Monday, 15 February 2016

Bandar Medan, 11 Dec 2016

Akhirnya, kami memasuki hari ke dua di bumi Medan. Namun, tetap juga tidak ada aktiviti bebas buat sementara waktu ini. 

Syukur, malam tadi kami berpeluang untuk menikmati juadah enak di Restoran Wong Solo. Menawarkan hidangan masakan Jawa yang menurut pendapat saya, tersangat enak. Rugi seandainya berkunjung tetapi tidak mencuba hidangan yang terdapat di restoran ini.  Justeru, untuk semua yang berhasrat untuk ke Medan jangan lupa untuk singgah ke Restoran Wong Solo. Di samping menikmati juadah yang pelbagai, jangan lupa untuk memesan jus buah-buahan tempatan yang enak, "the best ever" bagi diri saya. 


Sebelum kembali ke hotel, sempatlah saya merayau-rayau di kawasan sekitar hotel untuk mencari plug yang bersesuaian dengan Indonesia. Lain tempat, lain plugnya. Kedai di depan hotel, stoknya habis. Makanya, terpaksalah menapak beberapa ratus meter. Syukur kerana terdapat sebuah toko barang eletrik. 


Banyak pilihan plug yang terdapat di situ. Harganya IDR15,500. Awalnya, saya tersangat yakin bahawa nilai terkecil duit Indonesia adalah IDR1000, disebabkan harga plug itu makanya terbukti saya telah silap. 


Berjalan kaki di Bandaraya Medan bagi saya amat menakutkan. Selagi boleh kenderaan melalui laluan tersebut meskipun ianya bahu jalan, maka akan dilalui mereka. Terlintas di benak saya, sulitnya bergelar perjalan kaki terutamanya untuk melintas jalan. Saya menggunakan kepakaran saya melintas jalan di Vietnam untuk melintas di sini. Kalau setakat kepakaran saya melintas jalan raya di Melaka, pasti ianya sama sekali tidak membantu.


*******************************************************

Apabila bermusafir dengan dua niat dan tujuan makanya, segalanya harus seimbang. Hari kedua lawatan kami diteruskan dengan lawatan ke perusahaan batik tempatan, lawatan CSR ke rumah anak yatim sebelum kami menuju ke Danau Toba. Lawatan kami masih diiringi oleh ibu-ibu PolMed. Saya berasa amat berbesar hati dengan layanan mesra mereka. "Warm Welcoming."

Daripada tentatif itu, amat jelas bahawasanya kami tidak akan kembali ke hotel ini lagi. Justeru, kami pun mendaftar keluar selepas bersarapan di hotel. Memandangkan masih ada lawatan formal, justeru pakaian kami haruslah sesuai atau sekurang-kurang kasual. Ternyata apabila berbaju kurung, warga tempatan dengan yakinnya menunding saya dan mengatakan bahawa saya adalah warga Malaysia.



Lihatlah beg-beg kami. Apabila nak mendaftar keluar, semuanya kena dipastikan cukup. Tidak mungkin kami kembali. 

Beg masing-masing belum bertambah. Maklumlah jadual penuh dan ketat. Jadinya, kami tidak berjaya untuk pergi membeli-belah. Untuk beli plug yang mengikut piawaian Indonesia pun, kami hanya mencuri-curi masa yang mana ianya sangat-sangat kritis. 

Inilah pemandu pelancong kami, Pak Ono Prayetno. Penyabar orangnya. Mula-mulanya, saya sangkakan beliau seorang yang pendiam dan serius, tetapi ternyata saya silap. Beliau sebenarnya amat popular bagi pelancong tempatan dan juga dari Malaysia. 

Apabila beliau buka saja mulutnya, sungguh ramai yang terkena. Tetapi untuk dua hari pertama sahaja, kerana untuk hari-hari berikutnya kami telah memahami sandiwara Pak Ono. Jangan marah ya Pak Ono. Terima kasih Pak Ono di atas ribuan idea-idea untuk menghirup-pikukkan bas dengan gelak ketawa kami. "Keep smile and cheer up everyone."



Laluan di hadapan hotel sebelum dilanda kesibukkan. Dari bilik hotel, saya sempatlah mengintai ke luar melihat anak-anak yang sibuk ke sekolah. Di Malaysia, Disember merupakan bulan cuti persekolahan, namun tidak di Indonesia. Rutin persekolahan masih berjalan seperti biasa.

