Sunday, 10 April 2016

Kisahku, Melodi Hidupku 2 (Soal Jodoh)

"           Jodoh!
Hadir mu ditunggu, 
Tiba mu dirai, 
Bersama mu penuh pancaroba, 
Akhir mu tidak dijangka...........         "

Saudara-saudaraku, rakan-rakan dan kenalan-kenalanku....


     Coretan ini ku titipkan kerana di saat anda bermesra dengan soalan itu, ada jiwa yang terluka. Di saat anda ketawa kerananya ada jiwa yang mengadu kepada Rabbul Izzati tentang dirinya. 



"Wahai Tuhanku,
Aku berusaha dengan sedaya upayaku untuk redha kepada takdir diriku,
Tetapi ada hamba Mu mengguris luka di hatiku dengan pertanyaan yang tidak mampu aku menjawabnya,
Tuhanku, Di saat aku berasa sangat kuat dan redha,
Ada hamba-hamba mu yang menjadikan takdir diriku sebagai bahan sendanya,
Wahai Tuhanku,
Jiwaku tidak seteguh gunung, hatiku juga tidak kental,
Berterusan diasak pertanyaan itu, jiwaku menjadi rapuh, hatiku menjadi luluh..
Wahai Tuhanku, ampunilah dosa-dosaku di atas kekuranganku,
Teguhkan jiwaku dan hatiku, golongkan diri ku dalam golongan orang yang sentiasa mensyukuri rahmat dan kurniaan-Mu,
Tabahkan hatiku untuk menghadapi segala ujian dan dugaan Mu, 
Jangan sesekali Engkau golongkan diriku dalam golongan orang-orang yang tewas,
Dengan rahmat dan kasih Mu berikan aku ruang di dalam Jannah Mu...
Ya Allah....... aaaamiiiinnn"


Saudaraku,

     Fitrah manusia yang diciptakan Allah swt, jiwanya cenderung untuk berdamping dengan kaum lawannya. Justeru kerana fitrah ini, semua manusia inginkan hidup berpasangan. Tidak ada sesiapa pun di dalam dunia ini yang menolak sunnah Rasullullah saw, berkahwin. Tidak ada. Sekiranya dia seorang yang beragama, sama sekali dia tidak akan menentang fitrah.

     Maka, janganlah petah lidahmu bertanya, "Umur sudah banyak, bila lagi mahu berumahtangga? Jika ada yang sudi, terima saja usah ditapis-tapis." Menambahkan pedas bicaranya, ditambah lagi, "Adikmu sudah enam anaknya, kakaknya belum juga berkahwin. Apa yang ditunggu?" Ada pula penuh sindiran, "Memilih sangat agaknya. Nak yang bagaimana ya?" Atau "Haishh, nanti kalau kau kahwin suami mu di rumah menjaga anak-anak, kau saja yang bekerja."


     Belum lagi diambil kira, pandangan warga yang melihat diriku seperti seorang yang sangat perlu dikasihani, seperti seorang yang sangat bernasib malang, dan melihat diriku seperti seorang insan yang mesti dijauhi.


Saudaraku,

     Hidup ini sebenarnya sangat singkat. Kita semua tahu tentang itu, tetapi mengapa dalam aspek hakikat, kita seperti menafikannya? Kalian menjaga saya dan mengambil tahu tentang diri saya, alhamdullillah, saya bersyukur kerana masih ada di dunia ini yang prihatin dengan diri saya. Namun, hal yang bagaimana yang harus anda jaga tentang diri saya? Tegurlah saya jika saya bermaksiat kepada Allah swt. Tegurlah saya jika tingkah saya buruk. Lantaran singkat hidup ini, jangan kita mencari kekurangan orang lain. Itu dilarang keras oleh Allah swt.

     Hal jodoh wahai saudaraku, bukanlah daya ku untuk menjawabnya. Saya mungkin seorang bijak pandai dalam bidang matematik dan sedikit ilmu komputer, tetapi saya tidak pandai dalam hal mencari jodoh. Saya juga bukanlah seorang yang tidak bergaul dan pergaulan saya terbatas kepada ketetapan agama. Ada yang mengatakan hal jodoh adalah rahsia Allah swt, seperti hal bilakah kita akan mati. Ada yang mengatakan bahawa jodoh harus diusahakan, seperti rezeki di dalam pinggan, tidak mungkin melompat ke dalam mulut. Pendapat saya, jodoh akan tiba pada saatnya, tidak perlu dicari seperti orang yang kemaruk, tidak perlu menolak seperti orang yang putus mengharap.


