PENSYARAH DIHORMATI, PELAJAR DISAYANGI
DEWAN KULIAH 4
24 FEBRUARY 2017 - 8.00 - 11.00 PAGI
POLITEKNIK PORT DICKSON
-anjuran bersama JABATAN MATEMATIK, SAINS DAN KOMPUTER & MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR POLITEKNIK PORT DICKSON.
Isu lapuk namun kian dipandang enteng apabila melibatkan hubungan antara dua darjat yakni guru atau kita luaskan skopnya yakni para pendidik dengan para pelajar.
Lewat ini, isu yang dulunya sepi atau tidak pernah menjadi hangat, namun di zaman
milenia di mana segala-galanya bermula di hujung jari, hubungan ini menjadi seakan sentiasa panas dan membara apabila darjat seorang pendidik direndahkan sedikit demi sedikit. Maka timbullah kemelut baru dalam menangani isu sosial dan adab generasi muda kini.
****************************************************************************
Menurut perkongsian yang dibawakan oleh Tuan Syamsul Amri atau sangat popular dengan gelaran Syamsul Debat; TIDAK AKAN BERJAYA kehidupan seseorang jika 2 jenis orang ini tidak dihormati yakni
1. Yang pertamanya: ibu bapa
2. Guru dan semua pendidiknya... termasuk juga para pensyarah.
"You can bring Syamsul out of Negeri Sembilan,
but you cannot bring Negeri Sembilan out of Syamsul.."
Menambahkan lagi resepi kejayaan seorang anak Adam adalah dengan "menghormati semua orang."
Berbalik kepada perkara pokok sebagai seorang pelajar, mereka haruslah bertanya kepada diri sendiri iaitu " mengapakah mereka harus belajar?"
Untuk menjadi seorang yang berjaya, tidak memadai hanya menunggu peluang, tetapi sentiasa mencipta dan merebut setiap peluang yang muncul.
"Tak tunggu sesuatu yang hebat,
Tetapi usahakan sesuatu yang hebat."
Setiap insan memerlukan 3 perkara dalam kehidupan iaitu:-
1. Ketenangan
2. Kebebasan, dan
3. Kebahagian
Ironinya, ketiga-tiga perkara di atas tidak akan dimiliki melainkan kita memberinya terlebih kepada orang lain.
1. POSITIF
Untuk memperolehi kejayaan, suka atau tidak, setiap insan haruslah sentiasa positif.
Berfikiran positif, berada dalam persekitaran yang positif, bergaul dengan orang-orang yang positif, menuturkan bicara yang positif, dan tatacara menzahirkan arahan juga haruslah positif.
Ini lantaran, positif akan menjemput aura positif manakala negatif akan sentiasa menjemput aura negatif.
Ringkasan perihal positif:-
i. sentiasa menggunakan ayat-ayat positif untuk berjaya.
ii. apabila kita sentiasa positif, in syaa Allah semua benda boleh buat.
iii. berfikiran negatif adalah makanan bagi semua penyakit.
iv. untuk sentiasa kekal positif, maafkan semua orang dan jangan sesekali berdendam.
2. MULAKAN HIDUP DENGAN MATLAMAT
Adalah menjadi lumrah untuk seseorang pelajar merancang jadual kuliah mereka, namun perancangan jadual kuliah bukanlah segala-galanya.
1. Planner - seharusnya menjadi teman sejati setiap insan. Rancang apakah aktiviti yang ingin dilakukan, catitkan di planner anda.
Contoh :-
24 Feb 2017,
Ulangkaji DBM2013
jam : 4.30 petang.
2. Hargai masa dengan membuat perancangan yang sebaik mungkin.
Apa yang diperolehi di dalam kuliah dan tutorial tidak mencukupi untuk menjadi seorang yang cemerlang.
"If you fail to plan, then you plan to fail.."
Sebagai seorang pelajar, setiap perihal yang melibatkan kehidupan seorang pelajar harus diutamakan bukannya kehidupan seorang remaja yang terbuai dengan arus semasa.
"Bila bermain, bermainlah dengan bersungguh-sungguh.
Bila belajar, maka jangan sesekali bermain-main."
Sentiasa ingat bahawa:-
1. Bilik kuliah bukanlah tempat untuk bermain. Tetapi bilik kuliah adalah tempat untuk menuntut dan mengambil sebanyak mungkin ilmu pengetahuan kerana segala proses pengajaran dan pembelajaran berlaku di situ.
2. Justeru betapa pun anda ketagih dengan gajet seperti telefon pintar dan sebagainya, elakkan untuk menggunakannya sewaktu kelas di atas apa jua alasan.
3. Elakkan daripada membincangkan perihal matapelajaran lain di sesi kuliah matapelajaran lain.
Hakikatnya dalam menuntut ilmu, satu hal yang perlu difahami adalah, usaha menuntut ilmu itu adalah sepenuhnya bergantung kepada pelajar itu.
Tuntutan menghormati para guru adalah untuk keberkatan ilmu dan ia juga merupakan salah satu akhlak yang wajarnya dimiliki oleh setiap yang bergelar pelajar.
Justeru pelajar harus faham dan hadam bahawa :-
1. Apabila pelajar berjaya, para pensyarah anda tidak mendapat apa-apa habuan dunia.
2. Apabila pelajar berjaya, ibu-bapa anda sangat gembira.
3. Apabila pelajar berjaya, anda in syaa Allah dibuka jalan kejayaan untuk masa depan anda.
5. MEMAHAMI INSAN LAIN
Dua kelompok utama yang saling berinteraksi tetapi mempunyai kecenderungan yang berbeza adalah WANITA dan LELAKI.
Suka atau tidak, LELAKI harus mengakui bahawa mereka mempunyai KEMAHIRAN MENDENGAR yang kurang baik berbanding WANITA. Justeru itu, empati mereka kurang.
Pendekatan emosi mereka juga kurang. LELAKI juga bersifat ONE TASK per moment, justeru hebatnya lelaki apabila mereka jauh lebih fokus dalam sesuatu pekerjaan.
Berbanding WANITA, KEMAHIRAN MENDENGAR mereka ternyata lebih baik dengan pendekatan EMOSI dan EMPATI yang tinggi. Perihal MULTITASKING juga merupakan sesuatu yang umum lama sudah mengetahui.
Jadi dalam berurusan dengan dua kumpulan jantina ini, pastinya kita harus bijak untuk memahami kelebihan dan kelemahan mereka.
Di dalam dunia ini, tidak ada orang yang boleh hidup bersendirian atau dengan bahasa mudahnya seorang-seorang.
Kehidupan kita di dunia ini sering memerlukan orang lain. Sejak kita kecil hinggalah kita dikebumikan.
7. MANTAPKAN KEMAHIRAN DIRI
i. Fizikal - Fitness
Badan kita seharusnya mantap dengan melakukan banyak aktiviti kecergasan. Ini untuk memastikan badan kita kekal mantap dan cergas.
ii. Jiwa - Ibadah
Kemantapan jiwa juga sangat penting, dan ini hanya boleh diperolehi dengan merendahkan dan menghambakan diri pada Allah swt, Tuhan Rabbul alamin.
"amal ma'ruf nahi mungkar"
iii. Hati - Bersangka baik
Prasangka merupakan sesuatu yang sangat mempengaruhi hati, perasaan, pemikiran dan juga tindakan tanpa anda sedari.
Prasangka buruk mampu menjerumuskan anda ke lembah kehancuran tanpa disengajakan. Betapa kebahagiaan hidup kita sedikit demi sedikit diragut oleh fikiran buruk kita.
Justeru, Islam tidak membenarkan kita untuk bersangka buruk, sebaliknya sentiasa menyuruh kita untuk sentiasa bersangka baik meskipun saat itu kita berat diuji.
Dengan bersangka baik, secara tidak langsungnya hati, perasaan, pemikiran dan tindakan kita juga terarah kearah kebaikan.
iv. Minda - Membaca
Jika diingati semula, wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhd saw adalah suruhan membaca ('iqra').
Membaca adalah makanan minda, salah satu cabang untuk memperolehi ilmu selain berguru atau lebih tepatnya, proses pembelajaran itu tidak sempurna dengan hanya mengharapkan sepenuhnya pada guru tetap harus ditambah dengan membaca.
Barulah proses menuntut ilmu sempurna.
8. MOTIVASI DIRI
Motivasi diri dengan sentiasa positif.
