Wednesday, 15 March 2017

Nukilan Rasa - Jodoh dan Waris

Alkisah petikan daripada satu perbualan... Di antara diriku dan seorang kakak yang mempunyai 5 orang anak dan suami yang sangat setia menemani.

"Carilah ketua rumah. Jangan memilih sangat."

"Haruslah memilih... mana boleh tak pilih." Sedikit gelak ketawa kemesraan ku berikan...

"Kerja penat-penat. Memanglah kita bukan keluarga. Tapi, kasihan akak tengok."
Aku keliru di sini...

"Kerja apa-apa pun penat kak."

"Tak mahu ke ada waris?"
Aku senyum sahaja. Bukan apa, tidak ada jaminan dalam perkahwinan akan dikurniakan waris. Aku ini mudah orangnya. Warisku adalah sesiapa yang berhak ke atas perninggalanku.

"Jangan marah ya akak cakap macam tu."
"Eh tak mengapa kak." Di dalam hatiku, Allah swt saja yang tahu.

Beginilah kawan2 sekalian. Aku tahu akak tu tak baca status fb ku ini(luahan rasa ini asalnya aku taip di fb). Alang-alang biar ku jawab soalannya di sini.. sekurang2nya sebelum kalian bertanya lagi.. jawapan kalian sudah tahu.

KERJA
Itu ibadah dalam mencari rezeki yang halal dan keperluan hidup di bumi fana ini. Aku bekerja untuk diriku dan juga jika ada izin Nya dapatlah ku ringankan beban adik2 ku. Aku tidak bekerja untuk keperluan orang yang belum pasti tercipta untukku yakni suami dan anak2.

Aku tidak mengumpul harta untuk orang lain. Aku berusaha untuk hidupku supaya aku tidak menyusahkan orang. Dan satu hal, ini juga semua pinjaman dari Allah swt.
Bilaku mati, adik2 seibu ku berhak padanya dan merekalah waris hartaku ketika ini.

Aku tahu satu hal, jika aku tidak mempunyai sumber pendapatan, darah-daging sendiri mungkin akan menjauhi aku.

WARIS
Belum tentu dengan bernikah aku dikurniakan anak2 penyambung legasi. Daripada hanya memikirkan isu waris, tunjang utama adalah didikan mereka. Ingatkan, ibu-bapa sekalian.. yang anda lahirkan umat Muhamad saw.. Maka didiklah dia sebagai umat Muhamad saw, bukan setakat membela ternakan. Kecilnya diberi makan, matangnya kau menuai hasil.

JODOH
Bukan urusanku. Itu urusan Allah swt. Tidak perlu untuk aku memberitahu setiap inci usahaku kepada kalian. Jangan kalian anggap aku ini seperti membenci pernikahan. Kalian tidak pernah tahu urusan hatiku.. seperti mana aku tidak tahu urusan hati kalian.

MEMILIH
Wajib untuk memilih. Bukan sekadar menerima sahaja sesiapa yang sudi menemani. Suami orangkah? Beragamakah? Berpendidikankah? Bertanggungjawabkah? Solatnya cukupkah?

Terambil suami orang, dihina dikeji isteri ke dua tak pernah habis.
Soal agama, tanggungjawab dan solat penting untuk sama2 membina syurga kecil di samping sama2 berjuang meraih syurga sejati.

Terpilih sampah masyarakat, kutu rayau, aku khuatir, hingga akhir hayat aku dituduh kemaruk nak berlaki sampai tidak berdaya untuk memilih.

Hari ini kalian memintaku untuk tidak memilih, demi untuk aku segera menjadi suri hati seorang lelaki, selepas satu jangka waktu, kalian akan segera menunding padaku, jika bahteraku tidak seindah bayangan kalian. 

SIMPATI
Aku tidak memerlukan simpati kalian. Untuk kalian rezeki kalian. Untukku rezekiku. Allah swt telah menetapkan sesuatu untukku yang kalian tidak milikinya.

Rezekiku untuk hidup membujang sehingga hari ini, dan aku bahagia dengannya, dan urusan hatiku, ku serahkan bulat-2 pada penciptaku.

Untuk kalian, rezeki hidup berkeluarga, dan jika anda termasuk dalam golongan yang lebih bertuah, anda dikurniakan anak-2 penyambung keturunan. Ingat ya, anak-anak itu bukan sekadar penyeri rumah-tangga tetapi saham akhirat anda. Berwaspadalah...

No comments:

Post a Comment