Saya dilahirkan dalam keluarga yang besar, hidup saya sederhana sahaja, ayah seorang petani kampung manakala emak seorang suri rumah-tangga. Saya anak sulung untuk perkahwinan ayah dan emak, penyatuan mereka pula merupakan pernikahan ke-dua bagi emak dan pernikahan ke-empat bagi ayah.
Hidup kami di desa tercinta jauh dari hirup pikuk kota dan pekan, desa kami dikelilingi oleh kehijauan bukit-bukau yang tingginya megah dipenuhi pokok durian, dan hamparan tanah paya yang meluas kehijauan dipenuhi pokok-pokok gelam dan juga senduduk
Saya merantau keluar dari desa untuk musafir menuntut ilmu, mengharapkan suatu masa, saya mampu mengubah nasib keluarga. Saya akui niat saya di waktu itu salah, walaupun kelihatannya ianya tulus dan baik, tetapi niat itu niat yang salah, kerana seharusnya menuntut ilmu itu kerana Allah swt.
Ayah kembali ke Rabb yang Maha Pengasih di tahun ke-tiga pengajian saya. Sedih, tetapi itulah ketentuan-Nya. Separuh kehidupan saya, impian saya dikebumikan bersama arwah ayah.
Kini 16 tahun telah berlalu, adik-adik telah menghampiri awal 20-an. Ada yang telah berkahwin dan mempunyai anak-anak, ada yang berjuang untuk mendapatkan kehidupan yang selesa. Diri saya, alhamdullillah, mempunyai kerjaya yang selesa, dan pastinya hutang-piutang juga mengelilingi diri saya.
Hutang untuk pengajian saya di universiti, hutang untuk pengangkutan saya ke mana-mana destinasi saya walau hanya ke tempat kerja dan juga hutang untuk tempat saya berteduh. Berhijrah ke bandar asing menuntut terlalu banyak perbelanjaan, segala-galanya adalah duit.
****************************************************
Saya sedar usia saya kini melewati bahkan kian menghampiri angka 40. Saya sedar bahawa ramai orang tidak senang dengan diri saya, ya, saya anak dara tua, tetapi saya tidak pernah mengganggu sesiapa. Apabila pulang ke kampung halaman, terutamanya jika ada kenduri-kendara, setiap mata memandang saya dengan pandangan yang amat berwaspada.
Tempat saya, nun jauh daripada orang ramai. Sekadar bertegur sapa dengan penuh kemesraan supaya saya tidak dianggap angkuh, saya pergi meninggalkan mereka. Persoalan-persoalan tentang bilakah akan menamatkan zaman bujang, tidak lagi menjadi kudis gatal pada diri saya. Hidup ini bukan tujuan utamanya untuk berkahwin, tetapi untuk beribadah untuk mencari redha Allah swt. Saya rasakan ianya lebih sulit daripada hanya fokus kepada urusan jodoh dan jodoh.
Ada juga di antara mereka yang seboleh-bolehnya menjarakkan diri mereka daripada saya terutamanya jika yang telah bersuami, saya tidak memahami apa sebenarnya tindakan mereka. Kadang-kala terfikir, adakah status saya yang bujang mampu merobohkan mahligai cinta mereka.
Di satu masa lalu, saya berusaha untuk mencari jodoh, usaha saya seringkali berakhir hampa. Jiwa saya terluka pedih dan kecewa menderita. Diperdaya dan terperdaya.
Hari ini, saya bangkit dengan jiwa yang baru dan teguh, kerana saya ingin berkasih dengan Pencipta-saya, kerana saya tahu selagi saya mendambakan kasih-Nya dan berusaha ke arah-Nya, saya tidak akan dikecewakan.
**************************************************
Lewat ini saya diuji lagi. Kisah lama, bertamu kembali. Di antara banyak-banyak kisah Adam yang berjaya mengusik hati saya, ada satu kissah yang tidak ada noktahnya. Umpama gantung tidak bertepi, umpama lautan yang tidak berpenghujung. Umpama taufan yang sesekali membadai, dan akhirnya pergi menyepi, kemudian pada bila-bila waktu ianya akan muncul kembali untuk menggugat keharmonian dan ketenangan diri saya.
Allah swt menetapkan kami berjumpa pada tahun 2002, di rumah ibu angkat saya. Tujuan kehadirannya adalah untuk mengukur langsir bagi seisi rumah ibu angkat saya, rumah limas, pertemuan yang langsung tidak disangkakan itu menarik saya ke perhatiannya. Sejak itu dia sering hadir atas sebab urusan perniagaannya iaitu menyiapkan langsir dan juga kerana ingin berjumpa saya.
Pintu hati saya tidak pernah terbuka untuk dia, tetapi khuatir saya sedang menyanggah takdir. Meskipun hati saya teguh untuk tidak menerima, hadir tetamu tetap dirai, ibu angkat saya pula puas dibodeknya. Tetapi kerana keteguhan perasaan saya yang menolak dirinya, saya menolak hasratnya dengan tegas.
Hubungan kami berakhir seketika.
Selepas setahun dua berakhir, dia muncul kembali menagih harapan. Saya masih dengan perasaan yang sama. Hati saya bukan untuknya. Namun untuk mengecewakan seseorang, bukalah diri saya. Ayah dan emak mengajar saya untuk menjaga perasaan orang, biarlah terluka diri sendiri, namun jangan sesekali melukakan hati orang lain.
Mengenangkan urusan takdir adalah urusan di alam ghaib, semuanya misteri. Saya pujuk hati untuk memberikannya ruang dan peluang. Akhirnya kami merancang untuk pertemuan kami yang pertama. Makan tengahari di Jaya Jusco Ayer Keroh. Puas menunggu, dia tidak muncul. Tanpa sebarang alasan, tanpa sebarang peringatan.
Saya nekad menamatkannya. Itulah perakhiran hubungan kami buat kali keduanya.
Lucu bukan?
Kemudian, setelah setahun dua berlalu, dia muncul lagi. Menagih dan terus menagih kasih daripada saya. Dengan lembut saya meminta, agar kami bermula sebagai kawan, bukannya terus sebagai kekasih yang terpaksa dan dipaksa. Dia tidak setuju. Katanya, dia tidak suka membuang masa, andai hatinya suka, dia lebih rela terus ke alam perkahwinan.
Tidak mahu terus bermain sandiwara, juga rimas dengan caranya, tambahan malas untuk melayan kerenahnya, saya katakan kepadanya, masuklah meminang saya. Mashaa Allah, jawapannya umpama guruh membelah bumi dengan gegaran gempitanya.
"Awak hanya tahu mempermainkan saya!"
Berakhirlah hubungan kami untuk kali ke-tiga dan kali ini kami tidak berhubung melebihi sepuluh tahun. Saya menukar nombor telefon saya, saya mengelakkan dirinya sepenuhnya, sehinggalah tahun lepas, ibu angkat saya mengubah segala-galanya.
Ibu angkat saya memberikan nombor telefon saya kepada dia. Memberitahu dia tentang perkembangan diri saya. Saya kecewa, bagaimana seorang insan yang saya yakini sanggup mengkhianati saya.
Pada minggu lepas, dia kembali mengganggu. Aplikasi whatsapp, memudahkannya berhubung dengan saya. Ingin saja saya menukar nombor telefon lagi tetapi saya tidak boleh lakukannya kerana terlalu banyak rekod yang datanya adalah nombor telefon itu. Suka atau tidak, saya terpaksa lalui detik ini sekali lagi.
Pada Ilahi, saya merintih, saya merayu,
"Ya Allah,
di saat aku tersungkur kerana hamba-hamba-Mu,
Engkau yang membangunkan diriku dengan kasih sayang Mu,
di saat aku lemah kerana hamba-hamba-Mu,
Engkau memberikan aku kekuatan dari sisi-Mu,
di saat jiwa ku remuk kerana hamba-hamba-Mu,
Engkau menghapuskan retak-retak itu dengan rahmat-Mu,
Ya Allah, kasihanilah diriku...."
*************************************************************
Sehingga hari ini dia masih mengganggu. Menuntut cinta yang pada firasat saya adalah cinta yang palsu. Kerana berterusan dia merayu, saya memberikan peluang untuk berjumpa sambil menikmati makan tengahari di Secret Recipe TESCO Cheng, tetapi dia tidak muncul. Pesanan Whatsapp telah dihantar dua jam sebelum pertemuan, mengatakan dia tidak dapat hadir kerana urusan kecemasan yang masih tidak selesai, sayangnya saya tidak membacanya.
Saya tidak menyesali dia tidak hadir, kerana jujurnya saya lebih suka dia tidak hadir. Saya berdoa dan terus berdoa agar dia tidak muncul. Alhamdullillah....
Berterusan didesak dan dipaksa agar saya menerimanya lantas menyebabkan saya mengambil keputusan. Hubungilah emak, kakak dan adik-adik saya untuk mengenali saya daripada mereka, berkawanlah dengan saya di Facebook untuk mengetahui tentang diri saya.
Aneh, dia hairan dengan tindakan saya.
"Sayang, kenapa?"
"Pertama, nama saya Ana bukannya sayang.
Kedua, saya mempunyai keluarga."
Kedua, saya mempunyai keluarga."
Saya tidak mahu keluar untuk berjumpa dengannya lagi. Mungkin orang lain tidak kisah untuk keluar dan berjumpa, namun bagi saya, saya enggan. Masa saya terlalu berharga.
Apabila dia menunding jari kepada saya mengatakan dia hanya lapang di waktu malam, dan mengajak saya keluar selepas waktu Isya' hanya untuk saling mengenali, saya enggan. Saya persoalkan, "Adakah awak suka untuk membawa anak dara orang keluar waktu malam?"
Lantas dibalasnya, "kita bukannya buat apa-apa, kita hanya makan-makan."
Dia tidak menghormati keperluan saya untuk berehat di waktu malam bahkan didesak untuk berjumpa dengannya. Saya membuat keputusan muktamad, saya tidak sudi berjumpa dengannya. Saya serahkan sepenuh urusan ini kepada ahli keluarga saya, dan saya membebaskan diri saya daripada runsing memikirkan hal-hal yang berkaitan dengannya.
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya.