Wednesday, 17 February 2016

Jungle Trekking, Tanjung Tuan - 12 Nov 2015

Sepatutnya telah lama saya kongsikan pengalaman saya menyelusuri Hutan Rekreasi Tanjung Tuan ini, namun entah di mana silapnya, saya terlupa. Gambar-gambar telah saya "edit" dan "resize", tinggal muat naik dan mengarang sedikit cerita.

Tidak mengapalah, alang-alang saya teringat hari ini, saya akan kongsikan pengalaman ini. Sebenarnya, cadangan untuk menyelusuri hutan datang pada minit-minit terakhir. Kawan sejawatan tiba-tiba bertanya, "tidak mahu mencuba 'Jungle Trekking'?" Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, saya serta-merta menjadi sangat teruja.


Saya memang sukakan aktiviti-aktiviti yang mendekatkan diri saya dengan alam ciptaan Allah swt yang mengandungi jutaan keindahan dan kebesaran-Nya. Setelah memberikan persetujuan dengan cadangan itu, terus saya mengumpulkan ahli kumpulan untuk jungle trekking. Tidak sesuai untuk saya melakukan seorang diri bersama-sama dengan pemandu trek.


Alhamdullillah, terkumpullah empat orang yang sudi, termasuk dengan pemandu trek, kami jadi lima orang.


Kami bermula selepas makan tengahari, tetapi sebelum menjelang waktu Zuhur. Usai aktiviti menanam bakau. Saya amat seronok, keseronokkan yang luar biasa. Kali terakhir saya menyelusuri hutan adalah sewaktu mendaki Gunung Angsi, Ulu Jempol, beberapa tahun yang lalu.



Penjelajahan dimulakan dengan melalui tepi pagar Jabatan Perhilitan Negeri Melaka.

Laluan itu membawa kami ke pantai terhampir. Orang yang paling di depan pastinya pemandu arah, manakala yang paling belakang adalah saya. Mahunya tidak, asyik leka mengambil gambar.
 

Dari belakang asyik ambil gambar. Kami melewati hutan paya bakau. Akar-akarnya berseranggah, diselang-seli dengan pokok-pokok yang kelihatan seperti pokok rotan, dan juga pokok-pokok renek lain.

Berhati-hati merupakan keutamaan. Saya hanya berselipar, orang kampung dan telah serasi dengannya.
 



Nah, lihatlah pokok-pokok bakau itu. Subur, bukankah?

Seronok melihat pokok-pokok bakau yang subur menghijau meliputi pinggir pantai.
 

Sampah sarap ini datangnya dari lautan. Kita boleh fikirkan sendiri bagaimana ianya boleh terdampar di persisir pantai. 



Rimbunan pokok ini saya tidak kenali. Rupanya seakan pokok rotan.

Meninggalkan rimbunan pokok ini dan tumbuh-tumbuhan lain, kami kian menghampiri pantai yang pada pendapat pendapat saya agak terasing dari pandangan orang ramai.


Batuan ini menjadi pentunjuk betapa pantai itu kian dekat. Berhati-hati dengan batu itu, permukaannya berlumut tebal, mungkin kerana suasananya yang redup menyebabkan batu itu sentiasa lembap.

Permukaan batu yang berlumut amat licin, jadi elakkan memijak dipermukaannya.

Rimbunan pokok bakau yang masih muda. Sempat juga saya bertanya samada pokok-pokok bakau di sini kian pupus atau kian membiak.

Alhamdullillah, katanya, pokok-pokok bakau di sini kian membiak. Satu petanda bahawa pantai ini akan selamat daripada hakisan. In shaa Allah.

Pantai ini merupakan pantai yang berbatu. Menurut saya, tidaklah begitu sesuai untuk aktiviti mandi-manda.

Tetapi, bagi pencinta alam, pemandangan di sini sangat cantik. Sewaktu saya melalui pantai ini, air laut baru saja surut.


Terlupa untuk bertanya, seandainya air laut pasang, sampai manakah arasnya.
 



Berhenti sekejap untuk melepaskan lelah.


Kelihatan ada pulau kecil. Saya yakin, jika air pasang, pulau itu pastinya tidak kelihatan. 
Perjalanan diteruskan. 
Pokok mengkuang laut.

