kami untuk tidak membeli-belah terlebih dahulu, kerana beliau ingin kami segera berkumpul di tapak yang dikhususkan untuk pelancong bagi satu penerangan mengenai suku Batak ini.

Selepas pintu gerbang itu, memang yang kelihatan adalah gerai-gerai jualan. Pandai-pandailah ya untuk mengelak permintaan mereka.






Gerai-gerai jualan pelbagai barangan.
Kami memasuki kawasan perkampungan Batak.


Lihatlah senibina rumah Batak. Ada rumah jantan dan ada rumah betina. Jantina rumah ditentukan dengan kedudukan tangganya.






Bergaya tak?

Gaya, Mutu, Keunggulan..

Khusyuk semuanya memberikan perhatian pada penerangan Pak Ono. Pandai Pak Ono menarik perhatian mereka.

Sebenarnya bukan senang untuk menarik perhatian seseorang untuk mendengar butir bicara kita.


Menuju ke ruangan "mahkamah" Batak dan juga jalan keluar dari perkampungan ini.
Gereja kecil atau mungkin boleh dipanggil "chapel".
Tahniah kepada Sankaran kerana sudi menjadi pelakon "bidan terjun" kami.

Di tangan Pak Ono adalah kalendar orang Batak. 
Di sini bermulalah cerita tentang proses pengadilan dan jatuh hukum bagi orang Batak.




****************************************************

Membeli-belah lagi.

Selesai ruangan "mahkamah" tadi, kami memasuki deretan kedai-kedai. Pelbagai barangan boleh didapati di sini. Ada yang murah, ada yang mahal, ada yang jujur, ada yang sebaliknya, ada yang sangat baik, ada yang sangat cepat sentap. 

Payah nak bagi nasihat, bagi saya kalau tidak berkenan harga tinggalkan saja. Jangan borong semuanya dari satu kedai melainkan terjamin harganya memang murah. Bukan apa, takut kecewa. Ada harga yang sangat mahal di mana sehelai boleh menyamai dua atau tiga helai barang yang sama jika dibeli di tempat yang berlainan.


Ada sesetengah perniaga seakan mendesak pembeli, bahkan ada di antara mereka siap menarik pembeli untuk membeli barangan mereka. Jika enggan siap dimarahi.

Saya pula terkena kes yang berbeza. Ada perniaga menunjukkan saya rehal yang tertera kalimah Allah dan Muhammad. Saya dengan jujurnya memberitahu tidak mahu. Rupanya jawapan saya tidak disenangi pembeli berkenaan. Terus dia bertanya kepada saya tidak mahu, tetapi dijawab oleh perniaga lain, "Ini bukan muslim, itu Kristen." "Takkan berpakaian begitu bukan Muslim?" balas penjual rehal itu.

Malas saya nak layan. Saya tidak mampu untuk memuaskan hati sesiapa, dan saya juga tidak mahu menyemakkan benak saya. Saya pergi meninggalkan mereka tanpa sebarang bicara.

Elok pula sebelum menaiki bot, ada perniaga yang menjual kaftan sambil menggalas anak kecilnya. Dia merayu untuk membeli barang jualannya, saya memang tidak berminat sebab kaftan yang dijualnya senteng untuk saya. Maklumlah, saya ini si tinggi lampai.

Namun, bicaranya mampu melembutkan diri saya, "Takkan ibu tidak kasihan sama baby ini?" Ketawa aku mendengar kata-katanya. Tidak banyak yang boleh aku tawar, sehelai kaftan dijualnya IDR35,000. Aku meminta IDR30,000 tetapi tidak ingin diberinya justeru harga muktamad yang dipersetujui IDR30,000 + RM1.

Kegembiraan jelas terbayang di wajas ibu itu.

***********************************
Setelah cukup semua ahli kumpulan kami, kami bergerak meninggalkan Pulau Samosir. Seharusnya kami menuju ke satu lagi lokasi di Danau Toba, namun kesemuanya memilih untuk tidak pergi. Maka kami kembali ke pangkalan.

Rata-rata sudah penat. Jam juga sudah menginjak ke tengahari.


Lagi permandangan indah untuk tatapan anda semua.


















Wow.... ada seekor bangau terbang mencari makanan.




Bersama pelajar saya.

Baru sembuh daripada appendiks yang teruk. Cerita beliau sangat menakutkan saya.

Katanya, beliau kurus disebabkannya.


Akhirnya, kami tiba ke pangkalan. Teruja, dan perut pun sudah mula melagukan lagu irama keroncong.




"Selfie and Wefie"

Sayang nak buang gambar ini. Maaflah ya jika ianya menjengkelkan kalian. 


Deretan bot-bot yang membawa pelancong menelusuri Danau Toba.






Selesai makan tengahari kami pun bergerak meninggalkan Danau Toba menuju ke destinasi berikutnya.

Destinasi utama adalah Berastagi. Namun dipertengahan perjalanan, pastinya ada destinasi lain yang menjadi sasaran kami.