Di mana-mana jua ada pelancong, maka di situ terdapatnya penjual-penjual barangan tempatan. Pandai menawar, maka pastinya anda akan memperolehi harga yang sangat-sangat murah. Apabila bas yang membawa kami tiba, maka tibalah penjaja-penjaja yang menjual pelbagai jenis barangan tempatan. Mereka tidak dibenarkan mendekati hotel walaupun kawasan letak kenderaan, justeru mereka berniaga di bahu jalan sambil memanggil kami mendekati mereka. 


Jangan lupa untuk tawar-menawar. Kalau rasa malu atau tidak berani, makanya berganda-gandalah harganya. Pelancong luar merupakan sasaran jualan mereka. Produk yang dijual tersangat sesuai untuk dijadikan ole-ole bagi mereka yang sedang menunggu di Malaysia.



Keadaan lalu-lintas menuju ke perusahaan batik. Tersangat sesak. Gambar ini diambil dari dalam perut bas. Gara-gara keadaan lalu-lintas ini, kami tiba sedikit terlewat.









Akhirnya, kami tiba juga ke tempat yang dituju. Kunjungan kami dibantu oleh dua Ibu dari PolMed. Terima kasih Ibu berdua. Oh, terlupa ada satu bapak, tapi maaf, saya terlupa siapa namanya.



Bergambar bersama-sama sebelum memasuki Rumah Batik Sumatera Utara. Seperti yang tertera di kain rentang yang tergantung itu ya.
Tinjau, tinjau jangan tak tinjau Farhan. Cameraman kami. He he... 

Saya tidak menggunakan hasil beliau untuk blog saya. Amat saya prihatin tentang hal ini. 



Perusahaan batik ini beroperasi di kawasan yang sangat kecil. Anda boleh lihat sendiri. Setiap ruangan yang ada, dimanfaatkan sepenuhnya.

Justeru itu kawasan ini tidak boleh dihampiri dengan bas. Berjalan kakilah kami.

Saya tidak pasti baldi-baldi kecil digunakan untuk apa. Tangki comel yang kecil itu adalah tangki LPG, beratnya sekitar 3kg. 

Lupa pula nak bertanya mereka. 

Kaedah penghasilan batik di sini ternyata berbeza dengan proses penghasilan batik di Terengganu.

Di sini, kain dibasahkan, kemudiannya direntangkan di atas permukaan meja, dan corak diterkapkan.


Kalau di Terengganu, kain akan ditegangkan menggunakan pembidang, dan corak akan diterkap. 


Selain itu, prosesnya adalah sama. Sudah diterkap, batik yang telah siap diwarna akan melalui proses pembuangan lilin pula. Kalau tidak silap, ianya perlu direndam di dalam air panas untuk menanggalkan lilin tersebut.



Batik merupakan satu identiti serumpun. Proses penghasilan yang seakan sama, dan bagi mereka yang suka berkarya dengan batik, pastinya ia akan mendatangkan hasil yang lumayan.
Lihati, ini adalah tempat pemanas lilin. Batik cop pastinya memerlukan bekas pencair lilin yang lebih besar, supaya apabila permukaan cop dicelup, lilin mampu menyaluti keseluruhan permukaan cop itu.


SOP - Standard of Procedure. Ini sangat penting. Saya sukakan SOP yang dipamerkan di ruangan yang terbuka begini. 
Bongkah-bongkah lilin sebelum dicairkan. 
Kalau pergi secara berkumpulan, memangnya sangat mudah untuk mendapatkan modal yang tidak peru dibayar. Terima kasih Kak Suhaila.
Ruangan pameran batik. Produk-produk siap, dan sebahagian bahan-bahan yang digunakan untuk penghasilan batik.

Ini adalah senarai corak-corak yang dicetak di sini. Kombinasi warna yang digunakan tidak begitu banyak terhad kepada beberapa warna sahaja.
  



Lengkap segala-galanya. Visi, Misi dan lain-lain hal yang penting untuk mewakili sebuah organisasi.
Batik-batik yang telah selesai dicop direndam untuk menanggalkan lilin. 

Teringat tahun 1997, di mana waktu itu saya bertungkus-lumus membuat projek Seni khas untuk SPM, projek saya adalah menghasilkan sehelai kain batik lukis. 






