Friday, 16 March 2018

Eksplorasi Yogyakarta - Dieng 6h5m - 23 hingga 28 Feb 2018

Impian ke Yogya merupakan impianku mulai 2015. Tetapi kesukaran mendapatkan teman percutian membantutkan hasrat hati. Namun impian itu tidak pernah dilupakan.

Seiring sàat yang berlalu, keterujaan makin bertambah sehingga awal 2017 aku bertekad untuk tetap berkunjung ke Yogya dan perancangannya adalah pada Feb 2018 memandangkan percutian untuk 2017 telah dirancang sempurna. Meskipun aku ditegah tetapi aku tetap dengan niatku.

Pertengahan tahun 2017, disaat aku sibuk menguruskan percutian bersama teman-teman ke Ho Chi Minh, Kak Halimah memberitahu diriku tentang perancangan Puan Norasiah untuk ke Yogya. Umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Ulasan positif berdasarkan percutiannya bersama ke Lombok dijadikan sandaran.

Terus tanpa lengah aku menghubunginya dan menawarkannya juga pada teman-teman lain seandainya berminat. Akhirnya aku mendapat kumpulan kecilku; aku, Eja dan suaminya, Yana dan Sarah.

***************
SAATNYA TIBA
***************

Selepas kerja 22 Feb 2018 aku terus bergerak ke KLIA2, untung ada kembarku Nurul Danish yang sudi berbakti untuk menghantarku. Jam 7.00 petang aku tiba di KLIA2. Itu lebih baik daripada seawal pagi aku tergesa-gesa bertolak dari rumahku di Melaka. Lagipun, malam ini aku telah merancang untuk melepak dengan Hazaliana Affendi dan Sarah Ismail. Lama tidak bersua, pasti banyak hal yang boleh diborakkan.

HARI PERTAMA

~~ 23hb Feb 2018 ~~

Penerbangan kami dijadualkan pada jam 9.30 pagi, seawal jam 6.30 pagi kami telah beratur untuk daftar masuk beg. Sekitar jam 11.00 pagi wit, kami selamat mendarat dan syukur alhamdullillah segala-galanya dipermudahkan untuk kami.

Maklumbalas rakan-rakan yang berkunjung sebelumnya mengatakan bahawa aktiviti banyak terhalang cuaca amat merisaukan diriku. Pada yang Esa ku pohonkan;

"Ya Allah, dari jauh diriku datang, maka izinkan diriku untuk menikmati semuanya. Aminnnn."

Hujan lebat melanda. Sasaran awal untuk ke Candi Borobudur terpaksa dibatalkan. Justeru kami terus dibawa ke Tanah Tinggi Dieng. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 4 jam. Suasana desa amat mengasyikkan. Sawah padi di lereng merupakan panorama indah di sepanjang perjalanan kami. Penerokaan pertanian di lereng bukit membuatkan saya terfikir bagaimana mereka dapat mengelakkan masalah tanah runtuh yang seringkali berlaku apabila lereng bukit diceroboh. Kediaman-kediaman yang didirikan di lereng bukit juga sangat membuatkan saya kagum.

Di sepanjang perjalanan, kelihatan banyak pokok rambutan yang berbuah ranum dan juga pondok-pondok jualan durian. Sewaktu berhenti untuk solat, kami membuat permintaan untuk berhenti seketika untuk menikmati durian tempatan. Rasanya? Persis durian Siam satu masa lalu. Jujurnya; mengecewakan.

Kami sampai ke rumah inap Dieng Paradise sekitar jam 6.++ malam wit. Usai daftar masuk kami terus bergerak untuk makan malam. Sedikit aktiviti membeli-belah di Indo Maret. Sebenarnya saya terlupa untuk membawa soket untuk mengecas telefon saya. Terpaksalah membeli yang baru. Penjual di situ agak keberatan untuk menguji samada alatan itu berfungsi atau tidak, malah meminta untuk saya membawanya pulang dan seandainya tidak elok, pulangkan kembali. Tetapi saya mengatakan bahawa waktu saya berada di Dieng sangat terhad dan saya tidak mungkin untuk berkunjung kerap. Terpaksa mengalah, penjual itu menuruti kehendak saya selepas jaminan saya berikan bahawa, saya akan membelinya jika ianya elok.

Suhu di sini mencecah sehingga 13°C pada waktu malam. Sangat-sangat sejuk bagi kita, warga Malaysia.


HARI KEDUA

~~ 24hb Feb 2018 ~~

LOKASI 1 - SIKUNIR - PANORAMA MATAHARI TERBIT

Kami telah dimaklumkan bahawa tepat jam 4 pagi wit, kami akan bergerak ke Sikunir untuk menikmati panorama matahari terbit. Justeru semua orang lengkap berwudhu untuk segera solat subuh apabila tiba di kaki Sikunir. Subuh di sini sekitar jam 4.30 wit.

