Thursday, 17 March 2016

Resipi - Nata de Aloe Vera (Aloe Vera kiub dalam air gula)

Assalamualaikum wbr...

Hari ini saya ingin kongsikan dengan anda semua tatacara penghasilan "nata aloe vera". Saya namakan ianya nata sempena nata de coco, tapi cara penghasilannya jauh lebih mudah.

Cumanya bahan yang paling penting untuk beberapa pelepah aloe vera (lidah buaya) yang telah cukup matang.

Bahan-bahannya:-
- 2 pelepah aloe vera - bersihkan, buang kulit luarnya, cuci dan kemudiannya dipotong dadu. Terpulang kepada anda tentang saiznya, nak besar atau kecil. Macam yang ini, saya hanya potong kecil-kecil sesuka hati saya.
- 1 senduk gula pasir
- 2 senduk gula perang
- 4 helai daun pandan - dipotong dua kemudian dicarit-caritkan.
- 1 liter air

Cara-caranya:-

1. Campurkan gula, daun pandan dan air. Masakkan di atas api yang sederhana besar.

- sebab, saya mengejar masa, sambil-sambil tunggu air gula itu betul-betul masak sehingga daun pandan menjadi layu, saya gunakan waktu ini dengan menyiapkan aloe vera saya.

2. Lihat, daun pandan saya mulai layu. Tapi saya masih tunggu sehingga daun pandan saya layu keseluruhannya. Ingat ya, di atas api yang sederhana.

4. Kemudian, saya masukkan semua aloe vera yang telah dipotong dadu tadi kedalam air gula yang menggelegak itu. Kemudian saya terus matikan api. Kacau, kaut dan balikkan sehingga ianya rata dan sekata.

5. Bau dalam rumah tak payah cerita memang sangat wangi dengan aroma pandan. Biarkan ianya sejuk. Setelah sejuk, bolehlah disimpan di dalam peti ais untuk simpanan jangka panjang.

Nak simpan dalam bekas apa, sila fikir sendirilah ya. Sangat-sangat sesuai dijadikan sebagai penambah dalam apa jua minuman anda, pendek kata boleh dijadikan sebagai pengganti Nata de coco.
Yang ini projek bersama-sama kawan pejabat.

Sirap lemon dengan Nata de Aloe Vera. Sesuka hati saya je bagi namanya. Yang penting namanya bermakna dan difahami.

Nak buat senang sangat, yang penting :-

1. sirap (kalau kordial lagi bagus, kalau bukan kordial pun tidak mengapa)

2. Lemon yang dihiris-hiris dengan ketebal 2-3mm. Rendamkan dia dalam air panas untuk mengeluarkan aroma lemon yang mewah itu.

3. Gula secukupnya jika sirap anda bukan kordial, larutkan gula dalam air panas yang digunakan untuk lemon. Tidak perlu keluarkan lemon, kacaulah sehingga gula larut. Berpada-padalah dalam menyukat air panas ya, kerana air panas apabila dicampurkan dengan ais akan menyebabkan ais cair dengan cepat.

4. Biji selasih dicuci dan direndam dengan air yang telah dimasak. Air pada suhu bilik.

5. Ais secukupnya.

Penyediaannya:-

Campurkan semua bahan-bahan yang saya senaraikan 1 sehingga 5, kemudian masukkan Nata De Aloe Vera. Kacau sedikit supaya rata dan sekata. 

Kemudian, tuang dan jemputlah minum.

Selepas ini jangan kata tidak tahu apa nak dibuat dengan aloe vera anda. Ianya bukan setakat untuk kegunaan luaran saja bahkan sangat bagus sebagai minuman penyejuk badan. Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment