Friday, 17 November 2017

Bandar Ho Chi Minh (Sai Gon) - 14 dan 15 Oktober 2017

Selepas pertama kali mengunjungi Sai Gon pada Feb 2014, dan kini adalah lawatan ke lima, terlalu banyak perubahan dilaksanakan di bandar ini. Pengaruh binaan Perancis tetap merupakan intipati bagi senibinanya.

Kami bertolak dari KLIA pada jam 2 petang lebih kurang. Sebab saya memilih untuk terbang dengan Malindo Air. Hanya itu waktu penerbangan yang saya rasakan sangat sesuai untuk kami lantaran kami semua bukannya dari kawasan sekitar. Saya sendiri perlu bertolak dari Melaka Tengah.


Justeru dari terkejar-kejar, adalah lebih baik memilih waktu yang sedikit lewat. Malindo mungkin tidak murah namun saya sukakannya lantaran bagasi percuma sebanyak 30kg, saiz kerusi yang lebih selesa, ada hidangan alas perut yang disediakan di atas pesawat dan yang paling penting, saya tidak perlu menunggu sehingga 4 jam sebelum waktu penerbangan hanay semata-mata untuk check-in baggage


Masa itu terlalu bernilai untuk saya. 


Memilih untuk menjadikan kunjungan kali ini sebagai satu sesi yang istimewa bersama kembar saya; permintaannya beliau setiap kali saya ke Sai Gon adalah mempelawa beliau, dan hanya kali ini beliau mempunyai kelapangan.


Di sini saya tidak akan membicarakan tentang percutian bajet atau itinerary. Ramai orang di luar sana yang lebih mahir dan arif berbanding saya. Percutian saya adalah satu percutian untuk memanjakan diri pada kadar bajet. Justeru, ianya berbeza.



Aduhai, macam nenek sihir pula apabila menyapu lipgloss matte  warna ini. Dan nampak lebih tua serta lebih garang. 

Sila abaikan sahaja kematangan saya impak dari warna lipgloss matte  itu. Yang penting sekarang, wajah masing-masing sangat ceria sebab teruja untuk pertama kali bercuti bersama.


Di dalam pesawat. Ambil dulu satu sebagai tanda mata sebelum pramugari meminta kami untuk menutup telefon sewaktu berlepas. Saya hanya menukar sahaja telefon saya kepada airplane mode. Senang kalau tiba-tiba nak ambil gambar tapi kalau tiba-tiba kena tegur kena tegur dengan pramugari, janganlah pula marah pada mereka.


Penerbangan sepatutnya cuma mengambil sekitar 1.45 ke 2.00 jam. Perbezaan disebabkan oleh jarak yang perlu diambil oleh kapal terbang untuk taxi dari gate-gate yang berkenaan.



 **********************
Di udara, jelas kelihatan sawah-sawah padi yang membentangi selatan Viet Nam. Kawasan penanaman padi utama Viet Nam adalah di kawasan Delta Mekong.

Namun kini saya melihat ada segelintir mereka yang mula beralih pada tanaman lain namun hanya pada kadar peratusan yang sangat kecil.

Bersedia untuk mendarat. Waktu ini amat saya sukai, kerana dapat merasai bagaimana hebatnya juruterbang mengawal pesawat daripada terhenyak keras. 
Akhirnya, Saigon saya telah datang. 
 ****************************
Selepas mendaftar masuk hotel, saya berehat seketika. Pada sebelah malamnya telah berjanji dengan Rohimah untuk berjumpa, sambil minum-minum dan juga bersiar-siar menikmati angin malam di Sai Gon.

Satu hal yang perlu difahami tentang budaya masyarakat Viet Nam adalah apabila keluar untuk minum, pastikan semuanya terlibat, jangan ada yang mengatakan tidak mahu minum, dan memilih untuk berbual kosong sahaja. Bagi mereka, ianya adalah satu tindakan yang mengecewakan mereka. 


Jika anda tidak mahu minum, jangan keluar, dan jika anda keluar, pilihlah apa-apa minuman untuk meraikan mereka.



Di luar bangunan tempat kami minum. Di kawasan ini katanya, sukar untuk menjumpai pelawat dari Malaysia dan sukar untuk menjumpai makanan halal.