Bidalan orang tua;
"Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya."
"Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian."
Mungkin ada banyak lagi yang terlepas daripada ingatan saya, namun apa yang saya tekankan di sini adalah, untuk memperolehi sesuatu kejayaan, pastinya adanya tekanan dan cabaran.
Cabaran itu di sini mungkin daripada pelbagai faktor antaranya :-
i. kewangan
ii. kemampuan minda (akal) untuk menaakul
iii. masa
iv. tahap kesihatan
v. sokongan persekitaran
******************************************************************************
TEKA-TEKI (sila jawab dahulu secepat yang mungkin, jangan ambil masa yang terlalu lama kerana kuranglah ketepatannya)
SOALAN:-
1. Air apakah yang paling berani?
2. Kenapakah motosikal dinamakan YAMAHA?
3. Tikus apakah yang berkaki dua?
4. Itik apakah yang berkaki dua?
5. Bagaimanakah caranya orang bisu meminta rokok?
6. Bagaimanakah caranya orang buta meminta gergaji?
JAWAPAN:-
1. Air apakah yang paling berani?
Air terjun
2. Kenapakah motosikal dinamakan YAMAHA?
Sebab berasal dari Jepun.
Jika berasal dari Malaysia, namanya MODENAS....
3. Tikus apakah yang berkaki dua?
Mickey mouse, Mini Mouse... apa-apa watak kartunlah ya yang mana tikusnya berkaki 2.
4. Itik apakah yang berkaki dua?
Semua itik berkaki dua.... melainkan ianya cacat.
5. Bagaimanakah caranya orang bisu meminta rokok?
Letak 2 tangan di mulut, seperti cara orang merokok.
6. Bagaimanakah caranya orang buta meminta gergaji?
Minta secara lisan. Sebab dia hanya buta, bukannya bisu....
- Soalan-soalan di atas digunakan untuk menguji fokus seseorang.
*******************************************************************
Sesi QnA
Q1
Pelajar menghasilkan kerja @ menghantar yang tidak berkualiti.
Jawapan
Sebagai seorang pelajar untuk menghasilkan hasil yang berkualiti:-
1. Momentun awal - mulakan segala-galanya dari awal semester.
2. Kena ada komitmen - mereka yang buat kerja pada minit-minit terakhir, merupakan kelompok yang tidak mempunyai komitmen.
3. Kena ada niat dan keinginan untuk belajar dan mengajar
4. Berkomunikasi - tidak tahu bertanya, masalah generasi Y, tidak suka bertanya.
perkara 1 - 4 di atas adalah perkara-perkara yang tidak dimiliki pada pelajar sekarang.
5. Rujukan yang salah - sering merujuk kepada Google atau sekadar whatsapp sesiapa sahaja untuk mendapatkan maklumat.
Tidak merujuk kepada buku-buku rujukan.
"Buku tidak pernah menipu.
Internet - banyak maklumat tidak sahih."
"Tidak salah menajdi orang yang tidak tahu,
yang salah menjadi orang yang tidak tahu tetapi BERPURA-PURA tahu"
Q2
Bagaimanakah ingin mewujudkan kebahagiaan di antara pelajar dan pensyarah apabila pelajar tersebut pernah memaki-hamun pensyarah tersebut?
Jawapan
- Seorang pelajar tidak berhak @ boleh memaki-hamun pensyarah.
- Jika ianya terjadi, maka pelajar haruslah meminta maaf tanpa sebarang syarat daripadapensyarah tersebut.
- Perbaiki hubungan tersebut, dan pelajar itu perlu bertaubat dengan tidak mengulanginya lagi.
************************************************************************
NOTA:-
Artikel ini bukanlah 100% ucapan Tuan Syamsul Debat, tetapi telah diolah mengikut kefahaman dan penggunaan bahasa saya. Namun, intipati utama artikel merupakan perkara pokok yang telah disampaikan secara lisan sewaktu sesi ceramah motivasi yang dianjurkan oleh Jabatan Matematik, Sains dan Komputer dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Port Dickson, seperti yang tertera di atas.
Segala yang buruk dan yang terkurang datangnya daripada saya.
Ruhana Binti Mat Kia...
No comments:
Post a Comment