Sesekali lari daripada kebiasaan..... Ini semua kerana begitu teringin nak makan Mi Udang Sungai Dua Pulau Pinang, tetapi tidak berkesempatan untuk ke sana. Maklumlah rutin harian yang padat, dan bila bercuti, pergi pula ke destinasi untuk mencipta satu pengalaman yang baru.
Disebabkan terlalu teruja untuk makan Mi Udang, maka apa lagi En Google lah yang menjadi mangsa, "maklumat dan pakar rujuk" di hujung jari. Okay, dapatlah saya dua resipi Mi Udang yang berbeza. Tapi, untuk orang yang sukakan yang ringkas dan sesuatu yang sedikit berbeza maka saya menggabungkan ke dua-dua resipi di samping mencipta sedikit kelainan.
Dari sudut keaslian, saya tidak boleh ulas secara mendalam. Maklumlah, saya bukan pakar memasak, masak untuk memenuhi selera keluarga saya setakat ini, al-hamdullillah.
BAHAN-BAHAN
KUAH
400 gram udang galah - boleh guna apa jua jenis udang. Saya potong kepala udang menggunakan pisau sebab, saya nak masukkan kepala udang lebih awal, bagi menambahkan perisa dan untuk memastikan kepala udang saya masak lebih lama berbanding badannya. Maklumlah, kepala udang galah kan ada banyak isi tidak seperti udang-udang lain.
4 ulas bawang besar india yang sederhana besar -
7 ulas bawang putih - dikisar sekali dengan bawang besar india
3 sudu besar cili kering yang dikisar
1 inci halia
3 batang serai
3 biji tomato sederhana besar
50 gram udang kering
150 gram udang putih - dikisar sekali. Yang ni saya kisar dengan menggunakan minyak sebab saya nak ianya pekat, dan kurang mengandungi air. Tak adalah lama sangat menunggu untuk airnya kering.
500 gram kentang
500 gram keledek - direbus dan dilenyekkan
3 sudu besar sos cili
garam dan gula secukup rasa
UNTUK HIDANGAN
Mi Kuning secukupnya - dicuci dan dicelur seketika
Telur ayam yang direbus - secukupnya. Dibelah dua, atau boleh sebiji seorang. Terpulang kepada diri masing-masing.
Sawi - dibasuh dan dicelur. Namun, jika sukakan sayur mentah, tak perlulah celur.
Daun bawang - secukupnya. Dipotong comel-comel.
Cili hijau (atau apa jua jenis cili, siapa suka pedas, boleh guna cili padi, siapa sukakan kecantikan boleh gunakan cili merah) - secukupnya, dipotong nipis-nipis.
Limau nipis - untuk menambahkan rasa masam. Bagi yang sukakan rasa masam. Belah empat, dan buangkan empulurnya.
CARA MENYEDIAKAN KUAH
1. Panaskan minyak secukupnya untuk menumis bawang yang telah dikisar sehingga kering air, dan bangkit baunya.
2. Masukkan cili kering yang telah dikisar, tunggu sehingga ianya kering dan sebati bergaul.
3. Masukkan bahan kisar yang seterusnya, iaitu udang, tomato, serai, dan halia. Saya menunggu sehingganya ianya bangkit bau. Kemudian, saya masukkan kentang dan keledek yang telah dilenyek. Disebabkan kentang dan keledek saya agak kering, saya masukkan sedikit air, supaya bahan-bahan di dalam periuk saya dapat teradun dengan baik. Teruskan mengacau.
4. Kemudian, masukkan air secukupnya. Saya gunakan lebih kurang 1.5 liter air, kadar air bergantung kepada kepekatan kuah yang diingini. Apabila kuah saya mulai menggelegak, saya masukkan kepala udang galah, garam dan gula secukupnya serta sos cili. Kacau lagi.
5. Agak-agaklah kan, apabila kepala udang dah agak masak, kuah pun dah mendidih dengan baik, rasa pun dah mantap, saya masukkan badan udang. Kacau sehingga separuh masak. Matikan api. Biarkan saya udang tu masak dalam kepanasan kuahnya.
Okay, ini hasil kerja saya sebaik menjejaki rumah selepas balik daripada kerja. Alhamdullillah, ahli keluarga saya gembira dan seronok. Makan pula, waktu masih panas, memang sangat berpuas hati.
No comments:
Post a Comment