Makanan halal paling mudah ditemui di Jalan Nguyen An Ninh atau lebih dikenali sebagai Jalan Malaysia bagi masyarakat setempat.


Anda nampak tak bangunan berbumbung yang meriah dengan manusia di sana? Di situ adalah tempat untuk makanan jalanan namun Rohimah menegaskan bahawa makanan di situ tidak halal.


Justeru, jika sekadar untuk melihat, ianya tidak menjadi isu. Tetapi untuk menikmati, fikir-fikirkanlah. Apabila telah disahkan oleh warga tempatan yang muslim, kita sewajarnya boleh berfikir.


*************************************

Hari ke dua - 15 Oktober 2017

Hari ini kami merancang untuk ke Delta Mekong atau lebih tepat - My Tho. Sudah lama tidak berkunjung ke My Tho, sebelum ini pernah berkunjung sebanyak 2 kali. Dan pengalaman yang dieprolehi adalah pengalaman yang berbeza. 


Saya membayangkan kunjungan kali ini pastinya sesuatu yang sama seperti sebelum ini, rupa-rupanya saya jelas tersasar. Masih ada sedikit perbezaan.


Terlupa nak memberitahu bahawa kali ini saya menetap di Bali Boutique Hotel Ben Thanh. Secara keseluruhannya, hotel ini sangat baik cumanya mereka tidak mengamalkan satu prsedur jelas tentang pelabelan makanan.

Maksud saya, tidak dinyatakan konsep halal yang diamalkan oleh mereka, tidak juga dilabelkan makanan vege bagi vegetarian. Jadinya semuanya berdekatan dan bersebelahan.


Sendiri mahu tafsirlah ya. Soal halal dan haram bukanlah soal yang enteng. Ia akan menjadi darah daging kita, bahkan yang halal itu jelas, dan yang haram itu juga jelas, serta elakkanlah yang syubhah. Kerana sesungguhnya yang syubhah itu lebih menjurus ke arah yang tidak halal.


Ambil aura positif sebelum berangkat.

  
Rohimah ingin membawa kami ke satu tempat menjual bag-bag dan kasut-kasut. Sambil menunggu kedai itu bersedia untuk pelanggan, kami dijamu dengan kopi jalanan. Rasanya amat sedap. Dan di sinilah saya perasan satu hal iaitu, pati kopi telah disiapkan terlebih dahulu. 

Apabila pelanggan tiba, mereka cuma membancuh pati kopi itu dengan susu pekat, kemudiannya dimasukkan ais. Tapi ianya sangat manis.


Kunjungan kali ini, jujurnya saya tidak menikmati kopi sepuasnya sebab kebanyakkan kopinya sangat manis. 


Selesai urusan di kedai bag dan kasut berkenaan, kami bergerak ke My Tho. Di dalam perjalanan, kami singgah di satu kedai yang menjual pelbagai barangan seperti t-shirt, pelbagai jenis bag buatan tempatan dan lain-lain lagi. Di Sai Gon, jika anda mendapat t-shirt pada harga RM7 untuk saiz paling kecil sehingga XL, ianya murah. Tidak kisahlah di mana pun, anda boleh membelinya.


Untuk beg bercorak geometri dan beg kulit kerbau, harga di pulau Mekong jauh lebih murah iaitu RM10 satu. jadi pandai-pandailan ya, rancanglah pembelajaan dan di mana duit anda ingin dilaburkan.


Akhirnya kami tiba di My Tho. Kami menaiki bot untuk menuju ke pulau. Lupalah pula nama pulaunya.

Biasalah, tidak memberi tumpuan.

Di Sai Gon, kami bertiga menjadi akrab. 

Lihatlah topi kami. Rekaan yang sama tetapi warna yang berbeza. Ianya satu kepuasan bagi mereka yang bersahabat untuk mencipta kenangan indah bersama.


Kenangan adalah sesuatu yang dicipta, semua kita akan mengingatinya. 

Sampai di pulau, perkara pertama kami buat adalah melihat ternakan lebah madu.

Katanya lebah madu di sini menikmati madu dari pokok mata kucing, menjadikan ianya sangat istimewa. Khasiatnya? 


Datanglah ke My Tho dan dengarlah penjelasan daripada adik-adik manis yang akan menjamu anda dengan hidangan madu mengikut cara tempatan.


Apa macam ada berani untuk pegang sarang lebah macam tu? Kakak yang berani pun kena sengat dengan lebah, tetapi dia tenang saja. Sambil menunjukkan bekas sengatan itu, langsung tidak ada riak penyesalan.


Memang hebat betul kakak ni.

Inilah barisan adik-adik manis yang menghidangkan madu untuk kami.

Pelbagai produk madu boleh dibeli, madu, pollen dan royal jelly, pilihlah ya. 


Buah-buahan kering yang telah dijadikan halwa pun ada dijual, halia pun ada, tapi bagi saya memang sedap. 


Tapi saya tidak beli pun, saya cuma beli madu saja. Perjalanan masih jauh.


Kemudiannya kami menuju ke tempat pembuatan coconut candy. Semua proses pembuatan ditunjukkan bermula dari buah kepala sehingga pembungkusan. Saya memang tidak beli sebab saya lihat anjing-anjing banyak berkeliaran dan tidak ada sesiapa pun yang menghalaunya.


Memang penghasilan coconut candy tidak ada keraguan dari penggunaan bahannya, namun apabila anjing terlalu bebas bergerak di kawasan penyediaan, dan meskipun tidak naik ke meja dan menyentuh bekas-bekas yang digunakan, tapi hati saya tetap tidak tenang.


Di sepanjang perjalanan selepas menikmati hidangan madu, pelbagai kraftangan tempatan dijual, termasuklah bag kulit kerbau yang boleh didapati dengan mudahnya di sini. Dengan harga yang sangat murah RM10. Sangat murah. Sesiapa yang berminat, saya sarankan anda beli saja.


Saya cuma membeli sikat tanduk kerbau.


Kemudiannya, kami menikmati hidangan buah-buahan tempan. Buah naga putih merupakan produk tempatan Viet Nam. Setakat ini saya tidak pernah melihat buah naga merah di sana. Mata kucing mereka juga berbeza dengan mata kucing yang selalu dibawa masuk dari Thailand.

Juadah ini dinikmati dengan mencicahnya ke dalam campuran cili dan garam. Selamat menikmatinya ya.

Sambil-sambil makan kami dihiburkan dengan persembahan lagu popular oleh penyanyi tempatan. Bukan penyanyi terkenal ya, tapi suara mereka bagus saja, adalah beberapa lagu didendangkan, 1 lagu Inggeris, "if you happy and you know it..", 1 lagu Malaysia, "Anak orang kampung" dendangan penyanyi Sabah dan satu lagu tempatan.

Layan jelah. 


Jangalan dikecam jika sebutan mereka tidak bagus, mereka hanya menghiburkan kita mengikut kemampuan mereka.


Makan sudah, berhibur sudah... Sampailah masa kami meninggalkan kedai-kedai di sini untuk ke kawasan lain pulau.


Saya membayangkan saya akan dapat menikmati lagi satu persembahan di rumah warga tempatan, ternyata sangkaan saya meleset.


Kami merentasi lorong menuju ke sungai untuk menaiki sampan. Menaiki sampan adalah aktiviti wajib bila berada di sini.

Tidak berani?


Maaf ya, tidak ada jalan untuk berpatah balik. Kuatkan azam dan teruskan sajalah.


Awas ya apabila menaiki sampan ini, patuhi langkah-langkah keselamatan ini:-

Pertama:- Naik seorang demi seorang. Orang seterusnya naik hanya selepas orang sebelumnya telah duduk.

Kedua :- Berpijak di tengah-tengah perut sampan. Ini akan mengekalkan keseimbangan sampan. 


Ketiga :- Kalau rasa diri tidak pandai berenang, janganlah buat banyak sangat pergerakkan sewaktu berada di dalam sampan.


Keempat :- Jangan sesekali meletakkan tangan anda di luar sampan. Itu untuk keselamatan jari-jemari anda kerana sampan-sampan ini sentiasa berlaga di antara satu sama lain, kalau terhimpit jari anda, siapa yang akan bertanggungjawab?


Kelima :- Sama seperti menaiki sampan, begitulah juga tatacara jika anda ingin turun dari sampan. Jangan gopoh.


Seronoknya menaiki sampan. 

Jangan ditanya bagaimana perasaan saya didalamnya. 


Yang penting bagaimana saya menikmatinya... 

Lihatlah keadaan sampan-sampan ini apabila di tengah perjalanan.

