Monday, 6 November 2017

Pemandangan Matahari Terbenam di Pantai Sungai Tuang, Masjid Tanah, Melaka - 14 Ogos 2017

Usai mendaki Tanjung Tuan, bergegas pula balik ke Melaka. Biasanyasaya memang tunggu sehingga matahari hampir terbenam namun memandangkan waktu maghrib masuk awal, jadi saya memilih untuk segera pulang. 

Jarak di antara Tanjung Tuan ke teratak saya lebih kurang 1 jam perjalanan. Khuatir juga jika leka-leka di Tanjung Tuan, nanti tergadai pula solat maghrib. Memang boleh sahaja untuk singgah di mana-mana surau atau masjid untuk mendirikan solat, namun rasanya tidak selesa pula. Mengadap Allah swt pun kena bersih, wangi dan kemas wahai pembaca semua..

Sambil memandu pulang, saya memang berhasrat untuk singgah menikmati suasana matahari terbenam di mana-mana pantai di Masjid Tanah. Lagi pula memang pun di laluan saya. Pilih sahaja mana yang berkenan, Pantai Pengkalan Balak, Pantai Teluk Gong, dan lain-lain lagi. Tetapi kali ini saya memilih Pantai Sungai Tuang. Kebetulannya agak mudah untuk saya letakkan kereta di situ.

Saya singgah pun tidak lama, sekadar menunggu sehingga matahari tenggelam di kaki langit. Jarak lokasi ini dengan rumah saya lebih kurang 20 minit perjalanan. Sempatlah saya bergegas pulang.

*************************************
Subhanallah, pemandangan petang ini sungguh cantik. Langit pun sangat jelas dan bersih. Namun, kebetulan bunga-bunga yag berguguran juga menambahkan kesan khas bagi setiap gambar yang saya ambil.

Menikmati sambil mengambil gambar, justeru fokus, sudut dan objek untuk setiap amat penting. Saya bukanlah jurufoto yang hebat, namun saya gembira dengan apa yang saya perolehi. Lagipun apabila hanya bermain dengan telefon bimbit, banyak kekangannya. DSLR pula sudah lama terperap, tidak digunakan dan juga tidak diservis.

Salah satu pemandangan yang menarik petang ini. Walaupun ada gambar yang dirakam namun menikmatinya secara langsung adalah yang terbaik. Tidak ada kalimah yang mampu menggambarkannya.

Cantik pula bunga ini berkembang, bergugusan dan warnanya juga menarik. Maaflah, saya bukanlah orang yang hebat dalam urusan flora dan fauna. Tidak sempat untuk berguru secara sempurna.

Bunga-bunga yang berguguran di atas benteng konkrit. Benteng konkrit ini dibina dalam usaha pihak berkuasa untuk mengurangkan hakisan pantai yang melanda di kawasan ini.  Jarak di antara pantai dan jalan raya memang terlalu dekat, tidak sampai 10 meter pun.

Tempat yang sama, keadaan yang sama namun apabila fokusnya diubah maka hasilnya berbeza.

Dan masih, tempat yang sama, keadaan yang sama namun fokusnya diubah lagi, hasilnya tetap juga berbeza.

Macam siang hari, hakikatnya rembang senja sudah mulai muncul. Matahari juga sudah mengacah-acah untuk masuk ke lautan. Sudah namanya Selat Melaka, ke mana lagi matahari bakal menghilang?

Bagi popular diri sendiri. Gurau saja. Jangan dikecam atau ditularkan. Sekadar bermain-main selfie dan syok sendiri.

Akhirnya matahari terbenam juga, ayuh pulang..ayuh...


Azan maghrib juga telah berkumandang. Apa lagi yang nak ditunggu? Maghrib sudah masuk.. Gegaslah pulang dan solat. Salam buat semua... 

No comments:

Post a Comment