Thursday, 22 November 2018

Memburu Matahari Terbit di Sikunir - 24 Feb 2018



Mesti kalian kagum pada diriku yang sanggup bangun sebelum fajar semata-mata memburu keindahan fenomena alam. Mahunya tidak, malam tadi kami tiba ke rumah inap, lebih kurang jam 20:00 wit, kemudian terburu-buru makan malam di warung berhampiran. 

Suhu di situ memang sejuk, katanya pun tanah tinggi. Oh, lupa nak nyatakan bahawa Sikunir ini adalah perkampungan tertinggi di Pulau Jawa. Saya ulangi di Pulau Jawa, jika ada persoalan lain yang terlintas, tolong jangan tanya saya ya. Khuatir tidak mampu untuk dijawab.

Apabila kedinginan mencengkam, kopi O merupakan teman terbaik, tetapi hampa melanda apabila kopi O yang tiba adalah; Kopi O Kapal Api. Saya tidak sukakannya. Kecewa... Selesai makan malam, saya dan rakan-rakan bergegas ke Indomaret mencari barangan keperluan. Saat berjalan, apabila bercakap, keluar hembusan wap air dari mulut kami. Mulalah kami berseloroh, "Tidak perlu ke Korea dan Jepun untuk merasai suasana begini, di Dieng pun boleh."..

Selesai membeli keperluan, kami pun kembali ke rumah inap. Syukur kerana rumah inap menyediakan air panas 24 jam. Mandi air suam kami.. maunya tidak, apabila membuka air panas, pasti wapnya akan berkepul-kepul di bilik air. Tidak sanggup untuk kesejukkan. Penghawa dingin memang tidak diperlukan, tetapi kalau ada penghawa panas, alangkah bagusnya....

******************************

"Bukit Sikunir Dieng, Wonosobo merupakan sebuah kabupaten yang terkenal akan wisata alam pegunungan yang sangat indah. Salah satunya adalah Bukit Sikunir yang terkenal dengan "golden sunrise"nya. Gunung Sikunir mempunyai ketinggian 2463 mdpl.



Tiba di Desa Sembungan, wisatawan dikenakan tiket masuk kawasan Desa Wisata sebanyak IDR10,000/pax. "

******************************

Jam 04:00 kami bertolak meninggalkan rumah inap kami menuju ke Sikunir. Setibanya kami ke Sikunir, kami segera menunaikan solat Subuh, harus berebut-rebut dengan warga setempat. Kami berwudhu dari rumah inap lagi, supaya sebaik tiba Sikunir, kami terus segera ke musolla dan menunaikan solat Subuh berjemaah berimankan pemandu pelancong kami yang merupakan anak tempatan Dieng.

Perjalanan menuntut masa kami selama setengah jam dan kami hanya menikmati kegelapan malam. Lantaran awalnya kami tidak tahu berapa jauh perjalanan maka tidak ada di antara kami yang melelapkan mata.  


Perniagaan bermula seawal pagi dan kebanyakkan menjual pakaian untuk hangatkan badan.
Selesai solat, kami segera menguji kekuatan fizikal kami untuk menawan puncak demi habuan mata kami. Tanpa latihan memantapkan stamina, bahkan salah saya sendiri yang tidak membawa alas kaki yang sesuai kerana tidak mengkaji senarai lokasi yang termasuk dalam itinerari kami, maka kasut kasual saya menjadi mangsa.

Namun pilihan cuma antara dua, menikmati matahari terbit atau cuma menikmati kopi O bersama kentang rebus yang banyak dijual di kedai-kedai makan berhampiran musolla. 



"Sesiapa nak beli sarung tangan, penutup kepala atau cederamata, boleh beli di sini. tapi jangan lama-lama. Nanti terlepas intaian matahari."


Bertambah kawan baru, yang akhirnya sentiasa bersama selama berada di Yogya.
Tidak menghiraukan sangat akibat dari alas kaki yang tidak sesuai, mental dan fizikal lantas saya persiapkan sepenuhnya. Kawalan pernafasan adalah sangat penting begitu juga dengan lenturan kaki supaya lutut tidak akan sakit.

Maaflah wahai sahabat-sahabatku, kerana aku tidak menunggu. Aku yakin kalian akan selamat, tetapi seandainya kita berada di rimba belantara, aku pasti akan menunggu kalian. Samada sama-sama menguasai puncak atau kita sama-sama menikmati setakat mana mampunya kita.


********************************

Akhirnya kami tiba di Pos 1. Ternyata sudah ramai yang tiba sebelum kami, aku cuba mencari ruang untuk mendapatkan sudut yang cantik. Berbekalkan DSLR dan juga Samsung S7 Edge, aku memburu. Tetapi ternyata, sulit untuk mendapatkannya lantaran pengunjung lain juga mempunyai hasrat yang sama seperti diriku.

Aku bertanya kepada Amboro, tentang laluan lain yang kelihatannya dilalui oleh pengunjung lain. Katanya, itu menuju puncak sebenar. Segera ku bertanya adakah aku dibenarkan untuk ke puncak itu? Ternyata dia memandangku sebelah mata, menganggap aku tidak akan mungkin sampai.









Namun aku bukanlah anak desa yang takut kepada cabaran, aku kenali kemampuan diriku, dan yang paling penting, awas dengan perubahan diriku... Lantaran dipandang enteng bersama keinginan menguasai puncak, aku seger bertanya tentang berapa lama peruntukkan waktu kami di sini. Ternyata waktu tidak terbatas tetapi harus seiring dengan waktu terbitnya matahari. Aku segera memberitahu bahawa aku akan segera menuju ke puncak utama itu.

Tanpa pemandu arah, bersama kegelapan, bersama semak-samun di sepanjang perjalananku, adakalanya aku goyah. Tapi pantang diriku menyerah kalah. Aku mengikuti mereka yang berada di depanku, bahkan aku juga bertanya kepada pengunjung lainnya. 



Laluan di antara Pos 1 dan puncak Sikunir. 



Akhirnya, aku tiba ke puncak. 

Dana ku bebas meneroka, tetapi aku seperti seorang asing kerana terpisah daripada kumpulanku. Dan puncak ini juga ternyata sangat luas, bahkan aku sendiri tidak pasti samada adakah ini puncak sebenarnya kerana aku melihat masih ada yang bergerak menuju ke puncak lainya di belakang ku. Aku abaikan sahaja kerana kekangan waktu itu lebih aku khuatiri.


Lagipun untuk menerokai semua kawasan di puncak Sikunir, yang aku tidak pasti berapa lama masa akan diambil, apatah aku juga berpisah daripada kumpulanku hanya akan menimbulkan kesulitan kepada kumpulanku dan juga supirku.  Justeru, aku hanya menikmati apa adanya permandangan yang terhidang di depan mataku.
























Baiklah, masa untuk kembali kepada kumpulanku. Agak lama juga aku berada di puncak, menunggu sehingga matahari benar-benar munculkan diri.  Laluan yang tadinya gelap gelita sudah disimbahi cahaya dan inilah persekitarannya.










Aku kembali ke Pos 1, dan ternyata Amboro menanti kembalinya diriku ke Pos 1. Aku pastinya sangat berpuas hati.  Aku meluangkan masa beberapa ketika di Pos 1 bersama-sama dengan kumpulanku sebelum kami semuanya memutuskan untuk menuruni Bukit Sikunir.












Nah, inilah dia laluan pendakian kami.

Laluan berbatu dengan pelbagai ukuran anak tangga. Ada masanya laluannya cukup mencanak, ada masanya sedikit mendatar. Ada yang tanpa anak tangga, dan ada yang beranak tangga.







Sampai di bawah barulah diketahui bahawa ada di antara menyerah kalah di peringkat awal lagi, faktor kekuatan fizikal adalah punca utama di samping masalah kesihatan lainnya.


Sesuai sangat untuk melepak di sini sambil menunggu rakan-rakan.







batas-batas untuk menanam kentang.



Lelaki-lelaki daripada kumpulan kami bersama supir. Menunggu wanita membeli-belah barangkali.
Kami meninggalkan Bukit Sikunir dengan pelbagai pengalaman, dan pastinya setiap orang mempunyai kepuasan yang berbeza. Bermula dari Sikunir sehinggalah ke Dieng, ternyata lanskapnya adalah teres bukit yang ditarah untuk pertanian yang mana menurut saya lebih terarah kepada pertanian sara diri.





Sikunir terletak di kawasan aktif gunung berapi. Dari jauh kelihatan asap yang terhasil daripada mata air sulfur. Tetapi syukur kerana jauhnya kedudukan kami, kami langsung tidak terhidunya.




Bergerak ke destinasi seterusnya...



Iaitu Bukit Batu Pandang Ratapan Angin, Dieng.


Rujukan :-

1. https://www.wisata-dieng-wonosobo.com/2016/09/jalur-pendakian-bukit-sikunir-dieng.html

No comments:

Post a Comment