     Apabila anda bertanya kepada saya, "bilakah kamu ingin berkahwin?". Masha Allah, saya tidak dapat menjawabnya. Saya sendiri tidak tahu bila saya akan berkahwin sebagaimana saya sendiri tidak tahu bilakah saya akan mati. Anda berkata kepada saya, "kamu ini terlalu memilih!" ..... Ya, itu jawapan saya. Salahkah? 


     Salahkah saya jika ingin memilih seseorang yang terbaik menurut saya menjadi pasangan hidup saya? Sedangkan Rasullullah saw menyarankan seorang lelaki harus memilih ciri-ciri seorang isteri yang ideal, justeru salahkah saya jika ingin memilih ciri-ciri seorang suami yang ideal menurut keinginan jiwa saya?..... Dunia hari ini, dunia yang hebat.. Suka atau tidak, hakikat yang harus diterima berdasarkan satu kajian satu masa dulu, 80% warga Malaysia tidak mantap solat 5 waktunya. Maka salahkah saya jika saya menjadi seorang yang memilih?


     Adik perempuan saya ada 7 orang anak, 2 adik lelaki saya masing-masing ada 2 orang anak, alhamdullillah itu rezeki mereka... Saya gembira dengan mereka, itu rezeki mereka. Kenapa harus dikaitkan mereka dengan saya? Saya menganggap anak-anak mereka seperti anak saya sendiri. Itu ukhwah yang kami bina.


Wahai saudaraku, 

     Cabang rezeki itu luas, terlalu luas tidak terhitung oleh kiraan mu. Kesihatan yang baik adalah rezeki, umur yang baik adalah rezeki, kerjaya yang baik itu rezeki, rumah yang bagus itu rezeki, kenderaan yang kurang meragam itu rezeki, makanan dan minuman yang baik itu rezeki, wang ringgit dari sumber baik itu rezeki, pasangan mu itu juga rezeki dan anak-anak mu itu juga rezeki... Saya hanya bicarakan soal rezeki yang baik di sini.

     Allah swt memberikan rezekinya kepada semua makhluknya, tidak ada sesiapa yang dapat menghalangnya. Dan Allah swt menentukan dengan baik apakah yang selayaknya untuk makhluk-makhluk -Nya. Belum rezeki saya untuk memiliki jodoh, jauh sekali untuk memiliki anak-anak. Setiap rezeki yang Allah kurniakan bukan setakat rezeki tetapi datangnya bersama dengan amanah. Haruskah saya bersedih? 


     TIDAK PERLU! Bahkan saya berasa tersangat bersyukur. Saya bukan seorang isteri, maka saya tidak dipersoalkan tentang peranan dan tanggungjawab saya oleh Allah swt. Saya bukannya seorang ibu, saya tidak akan dipersoalkan tentang anak-anak saya di akhirat nanti. Namun, saya masih risau jika Allah swt bertanya tentang apa yang saya lakukan dengan kesihatan yang baik ini, dengan tubuh yang lengkap ini, dengan wang ringgit yang baik ini, dengan kerjaya yang baik ini... Saya tidak mampu menjawabnya. Takut? Ya, saya sangat takut... Saya tidak takut mati, tetapi saya takut saya tewas saat dihisab.


     Allah swt Maha Mengetahui sekiranya saya masih belum layak untuk memikul tanggungjawab itu semua.  Allah swt tahu saya masih tidak mampu memikul amanah sebagai seorang isteri. Allah swt juga sangat tahu bahawa saya masih tidak mampu memikul amanah sebagai seorang menantu. Justeru anda semua juga harus jelas kepada siapa soalan itu harus diajukan.


Saudaraku, pesanku, jangan sesekali:-


1.     Anda menjadikan rakan anda yang masih solo sebagai bahan senda, cuba-cuba untuk menjodohkannya dengan semua orang lelaki bujang atau duda di sekitar anda, anda tidak tahu betapa terlukanya dia di saat anda semua ketawa. Dia senyum, tapi hatinya mengharapkan kekuatan daripada Tuhan-nya.


