Justeru, tidaklah Allah swt menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia.
****************************************
Kedek-2 atau Nyek adalah penghuni rumah saya yang ke-5. Dia adalah kucing saya yang ke-3. Tingkas manja dan bersahaja. Bulunya sangat lembut, sederhana panjang, warnanya ringkas sekadar putih dan hitam, dan badannya pendek menyebabkan Kedek-2 kelihatan sangat bulat dan apabila berlari untuk mendapatkan sesiapa yang disukainya, dia akan kelihatan terkedek-kedek. Atas asbab itu, saya memberikan namanya Kedek-kedek.
Pada tanggal 31 Mac 2016, Khamis, 2.00 pagi, Kedek-2 kembali ke Penciptanya setelah 3 hari demam yang sangat teruk. Sebelum demam, Kedek-2 muntah yang sangat teruk sehingga mengosongkan perutnya. Selepas muntah-muntah itu, Kedek-2 langsung tidak mahu makan lagi. Badannya sangat panas, seperti orang yang demam panas.
Cuaca yang panas terik sejak pertengahan Feb, disebabkan oleh El-Nino seperti yang diwar-warkan oleh media massa dan ekuinoks beberapa minggu lepas, menyebabkan ramai orang tidak sihat. Begitu juga dengan Kedek-2. Dia sakit mata, tetapi terkawal. Kerana, saya akan meluangkan masa untuk merawatnya.
"A wonderful kitten, with a great attitude."
Usia Kedek-2 masih muda, belum menjengah setengah tahun. Klausa di atas adalah untuk menggambarkan Kedek-2.
**********************************
Kedek-2, asalnya di bela oleh ibu saya. Di saat masih menyusu, dia datang ke rumah Ibu dalam keadaan yang sangat kotor dan kelaparan. Samada ianya dibuang atau terpisah dengan ibunya, itu tidak dapat dipastikan. Ibu ambil dan bersihkan dia, sangat kecil dan sangat kasihan.
Disebabkan ianya masih kecil, Kedek-2 hanya minum susu Fernleaf yang dibancuh Ibu, Kedek-2 tidak makan makanan pallet, dia hanya makan nasi bergaul ikan. Hanya itu dietnya. Sejak kecil, perutnya sedikit bulat. Bila berlari, nama sungguh comel dengan keadaan perutnya yang membulat teroleng-oleng.
Kedek-2 sangat manja dan juga berani. Apabila inginkan sesuatu, dia sanggup merampasnya daripada kucing lain. Lihatlah foto ini, dia berjaya merebut bebola daging itu daripada mulut kucing dewasa yang lain.
Saya mengambilnya daripada Ibu pada Tahun Baru China yang lalu. Asalnya, dia hanyalah seekor anak kucing kampung yang bebas untuk melepas di mana-mana saja yang dia ingini tetapi yang mengejutkan saya, apabila berpindah ke rumah saya, dia seekor anak kucing yang cerdik, dia hanya melepas di dalam bilik air.
Pasti ramai yang mempertikaikan saya, kenapa tidak diberikan pasir tiruan untuk kucing-kucing saya melepaskan hajat mereka. Saya tidak akan menjelaskan apa-apa, cumanya itu adalah keselesaan masing-masing.
Saya tidak pernah menyekat kebebasan kucing-kucing saya, tingkap rumah saya dibuka sedikit untuk kucing-kucing rumah saya bebas keluar dan masuk. Tetapi itu hanya berkesan untuk kucing yang telah pandai memanjat dan melompat. Untuk Kedek-2 yang masih kecil, saya hanya melepaskan dia dalam rumah, dan dia menikmati kebebasannya dengan pintu bilik air yang sentiasa terbuka dan makanannya yang telah tersedia di dapur.
Bagi saya, saya tidak berhak untuk menghalang kebebasan yang telah Allah swt anugerahkan kepada makhluk-makhluknya.
Setiap kali waktu petang dan hujung minggu, Kedek-2 akan bebas keluar dan masuk rumah, kerana pintu depan dan belakang rumah akan saya buka untuk kebebasannya. Kebebasan adalah sesuatu yang sangat tinggi nilainya.
*******************************************************
Kedek-2 sangat berdisiplin. Rumah saya ada tiga bilik air, dan ke semua bilik air di rumah saya menjadi bilik airnya juga. Untuk memudahkan pembersihan, saya menyediakan tisu. Tisu hanya untuk membersihkan najisnya. Buang ke dalam mangkuk tandas dan pam. Bersihkan lantai sedikit dengan air. Ianya jauh lebih mudah dan jimat kos dari menyediakan pasir.
Kedek-2 tidak membuang merata-rata. Jujurnya, saya sangat sayangkan dia kerana sikapnya itu. Setiap kali pulang ke rumah, Kedek-2 akan menunggu di muka pintu dan menjerit dengan kuat menyambut kepulangan kami.
Setiap kali ingin tidur di waktu malam, dia akan tunggu saya dan bersama-sama naik ke tingkat atas untuk ke bilik saya, sebelum tidur saya kena membelainya sehingga dia puas, jika tidak tangan saya pasti digigitnya. Sambil dibelai, dia akan duduk diam di atas dada saya sehingga saya atau dia terlelap. Dia sangat suka untuk berhampiran dengan muka saya. kadang-kadang saya pun tidak faham kenapa.
Rimas? Kadang-kadang ya, tapi pada kebanyakan masa, saya tidak kisah pun.
Apabila saya telah terlelap, atau dia terjaga daripada lelapnya, dia akan beredar ke hujung kaki saya. Apabila saya bangun pagi, dia juga akan bangun bersama-sama dengan saya. Sesekali dia akan mengiow untuk mengejutkan saya bangun solat Subuh. Jika saya sambung tidur saya selepas solat, Kedek-2 dan kucing lainnya akan turut sama tidur, menunggu saya bangun tanpa sama sekali mengganggu saya walaupun mereka kelaparan.
Begitulah rutin sehingga lebih-kurang dua minggu sebelum kematiannya. Kedek-2 tidak mahu tidur dengan saya. Tetapi saya tidak kisah. Mungkin saya kurang peka. Kerana bagi saya mungkin Kedek-2 mahukan sedikit privasi..... Kedek-2 juga berjaya melatih Oyen untuk mengikut disiplin dirinya, kencing dan berak dalam bilik air. Bukannya merata-rata tempat.
***************************************************
Siapa Oyen?
Oyen adalah seekor kucing yang berwarna oren, yang pada firasat saya kucing yang sesat dan saya tidak tahu asal-usulnya. Selepas 24 jam Oyen tumpang berteduh di depan rumah saya, saya membawanya ke belakang rumah untuk diberikan makan. Selepas 2-3 hari, Oyen meminta untuk duduk dalam rumah, saya penuhi permintaan Oyen, dapatlah dia menemani Kedek-2. Oyen menjadi penghuni rumah kami mulai 15 mac 2016.
Maklumlah, kedua-duanya masih kecil. Jadi, saya lepaskan dia bebas bergerak di dalam rumah.
Oyen seekor kucing yang sangat penakut, yang lucunya, dia mengiow seperti sangat berani sedangkan hakikatnya dia mengiow kerana ketakutan, jika disergah oleh Bobo dan Olat, dia akan terberak atau terkencing.
Oyen hanya berkawan dengan Kedek-2. Kedek-2 pula adik kesayangan Bobo, kerana Kedek-2 jenis yang berani dan tidak takut dibuli. Resmi Kedek-2 pula memang peramah dan suka berkawan. Dia tidak takut jika disergah atau ditampar. Memang Bobo suka bermain dengan adik kesayangannya itu. Dikejar, digigit dan apa saja perilaku Bobo tidak pernah Kedek-2 tidak kisah, begitulah sebaliknya. JIka Bobo tidak mengusiknya, maka Kedek-2 akan mengusiknya pula.
*************************************************
Minuman kegemaran Kedek-2 adalah susu, setiap kali saya bukan pintu peti ais pasti dia akan mengiow, meminta diberikan dia susu. Jika ada stok susunya, pastinya kehendaknya dipenuhi, jika tidak, tiadalah.
Di hujung minggu, Kedek-2 akan tidur di ribaan saya. Tidak mahu dia berjauhan daripada saya. Begitulah rutin hidupnya selama dia hidup dengan saya, sekitar sebulan setengah.
*************************************************
Ramai orang bertanya pada saya, bagaimana saya melatih kucing untuk kencing dan berak di dalam bilik air? Sebenarnya, saya tidak pernah melatih Kedek-2, Allah menganugerah Kedek-2 sikap yang begitu. Saya seronok dengannya dan sangat bersyukur. Bahkan Bobo dan Olat (kucing saya yang sudah dewasa, bak kata kata sudah menjadi teruna dan dara), jika terperangkap dalam rumah, pasti akan berak dan kencing merata-rata, tetapi tidak Kedek-2 yang berusia kurang Bobo dan Olat.
Ibu saya juga tidak pernah melatih Kedek-2, Kedek-2 hanya ke bilik air bila tidak berjumpa tanah yang sesuai untuk melepas. Jika berjumpa tanah atau pasir, Kedek-2 tidak akan membuang di bilik air.
Setelah lebih 24 jam kehilangan Kedek-2, kami amat merinduinya. Kemanjaan dan gayanya sangat menggamit perasaan kami.
Bobo dan Oyen terutamanya sangat berasa kehilangan. Kerana sayang yang mendalam, jasad Kedek-2 saya tanam di belakang rumah saya. Orang-orang tua pernah berkata, jangan tanam bangkai kucing berdekatan rumah, nanti rumah sering disambar petir... Maaflah, saya bukannya orang percaya kepada hal-hal tahyul sebegitu.
Bersemadilah dikau wahai Kekasih hatiku dengan tenang dan damai, Kedek-2. Hadirmu ke dalam hidup kami, adalah salah satu anugerah yang terindah, dan saya sangat syukuri walaupun hanya seketika tetapi ianya sangat bermakna dan terkesan.
............................................................................
No comments:
Post a Comment