Usai subuh berjemaah diimani oleh Ahmad, penduduk tempatan selaku jurupandu kami. Subhanallah, alunan bacaannya hebat.... Kami mula mendaki ke puncak Sikunir. Dikatakan jaraknya cuma 300meter tetapi amat mencabar mental dan fizikal apatah untuk 2018 saya belum lagi mendaki, jauh sekali untuk menguasai mana-mana puncak.

Tidak menjangkakan hal ini menyebabkan saya mendaki dengan kasut kerja bertumit 1.5 inci. KAGUM? Apa pun jua, selaku seorang pendaki, menguasai puncak sebenar adalah kepuasan. Maka saya nekad untuk meninggalkan kumpulan untuk ke puncak sebenar dengan memaklumkan kepada pemandu pelancong; Amboro Arc Jogja. Sebenarnya saya langsung tidak menjangkakan sebarang aktiviti lasak di dalam percutian ini.

Setelah matahari lengkap menonjolkan diri saya segera turun untuk bersatu kembali dengan rombongan lalu turun kembali ke kaki Sikunir. Sekitar jam 8.00 pagi wit, kami bergerak meninggalkan tempat ini. Sangkaan saya, kami akan langsung ke rumah inap untuk sarapan, ternyata ianya sama sekali meleset.


LOKASI 2 - BUKIT PANDANG BATU RATAPAN ANGIN, WONOSOBO

Destinasi seterusnya adalah Bukit Pandang Batu Ratapan Angin Wonosobo. Di sini panoramanya sangat indah. Berlatarbelakangkan danau serta asap yang terhasil dari kawah Sikidang. Sila rujuk album Day 2 at Yogyakarta - Bukit Pandang Batu Ratapan Angin. Ada beberapa tarikan di sini antaranya flying fox, jambatan gantung (tidak dibuka sewaktu ketibaan kami mungkin tiada penjaga atau belum tiba waktunya) dan tarikan kecil lainnya seperti buaian, pentas Dieng dan bergambar dengan burung hantu.

Selesai di sini, kami bergegas untuk kembali ke rumah inap. Menikmati sarapan pagi seterusnya mendaftar keluar pada jam 10.00 pagi wit.

Kami kembali ke rumah inap untuk sarapan, urusan daftar keluar dan kembali ke kota Yogya.

LOKASI 3 - CANDI ARJUNA

Terletak lebih kurang 100 meter daripada rumah inap kami. Selesai daftar keluar, kami berjalan kaki menuju ke Candi Arjuna. Bayaran masuk cuma IDR30k untuk pelancong. Jujurnya tidak begitu tarikan di sini, kawasannya juga kecil, dan anda boleh melawat keseluruhan kawasan dalam tempoh kurang 10 minit dengan syarat tidak berfoto.

Saya cuma bergambar dengan maskot Indonesia, mungkin watak ini terkenal dalam mitos mereka dengan kadar bayaran IDR5k untuk 3 keping foto atau dengan bahasa dengan lebih mudah 3 gaya. Antara tarikan lain yang anda boleh berfoto adalah teletubbies dan juga Hello Kitty.

LOKASI 4 - KAWAH SIKIDANG

Ada cerita rakyat tentang kawah Sikidang ini, mengisahkan kisah seorang puteri raja dan juga pangeran yang memujanya. Tapi saya tidak boleh kongsikannya lantaran pemandu pelancong kami juga tidak berkongsi cerita itu dengan kami.

Bau sulfur (belerang) menyucuk-nyucuk hidung. Anda dinasihatkan untuk membawa topeng muka yang bersifat penapis udara untuk keselesaan anda. Di laluan anda, anda akan berjumpa dengan beberapa mata air panas yang menggelegak. JANGAN sesekali sentuh kerana ianya sangat panas sebab kawasan ini berada di jaluran api. Berani buat, berani tanggunglah.

Di sini sempatlah saya bergambar di atas jeep yang disediakan dengan kadar IDR 5k, dan juga terdapat beberapa tempat untuk berfoto yang lain yang mana bayarannya cuma IDR5k untuk 3 tarikan.

Sempatlah memberli buah salak, yang besar IDR20k/kg, yang kecil IDR12/2 kg dan jambu batu IDR10k/kg.

******************************************************************************
Selesai di Kawah Sikidang, kami kembali ke kota Yogya untuk destinasi seterusnya. Kami singgah di sebuah restoran masakan Jawa untuk juadah tengahari tapi ternyata ianya sama sekali tidak menepati tekak kami yang mana sebahagian besar di antara kami tidak makan makanan yang manis.

Pembaziran mulalah berlaku dan permintaan pun dilafazkan, mahukan masakan Padang untuk makan malam.
******************************************************************************

>>>> YOGYAKARTA<<<<

LOKASI 5 - CANDI BOROBUDUR

Tanpa membuang masa, Candi Borobudur menjadi tempat kunjungan kami yang pertama sejurus tiba di Yogya. Waktu yang tinggal juga kian suntuk, kami tiba jam 5.00 petang lebih, Candi Borobudur akan ditutup pada jam 6.00 petang.

