Tuesday, 7 November 2017

Pantai Mangkuk, Setiu, Terengganu - 31 Ogos 2017

"Tanggal 31.. bulan lapan 57, 
 Hari yang mulia, hari yang bahagia..
Sambut dengan jiwa yang merdeka....
"


Begitulah hebatnya dendangan penyanyi lagenda kita Allayarham Sudirman Hj Arshad mengalunkan lagu patriotik ini sempena tanggal kemerdekaan Malaysia.

Hari ini genaplah 60 tahun Malaysia merdeka daripada cengkaman British. Apa pun juga, itu bukanlah sesuatu yang saya ingin tegaskan kerana bagi saya Tanah Melayu sememangnya sebuah negara yang merdeka sejak azali dan penjajahan itu bukanlah sesuatu yang perlu saya iktirafkan. Satu kebanggaan untuk diri saya adalah, kemerdekaan itu dikembalikan, walaupun hakikatnya hari ini kita mengetahui bahawa pentadbiran Tanah Melayu itu sendiri telah dicemari dengan anasir penjajah itu dari sudut perundangan, kehakiman dan pemerintahan. Renung-renungkan...

*****************************************************
Berbalik kepada soal pokok tajuk ini, hal di atas bukanlah isu utama yang ingin saya bahaskan tetapi kebetulan saya berada di sana pada tanggal kemerdekaan. Jadi saya nukilkan mukadimah saya dengan sedikit elemen cintakan negara. Hehehehehe...

Terengganu, tanah airku, tempat tumpah darahku, tempat jatuh dan bangunku, hembusan bayu Laut China Selatan yang menghembus diriku sejakku menjengah dunia hinggalah kini merupakan salah satu negeri yang tidak mungkin mampu dinafikan keindahan pesisiran pantainya. Jika saya meluangkan masa sepenuhnya untuk menyelusuri pantainya dari selatan hingga ke utara, saya yakin bahawa saya tidak akan jemu dengannya lantaran keistimewaannya yang tersendiri.

Harus diingatkan bahawa tidak semua pantai-pantai peranginan di Terengganu sesuai untuk mandi-manda. Awas dan patuhlah pada peringatan-peringatan yang terdapat di kawasan berkenaan.

Pantai Mangkuk terletak di daerah Setiu Terengganu, di mana umum mengetahui bahawa daerah Setiu memiliki jajaran pantai yang sangat indah. 

"Kalu nok makang nasi dagang,
kita pakat gi kampung Ladang,
wat bekal gi Merang,

di Setiu pata peranginang.. "
Petikan lirik lagu Terengganu kita dendangan Salem IKLIM... 

Saya tidak pernah tahu pasal pantai ini, namun adik saya mencadangkan untuk kami beriadah di situ, katanya ini adalah antara pantai tercantik, pernah dinobatkan sebagai "Maldives Malaysia" secara lisannya..  Wow, mendengarkan kalimah itu saya membayangkan bahawa pastinya ianya pasti memukau mata, sekurang-kurangnya, bukankah? 

Di ruang fikiran saya terpapar lautan biru dengan air yang sangat jernih bak kristal, jelasnya sehingga menampakkan dasarnya, ikan-ikan berenang dan melompat serta cengkerang-cengkerang siput berselerakkan.

******************************************
Pantai Mangkuk terletak di Kampung Mangkuk, Setiu. Pantainya yag menganjur sehingga bertemu muara, membentuk satu jajaran runcing, agak sukar untuk memantau jika ada anak-anak kecil yang sukar dipantau.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa pantai ini sangat cantik, tetapi apabila terlalu banyak pokok-pokok kelapa yang mati, mungkin itu tanah persendirian, pokok-pokok rhu yang biasanya memayungi pantai-pantai di Terengganu juga banyak yang tiada, pantai ini juga seakan mengalami hakisan dan longgokkan batu yang diletakkan mungkin untuk menahan pasir sewaktu ombak melanda, juga sedikit sebanyak mencacatkan keindahannya.

Lantaran tidak ada pokok yang memayungi, pantai ini sangat panas untuk dikunjungi di waktu matahari sedang meninggi, apatah tidak prasarana yang disediakan untuk pengunjung. Lagaknya seperti pantai ini hanyalah untuk penduduk tempatan.

Apa pun jua, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang sudah tiba, carilah juga kawasan yang sesuai untuk melepak dan berteduh sambil menikmati juadah yang dibawa.

Lihatlah betapa indahnya. Dengan deretan pokok kelapa yang masih membentengi hembusan bayu laut, ianya panorama yang sukar ditemui kini. Namun, pemandangan ini tidak pasti akan bertahan sehingga bila.

Cuaca yang cerah begini memang memberikan satu bonus untuk lensa kaera tetapi untuk kulit, sila bersedia untuk gelap lebih dua tona. Hembusan bayu laut yang kuat mampu menghilangkan rasa nyeri akibatnya bahang matahari, tiba-tiba terfikir, mengapa saya tidak membawa topi... Agaknya topi itu akan dibawa angin atau tidak?

My girl, she obsess with water to much. As long as it is water, she does not care either waterfall, rains, pool, sea or even a fully basin. Macam biasalah, cek mek molek ini sentiasa paling hadapan berbanding orang lain, apa nak buat, lautan luas terbentang di depan mata. Nasi ayam yang sedap, sudah tidak ada serinya.

