Alam ini tidak pernah dijadikan sia-sia oleh Yang Maha Esa. Bertitik-tolak daripada frasa ini, amat penting untuk kita menjaga alam sekitar kita daripada dimusnahkan secara perlahan-lahan samada oleh tangan-tangan kasar yang rakus dan juga tangan-tangan yang halus secara perlahan-lahan.
Ekosistem paya bakau merupakan satu ekosistem alam yang sangat penting dalam memastikan hidupan flora dan fauna di kawasan pantai yang berlumpur untuk terus kekal. Kewujudan pokok-pokok bakau mampu mencegah hakisan pantai dan mengekalkan keadaan muka bumi yang sangat sesuai untuk pembiakan dan tumbesaran flora dan fauna ini.
Tahukah anda bahawasanya kewujudan pokok-pokok bakau mampu memecahkan hentaman ombak?
Menyedari hakikat ini, pihak Pejabat Pelajaran Negeri Melaka, Jabatan Perhilitan Melaka dan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan telah bekerjasama dalam satu misi bersama iaitu Kempen Kesedaran kepentingan hutan persisir pantai.
Tanjung Tuan terletak di negeri Melaka, namun untuk mengunjunginya mestilah melalui Negeri Sembilan melainkan anda ingin mengunjungi Tanjung Tuan melalui jalan laut.
Tanjung Tuan merupakan kawasan hutan tebal yang masih terpelihara daripada sebarang kerakusan manusia. Monumen sejarah yang masih kekal dan berfungsi sehingga hari ini adalah Rumah Api Tanjung Tuan.
Inilah lokasi yang paling sesuai yang telah diberikan oleh Jabatan Perhilitan untuk operasi tanam semula bakau. Sebanyak hampir 200 anak pokok bakau telah ditanam dalam operasi menyeluruh sepanjang pagi dengan penyertaan wakil pelajar dari lebih 10 buah sekolah dari daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, Melaka.
"Mata amat penting." Kata-kata yang dilafazkan oleh Pengarah Jabatan Perhilitan mengenai proses pemantauan pokok bakau kerana mata memainkan peranan yang penting dalam melihat dan memahami keadaan dan aras air.
Kami menunggu sehingga air surut ke paras yang terendah untuk memudahkan kami menggali tanah dan menanam pokok bakau.
Inilah permandangan sewaktu air surut di kawasan berhampiran Jabatan Perhilitan Negeri Melaka ini.
Akar-akar bakau yang berceracak ke atas. Kepada mereka yang pernah mempelajari Geografi pasti mengetahui apakah fungsinya.
Gotong-royong bermula.
Bilangan penggali sangat-sangat terhad. Bagi pelajar-pelajar ini, aktiviti-aktiviti ini merupakan satu aktiviti riadah yang bermanfaat selepas selesai peperiksaan PT3.
Tapak kasut.
Sebenarnya bukan tapak kasut itu yang menarik perhatian saya tetapi kelihatan ratusan malahan ribuan siput-siput berkeliaran di habitat ini. Itu yang sebenarnya yang mencuri perhatian saya.
Siput paya bakau boleh dimakan, tapi bukanlah yang kecil ini. Carilah yang lebih besar, biasanya ia akan bersembunyi di dalam lumpur, bersihkan dan masaklah ikut selera anda.
Anak pokok bakau kami. Ditandakan dengan buluh kedudukkannya untuk memastikan dimanakah lokasi pokok ditanam.
Biasanya selepas sebulan, pokok akan dipantau dari sudut jumlah yang masih hidup. Itu akan menentukan samada, pokok yang mati akan diganti dengan ditanam baru atau kawasan itu disytiharkan tidak sesuai.
Sambil-sambil bercucuk tanam, saya mencari habuan untuk lensa smart phone saya. Bagi saya, peluang berada dekat dengan alam merupakan satu anugerah yang sangat besar ertinya.
Tidak semua orang mempunyai ruang dan peluang untuk menikmati alam ciptaan Allah swt yang sangat indah ini.
Kelihatan dari jauh adalah gugusan hotel Lexus Hibiscus, yang dibina jauh menganjur ke lautan.
No comments:
Post a Comment