Saya bukanlah seorang karyawan. Di sini hanyalah diri saya dan eksplorasi diri saya.
Kecewa, pastinya kami kecewa. Saya pula tidak mahir dengan kereta transmisi auto. Sudahnya kami diberikan kereta MyVi yang bagi saya sangat uzur.
Risaukan hari yang semakin gelap, perjalanan yang pastinya mencabar membuatkan kami akur menerima kereta MyVi. Asalkan saja transmisi manual. Justeru teman-teman semua yang berhajat ke sana berwaspadalah. Jika mempunyai kenalan, bagi saya itu adalah yang terbaik, supaya tidak kecewa di belakang hari.
Silap saya tidak mencetak peta dari Google Map. Justeru kebergantungan pada teknologi tidak dapat dielakkan.
Kualiti gambar tidak begitu memberangsangkan kerana diambil sewaktu kenderaan sedang bergerak. Namun keinginan hati untuk memiliki detik ini dalam koleksi harus dipenuhi.
Untuk berhenti di bahu jalan dan merakam detik ini bagi saya adalah satu tindakan yang kurang bijak, pertamanya, laluan ini laluan yang sempit dan keduanya, ia akan menyebabkan tempoh perjalanan kami akan bertambah.
Setelah jauh meninggalkan Kota Kinabalu, hari pula telah gelap, lampu-lampu penerang jalan kian berkurangan, kiri dan kanan kami entahkan tebing, entahkan gaung yang dalam. Semuanya tidak terbayang di fikiran kami. GPS sebagai pembantu telah menghilangkan diri.
Sesal, tidak perlu dipersoalkan. Kami hanya meredah jalan dengan terus maju ke depan. Dengan persekitaran yang asing, kami hanya meneka-neka, bermain-main dengan telefon dengan harapan akan ada di antara telefon kami yang mempunyai litupan di sana. Apabila dikumpulkan 4 pemilik telefon, DIGI, CELCOM, dan MAXIS, sedihnya tidak ada yang dapat membantu.
Namun syukur sangat kerana MILE 36 Lodge terletak betul-betul di tepi jalan. Memang kami terlajak juga kerana GPS memaklumkan lodge itu terletak di kanan kami sedangkan hakikatnya ianya berada di sebelah kiri kami. Itu akibatnya jika terlalu bergantung kepada GPS. Alhamdullillah kerana sebelum tiba ke kawasan Mile 36 Lodge, kami telah mendapat litupan data kami.
Perjalanan kami dari Kota Kinabalu ke Mile 36 Lodge mengambil masa lebih kurang 3 jam.
*************************************************************
Bayangkan suhu di luar bilik lebih sejuk berbanding di dalam bilik. Tidak perlukan penghawa dingin. Suasana tanah tinggi ini sememangnya cukup sejuk.
Kononnya ingin menikmati suasana di luar bilik namun saya batalkan saja niat itu memandangkan kedinginannya menusuk hingga ke tulang.
Kelaparan tidak dapat digambarkan. Stok makanan yang dibawa pula sangat terhad. Apa yang ada semuanya kami manfaatkan. Bahkan maggi kari yang cuma dimasukkan air panas kami kongsi beramai-ramai. Enak sangat. Penangan berada di kawasan yang tidak ada stok makanan. hehe...
Sebelum tidur, saya telah memasang niat. Saya harus bangun seawal mungkin untuk menikmati panorama alam. Saya bangkit seawal jam 5 pagi. Memang saya seorang yang sangat sayangkan tidur namun apabila bercuti untuk menikmati keindahan alam, tidur adalah antara perkara yang harus saya korbankan.
**********************************************************
Aku adalah yang pertama bangkit pada pagi 6 May. Ku bancuhkan secawan kopi segera untuk menambahkan semangat hariku. Menikmati kopi sambil melihat garisan-garisan cahaya yang mulai bersinar dengan garangnya menerangi puncak idaman semua merupakan satu kepuasan saya yang tidak tergambar.
Ya, saya seorang yang sangat liat untuk bangun awal pagi. Namun saya berjaya untuk bangun awal demi untuk menatap setiap perubahan gerakan cahaya matahari di tanah tinggi ini.
Sambil melangkah keluar, kami memutuskan untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan Mile 36, untung ada permandangan yang menarik.
Mawar yang bergugusan. Sangat menarik. Bunga mawar di rumah saya, tidak selebat ini.
Satu hal yang membuat saya kagum adalah bagaimana mereka bersatu dengan alam termasuk dalam soal pembinaan bangunan.
Tidak pernah jumpa sebelum ini. Kelihatan seperti salah satu jenis cempaka, namun saya tidak pasti.
Pokok Pine adalah tumbuhan yang biasa di kawasan tanah tinggi.
Bunga raya putih yang dapat dilihat dengan banyak di kawasan ini.
Di bawah pula adalah bunga seri pagi. Saiznya sangat besar. Warnanya pun sangat cantik.
Saya menemuinya pertama kali di Berastagi. Jadi ini adalah kali ke dua saya bertemu dengan spesies bunga ini lagi.
***************************
Selesai sarapan kami segera meninggalkan Mile 36 Lodge menuju ke Desa Dairy Farm. Ada seorang kawan berpesan untuk kami pergi ke sana sebelum jam 10 pagi kerana katanya selepas jam 10 pagi, awan tebal akan melitupi puncak gunung.
Seawal jam 8 pagi kami segera daftar keluar. Dari Mile 36 Lodge ke Desa Dairy Farm mengambil masa lebih kurang 30 minit.
No comments:
Post a Comment