Tuesday, 26 April 2016

Kisah Seorang Wanita Tua - 26/4/2016

(Jangan sensasikan tajuk ini)

*****************************************************************

Alhamdullillah, hari ini ini saya bersarapan di Pasar Teluk Kemang, sewaktu memilih lokasi tempat duduk ada seorang wanita yang berusia agak lanjut asyik memerhatikan saya. Hanya senyuman saya hadiahkan, tidak pula kami saling berteguran.

Selepas memilih kerusi untuk duduk, kebetulan di meja bersebelahan mak cik itu, saya pun memesan makanan saya, mi kari dengan 2 biji limau dan air suam. Saya memang tidak suka mi kari kalau tiada limau. Usai pesan makanan, saya nampak mak cik itu bangun, dan membayar makanannya.

Saya menyambung perbualan saya dengan kawan saya, Jessie Nur Maisarah (nama yang telah diringkaskan, nama penuhnya biarlah rahsia). Tengah ralit bersembang, tiba-tiba mak cik itu muncul ke meja kami.

"Mak Cik nak tumpang duduk di sini ya. Makanan ini dah dibayar." Sambil membawa makanannya yang telah dibungkus dan airnya yang masih penuh.

Ligat kepala saya berfikir kenapa harus Mak Cik itu berkata begitu, kami membenarkannya duduk dengan ramah. "Duduklah Mak Cik." Barulah Mak Cik itu duduk.

"Mak Cik baru balik ke sini, sebelum ini 3 bulan Mak Cik duduk di rumah anak di Kuala Kubu Baru. Ini belum pulang ke rumah lagi. Mak Cik tak berani tidur di rumah seorang diri. Mak Cik tumpang duduk rumah orang. " Panjang lebar ceritanya, saya mendengar sambil memberikan senyuman.

"Bila Mak Cik nak pulang ke rumah?" Balas saya. "Entahlah... Tidak tahu lagi."

"Dulu, Mak Cik duduk seorang. Ada orang menyamar jadi doktor, datang ke rumah kononnya nak buat pemeriksaan kesihatan. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Dia suruh Mak Cik buka semua barang kemas Mak Cik. Sebab, kalau nak buat pemeriksaan, tak boleh pakai barang kemas... Mak Cik bukalah, letakkan di bawah bantal.... Selepas itu, lelaki itu minta izin untuk ke tandas. 

Habis digeledah bilik Mak Cik. Barang kemas Mak Cik semuanya habis. Duit RM980... Mak Cik pergi buat laporan polis, polis cakap "Doktor takkan datang ke rumah." Mak Cik dah kena tipu.. Nak dapatkan cap jari memang tak dapat. Yalah doktor kan? Pakai sarung tangan."

Saya iyakan sahaja seperti mendengar dengan sangat khusyuk. Sesekali tersenyum. Entahlah, malas nak menyampuk. Dulu saya pernah duduk satu meja dengan Mak Cik ini tetapi di kedai yang berbeza, di kawasan yang berdekatan.

"Mak Cik bukan orang senang. Waktu Mak Cik baru boleh merangkak, ayah Mak Cik meninggal dunia. Mak Cik umur lima tahun, emak Mak Cik pula meninggal. Kemudian Mak Cik duduk dengan Atuk, tidak lama selepas itu Atuk pula meninggal. Mak Cik duduk dengan Pak Cik sehinggalah Mak Cik kahwin. Selepas itu suami Mak Cik pula meninggal."

Saya masih ingat, dulu mak cik ini pernah bercerita bahawa dia kahwin di usia yang sangat muda, maksud saya belasan tahun. Selepas kahwin dia membawa dirinya mengikut suaminya dari Kelantan ke Negeri Sembilan, dan menetap sehingga sekarang. Dia tidak mempunyai anak, yang ada hanyalah seorang anak angkat.

"Cucu tidak suka Mak Cik duduk dengan mereka di Kuala Kubu. Cucu selalu bertanya, 'Emak anak angkat nenek kan?'............." Aku tidak kuasa untuk mengulas. Khuatir menyimbah minyak ke api.

"Dulu Mak Cik gemuk. Sekarang sudah kurus..... Hati tidak senang. Tidak ada emak dan ayah. Suami pula telah meninggal.... Dia kuat merokok.... Dia meninggal waktu itu Mak Cik belum lagi 40 tahun. Ada orang nak melamar, tetapi Mak Cik menolak..." Saya tersenyum lagi.

"Seperti lagu P Ramlee...' Di mana kan ku cari ganti... serupa denganmu.....'" Mak Cik itu menyanyi dengan seperti mana wajarnya nyanyian itu.

Saya menambah, "Oh bukan lagu,...' Ku nanti mu di pintu syurga' ?" Entahlah, mak Cik itu dengar atau tidak.

"P Ramlee itu bukan nama sebenarnya. Nama sebenar P Ramlee adalah Teuku Zakaria, seorang kerabat diraja. Dia pun mati muda. Umur 42 tahun.." Saya mengangguk sambil menikmati mi kari saya. Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya.

Sesekali Mak Cik itu ketawa.... 

"Hati tidak senang.. Suami dah mati.." Mak Cik itu melafazkan kata-kata itu lagi dengan nada yang tenang namun serius.

"Sudah tibanya masa mereka Mak Cik.." Tutur saya.

"Yalah..."

"Itu bahagian mereka... pengakhiran mereka... Kita punya, kita belum tahu.."

"Itulah, bahagian kita, kita tidak tahu lagi.. Nabi Muhammad saw  pun mati. Nabi Musa, Nabi Sulaiman, semua nabi pun mati." Mahu saya menjawabnya, Nabi Isa as belum mati. Tapi tidak terkeluar, lagi pula malas pula untuk tunjuk pandai. 

Bagi saya Mak Cik ini perlukan tempat untuk dia meluahkan perasaannya, mendengar setiap kata-katanya. Memanglah kadangkala kedengaran sperti dia tidak meredhai takdir hidupnya. Seperti insan yang sangat kasihan.

"Mak Cik tidak selera makan. Hati tidak senang. Yang dibungkus ini untuk tuan rumah yang ditumpang. Dia pun duduk seorang." Saya senyum hambar.

"Mak Cik tumpang ya. Jangan Marah haaa... nanti kena jual. Berapa dirham? Nabi Yusuf as dijual 18 dirham". Saya diam saja sambil senyum. Mak Cik itu seperti seronok dpat bergurau begitu. Saya pula rasa kekok. Kawan saya banyak diam membisu.

"Mak Cik nak balik."  Terdengar ucapannya begitu, saya terus melihat cawan air teh 'O nya. Oh sudah habis, patutlah. "Oh ya Mak Cik.." Tuturku bersahaja sambil cuba meramhkan diri.

Mak Cik itu pun bangun. Sebelum melangkah pergi sempat dia berkata-kata lagi; "Jangan marah ya...."

Aku tersenyum sambil berkata-kata "Tidak mengapa Mak Cik." Mak Cik itu pun berlalu.

******************************************************

 
Kenangan terindah bersama Arwah Mak Teh kesayanganku dan juga Arwah Pak Long ku. 

Meluangkan masa bersama mereka menjadi penawar kerinduanku pada arwah ayahku yang telah kembali pada Penciptanya ditanggal 5 Dis 2000 ( 9 Ramadhan 1421H).

Mak Ngah meninggal pada 2014.
Pak Long meninggal pada 2015.

Doakan mereka semuanya mendapat keampunan Allah swt.

No comments:

Post a Comment