Adalah digalakkan untuk memberikan tips kepada pengayuh sampan ini. Biasanya sekitar VND30k untuk sebuah sampan.


Lagipun ini cara mereka mencari rezeki, dan mereka juga bukanlah orang senang. 

Sudah naik sampan, kami naik kereta kuda pula. Kudanya kecil je, macam kuda padi pun ada. Kasihan pula bila melihatnya terpaksa mengheret kami yang ramai ini. 

Satu kereta kuda biasanya memuatkan 5 orang penumpang, itu adalah hadnya.

Kepuasan.... 
Selepas turun daripada kereta kuda, ternampak pula makcik-makcik menjual buah dan biji teratai. 

Setangkai biji teratai VND5000, buah jambu batu merah pula sekilo VND20k. Sangat murah. 


Apa lagi borong biji teratai tu untuk kudapan. Buah jambu pula telah dihabiskan oleh Rohimah. ala...


Tapi nasib baik Rohimah memberikan saya 4 biji jambu. Seronok sangat... thank you my deary friend. 


Maka selesailah sudah lawatan kami ke pulau di Delta Mekong. Tiba masanya untuk kami kembali ke daratan tanah besar.
Kami menikmati juadah tengahari kami di satu perkampungan di My Tho, entahlah apa namanya, namun di situlah kami makan dan solat.
Inilah kedai tempat kami makan dan solat. Mereka juga fasih berbahasa Malaysia.
Inilah dia biji teratai mentah yang saya beli di Mekong. Rasanya lemak-lemak tawar saja, namun ranggup. 

Kawan saya pernah pesan kalau nak makan bijinya kena buang dahulu tunas yang di dalam biji itu untuk membuang rasa kelat dan pahit. Tetapi, apabila dimakan tanpa membuangnya, tidaklah rasa pahit itu membuatkan keenakkan biji teratai itu terjejas. 

Masih juga ianya sangat enak dimakan dengan rasa yang tersendiri. Akhirnya semuanya saya makan tanpa membuang tunas hijau yang di dalamnya. Bukanlah rajin sangat kan nak membelah setiap biji untuk membuang tunas sebelum makan kan?

Makan sajalah...

***************************
Night at Sai Gon City


Nama pun bercuti kalau terperap dalam bilik itu, rugilah namanya. Jadinya, di sebelah malamnya kami merayau sehingga ke Notre Dame, dan Post Office Saigon. Kemudian, tanpa arah berjalan semula ke hotel kami.

Suasana malam di pusat bandar memang sangat meriah. Di kebanyakkan kawasan memang warganya dan juga para pelancong melakukan pelbagai aktiviti untuk mengisi waktu senggang di malam hari.

Pejabat Pos Lama Saigon di waktu malam.

Kompleks membeli belah.

Kami tidak masuk pun, jalan-jalan di sekitar bangunan sahaja. Entahlah, kami tidak begitu berminat dengan aktiviti membeli-belah di pusat sebegini sebab rasanya di Malaysia pun kami jarang-jarang mengunjunginya melainkan ada keperluan khusus.

Apa-apa pun, yang menarik tentang Saigon adalah bagaimana mereka sangat berasimilasi dengan alam semulajadi.

Menambahkan seri kepada bangunan ini.
Tengah bergembira bersiar-siar sekali hujan turun mencurah-curah. Kami telah bersedia dengan baju hujan tetapi apabila hujan terlalu lebat, kami pun tidak ingin mengambil risiko.

Maka, kami memutuskan untuk berhenti seketika sementara menanti hujan reda.
Lihatlah keadaan di saat hujan yang mencurah-curah ini. Semua pejalan kaki telah lari menyelamatkan diri.

Baru berhajat untuk lepak-lepak di situ. Tidak sempurna hajat kami.
Kami tidak menunggu sehingga hujan betul-betul berhenti. Alamatnya, kami tidak akan ke mana-manalah.

Apabila hujan agak kurang, kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan. Berjalan-jalan tanpa arah.

Lantas satu hal yang amat saya sedari, District 1 Saigon sedang mengalami pembangunan yang agak drastik. Bangunan-bangunan baru bercirikan pengaruh Perancis didirikan semula di kawasan di mana satu masa dahulu terletaknya rumah-rumah kedai. 

Menakjubkan.

No comments:

Post a Comment