Hari Sabtu dan Ahad merupakan hari minggu warga tempatan dan ramai sekali warga tempatan yang berkunjung, tidak hanya untuk melewati Candi tetapi juga untuk riadah santai. Bayaran masuk bagi pelancong antarabangsa adalah USD40 pakej sekali dengan Candi Prabanan. Kiralah sendiri ya berapa kadarnya dalam MYR.

Kerana waktu yang sangat-sangat terhad saya segera menaiki candi terus ke tingkat teratas, kemudiannya barulah mengambil foto untuk kenangan. Candi Borobudur adalah candi Budha, katanya yang terbesar dunia. Peringatan, MAKANAN tidak dibenarkan dibawa masuk ke kawasan candi. Minuman boleh.

Pengumuman pun dah dibuat, candi akan ditutup. Kami telah dimaklumkan untuk meninggalkan candi menggunakan pintu utara. Satu hal tentang penjaja di sini adalah, penjaja sentiasa mendesak kita untuk membeli barangan mereka. Kalau nak beli, tak nak beli sudah, jangan pernah sesekali berjanji dengan mereka akan membeli. Kemudiannya, jika ada yang meminta sedekah, disarankan untuk tidak memberi khuatir, datang ramai yang menyerbu, dan menuntut wang daripada kita.

Kami meninggalkan Candi Borobudur, singgah makan malam di Nasi Padang. Malam ni saya mencuba, teh telur berharga IDR10k. Ada yang tanya saya, bolehkah perempuan minum teh telur? Saya menjawab, “selalunya apa lelaki boleh minum, perempuan boleh minum. Tetapi apa yang perempuan boleh minum, belum tentu lelaki boleh minum.” hehehehehe.....

Sekitar 8.00 malam waktu tempatan, kami daftar masuk hotel. Berehat dan tamatlah kisah untuk hari kedua di Yogya.


HARI KETIGA

~~ 25hb Feb 2018 ~~

Bahagia terasa dapat menikmati sarapan dan tidur yang lena tanpa perlu tergesa-gesa bangun seawal sebelum subuh. Sewaktu daftar masuk semalam, kak Nora sudah beritahu bahawa pagi ini kami akan mulakan perjalanan seawal jam 8.30 pagi. Saya pula jenis malas nak ambil tahu tentang itinerari, sebab sudah seringkali bila bergerak dalam kumpulan ramai, hak yang segelintir seringkali dinafikan. Justeru daripada tahu, baik tak payah tak tahu apa-apa, janji kami tidak hanya terdampar di hotel.

LOKASI 1 - JEEP WILLYZ GUNUNG MERAPI

Rasanya tidak perlu saya beritahu tentang Gunung Merapi ini. Memang terkenal pun. Gunung berapi ini masih aktif ya, antara ledakan terbesar dia adalah pada tahun 2010 sehingga diwujudkan muzium untuk memaparkan kesan akibat debu panas Merapi yang dihamburkan pada tahun itu.

Kini, pemerintah melarang penempatan pada tertentu tetapi masih ada yang berdegil dan kembali. Risiko tanggung sendiri.

Di sini kami singgah di 3 tempat, di samping berseronok dengan jeep yang dipandu ala-ala sukan ekstreem kenderaan 4 roda. Antara tempat persinggahan kami adalah di Muzium Mini Sisa Hartaku, Obyek Wisata Batu Alien (bongkah batu besar yang jika dipandang dari sudut tertentu kelihatannya menyerupai wajah manusia), dan Bunker Kaliadem.

Pesan saya pada anda semua, silalah pakai sunblock. Kami beramai-ramai langsung tak menjangkakan bahawa meskipun berada di kawasan kehijauan ini, tona kulit turun mendadak menjadi 2-3 tona lebih gelap. Bahkan sangat perit. Huhuhu...

LOKASI 2 - CANDI PRAMBANAM (CANDI RATU RORO JONGGRANG)

Selesai terpekik-terlolong di sepanjang perjalanan pergi ke Bunker Kaliadem dan balik semula ke titik mula, kami meneruskan perjalanan ke Candi Prabanam.

Nama candi hindu yang terdapat di sini adalah Candi Roro Jonggrang. Namun dinamakan sebagai hanya Candi Prabanam kerana lokasi yang terletak di kawasan Prabanam. Di dalam kawasan ini juga terdapat sebuah candi budha, dimana ianya telah musnah teruk dan kini dalam proses membangunkan semula. Ternyata ianya bukanlah satu tugas yang mudah.