Dalam mengharungi laluan berpasir, sempatlah kami mengejar seekor umang-umang yang agak besar yang asalnya ingin berehat, tetapi mungkin terganggu dengan kehadiran kami, bingkas melarikan diri.


Kami sebenarnya hanya mengambil gambarnya saja, jangan risau, kami langsung tidak menyentuhnya.

Akhirnya berakhirlah laluan pantai kami.

Di sini terdapat satu pondok untuk istirehat, khabarnya dulu, tapak ini merupakan tapak untuk aktiviti perkhemahan. Kini, ianya tidak lagi digunakan.
 

Tidak jauh di sebalik pulau itu, adalah The Hisbicus, hotel yang dibina menganjur ke lautan. 

Pencinta alam pastinya kecewa dengan hal ini.


Teringat kata-kata pembandu arah kami, "Jika dibiarkan, kesemua kawasan ini akan habis dibangunkan. Di sini, untungnya terdapat Jabatan Perhilitan, maka dapatlah kami mempertahankannya."


Kecewa mendengar pendedahan itu. Namun apalah daya kami, rakyat marhaen, kami tidak pernah dalam perjuangan kami. Suara kami, suara yang pernah didengari, dan kami kalih dengan janji-janji palsu yang ditaburi.

  
Panas terik. 

Masing-masing ralit dengan aktiviti tersendiri, mahu melayani telefon, mahu melayani lelah, terpulanglah.
 

Kenapalah saya tidak mengambil gambar perigi yang berada di sini. Saya hanya mengambil gambar batu besar ini.

Batu ini sering dijadikan tempat untuk orang membayar nazar, tidak kisahlah, Melayu, Cina atau India.


Kawasan ini merupakan pilihan lain selain Pulau Besar di Melaka. Dahulunya, Jabatan Perhutanan berusaha keras untuk mengekang aktiviti ini, tetapi apabila kakitangan mereka terhad, segala-galanya berada di luar kemampuan mereka.


Perigi yang terletak berhampiran batu besar ini khabarnya tidak pernah kering. Aras airnya sangat tinggi, boleh dicapai dengan tangan. Sangat sejuk dan menyegarkan.


Sempatlah saya menceduk air itu setimba buat mencuci muka. Dinginnya...



Selesai melepaskan lelah, kami memasuki fasa ke tiga iaitu mendaki bukit. Memang lelahlah jawabnya. 
Permulaan masih rata, tetapi bersiap sedialah. 


Trek berkayu. 
Perigi Belanda.

Ini pandangan luar. 

Ini pula pandangan atas. 
Rehat lagi. 

Kawan saya yang seorang ini memang jika ada masa terluangnya akan diisi dengan menyemak mesej-mesej penting.


Orang yang sentiasa sibuk. 

Akhirnya, kami berjaya sampai ke jalan raya. Jalan raya yang menghubungkan laluan berturap dari kaki bukit ke Rumah Api Tanjung Tuan.

Masing-masing teruja bercampur kepenatan. Kami tidak mahu meneruskan perjalanan kami untuk melihat rumah api, sebaliknya memilih untuk kembali ke Jabatan Perhilitan.
 



Ini adalah laluan di tebing seberang sana. Tidak ada laluan untuk jungle trek di sini.

Separuh perjalanan kami menuruni Tanjung Tuan, tibalah kenderaan Jabatan Perhilitan menjemput kami. 


Seingat saya sewaktu ditawarkan kenderaan untuk membawa kami turun, kami sepakat menolak.


Tetapi, kenderaan itu tetap datang menjemput kami. Rezeki jangan ditolak, bukankah? Maka, kami pun menaikinya. Pemandu membawa kami ke puncak, bermakna sampai ke pagar rumah api, lantaran tidak ada tempat yang sesuai untuk membuat pusingan.


Sampai ke rumah api, sempatlah kami turun dan mengabadikan sekeping dua gambar. Maaf, saya tidak kongsikan di sini kerana saya tidak megambilnya menggunakan kamera saya. Hanya menumpang kamera rakan-rakan.


Koleksi gambar-gambar lain anda boleh melihatnya di FB saya.  

No comments:

Post a Comment