Wednesday, 7 January 2015

My Tho (Mekong Delta) - 15 Feb 2014

My Tho merupakan salah satu pintu masuk utama untuk ke Mekong Delta. Selain dari My Tho, antara tempat lain yang anda boleh kunjungi di Mekong Delta adalah Can Tho. Ada dua pasar terapung yang popular di Mekong Delta iaitu Cai Be Floating Market dan Cai Rang Floating Market.

Jujurnya, saya belum ada kesempatan untuk berkunjung ke kedua-dua pasar terapung tersebut. Namun, yang pastinya hasil yang banyak dijual adalah produk-produk tempatan, dan jika melibatkan produk-produk pertanian pastinya harganya lebih murah berbanding di HCMC.

Di My Tho, kami di bawa untuk menelusuri beberapa pulau yang ada di Mekong Delta. Saya lupa nama pulaunya kerana terlalu teruja jadi tidak begitu mempedulikan nama-nama pulau tersebut.

Permandangan di jeti My Tho. Pada waktu ini, airnya agak surut. Jadi, kelihatan dengan jelas lumpur-lumpur di dasar Sungai Mekong ini.




Bot-bot penambang yang sedang menanti giliran untuk mengangkut pelancong-pelancong samada tempatan atau pun antarabangsa. Bagi saya, Vietnam amat mempopularkan produk-produk perlancongannya. Bahkan, cara ianya melibatkan rakyatnya amat menggagumkan saya.




Platform penghubung antara jeti dengan bot. Apa lagi.... perjalanan kami kini bermula.....





Berada di tengah-tengah Mekong Delta. Jambatan yang merentasi Sungai Mekong (Mekong Delta) ini adalah sebagai alternatif perhubungan, selain pengangkutan air. Namun, pengangkutan air tetap merupakan pengangkutan utama di sini. Dikatakan di sini airnya agak payau. No comment, sebab saya tidak merasanya.  Tapi logik ada memandangkan di sini boleh dianggap sebagai muara bagi Sungai Mekong.

Seronok berada di atas bot ini. Sambil menikmati hembusan angin. Terik matahari sudah tidak terasa lagi. Tak kisahlah kalau kulit berubah beberapa tona lebih gelap. Saya bukan mementingkan kecantikan sangat pun.




Kami sampai ke pulau yang pertama. Kalaulah kawan saya, Dominic tahu bahawa saya telah melupakan nama pulau-pulau ini... huhu... betapa teruknya saya kerana tidak menghargai maklumat yang telah disampaikan olehnya. Sorry ya.....


Sungai Mekong memang sangat sibuk, dengan aktivit penduduknya, bot-bot pelancong dan juga aktiviti komersial.



Coconut Candy in the making. Coconut candy antara produk tempatan dan yang dikomersialkan untuk pelancong. Semua proses dilakukan secara tradisional, dari pembancuhan hinggalah ke pembungkusan. Statusnya, HALAL.


Namun, terserah pada anda untuk mentafsirkannya secara peribadi. :) Ada sesetengah orang tidak boleh menerima makanan yang disediakan oleh bukan muslim, maka terserahlah. Untuk mencari muslim di Delta Mekong sangat-sangat sukar atau boleh dikatakan hampir mustahil.


Pembungkusan Coconut Candy
Mesin memproses gula-gula kelapa.

Meskipun penghasilan secara tradisional, mesin-mesin tetap diperlukan untuk meringankan beban seperti proses memasak santan sehingga menjadi pekat. Setelah  pekat disejukkan dan kemudiannya, dipotong-potong mengikut saiz yang telah ditetapkan  dan dibungkus secara manual.

Aktiviti begini sangat membantu penduduk untuk meningkat pendapatan di samping mengelakkan kemahiran atau produk ini pupus.

Mesin yang digunakan untuk menguli dan memasak coconut candy.

Gerai-gerai jualan yang terdapat di pulau-pulau di Mekong Delta. Di sini, produk-produk yang paling digemari adalah bag-bag yang diperbuat dari kulit lembu. Harganya sangat murah, bermula dari RM20 ke atas. Pandai-pandailah tawar-menawar ya.




Hiburan-hiburan yang disediakan oleh penduduk tempatan sambil anda menikmati buah-buahan tempatan. Jangan lupa memberikan sedikit sumbangan untuk mereka. Tips adalah bentuk penghargaan kepada bakat mereka.


Di samping hiburan begini, mereka juga melakukan jualan madu, royal jelly dan lain-lain produk dari lebah. Anda boleh beli jika berminat dan sama sekali tidak ada paksaan. Di kawasan ini, anda boleh memegang ular sawa batik, dan saya mencubanya untuk mengatasi fobia saya. Seperti kebiasaan, letak saja atas bahu anda, tetapi saya gagal. Pengakhiran untuk saya..... saya sangat cemas.... 




Okay, selesai berhibur, selesai makan buah dan menikmati madu, saya akan menaiki sampan yang kecil dan comel ini. Bayangkan, kebanyakkan pengayuh sampan adalah PEREMPUAN. Kagum dengan mereka, kebanyakkan mereka bertubuh kecil, namun sangat kuat.




Mereka tidak berebut-rebut untuk mendapatkan pelanggan. Segala-galanya sangat tersusun dan sistematik. Wanita berbaju kuning itu adalah pendayung sampan yang dinaiki saya. Orangnya sangat peramah.


Walaupun tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, tetapi sangat teruja untuk bercerita terutamanya tentang dirinya. Mempunyai 2 orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan yang masih kecil. Beliau mendiami pesisir anak sungai ini. 


Melihat pondok kediamannya, hati ini tersentuh. Tersentuh kerana, kesulitan hidup tidak menjadikannya seorang yang lemah, tetapi cekal dan tetap berusaha dengan kudrat empat keratnya. Demi Allah, sesungguhnya saya adalah orang yang sangat beruntung.




Menyelusuri sungai ini, saya memilih untuk tidak terlalu bergerak, bukan apa, sampannya kecil, tidak pula disediakan pelampung atau jaket keselamatan... Bimbang jika terjatuh, bukannya pandai berenang pun. Setakat tahu menjerit, ianya tidak akan mengubah apa-apa.


Wanita itu mempelawa aku untuk mendayung sampan, tetapi saya menolaknya. Tidak pernah mendayung, justeru tidak memiliki keyakinan yang tinggi. Wanita itu memberitahu bahawa badannya sakit-sakit dan penat kerana kerja ini. Tetapi demi rezeki yang halal, segalanya ditolak ke tepi.


Pokok nipah si sepanjang anak sungai
Setelah melalui perjalanan dengan sampan kecil, menyelusuri anak sungai bertemankan pohon-pohon nipah di kiri dan kanan sungai, akhirnya kami sampai ke bot yang telah sedia menunggu kami di tengah-tengah Delta Mekong. Matahari sudah di atas kepala, lapar dan haus sudah menjengah. 

Sebelum meninggalkan sampan, perempuan itu berkali-kali mengucapakan "bye-bye Malasysia". Saya pun bye-bye lah juga. Rupa-rupanya dia mengharapkan untuk sedikit tips. Saya berikan beberapa RM. Terbayang betapa sulitnya hidup di Mekong Delta.

******************************

Alhamdullillah, dapat menikmati air kelapa muda yang sangat-sangat segar. Nyamannya... Tapi sedikit kecewa kerana tidak disediakan sudu untuk mengorek isinya. Jadi, isinya tidak dapat dimakan. Habis air, kelapanya dibuang...... terasa membazir pula.


Perahu-perahu yang membawa pelancong ke bot yang lebih besar
Khuatir juga sebenarnya sewaktu menampak daripada sampan ke bot besar. Tersilap langkah hilang inbangan maka ke Sungai Mekonglah kami terhumban. Maka arahan yang diberikan saya patuhi sepenuhnya. Saya bukan pandai berenang pun tapi saya sangat sukakan air.


Okay, Sekarang berada di pulau yang ke dua. Di sini kami berada sekejap sahaja. Hampir 50% produknya adalah produk yang sama. Bezanya di pulau ini kami dapat menyaksikan pelbagai Wain Ular di jual. Untuk tatapan mata bolehlah, itu pun dari jauh. Kalau dekat, rasanya geli gelemanlah pula. 


Di sini terdapat hasil kraftangan yang diperbuat daripada buah kelapa. Yang jelas kelihatannya kebanyakkan produk ini diperbuat daripada tempurung kelapa. Pelbagai produk yang dihasilkan.


Terserlah kreativiti mereka dalam memkomersialkan seni dan kemahiran mereka.


Pig.... unik. Do I care?
Seronoknya berada di sini.
Saya berasa takjub bagaimana kraftangan cantik ini terhasil dari bahan yang sangat mudah dah murah serta senang diperolehi di negara tropika.


Produk-produk kulit yang terdapat di sini kebanyakkannya dari sumber kulit lembu atau buaya. Produk-produk kulit juga merupakan antara produk tarikan utama di sini. Jangan risau tentang kulit babi kerana menurut Dominic, kulit babi tidak dikomesialkan kerana ianya merupakan produk makanan. TIdak percaya? Tengok cerita korea... hehehehehe


Tapi jika ianya sebaliknya, saya tidak pasti. Apa-apa pun, kita boleh bertanya tentang apakah jenis kulit yang digunakan untuk barangan tersebut.




Rumah terapung atau rumah bot.... Di Mekong Delta terdapat penghuni-penghuni yang mendiami sungai ini dengan menjadikan rumah terapung ini sebagai kediaman mereka. Mereka hanya naik ke darat apabila mereka memerlukan mendapatkan keperluan tertentu. 


Jika tidak, masa-masa mereka dihabiskan di rumah terapung ini saja. Mereka boleh bercucuk tanam keperluan mereka di rumah mereka. Bekalan air bersih mereka perolehi samada dari hujan atau terus dari sungai ini.


Floating house...

So that is it..... Jika saya berkunjung lagi, pasti ada perkongsiannya lagi.....

Mekong Rest Stop - 15 Feb 2014

Ini adalah hari ke tiga saya berada di bumi Saigon. Hari ini kami akan berkunjung ke My Tho, Mekong Delta.

Menuju ke My Tho dari Ho Chi Minh City (Saigon), anda pasti akan singgah di Mekong Rest Stop untuk memenuhi keperluan diri dan juga berehat seketika setelah melalui perjalanan yang agak panjang. Dalam anggaran satu ke dua jam perjalanan dari HCMC. Jika dibandingkan masa perjalanan di antara HCMC ke Cu Chi dan HCMC ke My Tho, masa yang diambil ke My Tho lebih singkat. Mungkin kerana ada lebuhraya yang menghubungkan. 

Saya sukakan lanskap yang terdapat di Hentian Rehat Mekong, sangat cantik. Di sini, pada penggemar kopi, anda boleh menikmatinya sebelum meneruskan perjalanan. Saya adalah penggemar Black Coffee. Pastinya, minuman ini akan menemani saat santai saya. Masa yang diberikan kepada kami untuk berada di sini cumalah 30 minit. Jadi pusing dan nikmati semuanya betul-betul.



Water lily...... Saya memang merupakan orang yang pantang jumpa sesuatu yang cantik terutamanya flora dan fauna, mulalah tangan laju saja nak ambil gambar. Saya tidak peduli apa yang terlintas pada fikiran orang lain. Yang penting saya puas hati. Lagipun kunjungan saya ke Vietnam bukanlah untuk membeli-belah, tetapi untuk mencari dan melihat sebanyak mungkin keindahan alam ciptaan Allah swt.



Kedai menjual cenderamata. Cantik-cantik. Harganya? Jangan tanya saya. Saya tidak ada jawapan sebab saya tidak masuk ke kedai itu. Ambil gambar dari jauh saja.



Bertentangan dengan kedai cenderamata itu adalah kedai yang menjual pelbagai jenis kopi. Harganya berpatutan tetapi sedikit mahal berbanding di Saigon. Pembungkusannya memang cantik. Strategi pemasaran. Atau mungkin boleh tunggu untuk kembali ke HCMC dan belilah kopi anda di sana.


Di bawah adalah koleksi-koleksi gambar di kawasan Hentian Rehat Mekong (Mekong Rest Stop)... Nikmatilah ya....

Kolam ikan dengan pokok-pokok teratai (lotus). Teratai sangat sinonim dengan kebudayaan dan kehidupan warga Vietnam.



Alat menangkap ikan tradisional rasanya. Walaupun sekadar replika tetapi ianya sangat tepat dalam menggambarkan realiti kehidupan mereka di satu masa lalu.



Tenang dan sangat mendamaikan.



Titian yang diperbuat daripada batang kelapa dan buluh sebagai pemegang.



"Hello semua.... "



"Water lily"



Wednesday, 31 December 2014

War Remnants Museum, Ho Chi Minh City - 14 Feb 2014

War Remnants Museum merupakan muzium yang menyimpan sejarah peperangan Vietnam yang dikenali sebagai Vietnam War. Muzium dibuka pada 4 september 1975 dan dikenali Exhibition House for US and Puppet Crimes. Pada 1990, nama tersebut ditukar kepada Exhibition House for Crimes of War and Aggression mengguggurkan perkataan US dan Puppet, dan akhirnya pada 1995, nama muzium ini ditukar kepada War Remnants Museum sehingga sekarang.

Muzium ini mempamerkan pelbagai gambar-gambar yang memaparkan jenayah-jenayah perperangan yang dilakukan oleh Perancis dan Amerika, kesan-kesan penggunaan Agent Orange ke atas penduduk tempatan dan semburan bahan-bahan kimia bertoksik lain yang sangat membahaya kepada tumbuh-tumbuhan, haiwan dan  manusia seperti penggunaan bom fosforus dan napalm.

Di dalam kawasan muzium terletak satu bangunan yang dikenali sebagai Tiger Cages yang menyimpan sejarah kekejaman yang dilakukan oleh Perancis dan juga South Vietnamese lakukan terhadap tahanan-tahanan mereka.

**************************************

Sekembali kami dari Cu Chi Tunnel, kami singgah untuk menjamu selera, perut pun dah tersangat lapar, di restoran Nyonya. Masih lagi hidangan Melayu. Terasa sedikit kecewa sebab belum berpeluang untuk menikmati juadah tempatan.

Selesai menikmati juadah, kami terus bergerak menuju ke War Remnants Museum. Bas yang membawa kami parking di bahu jalan sementara kami melawati setiap sudut bangunan yang menempatkan seribu satu potret luka bergambar ini.


Di luar muzim kelihatan kenderaan-kenderaan tentera menghiasi. Pesawat pejuang sehinggalah kereta kebal.



Berbeza aura yang terhasil di antara luar dan dalam bangunan. Jika sebelum memasuki bangunan, jiwa masih santai, namun setelah memasukinya, kesedihan, ketidakupayaan menerjah..... Kezaliman sangat dirasai.

Potret-potret di bawah yang bercerita.


Peluru yang digunakan sewaktu peperangan.


Kemusnahan yang berlaku.


Senjata-senjata yang digunakan.



Arca ini mewakili satu perasaan yang tidak dapat ditafsir. Simbolik dengan nama yang diberikan, "Ibu".

Arca ini diberi nama Mother.
"Dalam peperangan Vietnam, US tidak hanya menggunakan bom dan senjata moden, tetapi juga menggunakan senjata kimia untuk menghapuskan semua sumber semulajadi dan menghalang perarakan Liberation Army of South Vietnam (Tentera Pembebasan Vietnam Selatan). Dalam tempoh 10 tahun mulai 1961 - 1971, hujan beracun dibuat secara berterusan di Tengah dan Selatan Vietnam, menyebabkan gunung-ganang, dataran dan tanaman menjadi gondol, memusnahkan sumber air bersih dan merosakan keseimbangan ekologi.
Berdasarkan data Jabatan Pertahanan US, dari 1961 - 1971, Unit Udara US telah menyembur 72 juta liter pelbagai bahan kimia beracun di Vietnam, termasuk 44 juta liter Agen Oren yang mengandungi 170kg dioxin. Mengikut kajian oleh saintis Universiti Columbia (New York) yang dicetak dalam majalah Nature, jumlah keseluruhan kimia beracun yang disembur oleh US di seluruh Vietnam berjumlah lebih 100 juta liter. Berdasarkan kajian itu, 3851 orang menderita akibat terdedah secara terus terhadap kimia yang disembur dan bahan kimia itu sendiri secara tidak langsung telah menyebabkan kesan buruk kepada lebih kurang 2.1 - 4.8 juta warga Vietnam."


Seandainya saya faham sajak di bawah.


Tidak sanggup untuk berada lama di dalam ruang pameran ini.  Perasaan menjadi sangat tidak stabil. Lagi pula masa sangat suntuk.


Nurseri yang sangat ceria berwarna-warni.


Saya melangkan keluar dari bangunan. 


Pintu masuk ke ruangan yang dinamakan Tiger Cages.

Tiger Case merupakan satu kawasan yang menempatkan bentuk-bentuk penyeksaan yang dikenakan kepada penentang atau ahli Viet Cong tanpa mengira jantina. Kezaliman yang tidak terbayang dan apabila difikirkan tidak mungkin seorang yang waras sanggup melakukan itu dan tidaklah mungkin badan kita mampu untuk menerima seksaan itu.


Replika kuburan

Peralatan yang digunakan untuk memotong kepala.


Bilik tahanan.






Sebuah bilik tahanan menempatkan terlalu ramai tahanan sehingga menyebabkan masalah pengudaraan. Disebabkan ketidakselesaan, tahanan akan berasak-asak ke muka pintu untuk menikmati udara segar dan untuk lebih selesa.

Tetapi nama pun bilik tahanan, ketahanan mental dan fizikal sangat-sangat diuji.


Untuk lebih mengetahui bagaimanakah seksaan yang dialami oleh tahanan-tahanan ini, saya cadangkan anda untuk sendiri berkunjung dan membaca sendiri catatan-catatan yang digantung di sini. Jujurnya, walaupun hanya sekadar membaca, seksaan dan bentuk penyeksaan yang dilakukan ke atas tahanan di sini sangat-sangat zalim sehinggakan saya tidak mampu untuk merakamnya ke lensa kamera saya.




Sumber rujukan :
1. http://warremnantsmuseum.com/
2. http://en.wikipedia.org/wiki/War_Remnants_Museum
3. http://www.lonelyplanet.com/vietnam/ho-chi-minh-city/sights/museums-galleries/war-remnants-museum
4. https://www.youtube.com/watch?v=QOfmvm0b7Lo
5. https://www.youtube.com/watch?v=Uckg7OkWfmg

Untuk sesiapa yang ingin melihat koleksi-koleksi yang tersimpan di War Remnants Museum, link yang ke-5, saya cadangkan. Videonya agak lama iaitu 26.11 minit tetapi sangat-sangat sesuai untuk mereka yang tidak pernah berkunjung ke muzium berkenaan.

Bahkan saya yang telah berkunjung tidak sempat untuk melawat keseluruhan kawasan kerana terlalu 'teliti' sehingga menjadi orang terakhir untuk keluar dari muzium, (dicari oleh tour guide dan juga tour leader.)

Ini saja perkongsian kali ini. Sehingga berjumpa lagi.