Di sinilah detik kecewa bagi diri saya apabila berlaku sedikit “miscommunication” yang mana kami cuma diperuntukkan satu jam sahaja untuk melawat seluruh kawasan, tapi lantaran ketirisan maklumat itu, kami hanya ikut sahaja jurupandu kami di Candi Prabanam dan akibatnya, kami menghabiskan masa 2 jam setengah di situ.

Mulalah saya dipersalahkan siap digentak bahawa akan ada lokasi yang terpaksa dikorbankan lantaran masa yang gagal dipatuhi. Why the blames on me????? Hati dah geram, mulalah perasaan menjadi tidak terkawal. Sakit hati tau, sepatutnya dalam percutian, kita sentiasa gembira tapi tiba-tiba kena tegur sebab tak awas dengan masa. Siap cakap, “Sepatutnya you all tinggalkan sahaja Pak Jono tu!"

Saya dah malas nak layan. Muka saya tak payah cakaplah..

LOKASI 3 - TEBING BREKSI - SUNSET VIEW

Lantaran ramai yang berkeras nak juga ke Tebing Breksi ni, maka saya pun tak pasti samada antara rela atau terpaksa, tetapi kami tetap dibawa ke sini. Katanya tempat ini sangat popular untuk “AADC - Ada Apa Dengan Cinta”. Untuk diri saya, tarikan utamanya adalah pada tebing tinggi yang terletak di tengah-tengah kawasan itu, bahkan berpahat dengan bentuk-bentuk tertentu antaranya naga.

Di sini kami diberikan tempoh sehingga jam 6 petang untuk berfoto dan juga untuk menikmati matahari terbenam. Saya dengan emosi yang agak kecewa memutuskan untuk bergerak bersendirian, mengambil gambar alam dan juga sedikit selfie. Sekitar 5.55 petang, saya kembali ke van wisata. Di saat baru saya perasaan bahawa saat terindah untuk matahari terbenam di Yogya adalah pada jam 6.00 petang di mana matahari mulai masuk.

Ada beberapa spot yang kita boleh berfoto di sini dengan bayaran seikhlas hati. Jadi kalau dah bergambar di tempat itu jangan lupa berikan titipannya, jangan kedekut ya, meskipun tidak ada paksaan.

LOKASI 4 - TOKO "RUMAH BATIK" UNTUK SHOPPING

Selepas makan malam, sekitar jam 8.00 malam, kami singgah ke Rumah Batik. Nama pun rumah batik maka yang dijualnya adalah segala macam produk batik. Harganya? Menurut pandangan saya agak sedikit mahal. Tetapi mungkin jika dibandingkan dengan kualiti harga itu berpadanan.

Selesai hari ke tiga di Yogya. Mood pun dah swing, hati pun dah sedikit bengkak, hanya kawan-kawan rapat je yang faham.


HARI KEEMPAT

~~ 26hb Feb 2018 ~~

Tak perlu nak cerita sangat tentang angin saya pagi ini, yang penting adalah apa tindakan saya.
PERTAMA - setiap kali singgah di setiap lokasi saya akan tanya, berapa lama masa diperuntukkan?
KEDUA - saya akan menangkap roommate saya Izyan Syifaa untuk sama-sama berjalan meninggalkan ahli kumpulan yang lain. Sorry guys, have to.

LOKASI 1 - JURANG TEMBELAN

Tak tahulah macam nak gambarkan tempat ini macam mana. Tapi lokasi betul-betul di tepi satu tebing yang sangat tinggi. Antara tarikan yang ada di sini berbeza di sini adalah “perahu payang yang diperbuat daripada buluh”. Lebih kurang ada dalam 4 tarikan yang berbeza di sini.

Saya buat mana yang sempat je, masa yang diberi cuma 30 minit. Baru nak posing, dah kena minta snap foto orang lain. Aduhai... Bukan nak berkira, tapi masa itu terlalu berharga. Jadi pilihlah beberapa tarikan, berfotolah. Yang rasa kurang menarik tu, biarkan sahaja.

Elok-elok dah semua berkumpul nak bergerak ke destinasi berikutnya sekali ada plak adik manja terlupa di mana telefonnya. Saja je nak bikin panas hati orang lain ye dik? Terpaksalah menjejak balik langkah kaki, namun gagal ditemui. Usai kembali ke van wisata rupanya dalam beg ianya menyorok. Nasiblah.. Yang penting hati empunya telefon itu tenang.


LOKASI 2 - HUTAN PINUS MANGUNAN

Hutan Pinus Mangunan terletak sebelum Jurang Tembelan. Makna katanya, tadinya kami dibawa terus ke puncak tertinggi iaitu Jurang Tembelan, maka dalam perjalanan balik, kami singgahlah di hutan pinus ni. Pinus dalam bahasa Inggeris adalah Pine Tree.

Sama juga masa yang diberikan, terus saya ajak Izyan pergi ke jarak yang paling jauh, carilah tarikan yang menarik kat situ. Ambil-ambil gambar, panjat menara tinjau gitu, puas hati. Tak ada masa untuk diganggu. Selesai di situ, ada satu tarikan tu Izyan sangat berminat tetapi kami tidak ada rezeki untuk bergambar di situ. Ada photoshoot pengantinlah pula. Dari kami sampai sehinggalah kami balik tidak juga selesai.

Terpaksa sarankan pada Izyan untuk lupakan saja. Nak buat macam mana dik, kan kena marah lagi dengan makcik-makcik kalau lewat.


LOKASI 3 - RUMAH HOBBIT

Rumah Hobbit kedudukannya selepas hutan pinus jika menuruni bukit itu. Rasa macam tak sempat nak rayau satu kawasan. Biasalah, 30 minit je kan? Dahlah kat rumah tu bila nak bergambar kena beratur. Yang depan kita ambil gambar tak cukup satu gaya, macam-macam gaya. Ingatkan bila dia dah sudah, kita boleh naik, tetapi tidak, giliran tukang ambil gambar pula naik.

Masa kami berkurangan ni. Terpaksalah cakap, tak dapatlah nak ambil gambar solo. Orang yang belakang kami pula tak reti nak sabar, terus je terjah.... waaaaaa... redha dalam keterpaksaan...

Bergegas saya meninggalkan replika rumah hobbit untuk mencari tarikan lain. Mana yang ada, saya selfie jelah. Apa lagi nak buat. Nak ala-ala model tak bolehlah. Time’s up!


LOKASI 4 - GOA PINGDOL

Sehari sebelum itu kami telah dimaklumkan untuk membawa baju persalinan. Katanya, nak “rafting”, so konpem basah. Dalam minda saya memang dah terbayang akan basah lencun daripada kaki sampai kepala. Alahai, renyahnya la. Tapi nak buat macam mana dah itu yang termaktub dalam itinerari, buat jelah.

Ada 2 aktiviti yang kami lakukan di Goa Pingdul, pertama “Jelajah Goa Pingdul”, gua ni kiranya macam terowonglah, bermula di titik A, berakhir di titik B. Gelap tak payahlah nak cakap, panjang gua ni mahu dalam 200-300 meter. Kedalaman kata jurupandu kami mahu mencecah sehingga 6 meter, kalau dia bohong, jadinya saya ikut bohong sekalilah. Tapi rasanya banyak je pembohongan yang kami kena waktu di dalam gua itu.

Selesai jelajah gua, kami teruskan dengan “water rafting” menggunakan tiub besar tu. Perhhh, di Malaysia pun saya tak pernah berkayak, tiba-tiba nun jauh beribu batu, saya berkayak pula. Buang tabiat kat apa kan? Saya memang tak suka apa-apa sukan air, sebab saya bukan pandai berenang, snorkelling pun saya tak suka. Kiranya “water confident” saya memang di takuk yang sangat teruk.

ampai pula di tebing sungai, batuannya pula licin, boleh berjalan saling berpegangan, macam keretapi. Sebenarnya dari sudut keselamatan, saya nak cakap “itu bahaya”. Ini adalah kerana jika seorang jatuh, yang berpaut padanya akan turut sama jatuh. Jadinya, saya memilih untuk tidak ikut keretapi itulah. Biarlah orang kata saya tidak membantu. Keselamatan adalah isu utama, lainlah kalau kita berada di titik tertentu dan membantu mereka berjalan secara bersendirian, itu lain.

Tengok deruan air Sungai Koyo boleh tahan laju dan ganasnya, makin bertambah seramlah saya. Dahlah keruh pekat, macam teh ais. Kat Malaysia pun belum tentu saya nak masuk dalam air yang keruh macam itu pada usia begini. Waktu kecil-kecil dulu lainlah, pantang jumpa air.

Permulaan “rafting” memanglah seronok sebab kena tolak dengan deru yang ganas, tapi hanya untuk seketika, selepas itu, kami mula dilanda kebosanan menelusuri sungai yang mengalir lesu itu. Lebih 5 minit kami berada di atas pelampung, sambil berfikir, apalah buang tabiatnya duduk merenung nasib di tengah-tengah sungai ini. Hehehe....

Selesai 2 aktiviti ini kami pun mandilah dan tukar pakaian, belilah sabun mandi seketul, geli pula memikirkan air yang keruh tadi. Maklumlah sejak semakin matang ini, kulit semakin sensitif. Selesai mandi, sabun tu saya tinggalkan saja di bilik air itu, mandi IDR5k, sabun mandi seketul rasanya dalam lebih kurang itu juga harganya. Lupa daaaa...


LOKASI 5 - BUKIT TIMANG

Selepas 2 jam 30 minit berendam di dalam air, kami pun meneruskan perjalanan ke Bukit Timang. Jauh juga perjalanannya, dalam 1 jam 30 minit gitu. Tak sempat makan tengahari. Sebab kalau berhenti makan tengahari maka kami akan terlepas untuk Pulau Timang.

Sampai di kaki Bukit Timang, kami naik jeep dengan kos IDR350k/jeep. Nak murah naik je ojek IDR50k je. Ojek tu apa? Entahlah, motor kot.

Tiba kat atas sana berebut-rebut pula nak beli tiket. Yang sebenarnya saya keliru, ada seorang cakap tiket gondola dan dibeli, tinggal naik je, yang kedua pula cakap, kena beli tiekt gondola sendiri. Mana satu nak ikut. Sebab nak beli sendiri, saya dan kawan fikir-fikirlah, masa tinggal 15 minit je sebelum kaunter tiket ditutup (jam 5.00 petang), nak naik gondola atau jambatan gantung.

Dalam fikir-fikir tu, datanglah si Amboro Arc Jogja, katanya “tiket gondola sudah dibeli, tinggal naik sahaja. Tapi pastikan tangan dicop. Jika tidak dicop, maka kami tidak dibenarkan naik gondola.” Alahai.... buang masa je berfikir. Itulah akibatnya kalau banyak maklumat disampaikan tapi sumbernya tidak jelas.

Gondola IDR200k/pax, jambatan pula IDR100k/pax. Tidak ada istilah campur ya, pergi gondola dan baliknya jambatan atau sebaliknya. Pengurusannya berbeza

Matahari pun dah nak balik tidur, burung-burung dah balik ke sarang, kami pun sepakat meninggalkan Pulau Timang. Tak payah beria sangat nak tengok matahari terbenam kat situ, pertugas kat situ pun nak balik rumah, masa untuk anak dan isteri pula.

Kalau dah sampai ke Pulau Timang, mesti perkena “lobster”. Kata orang murah. Saya ni pula jenis mengikut je punggung orang, kan tercicir maklumat kena marah lagi. Orang pergi dapur, kita pergi dapur, orang tengok “lobster” kita pun ikut tengok sekali. Sekali dengan kakak-kakak dan abang-abang senior bercerita tentang masakan, kita pun ikut dengar. Tapi apa yang nak dipesan untuk makan, langsung saya tak cakap. Orang ya, kita pun sama ya.
Saya memang cari meja yang kami boleh bersila, dah penat-penat jalan kenalah bersila untuk rehatkan kaki. Satu meja 4 orang. Bahagia....

Tiba-tiba datang kakak comel kiranya pekerja kat situlah agaknya, tanya kami nak pesan apa? Erk, nak gelak pun ada, saya tak tahulah apa yang ada untuk dipesan. Malas nak fikir saya pun jawab, kami pesan apa yang dipesan oleh kakak-kakak dan abang-abang kami. hahahhahaha.. senangkan?

Hidangan itu terdiri daripada 4 air lemon tanpa gula, nasi untuk 4 orang, sepinggan tempe goreng, sepinggan lobster sambal (ada 3 ekor dibelah 2), sepinggan lobster goreng (3 ekor belah 2), sepinggan sotong goreng tepung dan sepinggan timun. Harganya??? IDR650k/4 pax. Lobster pun tidak terlalu besar, sangat sedap, kulitnya pun ranggup, tapi tak adalah dimakan kulit tu. Huhu...

Perut pun kenyang, maka kami pun bergerak balik ke hotel.... Selesai untuk hari ini.


HARI KELIMA

~~ 27hb Feb 2018 ~~


LOKASI 1 - TAMAN SARI WATER CASTLE

Macam biasa, perjalanan kami bermula jam 8.30 pagi. Nak tahu terperinci baca kat sini >>https://en.wikipedia.org/wiki/Taman_Sari_(Yogyakarta) Tak dapat nak hayati sejarahnya sebab masa diperuntukkan cuma 30 minit. Entahlah, tiba-tiba rasa macam rugi je. Terlalu berkejar-kejar. Tak apalah, boleh baca di mana-mana sumber tentang sejarahnya.


LOKASI 2 - PULE PAYONG

Sila pilih di antara dua, Kalibiru atau Pule Payong. Kalibiru tarikan pelancongan yang sudah lama manakala Pule Payong adalah tarikan yang baru. Maka sepakatlah memilih untuk Pule Payong. Tak jauh pun jarak di antara dua tempat itu, jalan yang sama, latar belakang yang sama, tetapi Pule Payong jauh sedikit ke atas.

Sampai di Pule Payong, “Sepeda Langit” IDR 20k, “lolipop” IDR10k, jambatan IDR10k. Lain-lain tak ambil tahu. Otak telah diset untuk tidak berjauhan dengan kumpulan, supaya tidak kena hentam kalau tiba-tiba terlewat. Ada “flying fox” dan tarikan lain juga.

