Thursday, 12 October 2017

Tanjung Tuan (Laluan Bukit Batu Putih) - 16 Ogos 2017

Setelah sekian lama tidak menjejaki Tanjung Tuan, keinginan itu tiba-tiba berputik dan apabila dilafazkan keinginan itu kepada rakan-rakan sepejabat rupanya kami juga mempunyai hasrat yang sama.

Dengan alasan yang paling kukuh bahawa lemak-lemak telah mulai berkumpul lantaran kurangnya pembakaran lemak setelah Aidil Fitri yang disambut sebulan melabuhkan tirainya. Maka, masing-masing dengan jiwa yang sangat berkobar-kobar bersatu hati untuk memulakan taklukan selesai habis waktu bekerja.


 
Setelah berbulan-bulan tidak mendaki, keyakinan diri sebenarnya sedikit luntur, namun kami telah mencapai kata sepakat bahawa kami akan mendaki secara santai mengikut kemampuan purata kami. Laluan yang dipilih juga tidaklah begitu mencabar, tetapi hasrat untuk mencabar Bukit Batu Putih itu bagaikan satu kemestian terutamanya bagi mereka yang ingin merasai pengalamannya. Apatah bagi kami yang seringkali mendaki Tanjung Tuan.

Sejak beberapa hari, hujan asyik turun membasahi bumi Negeri Sembilan dan juga negeri-negeri sekitarnya. Laluan yang biasanya kering mula dihiasi mata-mata air yang sangat jernih dan mulai berlecak. Agak mencabar bagi pendaki yang mahukan dirinya sentiasa bersih dan tidak mahu dicemari lumpur.

Lantaran kadar kelembapan yang tinggi pelbagai jenis cendawan dan kulat mulai tumbuh di batang-batang reput dan juga di kawasan yang mempunyai kadar humus yang tinggi.


Akhirnya, selesai merentasi denai berlumpur. Kelihatan lautan yang menghijau airnya dengan sinaran matahari yang sederhana teriknya. Cukup selesa untuk merakamkan detik-detik kenangan.



Selepas sesi bergambar kenangan, maka bermulalah sesi menguasai tebing batu tanpa sebarang alatan keselamatan. Jujurnya bagi saya, mendaki Batu Putih memiliki kepuasan sendiri dan lebih saya sukai berbanding melalui "monkey bay" kerana penggunaan anggota badan yang berbeza.

Mendaki batu menyebabkan agihan tenaga digunakan oleh semua kaki dan tangan seperti mana labah-labah memanjat tebing sedangkan di "monkey bay" kekuatan kaki lebih banyak digunakan. Justeru jerihnya juga berbeza.


Buat pertama kalinya selepas 3 kali mendaki batu putih, saya disapa oleh ular comel ini (Striped Kukri Snake) atau dalam bahasa Indonesia dikenali sebagai ular birang. Dikatakan tidak berbisa, namun bagi insan yang dangkal ilmunya tentang ular, semua ular saya anggap berbisa. Tetapi kerisauan itu harus saya pahatkan rapi dalam diri saya supaya rakan-rakan sependakian tidak terjejas perasaanya.

Apatah di saat itu kami berada di tengah-tengah tebing, di mana jika ingin turun ke bawah lebih mencabar daripada teruskan mendaki. Tiba di tengah-tengah itu membuatkan saya keliru yang mana satu arah yang harus dituju. Kali pertama mendaki, saya mengikuti rakan ke laluan sebelah kanan, kali kedua mendaki, saya mengikut laluan sebelah kiri. 

Sukar untuk menjejak laluan bagi mereka yang tidak biasa lantaran banyakkan rumpun-rumpun pokok kemunting yang menutupi pandangan. Akhirnya kali ketiga pendakian, saya dimaklumkan bahawa kedua-dua laluan kiri dan kanan boleh dilalui dengan sebelah kanan sedikit mencabar.

Baiklah, disebabkan saya telah bertemu ular di sebelah kiri, maka saya membuat keputusan untuk memilih laluan di sebelah kanan.

Akhirnya, setelah bersusah payah, berkeringat jantan dan betina semuanya telah keluar maka puncak batu pun ditawan. Di saat itu masing-masing memilih untuk membisu kerana kepenatan, melayan degupan jantung sehingga kembali seimbang, melayan helaan nafas sehingga kembali ritma asal.


 Pokok Mengkudu.


Pokok Mas Cotek.

Koleksi pemandangan untuk tatapan anda semua. Meskipun seringkali berkunjung dan mendaki di sini, setiap hari pemandangan yang dilihat adalah sesuatu yang berbeza betapa besarnya kekuasaan Allah swt yang ditunjukkan ke atas diri kita untuk mengisafi betapa kerdilnya diri kita.








No comments:

Post a Comment