Wednesday, 21 November 2018

Menuju Tanah Tinggi Dieng - 23 Feb 2018

Terpukau dengan Yogya yang sering digembar-gemburkan, hati ini bagai diseru-seru untuk memijak bumi  Pulau Jawa ini. Jujurnya sulit untuk mendapatkan rakan-rakan yang satu kepala untuk meneroka bumi Yogya lantaran berbanding Medan, Jakarta dan Bandung, Yogya bagaikan asing. Tetapi, Pantai Timang yang merupakan tarikan terkenal Yogya menjadi sebab untuk sendiri berkunjung dan merasai sendiri pengalamannya.


Di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Adisucipto
Inilah rakan akrab yang sentiasa merancang untuk meluangkan masa pergi meneroka tempat baru. Masing-masing sangat teruja untuk ke Yogya.

Alhamdullillah, Allah swt telah mempermudahkan segala urusan. Cumanya, kami tersilap percaturan, kerana tidak peka dengan takwim Politeknik Malaysia, kami telah pergi pada waktu perlaksaan ujian selaras. Untung, Ketua Jabatan saya amat memahami. Namun, pengajaran tetap diambil oleh saya untuk sentiasa peka dengan Takwim Politeknik untuk merancang percutian.



Bergerak menuju ke kenderaan supir
Penerbangan AirAsia kami seawal jam 06:40, habis kerja hari sebelumnya, saya langsung ke KLIA2. Saya telah berjanji untuk menghabiskan masa berkualiti bersama-sama rakan saya  yang turun dari Kedah dan Pulau Pinang sementara menunggu waktu penerbangan esok paginya.

Merasalah juga pengalaman bagaimana mengharungi malam yang dirasakan lebih panjang berbanding hari-hari lainnya lantaran bosannya menunggu hari siang, dan juga kerana bangku menunggu yang terhad. Belum lagi mengambil kira, pengunjung yang menguasai lebih daripada satu kerusi walaupun dia hanya bersendirian. Saya tidak mahu mengulasnya, biarlah saya simpan di hati sahaja.


Tempoh penerbangan lebih kurang 2 jam 45 minit tanpa henti. Sempat juga saya berasa bosan untuk duduk tanpa melakukan sebarang aktiviti. Ada masanya saya tidur. Maklumlah, saya duduk jauh daripada tingkap. Kalau tempat duduk say abersebelahan tingkap, mustahil saya akan tidur.

Oh, lupa nak beritahu, waktu di Yogya adalah mengikut Wilayah Indonesia Timur bermaksud, waktu mereka awal 1 jam berbanding waktu Malaysia.


Sampai Yogya, kami segera menuju ke arah bandara (bandar). Dalam perjalanan, singgah sebentar untuk membeli simkad, waktu ini pelancong luar masih dibenarkan untuk membeli simkad Indonesia. Jadi, sebab nak murah, kami membelinya di kedai-kedai yang jauh dari lapangan terbang.


Rencana asal, kami akan segera menuju ke Candi Borobudur, tetapi hujan rahmat mencurah-curah menyambut ketibaan kami. Jadinya, kami segera dibawa ke kedai makan untuk menikmati juadah tempatan.

  
Diperakui, harga makanan di Yogya jauh lebih murah berbanding Bandung dan Jakarta, bahkan itu diperakui oleh supir Bandung saya.

Tetapi, kalau supir anda membawa ke tempat ekslusif maka saya menarik balik kata-kata saya. Bukan apa, saya cuma berkunjung ke warung-warung yang biasanya dikunjungi warga tempatan, kalau warung khusus untuk tarikan pelancong, tidak dinafikan harganya sedikit menyeramkan.



Hujan lebat yang menyambut kami.
 Memandangkan sehingga ketibaan kami ke Bandara, hujan tetap tidak menunjukkan tanda untuk berhenti, maka rencana asal untuk ke Candi Borobudur ditangguhkan. Hujan sebegini memang tidak sesuai lantaran untuk meneroka candi, anda akan berjalan kaki, justeru supir memutuskan untuk terus ke Tanah Tinggi Dieng; yang terletak di wilayah Kabupaten Banjarnegara dan kabupaten Wonosobo.


Nah, ini baru seekor ayam, siap dengan kepalanya sekali.
 Tempoh perjalanan dari Bandara ke Tanah Tinggi Dieng mengambil masa kurang lebih 4 jam. Bagaimana? Terujakah anda setelah mengetahui berapa lama anda harus duduk diam di dalam kenderaan? Hujan juga masih  menyambut kami seakan tidak ingin untuk melepaskan peluang bermesra dengan kami. Hujan mengiringi kami sehingga kami tiba ke rumah inap kami.


 Apabila kami mula memasuki Kabupaten Wonosobo, kelihatan raja buah dijual di bahu-bahu jalan. Mulalah hantu-hantu durian keresahan, lantas kami meminta kepada supir untuk berhenti, rezeki tersedia mengapa harus dilepaskan?

Harganya? 


Biasa-biasa sahaja, bahkan mungkin lebih murah berbanding di Malaysia.


Rasanya?


Hmmm, bagi saya, durian Malaysia tetap yang terbaik walaupun ia hanyalah baka durian kampung.

 Apa pun jua, kami telah mencuba. Sekurang-kurang kami tahu bagaimana rasanya, dan anda jika berkunjung ke sini, jika ada rezeki anda bertemu dengan raja buah ini, anda harus mencubanya. Jangan risau, tidak rugi mencuba...
Teman percutian sentiasa dan selamanya, insyaa Allah.
Di sekitar kawasan jualan durian. Belah dan makan di situ juga.

Selesai makan durian sila jaga tingkah-laku masing-masing ya kawan-kawan. PERTAMA, jangan sendawa. KEDUA, jangan sendawa dan yang KETIGA, jangan sendawa dan seangkatan dengannya. 


Hawa durian ini kuat, meskipun kita berborak biasa, baunya tetap boleh keluar mengganggu ketenteraman awam. hehehehe...



Lantaran hari semakin menghampiri senja, kami membuat permintaan untuk singgah solat. Jamak Takhir... Maka kami singgah di sebuah pusat komuniti setempat. 

Subhanallah, saya sangat kagum dengan pengamalan agama dalam masyarakat setempat. Saya dapat rasakannya. Dan saya cemburui mereka...  


Nah lihatlah langit yang masih berduka itu. Sebenarnya, gerimis masih melanda. Air di kawasan ini sangat sejuk umpama air gunung di pendalaman. 


Bayangkanlah, kami ini kesejukkan, wudhu juga dengan air yang sangat sejuk, bagaikan ke sum-sum tulang kedinginan itu dirasai.



Surau untuk kami Jamak Takhir

Usai solat, tanpa membuang masa, perjalanan diteruskan. Jujur saya ingin katakan, mengembara di daratan mungkin membuang masa berbanding perjalanan di awan, tetapi apa yang mata anda nikmati di langit dan apa yang dapat saksikan di daratan adalah berbeza. 

Meskipun  4 jam masa dihabiskan di jalanan, saya teruja dengan permandangannya. Sawah padi bertingkat umpamanya merupakan lanskap biasa di Yogya. 


Awalnya saya tidak pernah tahu, tetapi apabila sentiasa melihatnya saya memahami bahawa ia adalah hal biasa di sini. Namun, tetap saya berfikir bagaimana mereka meneroka lereng bukit dan gunung untuk penanaman padi mereka tanpa sebarang "pertembungan" dengan alam.

Saiz sawah padi juga pelbagai. Ada yang kecil, ada yang besar dan bentuknya unik mengikut keadaan muka bumi.



Di saat ini saya melihat sawah padi bertingkat di luar sana tetapi apabila saya ambil gambarnya, hanya titisan air di tingkap kenderaan yang dapat saya dirakam.

Lebih baik daripada tiada apa-apa. 


Sepanjang perjalanan ini, ada masanya kami tertidur, ada masanya kami berborak dan ketawa sendiri dengan lawak kami. Biar saya bongkarkan rahsia, hanya suara kami yang memenuhi ruangan kenderaan yang membawa kami. Seandainya kami terdiam, maka suasana akan sunyi dan sepi, dan begitulah seterusnya.


Oh Mas Nico, ampunilah kami kerana menjadi mangsa rujukan kami yang seringkali bertanya soalan-soalan yang luar jangka.

#Hari pertama daripada 6 hari.

No comments:

Post a Comment