Dah sudah, kami kembali ke pintu utama, makan durian dengan harga IDR30k sebiji yang saiz sederhana. Sedapnya.. lagi sedap sebab ada yang belanja. Yeay... Terima kasih Nico, Amboro kerana belanja saya seulas durian masing-masingnya. Alamak rakan kongsi durian terlupa pula namanya, bahagi 2 durian tu, tapi boleh lupa nama. Aduhai...ampunnnn..

Tengaharinya kami makan Masakan Padang lagi. Tak berapa nak kena dengan tekak saya, tapi layan sahaja.


LOKASI 3 - KILANG BEG “DONA” UNTUK SHOPPING BEG

Bag Dona ni bag kait, merupakan produk Indonesia yang terkenal. Harganya boleh tahanlah. Juta-juta ya Buk. Singgah sekejap jelah, saya bukannya peminat beg-beg yang macam tu. Ngee....


LOKASI 4 - SAND BOARDING @ GUMUK PASIR

Saat ini kami berpisah dengan kakak-kakak dan abang-abang senior yang mana mereka tidak ingin berjalan lagi sebaliknya mahu segera ke Pasar Malioboro untuk membeli-belah sebelum kembali ke hotel.

Kami biasalah, orang yang masih muda dan berjiwa muda meneruskan perjalanan ke Gumuk Pasir. Dalam satu jam jugalah perjalanannya. Dalam kepala terbayangkan panorama macam Red Sand dan White Sand Dune, Mui Ne di Vietnam.

Sebaik sampai, memang jelas kelihatan hamparan pasir kelabu yang memang sangat halus saujana mata memandang dengan beberapa pokok renek yang tumbuh. Kami pun berjalan sambil menanggalkan selipar saya untuk merasai kehalusan pasirnya.

Saya pergi juga ke tempat acara “sand boarding”, bayarannya IDR100k/pax dengan anggaran masa lebih kurang 30 minit seorang. Sebelum turun tadi saya dah berbincang dengan Mas Nico Anggoro untuk cuma memperuntukkan 30 minit di sini lantaran sewaktu sampai ke sini jam telah menunjukkan jam 5.00 petang, nanti kami nak pergi ke Pantai Parangtritis untuk menikmati saat matahari terbenam. Pengalaman daripada melihat matahari terbenam di Tebing Breksi, saat terbenamnya matahari adalah pada jam 6.00 petang, dan saya tidak mahu terlepas saat itu.

Tidak ada seorang pun di antara kami yang mencuba sand boarding itu, bukan sebab kosnya tetapi sebab tak sanggup nak mengotori diri dengan pasir halus itu. Usai pusing Gumuk Pasir, tepat jam 5.30 petang, kami segera berkumpul.


LOKASI 5 - PANTAI PARANGTRITIS - SUNSET VIEW

Menghadap Lautan Hindi, Pantai Parangtritis dikategorikan sebagai pantai landai yang sangat indah. Syukur alhamdullillah kerana saat kami berada di bumi Yogya, mulai hari kedua, Allah menganugerahi kami cuaca yang sangat baik.

Mengenangkan masa yang sangat kritikal, saya tahu saya tidak mungkin dapat melawati keseluruhan pantai dengan berjalan kaki, justeru saya menyewa kereta kuda dengan kadar IDR100k untuk 1pusingan lengkap berdua. Kalau sekadar jarak yang dekat, kita boleh membayar IDR30k. Tapi saya mahu pergi ke keseluruhan kawasan. Rezeki saya lagi, anak muda yang empunya kereta kuda ini juga sangat pandai mengambil foto. Hasilnya sangat cantik.

Keindahan matahari terbenam di sini merawat rajuk di hati saya. Saya sangat takjub dengan panorama ini. Masih teringat kata-kata anak muda itu; “Kamu bertuah kerana hari ini dapat lihat keindahan ini, petang semalam, ianya tidak seperti ini."

Selesai di Pantai Parangtritis, kami kembali ke Yogya. Kami mahu mencuba Bakso yang enak di Yogya, untung sangat yang Mas Nico sanggup melayani hasrat kami. Kami dibawa ke Bakso Balungan Pak Granat, memang sangat sedap dan harganya juga sangat murah. Best bakso ever.


LOKASI 6 - PUSAT OLEH-OLEH BAKPIA PATHOK

Kalau berkunjung ke Yogya, bakpia adalah kuih tempatan yang mesti dibeli sebagai buah tangan untuk kembali ke Malaysia. Ada macam-macam intinya, saya cuma beli yang inti kacang hijau, bagi saya itu yang paling sedap. bergantung kepada jenis, harganya di antara IDR45k dan ke atas.

Jangan lupa bertanya jangka hayat bakpia yang dibeli. Selalunya bakpia tidak tahan lama, kalau yang inti kacang hijau, ianya boleh bertahan sehingga 4 hari.

Bakpia Pathok adalah antara kilang bakpia yang sedap dan terkenal di Yogya.


LOKASI 7 - PASAR MALIOBORO UNTUK SHOPPING

Rakan sebilik aka ahli kumpulan yang paling muda akan berlepas pulang ke Malaysia menaiki penerbangan tengahari, justeru saya memohon jasa Mas Nico untuk membawa kami ke Pasar Malioboro. Kata Mas Nico, Pasar Malioboro dibuka sehingga lewat jam 12.00 malam bergantung kepada peniaga.

Teringat saat beliau mengenakan kami sewaktu mencari ruang untuk parkir, “Lihat, itu sugus."

Beramai-ramai kami membalas, “Mana?” “Itu”, “Mana?”

Sekali, kami menejrit beramai-ramai. Mahunya tak, sugus itu rupanya “si pocong” yang sedang berdiri tegak di tepi jalan ditemani “pontianak”. Alahai.... Terkena kami.. huhu.
Pasar Malioboro bolehlah didapati apa jua barangan yang ingin dijadikan cederamata. Kebanyakkan produk-produk batik seperti batik sarung, seluar, blous, jubah, dompet dan rantai kunci. Harganya, kalau dompet batik itu harganya cuma IDR10k satu, kalau mereka tidak mahu turunkan harga, tinggalkan sahaja.

Saya tidak membeli banyak lantaran saya masih berpeluang untuk membeli-belah keesokkan harinya. Lagipun saya ingin melihat Pasar Bringharjo.



HARI KEENAM - TERAKHIR

~~ 28hb Feb 2018 ~~

LOKASI 1 - PASAR MALIOBORO & PASAR BRINGHARJO UNTUK SHOPPING.

Kami daftar keluar hotel pada jam 10.00 pagi. Selesai daftar keluar, kami terus ke Pasar Malioboro. Supir kami parkir si depan Muzium Vredeburg. Cuma 5 minit berjalan kaki menuju ke Pasar Bringharjo.

Pasar Bringharjo betul-betul berhadapan dengan Pasar Malioboro. Bezanya, Pasar Bringharjo cuma beroperasi sehingga jam 4.00 petang. Kami memilih untuk menaiki motor beca pusing-pusing kawasan ini. Kami meminta untuk ke Pasar Bringharjo tetapi dia enggan malah menyatakan bahawa produk di Pasar Bringharjo kurang berkualiti.

Saya tidak kisah, nanti dah sampai pasar pandailah saya pilih. Lagipun Mas Nico dah pesan, kalau menawar biarlah sehingga separuh harga.

Akhirnya kami dibawa ke sebuah rumah batik yang juga menjalankan penghasilan batik. Saya langsung tidak berminat, malahan harga juga agak mahal. Saya segera keluar, lagi sekali saya minta ke Pasar Bringharjo, masih juga dia enggan, lalu kami dibawa ke Rumah Batik Tirto Noto. Di sini, harga dan kualitinya boleh diterima. Saya memang mencari blous batik, dan juga beberapa helai batik sarung dan batik lepas.

Selesai di sini, saya berpakat bersama-sama rakan yang lain untuk segera dibawa ke Pasar Bringharjo. Kami cuma ada masa sehingga jam 12.30 tengahari sahaja. Akhirnya pengusaha motor beca itu bersetuju. Sampai di Pasar Bringharjo, kami pun menyerahkan bayaran IDR10k untuk satu motor beca.

Masuk ke Pasar Bringharjo membuatkan saya terpaku. Pelbagai produk dijual di sini. Bakpia yang dijual secara terbuka pun ada. Kain renda, kain ela, batik, seluar, barangan cederamata, telekung dan pelbagai barang lagi. Dek desakan masa, saya tidak menjelajahi keseluruhan pasar.

Menjelang tengahari dan cuaca yang panas membuatkan saya tidak boleh bertahan lama di dalam bangunannya, justeru selesai membeli 2 helai kain ela (panjang 4meter - bidang 45inci. Di sini mereka menggunakan ukuran cm untuk bidangnya.) saya segera keluar.

Jujurnya, tidak puas hati. Masa yang singkat di Pasar Bringharjo membuatkan saya tidak mengetahui apa sebenarnya yang dimiliki dan tersembunyi di pasar ini. Ini membuatkan saya nekad untuk kembali satu hari nanti, untuk membeli-belah terutamanya.

***********************************************************

SELAMAT TINGGAL YOGYA... Terima kasih semua terutama ahli kumpulan kecilku; EJa Alia, Sarah Ismail, dan Hazaliana Affendi.

Dan juga budi yang setinggi Gunung Merapi, Mas Nico Anggoro, melayani kerenah kami yang sentiasa bising, menjadi guru untuk menterjemahkan setiap perkataan yang kami tanya, bersabar dengan usikan kami, dan akhirnya berjaya membalas dendam kepada kami.

Kepada Amboro Arc Jogja, hanya kenal sekadar adanya, tidak banyak bicara, kerana kita dari kenderaan yang berbeza, apa pun juga, budimu tidak dilupa.

No comments:

Post a Comment