2.     Jangan sesekali memberikan maklumat untuk menghubunginya tanpa pengetahuannya kepada mana-mana pihak ke tiga, kerana rakan anda itu tidak terdesak. Tanyalah dulu dan minta keizinannya. Jangan anda cerobohi kehidupan peribadinya.


3.     Anda seringkali bertanya bilakah akan diakhiri zaman solonya, kerana dia sendiri tidak tahu. Anda juga tidak tahu, berapa kali dia menangis di depan Allah swt. Kenapa harus anda menambahkan luka hatinya? Ya, anda bukan orang yang pertama bertanya, tetapi apakah hak anda untuk bertanya soalan itu? Daripada anda bertanya soalan itu, bukankah lebih baik anda mendoakannya mendapat jodoh yang baik.


4.     Pernah membandingkan rakan anda itu dengan sesiapa pun. Setiap orang rezekinya berbeza. Apa yang ingin anda tegaskan? Adakah anda ingin katakan bahawa Allah swt telah tersilap menetapkan takdir dan rezeki untuk makhluk-makhluknya?


5.     Pernah menunding mengatakan bahawa rakan itu seorang yang memilih. Seandainya ya, apa salahnya? Sewaktu anda berkenalan dengan pasangan anda, bukahkah anda jua seorang yang memilih? Dari puluhan  yang mendekati anda, pintu hati anda hanya terbuka kepada pasangan anda seorang sahaja. Kenapa anda tidak berfikir dan mensyukuri bahawa Allah swt telah menetapkan bahawa itulah takdir jodoh anda.


******************************************************


      Saya berbicara dari sudut pemikiran dan apa yang saya lalui. Di usia bakal menjengah 4-series, saya berjaya belajar untuk redha dan mengakui bahawa Allah swt lebih tahu apa yang terbaik untuk diri saya. Seandainya, anda menerjah saya dengan jutaan soalan tentang jodoh pada diri saya, saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjawabnya dengan baik, supaya diri anda semua tidak terluka dan saya juga. Seandainya saya terdetik hiba dengan soalan-soalan anda yang tidak berasas itu, saya masih ada Allah swt untuk saya luahkan hati dan perasaan saya pada-Nya.


     Saya juga tidak berani untuk keterlaluan bersosial, khuatir disalah-anggap. Saya tidak pernah berniat untuk mengganggu-gugat sesiapa pun, saya hanya menjaga urusan saya sendiri. Namun, saya juga memahami jika ada yang kurang senang dengan status diri saya. Sebelum dilabel cuba merampas atau perosak, baik saya menjaga laku.


     Saya bukanlah seseorang yang perlu dikasihani, saya juga bukan seorang yang bernasib malang. Allah swt mencukupi keperluan saya. Allah swt memenuhi permintaan saya jika saya layak untuknya. Allah swt sentiasa ada untuk saya di waktu insan-insan menjauhkan diri saripada saya. Allah swt membantu saya sehingga saya mampu hidup dengan baik tanpa menyusahkan orang lain.


     Jujurnya, saya selesa dengan kehidupan saya. Tidak perlu untuk merintih dan merayu sesuatu yang tidak pernah saya miliki. Bila melihat kadar penceraian yang kian tinggi di Malaysia, saya hanya terfikir satu hal yakni, "Bagaimanakah anda menjaga jodoh anda?" Saya tidak perlu kesali tentang jodoh saya, Allah swt tidak pernah menjanjikan setiap insan pasti ada jodoh, tetapi Allah swt menjanjikan bahawa setiap yang bernyawa pasti merasai mati.


     Saya lebih khuatir dengan sesuatu yang Allah swt berikan pada saya tetapi saya telah salah-gunakannya. Khuatir tidak terjawab apabila dipersoalkan nanti. Justeru, sama-samalah kita refleksi diri, daripada sibuk mencari kekurangan orang lain, kita melihat apa yang lebihnya kita dari orang lain tetapi lebihnya itu akan membuat kita disoal lebih oleh Allah swt. Apa yang akan dipersoalkan tentang pasangan kita? Apa yang akan dipersoalkan tentang anak-anak kita? Berhenti bertanya tentang hal jodoh orang lain, hal anak pasangan yang belum dikurniakan anak. BERHENTI!


     Khuatir apa yang anda rasakan anda lebih pada hari ini, di dunia ini, akan menjadikan anda seorang yang serba kekurangan di hari bertemu Pencipta nanti.


Assalamualaikum wbr................

2 comments: