Gunung Kenderong (K2), Kampung Pahat, Gerik, Perak
Ketinggian 1223 meter dari paras aras laut.
15 September 2017
18:00 - Bertolak dari Politeknik Port Dickson
20:30 - makan malam di RNR Sungai Buloh, Selangor
16 September 2017
02:30 - Tiba di Kampung Pahat, Gerik.
03:30 - Naik hilux lebih kurang 30 - 45 minit perjalanan menuju ke tapak perkhemahan
06:05 - Solat Subuh di Kem Solar
07:30 - Menawan puncak Kenderong
10:30 - Meninggalkan puncak
13:00 - Tiba di kawasan tapak perkhemahan
14:30 - Menaiki hilux untuk kembali ke lokasi bas
15:00 - Menaiki bas
15:30 - Mandi, solat dan makan tengahari di Medan Gerik
21:45 - Solat isyak dan maghrib di RNR Dengkil
23:55 - Tiba di Politeknik Port Dickson
**************************************************
Bercerita tentang awan permaidani, Gunung Kenderong di Gerik Perak merupakan antara lokasi-lokasi yang terkenal dengan permandangan ini. Hamparan putih yang seluas saujana mata yang memandang, memang sangat memukau pandangan.
Lantaran itu, saya juga tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan dengan pancaindera sendiri kehebatan yang digembar-gemburkan. Bayaran RM50 telah lama dilunaskan mengambil-kira bayaran untuk pemandu arah, bayaran untuk pacuan 4 roda yang bakal membawa kami ke tapak perkhemahan.
Di saat keterujaan kami berada di puncak, untuk memulakan perjalanan, kami diledakkan dengan berita bahawa sedikit keadaan kurang senang terjadi di Kampung Pahat di mana AJK kampung tidak ingin membenarkan pendakian dilakukan pada waktu malam, dan bayaran masuk sebanyak RM5 dikenakan.
Terkejut di atas berita itu, kerisauan pasukan kami bertambah. Bukan kerana caj masuk yang dikenakan tetapi kerana kami merancang untuk memulakan pendakian di awal pagi.
Setiap saat yang berlalu, semuanya berharap agar tidak ada perubahan pada rancangan asal kami, setaip jam berlalu, kami sentiasa bertanya di antara satu sama lain agar kemelut di Kampung Pahat tidak berlarutan.
Perancangan ini tidak dirancang dalam sehari dua, bahkan ianya telah dirancang sekurang-kurangnya sebulan lebih awal. Justeru apabila tiba-tiba dilanda badai begini, kami berasa sangat kalut.
Menjelang waktu bertolak segalanya berubah menjadi sangat positif, syukur yang tidak terkira. Keceriaan tidak dapat disangkal lagi. Dan bermulalah, operasi menawan Puncak Kenderong.
Di saat warga Gerik lena diulit mimpi, kami sekumpulan berkumpul di bahu jalan menunggu pacuan 4 roda menjemput dan membawa kami ke tapak perkhemahan.
Kebosanan memang menerjah, apatah setiap saat dirasakan begitu berharga. Cuaca pula tidak dapat dijangkakan. Khabarnya, 2 hari sebelumnya, hujan lebat melanda kawasan ini.
Rasanya selama lebih-kurang 30 minit duduk di atas hilux membuatkan punggung kami sakit terhentak di laluan yang mencabar itu. Penat menyesuaikan diri supaya ketidakselesaan tidak begitu mengganggu, namun hakikatnya ianya amat sukar. Itulah akibatnya jika diriku si keding.
Lantaran hujan, pacuan 4 roda tidak dibenarkan untuk membawa kami sehingga ke tapak perkhemahan, tidak pasti berapakah jarak kami terpaksa diturunkan disebabkan laluan tanah becak dan licin. Meneruskan dengan pacuan 4 roda bermaksud kami seakan-akan mencari bahaya untuk diri sendiri.
Antara suka atau tidak, kegelapan hening malam terpaksa diraduk, sesekali suara unggas dan ritma irama hutan beralun. Tidak dilupakan juga kupu-kupu malam yang menemani.
Untungnya kami apabila pemandu arah membawa kami mengikuti laluan rentas, syukurnya kerana tidaklah kami menggunakan terlalu banyak tenaga sementara sampai ke tapak perkhemahan.
Tetapi si pacat terlalu banyak di sini. Awas ya... Apatah kami memulakan perjalanan di awal pagi, dan haiwan ini sangat aktif di saat sejuk dan lembap, maka sesiapa yang terpilih maka bersedialah untuk mendermakan darahnya tanpa rela.
Muka bumi Gunung Kenderong langsung tidak ada dalam bayangan kami.
Hanya keindahan panoramanya saja yang banyak diwar-warkan, akan tetapi hakikat bentuk muka buminya, tetap kekal menjadi rahsia.
Mendaki dengan tiada bayangan tentang rupa muka bumi ini sedikit-sebanyak mencabar diri kami. Maunya tidak, sudahlah gelap malam, mencanak lagi, pokok-pokoknya cuma tumbuhan renek ataupun rumput berdaun tajam yang tinggi. Anak-anak buluh juga banyak yang kelihatan.
Kemudian saya dimaklumkan bahawa dalam tempoh 10 tahun, gunung ini 2 kali terbakar. Patutlah, gunung ini hanya dipenuhi pokok-pokok renek.
Kami solat subuh di Kem Solar. Dinamakan Kem Solar kerana di sini terdapatnya satu panel solar.
Ruang di sini agak luas untuk menampung lebih ramai orang berbanding kawasan lain.
Di saat kami mendirikan solat, waktu pun sudah menghampiri penghujungnya, harus diingat bahawa waktu di puncak gunung jauh lebih cepat berbanding waktu di kaki gunung.
Lihatlah laluan mendaki kami.
Apabila dimaklumkan bahawa puncak yang kelihatan di hadapan kami adalah "false peak", jujurnya saya rasa agak kecewa. Tidak sanggup rasanya berterusan mendaki mencanak begini.
Namun saat mengetahui bahawa kedudukan puncak sebenar hanyalah selepas "false peak", hati kembali teransang.
Selesai solat subuh, barulah kami dapat melihat serba sedikit hakikat muka buminya. Rupanya selama ini, selama kami mendaki, kami melalui rabung gunung. Syukurlah, tidak ada di antara kami yang kurang sabar, bahkan sangat bertoleransi, dan sentiasa berada di denai.
Tidak dapat dibayangkan jika ada di antara bersikap gopoh, di mana kemudaratan yang tercetus mungkin mengundang sulit kepada ahli kumpulan yang lainnya.
Percaya atau tidak, di saat kami tidak jelas tentang muka buminya, semuanya bergerak lancar. Namun setelah muka buminya jelas di pandangan kami, mulalah rasa gayat melanda. Jika sebelumnya kami tidak tahu bahawa kami berada di rabung gunung, di mana kesilapan mengundang padah, kami melangkah dengan waspada. Tetapi selepas mengetahui kami berada di rabung gunung, pandangan kami lepas selepas-lepasnya, hati mula berasa cuak. Di saat ini , kami lebih berhati-hati.
Tanah di denai pendakian agak poros lantaran tidak ada akar-akar yang menahan dan mengikatnya. Bahkan batu-batu yang dipijak dengan mudahnya terlerai dan terjatuh. Seandainya di permukaan menegak, ianya agak membahaya untuk orang-orang lain.
Justeru, toleransi dan kerjasama sangat penting supaya semua ahli kumpulan dapat meraih kejayaan bersama-sama.
"labah-labah" dengan sesawangnya.
Menjengah juga akhirnya.
Masing-masing mulai mengheret kaki, dan mengharapkan agar wujudnya kawasan yang agak rata.
Kenderong dan Kerunai akak K2.
Awan-awan mulai menjalin diri mereka untuk bersatu dan seterusnya membentuk hamparan putih salju.
Kelihatan seperti awan-awan itu datang dari segenap arah dan akhirnya melitupi sekeliling kawasan K2.
Puncak Kerunai yang teguh menemani Kenderung.
Meskipun merupakan jiran terhampir dan terasing daripada gugusan Banjaran Titiwangsa, untuk mendaki Gunung Kerunai tidak ada laluan pintas dari puncak Gunung Kenderong.
Semua pendakian mesti bermula dari tapak perkhemahan di kaki gunung K2.
Flora gunung.
Pokok kemunting.
Sayangnya tidak ada yang masak, kalau ada yang masak, dapatlah menikmati buahnya.
Orkid hutan.
Vandalisme ada di mana-mana.
Paling menyakitkan mata apabila mengabdikan kemunculan anda di sesuatu tempat begini.
Namun perkembangan terkini, 29 nov 2017, mercu tanda puncak Kenderung telah dicat semula.
Aktiviti mendaki mendekatkan kami dengan insan-insan lain.
Macam pokok gelam.
Ya ke?
Sampai di puncak Kenderong masing-masing kelaparan. Maklumlah, paling akhir kami menikmati makanan adalah waktu sebelum pendakian sekitar jam 2 pagi.
Sebaik saja sampai puncak, masing-masing mulalah mencari nasi goreng yang dibawa khas. Sayangnya, bekalan karbohidrat kami telah basi.
Untung ada yang membawa mi segera, biskut-biskut sebagai kudapan. Saat ini, air yang paling sedap adalah kopi O. Entahlah kenapa, tiba-tiba saya rasa kopi yang dibancuh di sini jauh lebih enak berbanding daripada yang dibancuh di rumah. Hahahaha
Kami menerokai puncak Kenderung sehingga lebih-kurang jam 10 pagi. Selepas itu kami pun bergerak turun. Matahari pun mulai memancar. Ingatkan, di awal pagi tadi, dapatlah kami melihat matahari terbit dari puncak, tetapi ternyata itu bukan rezeki kami.
Tidak disiram hujan pun sudah tersangat bernasib baik.
Waktu menuruni gunung, memang laluan kami hanya menurun sahaja, boleh dikatakan langsung tidak ada laluan di mana kami akan mendaki walau sedikit. Laluan rata juga tidak banyak. Tetapi bersabarlah dalam mengambil giliran menggunakan tali.
Jika semuanya bersabar pasti semuanya akan lebih senang dan tenang.
Tali merupakan kemudahan yang sangat-sangat membantu tetapi pada satu-satu masa hanya seorang sahaja yang boleh menggunakannya supaya tidak da sebarang masalah. Bahaya sebenarnya jika lebih daripada seorang menggunakan tali yang sama serentak walaupun di kedudukan yang berbeza.
Lihatlah rabung Kenderong ini. Ramai di antara kami mulai diserang rasa gayat.
Sebahagian daripada ahli kumpulan kami mulai menyanyi dengan kuatnya, awalnya saya hairan juga, yalah melalak-lalak di kawasan hutan begini.
Arwah ayah saya memang mendidik kami adik-beradik untuk menjaga tingkah-laku di dalam hutan.
Tiba-tiba sahaja suasana yang asalnya biasa-biasa sahaja bertukar menjadi hiruk-pikuk dengan nyayian mereka. Rupa-rupanya itu adalah cara mereka untuk menghilangkan rasa gayat di saat menuruni gunung.
Baiklah, terpaksalah dengar walaupun "pitching and vocal" ke laut.
Pokok-pokok terbakar memang banyak di sini. Jika bernasib baik, anda boleh mendapat satu objek untuk foto anda.
Upsss, itu pun jika anda seorang yang berjiwa seni dalam soal fotografi.
Kembali berkumpul di Kem Solar.
Awan permaidani makin jelas terhampar, seumpama berada di antara 2 lapisan langit.
Subhanallah, sangat cantik.
Kerunai.
Semakin menghampiri tengahari, matahari semakin membahang, untung saya membawa topi, dapatlah sedikit-sebanyak mengurangkan terik pancaran daripada terus ke muka.
Angin pun tidak begitu bertiup, sekurang-kurangnya jika ada angin, dapatlah bahang itu dikurangkan.
Tetapi, terdapat sahaja mereka yang memulai pendakian pada waktu-waktu begini. Mungkin mereka ingin mengejar masa untuk menawan kedua-dua puncak K2 atau mereka memulakan pendakian secara santai untuk menikmati saat di mana matahari terbenam.
Apa pun jika diberikan pilihan, saya lebih rela mendaki di awal pagi berbanding pada ketika matahari meninggi kerana tidak sanggup berhadapan dengan bahangnya.
Bermain dengan sudut untuk hasil yang lebih baik. Tetapi tetap untuk seorang yang tidak pro seperti saya, hasilnya hanyalah sekadar adanya.
Bila saya telah sampai ke bawah, dan keseluruhan gunung Kenderung telah kelihatan, kalimah pertama yang terpancul adalah "Kegilaan apakah ini?"
Soalan itu khusus untuk diri saya, namun tetap juga saya tidak akan serik untuk mendaki gunung-gunung lain di dalam Malaysia.
Kupu-kupu ini datang untuk mati berhampiran saya. Comelnya.
Kawasan tapak perkhemahan ini sesuai untuk aktiviti mandi-manda setelah keletihan dan kepanasan mengharungi bahang matahari tetapi ada satu perkara yang saya tidak suka iaitu terlalu banyak pacat.
Saya memilih untuk hanya berdiam diri sambil menunggu ketibaan pacuan 4 roda yang akan membawa kami keluar dari kawasan kaki gunung ini.
Gunung Kenderong.
Untuk kembali, aku harus mencari inspirasi dan tujuan yang jitu.
No comments:
Post a Comment