Untung masih mau diberikan "peace" ini, kalaulah diabaikan juga, alamatnya, jom berendamlah jawapannya.
  
Untunglah Pak Hakim nak tolong tengokkan. Berendamlah sama-sama ya. Waktu air surut, arus tidak terlalu kuat, ombak membadai pun lembut. Lebih selamat, dan mungkin yang keduanya sebab kedudukannya di antara pantai dan beting pasir yang kalau mampu dilihat terjajar dan saya percaya mampu menghalang kekuatan arus daripada terus memukul pantai.

Sudut pandangan yang berbeza. Bagaikan sekeping poskad.

Menghadap ke daratan. Pokok-pokok kelapa itu ditanam di daratan yang memisahkan lautan luas ini dan sebatang sungai. Tidak pasti apakah nama sungai berkenaan.  

Erti kepuasan sebenar setelah hasrat dipenuhi.

Dugong jantan telah dikenalpasti. 

Sedang kami bermain air di gigi pantai, datang ikan menyelinap di celah-celah kaki kami, betapa ia menjadi detik yang amat menyeronokkan. Adalah kebiasaan untuk kawasan yang mempunyai batu karang, ikan-ikan menghampiri manusia namun untuk pantai ini di mana batu akrang langsung tidak kelihatan, ianya amat mengujakan melihat ikan-ikan pantai menghampiri kami.

Warnanya pun lebih kurang saja dengan warna dasar pasir pantai. Tetapi masih dapat dilihat dengan jelas. 

Salah sebuah chalet yang terdapat di sini.

Like mom, like daughter.

Di saat meninggalkan pantai, saya sempat menoleh ke lautan dan melihat ada ikan terbang. Wow, amazing. Saya rasa macam tak percaya bahawa saya sedang melihat ikan-ikan meskipun bukan dalam kumpulan yang besar sedang terbang dari satu titik ke satu titik. Hebat rupanya ekosistem di sini, justeru tidak menghairankanlah kenapa kawasan ini dijadikan sebagai kawasan penyelidikan marin oleh universiti tempatan.

Kalau cek mek molek pantang tengok air, berbeza dengan si awang bulat ini, dia amat takut air dan rela untuk ditanam, aduhai....

Namun dari sudut logiknya, ada betulnya juga, memang secara tradisinya dua acara yang sangat seronok dilakukan di pantai adalah, mandi laut dan main pasir. Apa lagi, berseronoklah anda semua.

Kalau di pantai pesisir Selat Melaka, remis ini adalah antara kerangan yang sangat senang diperolehi, tetapi di pesisir Laut China Selatan, susah betul nak dapatnya. Sepanjang berjam-jam berada di situ, kami hanya dapat 4 ekor.

Kalau di pantai-pantai Masjid Tanah, saya boleh dapat berkilo-kilo. 

Selesai mandi-manda, singgahlah di warung USI (udang, sotong dan ikan) celup tepung yang memang banyak di sepanjang jalan di Penarik, Setiu. Ada macam-macam promosi, ada yang 30 ekor udang RM10, ada yang 45 ekor  udang RM10. 

Lupa pula nak cakap, kawasan Penarik ini ada ternakan udang, dan hasil lautnya memang mudah dan segar. Ada warung yang menjual ikan selayang celup tepung cuma RM1.50 seekor, murah tak?

Pandangan saya, kalau murah pastinya sambutan di warung berkenaan sangat hebat. Terpaksalah beratur panjang, berebut pula, dan jangan mengharapkan kalau ke warung yang ramai pelanggan untuk mendapatkan layanan yang memuaskan hati, jauh sekalilah untuk duduk lama-lama untuk santai-santai. Faham-fahamlah, pelanggan seterusnya pun nak duduk juga.

Kemudiannya, kalaulah udang tu sangat banyak untuk RM10, janganlah jangkakan udang saiz atau gred XXL, atau L. Memang tidaklah. Semua itu sendiri boleh fikir. Itulah pentingnya ilmu matematik.

Pengalaman saya menikmati udang RM10 untuk 30, saiznya biasa sahaja, tidak terlalu kecil, sederhana dan masih seronok untuk dinikmati, namun yang sangat-sangat mengecewakan apabila termakan kapur yang dicampur bersama tepung. Rasanya masya Allah, tidak dapat digambarkan, nak tunggu air, seksa... beratur untuk air batu campur, lamanya sampai habislah udang kami RM20, sotong 2 ekor dan ikan 2 ekor.

Sengsara sangat rasanya, untuk pengajaran diri sendiri, kalaulah masih berkeinginan untuk ke warung USI, rasanya saya akan memilih yang sederhana saja, tidak terlalu ramai, supaya pesanan untuk air dan lain-lain tidak terjejas.


Itulah sedikit sebanyak perkongsian saya tentang USI di Penarik. Perihal pantai-pantai, ianya amat indah. Banyak pakej-pakej pelancongan yang boleh dinikmati di Setiu dan Penarik secara khususnya, antaranya pakej wetlands untuk 3 sungai, pakej ke pulau-pulau, dan lain-lain lagi.

Jangan serik untuk bekunjung dan menikmati pantai Terengganu ya.....

No comments:

Post a Comment