Setelah memborong beberapa helai batik yang mana panjangnya hanyalah 2 meter sehelai, kami pun menuju ke Restoran Famili, untuk menikmati juadah tengahari kami. Tengahari ini kami dijamukan dengan hidangan Minang pula. Kadang-kadang seronok juga dapat berkenalan dengan pelbagai jenis makanan begini.

Saya memang suka untuk mencuba makanan tempatan. Kalau serasi, bolehlah dicuba berkali-kali, jika tidak, itulah yang pertama dan terakhir.



Sebaik sampai, kami terus menuju ke ruangan yang telah disediakan. Makanan pun telah dihidang. 

Kami cuma menambah pesanan untuk jus buah-buahan.

Makanlah apa yang anda mahu. Yang penting, habiskan satu persatu bekas. Jangan main ambil sedikit-sedikit kemudiannya tidak habis.

Khabarnya, di sini makanan dicaj berdasarkan apa yang diusik bekasnya.

Ini antara tarikan kegemaran saya. Kehijauan ditambah lanskap air.

Begitu mendamaikan. Saya memang tidak boleh melihat dan mendengar deruan air, pasti diri saya terpanggil untuk menghampirinya.

Berhampiran restoran ini terdapat satu kedai menjual kek lapis dan juga durian crepe. Rasa durian crepe di sini, ada sedikit kelainan berbanding di Malaysia. Saya tidak pergi ke kedai berkenaan lantaran dimaklumkan bahawa kek lapis bertahan cuma beberapa hari. 

Lagipun, perjalanan kami masih jauh. Durian crepe tu memang saya telah merasanya, memang sedap. Isi durian yang disaluti dengan doh crepe. Kecil tetapi memukau rasa.


Setelah menikmati juadah, jejaka-jejaka dalam rombongan kami menuju ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat jumaat manakala wanita-wanitanya pula pergi menghabiskan duit dan "window shopping" di Pasar Ikan.


****************************

PASAR IKAN


Nah, inilah dia Pasar Ikan. 

Pasar Ikan merupakan kawasan bangunan rumah kedai yang padat. Jangan pernah membayangkan ianya seperti Pasar Payang atau pasar ikan dengan erti kata yang sebenarnya.


Penjaja juga ramai, saya juga tidak pasti samada saya harus mempercayai mereka atau tidak sewaktu mereka menunjukkan saya jalan ke kawasan perniagaan Pasar Ikan. Mereka sangat ramah, dan saya pasti, jauh di lubuk hati mereka, mereka berharap kita akan membeli barang jajaan mereka. 


Gaya mereka sangat jujur, namun sulit untuk menyakini. Tawakal pada Allah swt sajalah. Yang hairannya, apabila saya tercari-cari ahli kumpulan saya yang lainnya, mereka boleh menunjukkan di mana keberadaan mereka dengan tepat. Kagum betul saya.





Inilah dia deretan kedai yang sangat-sangat padat untuk jualan produk tempatan.

Macam-macam barangan terdapat di sini, tetapi sangat sukar untuk mendapatkan diskaun. 


Ungkapan yang sering kedengaran adalah, "Pecah Telur." 

Cantiknya....

Tapi saya tidak membelinya. Entahlah, rasanya macam harganya tidak logik. Ada di antara peniaga pula seperti agak sombong.


Penat bertanya harga barangan namun langsung tidak diendahkan. Tidak mengapalah. Saya keluar meninggalkan toko itu. Itu bukannya tempat saya.



Cuba, jangan tak cuba.
Sudah cuba, jangan tidak beli pula.















Usai membeli-belah, kami berkumpul di tempat yang telah dikhususkan oleh Pak Ono, pemandu pelancong kami. Destinasi kami seterusnya adalah rumah anak yatim, Panti Asuhan Yayasan Darul Aitam.



Bergambar lagi....

Rumah Panti Asuhan ini menempatkan anak-anak yatim yang mana kebanyakkannya kedua-dua ibubapa mereka telah tidak ada. 


Penghuni di sini berusia dari belasan tahun hinggalah yang paling muda yang saya lihat berusia dalam lingkungan 3-4 tahun.

Apalah yang mampu saya berikan, hanyalah sekelumit rasa kasih yang tidak bertepian.





Bergambar kenangan sebelum meninggalkan rumah anak yatim ini. Semoga kalian semuanya dirahmati Allah dunia dan akhirat, dan kalian mampu menjadi umat Muhammad saw yang mampu menggenggam dunia.

No comments:

Post a Comment